Search This Blog

Tuesday, November 1, 2016

Ajal ditimpa besi

Lelaki warga Bangladesh maut selepas ditimpa besi yang runtuh di sebuah kilang di Pusat Perindustrian Batu 29, Hulu Yam, tengah hari tadi. FOTO ihsan bomba
Amrullah Abdul Karim
am@hmetro.commy
Kuala Kubu Bharu: Pekerja lelaki warga Bangladesh maut selepas ditimpa besi yang runtuh di sebuah kilang di Pusat Perindustrian Batu 29, Hulu Yam di sini, tengah hari tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari ketika mangsa sedang bekerja sebelum tiba-tiba ditimpa besi konkrit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Kamil Hamadan berkata, bomba menerima panggilan jam 12.29 tengah hari dan sepasukan sembilan anggota ke lokasi.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Selayang," katanya.
Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Shahadat Kabir, 29.
Katanya, mayat diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 3:16 PM

Dua keluarga hilang tempat tinggal

KEDIAMAN yang terbakar. FOTO ihsan Bomba
Rokaid Chik
am@hmetro.com.my

Pasir Puteh: Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas dua rumah di Kampung Gong Garu, Jalan Jeram Linang, terbakar kira-kira 3.30 pagi tadi.
Dua kenderaan turut musnah dalam kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 3.33 pagi sebelum lima anggotanya diketuai Pegawai Bomba Mohamad Naim Mohamad ke tempat kejadian.
"Sebaik tiba, api marak membakar kediaman jenis separuh kekal itu dan turut memusnahkan dua kenderaan iaitu Toyota Unser dan Yamaha SS110.
"Tindakan segera diambil untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke dua lagi rumah yang berdekatan.
"Dan kita turut mendapat bantuan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Machang," katanya di sini,hari ini.
Azhar Elmi berkata, mangsa yang terbabit adalah suami isteri warga emas berusia 80 dan 75 tahun serta tiga beranak.
Katanya, operasi itu ditamatkan pada 7.17 pagi.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 3:51 PM

Dua cedera bas rempuh lori

KEADAAN bas yang terbabit kemalangan. FOTO Wan Asrudi Wan Hasan
Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Tapah: Pemandu dan penumpang bas cedera selepas kenderaan dinaiki merempuh belakang lori tangki di kilometer 330 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini, 5.30 pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira 500 meter dari simpang masuk Hentian Rehat & Rawat Tapah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan itu menyebabkan dua cedera.
Katanya, siasatan awal mendapati bas persiaran menghala ke selatan tidak lepas memotong lori tangki membawa muatan simen berkenaan lalu berlanggar belakang kanan kenderaan itu.
"Pemandu bas, Nur Azmi Mohd Nor, 50, cedera di kaki dan tulang rusuk manakala penumpang, Wan Nor Amni Wan Din, 22, yang parah di kepala dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.
"Sementara seorang lagi pemandu bas, 45, yang turut berada dalam kenderaan itu tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Difahamkan bas berkenaan dalam perjalanan dari Pasir Mas, Kelantan ke Tanjung Malim.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 12:17 PM

Bas Langgar Lori, Dua Cedera


Diterbitkan: Selasa, 1 November 2016 1:28 PM
KEADAAN bas persiaran yang rosak teruk selepas merempuh belakang lori semen di lebuh raya PLUS dekat Tapah pada 1 November 2016. - The Star

TAPAH: Dua cedera dengan seorang daripadanya parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan lori tangki di Kilometer 330, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Tapah di sini awal pagi Selasa.
Dalam kemalangan kira-kira 5.30 pagi itu, seorang penumpang wanita dikenali sebagai Wan Nor Amni Wan Din, 22, dan pemandu kedua bas, Nur Azmi Mohd Nor, 50, mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Som Sak Din Keliaw berkata Wan Nor Amni tidak sedarkan diri selepas cedera parah pada bahagian kepala, manakala Nur Azmi cedera pada bahagian kaki dan tulang rusuk.
Katanya kejadian berlaku ketika bas yang membawa 20 penumpang dari Kelantan menuju ke Tanjung Malim itu cuba memotong lori tangki yang membawa muatan simen tetapi gagal lalu melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut. 
"Penumpang lain, pemandu pertama bas dan pemandu lori tangki tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini.
Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tapah dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Dua buah rumah musnah terbakar


01 November 2016 1:56 PM


PASIR PUTEH 1 Nov. - Dua buah rumah di Kampung Gong Garu, Jalan Jeram Lin Ang, dekat sini, terbakar awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu berlaku ketika dua keluarga yang mendiami rumah tersebut sedang nyenyak tidur namun mereka berjaya menyelamatkan diri.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustafa berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan tetapi kesemua penguni tidak sempat menyelamatkan harta benda mereka termasuk dokumen penting.

“Kita menerima panggilan telefon pada pukul 3.33 pagi dan ketika tiba di tempat kejadian, api sedang marak.

“Operasi memadamkan kebakaran selesai sepenuhnya pada pukul 7.17 pagi,” katanya.

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran itu diketuai Pegawai Bomba, Mohamad Naim Mohamad bersama lima anggota yang turut dibantu oleh enam anggota lagi bomba dari Balai Bomba Machang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - UTUSAN ONLINE

Tiga individu ditahan kemuka tuntutan palsu RM400,000


01 November 2016 2:58 PM

ALOR SETAR 1 Nov. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang pegawai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dua kontraktor bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bagi kerja-kerja membabitkan utiliti Telekom Malaysia (TM) di bawah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit, Julai lalu.

Sumber daripada SPRM memaklumkan, ketiga-tiga individu lelaki berusia 30-an itu ditahan kira-kira 10 pagi tadi kerana mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran negeri dengan jumlah RM400,000 sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

"Kerja-kerja utiliti TM bernilai lebih kurang RM1.5 juta, daripada jumlah itu ada sejumlah RM400,000 kerja tidak dibuat tapi dituntut oleh kontraktor-kontraktor ini.

"Kontraktor buat tuntutan palsu iaitu pihak TM yang bertanggungjawab mengesahkan kerja-kerja tersebut telah membuat perakuan palsu kononnya kerja telah siap sedangkan sebaliknya," katanya.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai butiran palsu itu, atau denda RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad mengesahkan penahanan itu. - BERNAMA

Dua cedera bas persiaran langgar belakang lori


Bas rempuh belakang lori

KEADAAN bas ekspres yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan di KM330 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah awal pagi tadi.
 - BERNAMA
TAPAH 1 Nov. - Dua cedera dengan seorang daripadanya parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan lori tangki di Kilometer 330, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Tapah di sini awal pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira 5.30 pagi itu, seorang penumpang wanita dikenali sebagai Wan Nor Amni Wan Din, 22, dan pemandu kedua bas, Nur Azmi Mohd. Nor, 50, mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Supt. Som Sak Din Keliaw berkata, Wan Nor Amni tidak sedarkan diri selepas cedera parah pada bahagian kepala manakala Nur Azmi cedera pada bahagian kaki dan tulang rusuk.
Katanya, kejadian berlaku ketika bas yang membawa 20 penumpang dari Kelantan menuju ke Tanjung Malim itu cuba memotong lori tangki yang membawa muatan simen tetapi gagal lalu melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut.
"Penumpang lain, pemandu pertama bas dan pemandu lori tangki tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tapah dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Penunggang putus tangan motosikal rempuh lori

SELASA, 1 NOVEMBER 2016 @ 10:50 AM

Oleh Farah Suhaidah Othman bhnews@bh.com.my


Gambar keadaan mangsa yang terputus tangan seperti yang tersebar di media sosial.


CAMERON HIGHLANDS: Seorang lelaki Orang Asli putus tangan kanan selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori di Kilometer 64, Jalan Besar, Brinchang di sini, malam tadi. Dalam kejadian jam 7.25 malam itu, Sharil Yusof, 28, putus tangan kanan selepas motosikal jenis Honda C100 dinaiki merempuh lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan. Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid, berkata siasatan awal mendapati mangsa cuba memotong kenderaan lain di hadapannya namun gagal mengakibatkan motosikalnya bertembung dengan kenderaan berat yang dalam perjalanan dari Tanah Rata menghala ke Brinchang. "Akibat rempuhan itu, lelaki berkenaan terjatuh di atas jalan berturap di laluannya. "Hasil siasatan turut mendapati penunggang motosikal berkenaan menunggang dalam keadaan mabuk," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Beliau berkata, terdapat kesan tayar lori pada laluan di lokasi kejadian dan kesan itu tidak melebihi garisan berkembar. Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/208223

Bunuh, kerat mayat rakan sering pinjam wang




ANGGOTA polis membuat siasatan di sebuah rumah di Cipayung, lokasi mayat mangsa ditanam. - Detik.com


Jakarta: Seorang lelaki yang berang selepas rakannya sering meminjam wang bertindak memukul mangsa dengan batang besi hingga mati.

Lebih kejam lagi, suspek berusia 41 tahun tahun itu turut memotong mayat mangsa sebelum menanamnya di dalam sebuah bilik di rumah sewanya di sini.

Jurucakap polis Dedi Wahyudi berkata, kejadian berlaku 24 Oktober lalu di sebuah rumah di Bekasi apabila mangsa, Sopyan Lubis, 43, mahu meminjam wang daripada suspek.

“Kerana berang ekoran Sopyan sering meminjam wang, suspek bertindak memukul mangsa dengan sebatang besi hingga mati,” katanya.

Menurutnya, kerana panik, suspek meminta bantuan seorang rakannya untuk membawa mayat Sopyan ke sebuah rumah sewa di Cipayung.

“Sampai di rumah itu, kedua-dua suspek menggali lubang di sebuah bilik sebelum meletakkan mayat mangsa yang dipotong di dalamnya.

“Mereka kemudiannya menimbus lubang itu dengan simen bagi menutup perbuatan itu,” jelasnya.

Menurutnya, perbuatan lelaki itu terbongkar kelmarin selepas isteri seorang suspek curiga dengan perbuatan mereka dan membuat laporan polis. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 6:59 AM

Didakwa bunuh abang kekasih

Add caption

TERTUDUH diringi polis ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO Rozainah Zakaria


Zatul Iffah Zolkiply
Kuala Terengganu: Tukang rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan.

Tertuduh, Mohd Hafiz Mohamad, 29, dari Kampung Baloh, Manir, di sini mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Muhamad Shukri Husin, 34, di tempat letak kenderaan hadapan Pejabat Agama Kompleks Seri Iman, di sini, 11.39 pagi 16 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Abdul Hayyi menetapkan 4 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Minhad manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zain.

Akhbar sebelum ini melaporkan niat seorang lelaki membuka rahsia perkahwinan kekasih adiknya bagi mengelak adiknya dimadukan bertukar tragedi apabila mati ditikam di kawasan tempat letak kenderaan di Kompleks Seri Iman, di sini.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dengan enam kesan tikaman termasuk di leher dan dada kiri dipercayai menggunakan pisau oleh suspek.

Berita berkaitan:

• Semoga terima hukuman setimpal

• Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia....

• Maut ditikam bakal adik ipar [METROTV]
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 11:18 AM

Pasangan penyamun




SUSPEK yang ditahan terbabit dalam dua kes rompak di Kuching dan Padawan.


Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Kuching: Sepasang kekasih ditahan polis dalam tempoh 24 jam selepas melakukan dua rompakan di daerah ini dan Padawan, semalam.

Pasangan kekasih berusia 21 dan 24 tahun itu ditahan ketika mereka berada dalam sebuah Perodua Viva berhampiran pasar raya di Matang, Petra Jaya, di sini, jam 11.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, suspek terbabit dalam kes rompakan di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Song Thian Cheok, di sini, jam 4.15 petang kelmarin.

Menurutnya, perbuatan suspek dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai terbabit.

“Berdasarkan rakaman, suspek lelaki dengan bersenjatakan sabit menyerang pekerja premis, manakala teman wanitanya melarikan sejumlah RM1,284 wang dan dua telefon bimbit.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2016 @ 7:59 AM

Polis Kelantan Tangkap Tujuh Suspek Kes Rompakan Stesen Minyak


Diterbitkan: Isnin, 31 Oktober 2016 4:16 PM

KOTA BARU: Polis Kelantan menangkap tujuh suspek termasuk seorang wanita dipercayai anggota 'Geng Minyak' yang sebelum ini aktif melakukan aktiviti merompak stesen minyak di sekitar Bachok dan Kota Bharu sejak September lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata kesemua suspek berusia antara 18 dan 50 tahun itu ditahan dalam tujuh serbuan berbeza di Bachok dan Kota Bharu sejak Selasa hingga Khamis lepas.

"Serbuan pertama yang dilakukan di Bachok menemui dua lelaki dalam keadaan tergesa-gesa ke sebuah kereta di Kampung Tengah, Perupok pada pukul 4.30 petang dan hasil soal siasat membawa kepada penahanan lima suspek lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Din Ahmad di sini, Isnin.

Mengulas lanjut, Ab Rahman berkata pihaknya turut merampas 34 barangan seperti sepucuk pistol jenis Walther P99 dan satu magazin Walther P99 berisi 10 butir peluru hidup 9mm, sepucuk pistol jenis Walther CP88, silinder magazin yang mempunyai lapan lubang, sepasang gari, enam bilah pedang serta pelbagai peralatan pecah rumah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati jumlah kerugian yang dialami oleh beberapa stesen minyak berkenaan mencecah RM300,000 dan kesemua suspek direman sejak tarikh ditangkap sehingga Khamis ini di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan.

Katanya pihaknya akan memburu saki-baki anggota kumpulan berkenaan menerusi satu pasukan khas yang ditubuhkan sejak September lepas bagi menyiasat kes rompakan terhadap stesen minyak di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Ab Rahman berkata pihaknya menahan tiga lelaki dalam satu serbuan pada Jumaat lepas di sebuah rumah di Taman Uda di sini, kerana menjalankan perjudian dalam talian.

Ab Rahman berkata dalam serbuan kira-kira 11 malam itu pihaknya turut merampas satu set komputer, satu modem, tiga buah meja dan tiga buah kerusi yang digunakan suspek bagi menjalankan aktiviti haram itu.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek ditahan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka dan kesemua suspek direman selama lima hari bermula Jumaat lepas hingga esok.

Lelaki Disyaki Menyamar Polis Untuk Memeras Ditahan


Diterbitkan: Isnin, 31 Oktober 2016 9:34 PM

BACHOK: Seorang lelaki berusia 26 tahun yang disyaki terbabit dalam dua kes pemerasan dan curi motosikal sekitar Bachok sepanjang Oktober ini, ditahan dalam satu rondaan, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, suspek ditangkap kira-kira pukul 10 pagi selepas bergelut dengan polis apabila cuba melarikan diri ketika ditahan sewaktu menunggang motosikal di Kampung Panjang, Perupok. 
"Hasil siasatan, suspek yang juga seorang penganggur mengaku melakukan tiga kegiatan jenayah pada 10, 26 dan 27 Oktober lepas membabitkan dua kes pemerasan dan satu kes curi motosikal.
"Kita percaya suspek menjadikan golongan remaja sebagai mangsa dengan menyamar sebagai anggota polis selain menggunakan objek tertentu untuk mengugut sebelum merampas barangan berharga milik mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, di sini Isnin.
Mengulas lanjut, Nik Aminuddin berkata, pemeriksaan ke atas suspek turut menemukan enam peluru berwarna kuning yang diisi bebola besi dan tiga pil kuda dalam poketnya, selain sebatang besi menyerupai cota bersarung hitam. 
"Kami percaya semua peralatan itu digunakan suspek untuk menjalankan aktiviti pemerasan. Suspek dibawa ke IPD Bachok untuk siasatan lanjut," katanya.
Nik Aminuddin berkata, siasatan di kediaman suspek di Kampung Pantai Damak pula turut menemukan satu pistol mainan, satu kelopak pistol hitam dan satu komponen pistol mainan. 
Beliau berkata, pihaknya turut menemui kulit buku saku dengan lambang PDRM, dompet dan kad pengenalan mangsa, nombor plat motosikal yang belum terbakar sepenuhnya selain satu motosikal jenis Yamaha LC yang telah dileraikan di tempat pembakaran sampah hadapan rumah suspek. 
"Kami turut menemui satu telefon bimbit jenama iPhone selain satu motosikal jenis Kawasaki yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur pada 2013," katanya sambil menambah polis turut mempergiatkan usaha memburu tiga lagi rakan suspek yang dipercayai terbabit dalam aktiviti tersebut.
Suspek ditahan reman seminggu bermula Sabtu lepas bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan 379A Kanun Keseksaan, masing-masing kerana peras ugut dan mencuri. - Bernama

Tercampak, terduduk atas bumbung teksi



Wanita yang terbabit kemalangan dengan teksi tercampak dan terduduk di atas bumbung teksi. FOTO ihsan pembaca


Azahar Hashim
am@hmetro.com.my


Kulim: "Saya hairan di mana penunggang motosikal itu, namun ketika menoleh ke atas saya terpandang seorang wanita terduduk dia atas bumbung teksi saya.

 "Saya kemudian pergi ke arah wanita itu dan membantunya turun dari bumbung teksi selain melihat jika ada sebarang kecederaan dialami, namun wanita itu hanya memaklumkan sakit di bahagian tangan dan kaki serta masih trauma," kata pemandu teksi, L Rajendran,48.

Rajendaran adalah pemandu teksi yang terbabit kemalangan dengan motosikal ditunggang wanita berusia 50-an di persimpangan lampu isyarat Lebuhraya Butterworth-Kulim, di Jalan Lunas, petang tadi.

Berpantang maut sebelum ajal, wanita itu tercampak dan terduduk di atas bumbung teksi berkenaan. Kejadian itu mengejutkan pengguna jalan raya lain yang turut merakam gambar mangsa sebelum ‘viral’ di media sosial.

Rajendran berkata, ia pengalaman kemalangan paling mengejutkan, namun lega tidak membabitkan kecederaan atau kematian.

"Selepas terdengar bunyi dentuman kuat saya terus memberhentikan teksi dan bergegas keluar untuk mencari mangsa kemalangan.

 "Ketika itu saya ternampak sebuah motosikal terbalik di belakang teksi dan cuba mencari penunggangnya, sebelum terkejut apabila melihat seorang wanita dalam keadaan terduduk di atas bumbung teksi," katanya ditemui selepas membuat laporan di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, di sini, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 7:42 PM

Ganja satu tan dalam lori



Pemandu dan kelindan lori yang ditahan bersama bungkusan ganja yang dirampas.



Agensi
Jakarta: Pasukan Bahagian Pencegahan Dadah Polis Metro Jaya di sini, melumpuhkan sindiket pengedaran di ibu kota apabila merampas satu tan metrik ganja dalam sebuah lori.

Detik.com melaporkan Pengarah Narkotik Polis Daerah Metro Jaya John Turman Panjaitan berkata, sepasukan polis dari Bahagian Pencegahan Dadah menahan sebuah lori di pintu keluar Tol Jalan Lingkaran Luar Jakarta di Bambu Apus Cipayung, Jakarta Timur, kira-kira 8 malam tadi.

“Kami sudah satu minggu mengintip perjalanan lori itu. Ganja itu dibawa dari Aceh, perjalanan ke Jakarta selama satu minggu.

“Pemandunya diupah 20 juta rupiah (RM6,400) untuk satu perjalanan,” katanya.

Polis mendapati lori itu dipenuhi muatan ganja mampat dan polis turut menahan pemandu serta kelindan.

Pemandu lori itu memberi alasan hanya mengikut arahan pelanggannya dari Aceh yang meminta barangan dihantar ke Jakarta dan dia hanya mengambil upah penghantaran.

Pemandu dan kelindan lori yang masing-masing berusia 39 dan 44 tahun berasal dari Aceh, ditahan bagi siasatan lanjut.

Wilayah Aceh terkenal sebagai pusat tanaman pokok ganja secara haram dan baru-baru ini, polis memusnahkan 189 hektar ladang ganja di tiga daerah iaitu di Aceh Besar, Gayo Lues dan Nagan Raya.

Ladang-ladang ganja itu berada di hutan pergunungan dan tebing-tebing curam di kawasan pedalaman dan sukar untuk dilalui oleh orang awam dan pihak berkuasa.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 6:47 PM

Tiga remaja perempuan positif syabu




Pegawai AADK melakukan saringan air kencing dalam Operasi Sempadan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS). FOTO Amran Hamid



Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Bukit Kayu Hitam: Tiga remaja perempuan positif syabu ditahan ketika pemeriksaan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kompleks Kastam Imigresen dan kuarantin (KIK) di sini, tengah hari tadi.

Semua mereka berusia 19 tahun yang berasal dari Perlis itu adalah antara 51 orang daripada 249 yang ditahan di sempadan Malaysia-Thailand sejak operasi bermula Sabtu lalu.

Ketua Operasi AADK negeri Megat Rodzep Megat Teh berkata, operasi itu bertujuan untuk membanteras kegiatan penagihan dadah di sempadan berikutan musim perayaan.

Beliau berkata, kebanyakan ditahan adalah warga tempatan yang pergi ke Thailand hanya untuk berhibur dan mengambil pil khayal untuk lalok.

"Semua mereka yang ditahan dibawa ke pejabat kami di sini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"Daripada jumlah itu kami turut menahan 18 penagih termasuk remaja berusia 13 tahun di tiga port berasingan di kawasan lingkungan sempadan sepanjang tempoh operasi," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 5:48 PM

Enggan keluar kenderaan terbabas




ANGGOTA bomba terpaksa memujuk pemandu dalam kenderaan yang merempuh penghadang jalan. FOTO ihsan Bomba



Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my


Bintulu: Lelaki yang terbabit dalam kemalangan terpaksa dipujuk selama lima minit apabila enggan keluar dari kenderaannya yang terbabas di Jambatan Sungai Likau, Jalan Miri- Bintulu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, pemandu, Wong Kee Kang, 36, dipercayai trauma dan enggan keluar dari kenderaannya selepas terbabit dalam kemalangan itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Stephen Plen berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan 10.46 pagi berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba kemudiannya dikerahkan ke lokasi dan mendapati mangsa masih berada di dalam kenderaan berkenaan dan enggan keluar.

"Mangsa tidak tersepit, bagaimanapun, mangsa dipercayai trauma selain mengalami kecederaan di bahagian kaki membuatkannya enggan bergerak keluar dari kenderaannya.

"Anggota bomba kemudiannya terpaksa memujuk dan memberikan kata-kata semangat selama lima minit sehinggalah mangsa dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Bintulu untuk rawatan," katanya.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di kepala dan badan apabila kenderaanya yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh penghadang jalan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 7:29 PM

Ajal ngeri penjual ikan cetus kemarahan rakyat Maghribi


REUTERS - JENAZAH Mouhcine diusung dalam satu majlis pengebumian di Al-Hoceima kelmarin.


AL HOCEIMA, Maghribi – Beribu-ribu orang menghadiri majlis pengebumian seorang penjual ikan yang mati dalam keadaan mengerikan di dalam mesin pengisar sebuah lori sampah sehingga mencetuskan kemarahan rakyat negara Afrika Utara itu.
Mouhcine Fikri, 31, mati pada Jumaat lalu di dalam lori majlis perbandaran Al-Hoceima ketika mangsa membantah tindakan kakitangan majlis perbandaran yang menyita dan memusnahkan barang jualannya.
Sekeping gambar menunjukkan mangsa dalam keadaan kepala dan lengan terjulur dari bawah mesin pengisar lori itu menjadi viral di media sosial. Imej itu membangkitkan kemarahan dan bantahan rakyat di seluruh negara termasuk di ibu kotanya, Rabat.
Siaran rakaman dalam talian menunjukkan beribu-ribu orang mengiringi ambulans yang membawa jenazah Mouhcine di Al-Hoceima kelmarin.
Menteri Dalam Negeri, Mohamed Hassad mengutuk insiden itu dan berjanji akan menyiasat dan menghukum mereka yang bertanggungjawab.
“Tiada siapa berhak melayan dia seperti ini,” katanya tanpa menjelaskan tentang bagaimana mangsa meninggal dunia.
Namun, seorang aktivis hak asasi manusia memberitahu agensi berita AFP bahawa pihak berkuasa memaksa peniaga ikan itu memusnahkan beberapa kotak berisi ikan todak kerana haiwan itu dilindungi.
“Barangan ini amat berharga,” kata Fassal Aoussar daripada Persatuan Hak Asasi Manusia Maghribi.
“Peniaga ikan itu melompat ke dalam mesin pengisar itu untuk menyelamatkan barangannya,” kata Fassal. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4OiAyNoDP 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki disyaki menyamun ditahan


saspek

Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah (dua, kanan) meninjau motosikal yang dirampas di rumah suspek di IPD Bachok, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
BACHOK 31 Okt. - Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga kes samun di daerah ini sepanjang bulan ini di Kampung Panjang, Perupuk dekat sini, kelmarin.
Ketika ditahan kira-kira pukul 10 pagi itu, suspek yang berusia 26 tahun sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, suspek juga bergelut dengan anggota polis untuk melepaskan diri namun berjaya ditahan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal, pihaknya menemukan sepucuk pistol mainan, enam butir kelongsong peluru, dua biji pil Eramin-5 dan sebiji pil kuda dalam kocek seluar suspek.
“Pemeriksaan yang dibuat ke atas motosikal yang ditunggangnya menemukan sebatang rod besi yang menyerupai cota berwarna perak dan bersarung hitam.
“Semakan nombor enjin motosikal mendapati kenderaan itu adalah milik seorang mangsa yang melaporkan kehilangan pada 27 Oktober lepas.
“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek terbabit positif dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Bachok, dekat sini hari ini.
Nik Aminuddin berkata, hasil pemeriksaan di rumah suspek mendapati, lelaki yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu menyimpan sebuah kulit buku saku yang tertera lambang Polis Diraja Malaysia dan komponen pistol mainan.
Tambahnya, suspek dikatakan menggunakan kulit buku tersebut dan pistol mainan untuk memeras ugut mangsa.
“Lelaki itu ditahan reman sehingga 5 November ini bagi menyelesaikan siasatan kes di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 serta Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Kes gaduh: Seorang lagi adik mangsa bunuh ditahan


IPOH 31 Okt. – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kelindan lori yang terbunuh selepas bergaduh dengan adik lelakinya di Jalan Permai 2 dekat Padang Rengas, semalam.
AHMAD TERMIZI
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd. Haq berkata, lelaki berusia 41 tahun yang juga merupakan adik mangsa ditahan di lokasi kejadian pada pukul 5 petang.
Katanya, lelaki yang bekerja ladang di Johor itu ditahan reman sehingga Ahad ini untuk disoal siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek kedua berada di rumah tersebut semasa kejadian berlaku. Dia dan suspek pertama yang berusia 39 tahun, yang juga merupakan adiknya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian pa­da pukul 9.30 ma­lam kelmarin, K. Gopal, 42, maut selepas mengalami kecede­raan parah di leher ekoran terkena serpihan pinggan kaca yang dilemparkan adik lelakinya berusia 39 tahun.
Kejadian tersebut didakwa berpunca daripada pertengkaran antara dua beradik itu selepas mangsa yang pulang ke rumah dalam keadaan mabuk membuat bising ketika suspek sedang makan di ruang tamu rumah ke­luarga mereka.
Dalam kejadian itu, mangsa bertindak me­­nampar adiknya se­hing­ga mengakibatkan ping­gan kaca yang digu­nakan suspek pe­cah­ sebelum lelaki itu bertindak balas dengan membaling serpihan pinggan tersebut ke arah abangnya.
Serpihan pinggan terkena leher mangsa menyebabkan berlaku pendarahan sebelum dia disahkan mati di tempat kejadian.