Search This Blog

Thursday, January 21, 2010

Jel 15 tahun kerana sehelai seluar

2010/01/21 KUANTAN: Seakan merindui suasana kehidupan di sebalik tirai besi, seorang bekas banduan masuk penjara untuk kali keempat apabila Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman 15 tahun dan 11 sebatan atas kesalahan merompak dan mencederakan mangsanya, Mac tahun lalu.

Tertuduh, Tengku Khairulrizan Shah Tengku Mabhar, 33, dari Felda Sungai Tekam, Jerantut, sebelum ini pernah dimasukkan ke Pusat Serenti Bukit Chabang, Perlis, selama dua tahun pada 16 April 2001 mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.


Namun, sebaik tamat menjalani pemulihan di pusat serenti itu tertuduh dikenakan hukuman penjara 20 bulan dan satu sebatan di Penjara Penor, di sini, mengikut Seksyen 6 (2) akta sama kerana melanggar syarat tempoh pengawasan pada 9 Julai 2003.


Tertuduh yang juga penghidap HIV dan Hepatitis C kemudian dikenakan penjara sekali lagi selama setahun mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri, 6 Disember 2006.


Bagaikan tidak serik, dia dihukum penjara lima bulan kerana menceroboh mengikut Seksyen 447 akta sama dan empat bulan serta denda RM3,000 kerana mencuri. Kedua-dua hukuman berjalan serentak pada 29 Oktober 2008.


Masih tidak insaf selepas tiga kali keluar masuk penjara, tertuduh baru dua minggu dibebaskan ditahan lagi kerana mencuri sehelai seluar jenama Camel Active pasar raya Parkson Ria di Kuantan Plaza, di sini, pada 18 Mac 2009.


Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, tertuduh turut mencederakan dua pengawal keselamatan pasar raya berusia 54 dan 19 tahun dengan pisau ketika mangsa cuba menangkapnya.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum 20 tahun dan sebatan atau denda.

No comments:

Post a Comment