Search This Blog

Saturday, January 23, 2010

Tujuh ditahan bantu siasatan bom gereja

TAIPING 22 Jan. - Polis menahan tujuh lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian melempar bom petrol dan batu di dua gereja serta sebuah pondok pengawal sekolah di sini pada 10 Januari lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, ketujuh-tujuh mereka ditangkap dalam empat serbuan berasingan di sekitar Kamunting lewat malam semalam dan awal pagi ini.

Menurut beliau, tiga daripada lelaki itu ditangkap di rumah mereka manakala empat lagi ditahan di kawasan sekitar.

Katanya, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 29 tahun dan polis mendapatkan perintah tahanan reman terhadap mereka selama enam hari mulai hari ini sehingga Rabu depan.

"Kita percaya dengan tertangkapnya ketujuh-tujuh suspek ini kita dapat melengkapkan siasatan kes itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di sini hari ini.

Pada 10 Januari lalu, Gereja St. Louis di Jalan Convent dan Gereja All Saints di Jalan Taming Sari dilaporkan dilempar dengan bom petrol manakala salah sebuah cermin pondok pengawal Sekolah Menengah Convent di sini dibaling batu.

Menurut Zulkifli, siasatan polis bagaimanapun mendapati, hanya Gereja All Saints dan pondok pengawal sekolah terbabit yang terlibat dalam perbuatan khianat tersebut.

Kesemua suspek akan didakwa di bawah dua seksyen iaitu Seksyen 436 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat dengan api dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan untuk kesalahan mendatangkan bencana di tempat ibadat.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kesemua lelaki tersebut tidak menganggotai mana-mana kumpulan terancang atau pertubuhan politik.

Menurutnya, dua daripada mereka mempunyai pekerjaan tetap tiga bekerja sendiri manakala dua lagi menganggur.

"Mereka ini tidak terlibat dalam mana-mana kumpulan. Tindakan mereka dibuat secara spontan selepas membaca berita-berita yang keluar di media tempatan. Mereka juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau," katanya.

No comments:

Post a Comment