Search This Blog

Tuesday, January 19, 2010

112 anggota, pegawai polis dikenakan tindakan

KUALA TERENGGANU 18 Jan. - Seramai 112 anggota dan pegawai polis di negeri ini dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan tatatertib termasuk penyalahgunaan dadah sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, daripada jumlah itu, seramai 13 orang anggota berpangkat koperal ke bawah didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Katanya, kesemua mereka dikenakan tindakan tahan kerja serta tidak dibenarkan terlibat secara proaktif manakala yang didakwa di mahkamah digantung kerja.
"Kes penyalahgunaan dadah melibatkan anggota berpangkat koperal ke bawah semakin meningkat. Pada 2008, hanya tujuh anggota sahaja dilaporkan positif dadah berbanding 13 orang pada tahun lalu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, katanya, jumlah keseluruhan kakitangan awam yang terlibat dengan dadah sepanjang tahun lalu turut meningkat iaitu sebanyak 67 kes berbanding 59 kes pada 2008.
Menurut Mohd. Shukri, dalam usaha menangani masalah disiplin di kalangan anggota polis di negeri itu, Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah dilaksanakan untuk pemantauan.
"Kita juga akan meningkatkan pelbagai kegiatan berunsur program kebajikan termasuk penglibatan warga polis bersama masyarakat," katanya. -utusanmalaysia

1 comment: