Search This Blog

Monday, January 25, 2010

Nyaris langgar polis

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim

2010/01/25 KUALA LUMPUR: Tindakan nekad seorang lelaki berusia 27 tahun yang cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya di Dataran Merdeka nyaris mencederakan anggota polis yang cuba menghalangnya dalam satu operasi di Dataran Merdeka malam kelmarin.


Namun tindakan beraninya itu tidak memberi apa-apa makna berikutan ketika kejadian, beberapa anggota dari Unit Kuat Kuasa Khas (KKK) Bahagian Trafik Kuala Lumpur berpakaian preman terus mengejar Proton Wira dipandu sebelum ditahan.

Sebaik dihampiri, pemandu lelaki terbabit enggan memberikan kerjasama namun tindakan cekap pihak berkuasa menahan pemandu itu sebelum diarah memandu semula kenderaannya ke bahagian pemeriksaan dengan diiringi anggota polis.


Malah, ketika siasatan awal lelaki berkenaan memberikan alasan dia tidak tahu diberikan arahan berhenti di sekatan jalan raya berkenaan oleh anggota bertugas.

Pegawai Turus Penguat Kuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Ng Fook Long, berkata itu antara adegan yang dapat dilihat dalam 'Ops Tutup' itu yang membabitkan 63 anggota termasuk pegawai dari Trafik Kuala Lumpur.

"Operasi dijalankan bermula jam 12 tengah malam itu turut dibantu beberapa agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Bahagian Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


"Selain agensi itu, Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Curi Kenderaan (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik turut membantu melancarkan operasi," katanya ketika ditemui di lokasi operasi.

Kerjasama pelbagai pihak itu membabitkan 135 anggota terdiri daripada 12 pegawai dan 123 anggota dan Ops Tutup berkenaan turut dijalankan di dua lagi lokasi berlainan termasuk Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut.

Dalam operasi itu, sejumlah 83 saman dikeluarkan polis bagi pelbagai kesalahan manakala JPJ mengeluarkan 40 notis kesalahan teknikal selain 10 notis bagi pelbagai kesalahan dan tiga saman dikeluarkan JAS.

No comments:

Post a Comment