Search This Blog

Tuesday, January 19, 2010

Denda maksimum RM500,000

Oleh HATA WAHARIpengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 18 Jan. - Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 akan dipinda bagi membolehkan denda maksimum RM500,000 dikenakan kepada pemandu pengangkutan awam yang melakukan kesalahan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, pada masa ini denda maksimum yang boleh dikenakan kepada pemandu yang melakukan kesalahan di bawah akta tersebut hanya RM300.
"Denda sekarang terlalu rendah dan ia tidak memberi pengajaran atau rasa takut di kalangan pemandu pengangkutan awam seperti pemandu teksi yang merupakan kumpulan terbesar melakukan kesalahan di bawah akta ini," katanya.
Beliau ditemui selepas melancarkan Kempen Kesedaran Hak-Hak Pengguna Pengangkutan Awam anjuran Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Hentian Puduraya di sini hari ini.
Mohamed Nazri memberi contoh bagi tempoh 14 hari iaitu dari 1 hingga 14 Januari lalu dalam operasi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 957 pemandu teksi melakukan 989 kesalahan.
''Ini menunjukkan ada kalangan mereka melakukan dua kesalahan serentak,'' jelasnya.
Sehubungan itu katanya, kempen kesedaran itu penting bagi pengguna mengetahui hak mereka dan menghukum pemandu pengangkutan awam yang melakukan kesalahan.
Beliau memberitahu, kempen kesedaran yang dilancarkan hari ini ditumpukan kepada pemandu teksi kerana jumlah aduan terhadap mereka adalah tertinggi.
''Pengguna perlu mengadu kepada LPKP sekiranya pemandu-pemandu teksi melakukan 11 kesalahan yang sering dilakukan terutama tidak memaparkan kad pemandu, tidak melekatkan jadual tambang dan keadaan teksi yang kotor.
''Kesalahan-kesalahan lain yang perlu dilaporkan tidak menggunakan meter, tidak memberikan resit, mengubah suai meter dan berkelakuan membahayakan seperti merokok, memandu melebihi had laju dan bercakap di telefon semasa memandu,'' katanya.
Mohamed Nazri memberitahu, aduan boleh dibuat kepada LPKP menerusi talian bebas tol 1-800-88-9600, khidmat pesanan ringkas (SMS) ke nombor 15888 atau emel ke aduan@lpkp.gov.my. -utusan malaysia

No comments:

Post a Comment