Search This Blog

Thursday, January 21, 2010

Majlis antara agama baik untuk bincang isu sensitif: Dr M

KUALA LUMPUR: Kewujudan sebuah majlis antara agama adalah lebih baik bagi membincangkan isu sensitif antara kumpulan agama berbeza daripada mengadakan protes jalanan, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata isu sensitif tidak wajar dibincangkan di tempat awam.

"Akan sentiasa ada mereka yang tidak boleh bertolak ansur dan cara mereka berbincang adalah dengan merosakkan harta benda," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Umum berkenaan Sokongan kepada Al-Quds, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan beberapa pihak agar sebuah majlis antara agama diwujudkan sebagai saluran untuk membincangkan sebarang isu berkaitan agama.

Ditanya mengenai sama ada beliau berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap Barry Wain yang menulis buku bertajuk " Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times", beliau berkata tindakan itu hanya membuang masa.

"Kita tidak akan mendapat sebarang kepuasan daripada tindakan itu. Ia hanya akan mengheret saya selama 20 tahun," katanya.

Antara lain, Wain, bekas editor pengurusan Asian Wall Street Journal, menulis bahawa Dr Mahathir telah membazirkan sehingga RM100 bilion sepanjang 22 tahun berkuasa.

"Ia sebuah buku hebat yang patut dibaca semua orang kerana sepanjang 22 tahun saya sebagai Perdana Menteri, saya langsung tidak melakukan apa-apa yang betul.

"Seluruh buku itu adalah mengenai kesilapan yang telah saya lakukan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment