Search This Blog

Thursday, January 21, 2010

Dadah: 2 penoreh getah ditahan

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusankedah@utusan.com.my



Abdul Aziz Ahmad (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas daripada dua penoreh getah di Kampung Kubur Panjang, Pendang, kelmarin. - utusan/Halim Khalid

--------------------------------------------------------------------------------



PENDANG 20 Jan. - Polis menahan dua penoreh getah dan merampas dua peket dadah jenis heroin dan syabu di sebuah kebun getah di Kampung Kubur Panjang di sini malam semalam.

Penahanan kedua-dua lelaki itu kemudian membawa kepada rampasan sebuah kotak plastik yang mengandungi ganja seberat 627 gram, sebotol tin berisi tujuh straw serbuk heroin dan tiga peket heroin seberat 26.5 gram yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM3,700.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supritendan Abdul Aziz Ahmad memberitahu, kedua-dua lelaki berusia 44 dan 37 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, Inspektor Mohd. Nazri Nordin kira-kira pukul 8 malam.

Menurut beliau, mereka ditahan di dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara, dipercayai sedang menunggu pelanggan di dalam kebun getah tersebut.

Beliau berkata, sebuah lori lama yang diubah suai dalam kebun getah itu dipercayai menjadi pusat bagi para penagih dadah di kawasan itu melepaskan gian.

"Polis berjaya membongkar kegiatan kedua-dua lelaki tersebut hasil siasatan yang dijalankan sejak beberapa hari lalu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Abdul Aziz memberitahu, hasil pemeriksaan ke atas salah seorang lelaki dipercayai pemandu kereta berkenaan, pihaknya menemui dua peket heroin dan syabu yang disorok dalam beg pinggangnya.

Katanya, ini membawa kepada pemeriksaan di dalam kereta yang menemui sebuah kotak plastik berisi daun-daun kering dipercayai ganja seberat 627 gram di belakang tempat duduk pemandu.

"Kita turut merampas wang tunai RM150 dipercayai hasil jualan dadah," katanya.

Abdul Aziz memberitahu, kedua-dua lelaki terbabit disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 39A dan Seksyen 12 (2) akta yang sama.

No comments:

Post a Comment