Search This Blog

Thursday, January 21, 2010

SPR kaji perluaskan hak undi pos

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 19 Jan. – Doktor, jururawat dan wartawan mungkin dipertimbang untuk dibenarkan mengundi secara pos pada pilihan raya umum akan datang.

Ia akan dibuat menerusi pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang sedang diteliti oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya sedang meneliti untuk memperluaskan hak pengundi pos kepada mereka yang berada dalam perkhidmatan-perkhidmatan penting, yang sebelum ini terhad untuk anggota tentera dan polis.

“Kita sedang teliti dari segi bilangan mereka termasuk adakah mereka (dalam perkhidmatan penting) ini boleh bergilir-gilir untuk mengundi, misalnya di sebelah pagi separuh berbuat demikian dan pada sebelah petang separuh lagi.

“Pertimbangan ini adalah untuk mereka yang terlibat dalam urusan pilihan raya.

‘‘Jika ini dibenarkan, bermakna hak pengundi pos yang sebelum ini dikhususkan hanya untuk pasukan tentera, polis atau pegawai kerajaan yang bertugas di luar negara akan diperluaskan ke perkhidmatan penting lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut cadangan berkaitan pengundian pos, Abd. Aziz berkata, pihaknya juga sedang mempertimbangkan untuk menyediakan satu tempat pengundian yang sesuai kepada anggota tentera yang berkhidmat di perbatasan sekiranya jumlah yang terlibat ramai.

“Mengikut sistem pengundian pos sedia ada, pengundi kalangan anggota tentera dan polis ini boleh membawa pulang kertas undi itu ke rumah sebelum mengeposnya,” katanya.

Menurutnya, SPR juga sedang memikirkan untuk mengubah nama pengundi pos kepada pengundi awal.

“Mengikut perjalanan mengundi secara pos sekarang ini pun, mereka yang mengundi akan memasukkan kertas undi ke dalam sampul sebelum karungnya dibawa untuk penjumlahan undi.

‘‘Ini dilakukan semasa penjumlahan undi oleh pengundi berdaftar lain. Konsep pengundian pun kini bukan lagi secara pos, justeru eloklah diubah kepada pengundi awal,” katanya.

No comments:

Post a Comment