Search This Blog

Tuesday, January 19, 2010

Dakwa disamun untuk tangguh kahwin

JOHOR BAHRU 18 Jan. - Akibat tertekan dengan desakan bakal bapa mertua agar melangsungkan perkahwinan bulan depan, seorang lelaki sanggup membuat laporan polis palsu kononnya dia disamun semalam.

Dalam laporan itu, lelaki yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang mendakwa kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya dilarikan dua lelaki bermotosikal di hadapan sebuah bank di Kulaijaya.

Lelaki itu mendakwa dua penjenayah terbabit mengacukan pisau di lehernya semasa dia baru menghidupkan enjin keretanya sebelum melarikan diri.

'Kejadian' pada pukul 6 petang itu kononnya mengakibatkan dia kerugian RM6,000 apabila wang di dalam kad ATM berkenaan dikeluarkan oleh suspek.

Bagaimanapun, helah lelaki itu terbongkar apabila siasatan polis mendapati wujud percanggahan maklumat dalam soal siasat yang dijalankan terhadapnya.

Susulan itu, polis ke rumah lelaki terbabit dan menemui wang yang dilaporkan 'hilang' disimpan di rumahnya di Senai Utama.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 177 Kanun Acara Jenayah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu walau apa jua alasan termasuk menghadapi masalah peribadi.

No comments:

Post a Comment