Search This Blog

Tuesday, January 19, 2010

Tebuk kedai emas: Polis akan buat tangkapan

IPOH 18 Jan. - Polis telah menemui petunjuk berhubung suspek yang terlibat dalam kejadian rompakan kedai emas di Gunung Rapat, di sini awal pagi semalam.
Justeru, dalam tempoh terdekat, beberapa tangkapan akan dibuat terhadap kumpulan penjenayah itu yang menebuk tiga buah lubang kedai sebelum melarikan barangan kemas bernilai RM400,000.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, pihaknya yang menjalankan siasatan rapi di lokasi kejadian itu sejak semalam telah mendapat beberapa petunjuk.
"Bagaimanapun, saya tidak boleh dedahkan butiran lanjut mengenai perkara ini kerana ia masih dalam siasatan.
"Berapa ramai yang akan ditangkap juga saya tidak boleh beritahu tetapi yang pasti kita akan buat tangkapan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas perkembangan siasatan kes rompakan sebuah kedai emas di Gunung Rapat semalam.
Dalam kejadian itu, kumpulan perompak tersebut telah memecah masuk pintu belakang sebuah kedai buku dan runcit berhampiran sebelum bertindak memecahkan dinding kedai itu untuk memasuki kedai gunting bersebelahan.
Dari kedai gunting itu, suspek yang dipercayai lebih daripada dua orang menebuk satu lubang dan menembusi tandas kedai emas tersebut.
Perompak yang menggunakan alat penggerudi kemudian memecahkan peti besi di dalamnya dan melarikan beberapa dulang barang kemas selain melarikan barang kemas di ruang pameran.
Sebelum kejadian itu, kedai emas berkenaan pernah kerugian kira-kira RM500,000 akibat dirompak empat lelaki bersenjatakan pistol pada Oktober 2008.
-utusanmalaysia

No comments:

Post a Comment