Search This Blog

Monday, January 25, 2010

Tunggang motor curi

Oleh Ibrahim Isa

2010/01/25 KLUANG: Sikap tidak ambil tahu ibu bapa dipercayai turut menjadi penyumbang kepada peningkatan kegiatan mencuri motosikal membabitkan pelajar ditumpaskan polis sepanjang Januari ini.


Difahamkan, ibu bapa langsung tidak ambil peduli atau curiga apabila melihat anak yang masih di bangku sekolah membawa pulang motosikal berlainan, apatah lagi menyiasat punca kenderaan itu diperoleh.

Keadaan itu terbukti melalui Ops Lejang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang sepanjang Januari hingga kelmarin apabila lima pelajar antara 30 individu ditahan kerana kesalahan mencuri motosikal.


Malah, tiga daripada lima remaja berkenaan ditahan ketika menunggang motosikal curi dalam beberapa siri tangkapan sekitar bandar itu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Arshad, berkata semua individu ditangkap itu membabitkan dua kumpulan curi kenderaan sekitar daerah ini turut merampas 10 motosikal daripada pembeli, dua enjin serta satu rangka ditemui di satu lokasi menjadi tempat persembunyian suspek.

"Siasatan lanjut mendapati, kumpulan berkenaan menjual motosikal dicuri pada harga antara RM300 dan RM400 kepada pembeli.


"Tangkapan juga membabitkan individu mempunyai kemahiran meleraikan motosikal mendapatkan alat ganti bagi kegunaan sendiri atau dijual kepada pelanggan," katanya.

Menurutnya, Ops Lejang itu akan diteruskan termasuk memberi tumpuan di kawasan awam seperti masjid, pusat beli-belah serta taman perumahan.

Selain itu, katanya, ibu bapa perlu lebih prihatin dengan menyiasat kenderaan dibawa pulang anak kerana tidak masuk akal seseorang yang masih bersekolah dan tidak mempunyai wang mampu membeli motosikal tanpa sebarang dokumen jual beli.

"Selain tidak mampu, nilai motosikal dijual terlalu murah juga tidak masuk akal iaitu antara RM300 hingga RM400 sedangkan harga pasaran dalam lingkungan RM4,000 hingga RM6,000.

"Malah, dalam tiga tangkapan membabitkan pelajar, kami mendapati mereka berani menunggang motosikal curi ke bandar menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

No comments:

Post a Comment