Search This Blog

Thursday, January 21, 2010

Rayuan kes pikat Daphne disebut 19 Feb.

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Februari ini untuk sebutan semula rayuan seorang pengarah urusan sebuah syarikat yang didakwa memikat model dan pengacara, Daphne Iking ketika dia masih isteri orang.

Hakim Datuk Mohd. Sofian Tan Sri Abd. Razak menetapkan tarikh itu selepas peguam Akbardin Abdul Kader yang mewakili Darren Choy Khin Ming selaku perayu memaklumkan bahawa rekod rayuan yang disediakan masih belum lengkap.

Pada 26 Ogos tahun lalu, Darren, 44, memfailkan rayuan bagi mengetepikan keputusan Majistret Mohd. Faizi Che Abu yang menolak permohonannya agar perbicaraan kes saman peribadi itu didengar oleh majistret lain.

Tujuan Darren mengemukakan rayuan itu untuk mengelakkan sebarang prejudis.

Ini kerana lelaki itu mendakwa, Mohd. Faizi pada Ogos tahun lalu telah membenarkan suami Daphne ketika itu, Ryan Chong Yiing Yih, 31, untuk mengemukakan saman peribadi terhadapnya.

Kebenaran diberikan setelah pihak pendakwa memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan ke atas Darren atas alasan ia membabitkan masalah rumah tangga.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret menggantung prosiding perbicaraan kes saman peribadi itu selepas membenarkan permohonan Darren untuk merujuk tujuh soalan perlembagaan ke Mahkamah Tinggi.

Ia bagi menentukan sama ada prosiding saman peribadi terhadap dirinya (Darren) sah di sisi perlembagaan yang akan menyentuh isu diskriminasi gender di bawah Artikel 8(1) dan 8(2) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 498 Kanun Keseksaan.

Darren dipercayai individu pertama yang didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana dituduh memikat atau membawa pergi Daphne, 31, anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah yang ketika itu masih menjadi isteri Ryan, dengan niat untuk membolehkannya melakukan persetubuhan yang ditegah.

Akhir tahun lalu, Daphne mengesahkan dia dan Ryan telah bercerai secara rasmi. Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan, Isobel, 2.

No comments:

Post a Comment