Search This Blog

Tuesday, January 19, 2010

Konstabel dipenjara sepanjang hayat

KLANG 18 Jan. - Seorang konstabel polis dihukum penjara sepanjang hayat dan 12 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua tuduhan mempamerkan pistol milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa merompak sebuah kedai telefon.
Hakim Datuk Anita Harun menjatuhkan hukuman tersebut bagi setiap dua pertuduhan yang dihadapi oleh Aeleh Wahab yang bertugas di Putrajaya semasa kejadian berlaku empat tahun lalu.
Beliau bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 16 April 2006.
Aeleh didapati mempamerkan sepucuk pistol jenis revolver .38 Special 3 inch Smith & Wesson sehingga menyebabkan Noridayu Abdullah, 24, ketakutan selain boleh menyebabkan kematian atau kecederaan.
Perbuatan itu dilakukan semasa tertuduh merompak Kedai Telefon New Telecommunication Ent., Jalan Ayer Hitam, Dengkil, Sepang dekat sini pada pukul 10.30 pagi 14 April 2006.
Dia turut didapati melakukan kesalahan sama terhadap Tiew Boon Piau, 32, dengan menggunakan sepucuk pistol jenis revolver .38 Special Smith & Wesson di Kedai Telefon Astino Teleshop Nombor 27, Jalan Kenanga 2, Taman Dengkil Jaya, Dengkil, Sepang dekat sini pada pukul 3.30 petang, 16 April 2006.
Bagi setiap pertuduhan, Aeleh didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukan hukuman penjara sepanjang hayat dan sebatan tidak kurang enam kali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syuhada' Alwi dan Nurul Maisarah Kamal manakala tertuduh diwakili peguam Aminuddin Ramli.

1 comment:

  1. Polispun merompak jugak. tak boleh harap..
    harapkan pagar ,pagar makan padi.

    ReplyDelete