Search This Blog

Tuesday, January 19, 2010

Suspek kes bunuh akan didakwa

SEREMBAN 18 Jan. - Polis hari ini menyerahkan hasil kertas siasatan kes pembunuhan menyayat hati empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, 5 Januari lalu, kepada Jabatan Peguam Negara.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zaki Masroh berkata, ia mencadangkan agar suspek, Rashidi Ismail, 34, dihadapkan ke mahkamah bagi dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Kita telah menyerahkan hasil kertas siasatan itu pagi ini. Menerusi perbincangan dengan ketua unit pendakwaraya, mereka berpuas hati dan setuju dengan cadangan tersebut.
"Oleh itu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Rembau kira-kira pukul 9 pagi, esok, untuk dituduh," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jelas Zaki, tempoh tahanan reman suspek yang dilanjutkan oleh Mahkamah Majistret Rembau pada 13 Januari lalu telah tamat hari ini. Sebelum ini suspek ditahan reman bermula 7 Januari lalu.
Dalam kejadian bunuh itu, seorang bekas imam, Atan Daud, 90, isterinya, Sufiah Keatas, 76, menantunya, Ismail Awang, 76 dan cucunya, Siti Khadijah Ismail, 22 ditemui mati dalam keadaan mengerikan.
Mayat Atan ditemui putus tangan kanan, manakala isterinya, Sufiah putus tangan kiri. Ismail pula putus kepala dan Siti Khadijah ditemui dengan sebilah senjata tajam terpacak pada dadanya.
Rashidi yang merupakan suspek utama kes itu telah ditahan di atas jejambat berhampiran stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 4.05 petang 6 Januari lalu.

No comments:

Post a Comment