Search This Blog

Sunday, October 23, 2016

Samun di Marang, tangkap di Selangor

Samun di Marang, tangkap di Selangor [METROTV] | Harian Metro:









Zatul Iffah Zolkiply

am@hmetro.com.my





Marang: Dua lelaki dikenali sebagai Geng Mat Mi yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah dan mencuri dua kereta membabitkan kerugian RM230,000 di Taman Aquarius di sini, 15 Oktober lalu, berjaya ditahan polis Selangor di kawasan kios Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Selasa lalu.



Dua suspek berusia 24 dan 39 tahun itu ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya ketika menaiki kereta curi jenis Toyota Hilux kira-kira jam 6.30 petang.



Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, dua suspek itu memecah masuk sebuah rumah di Taman Aquarius di sini, pada 5.46 pagi, 15 Oktober lalu, dan melarikan pelbagai barangan berharga serta dua kereta iaitu Mercedes Benz dan Toyota Hilux membabitkan kerugian RM230,000.



Katanya, kereta Mercedes Benz itu berjaya dikesan berhampiran Plaza Tol Kuantan kira-kira jam 1 petang pada hari sama dan dua suspek meninggalkan kenderaan itu di satu kawasan pembinaan di Gambang selepas dikejar polis peronda.



"Namun, polis Selangor berjaya menahan dua suspek itu di kawasan kios MPSJ kira-kira jam 6.30 petang Selasa lalu, bersama Toyota Hilux dan beberapa barangan berharga lain termasuk wang tunai RM4,990, telefon bimbit dan komputer riba milik seorang kontraktor berusia 48 tahun.



"Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan dua suspek itu mempunyai kaitan dengan sindiket curi kereta mewah.



"Dua suspek yang positif dadah jenis amphetamine itu kini direman sehingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah rumah dan Seksyen 379AKK kerana curi kenderaan bermotor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 5:57 PM

'via Blog this'

Lelaki maut bertembung

Lelaki maut bertembung | Harian Metro:



 

KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba







Mohd.Rizal Abdullah

Mohd.rizal@hmetro.com.my.



Miri: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah Proton Saga dalam kemalangan di Jalan Pesisir Pantai berhampiran Kampung Beraya Lama di sini, pagi tadi.



Dalam kejadiam pada jam 8.50 pagi itu, mangsa, Chong Fui Ching yang memandu Proton Myvi disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.



Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.55 pagi berhubung kejadian itu.



Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri dikerahkan ke lokasi dan mendapati mangsa dalam keadaan tersepit dan disahkan meninggal dunia.



"Pemandu dan penumpang Proton Saga hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 2:04 PM

'via Blog this'

Maut rempuh penghadang jalan

Maut rempuh penghadang jalan | Harian Metro:



 

Keadaan motosikal mangsa yang tersadai di tepi jalan. - Foto Ihsan Pembaca







Zatul Iffah Zolkiply

am@hmetro.com.my





Marang: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut apabila motosikal ditunggangnya hilang kawalan merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 23.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Kelulut, di sini, hari ini.



Dalam kejadian 8.55 pagi itu, Yusni Saleh,39, dari Taman Medan Jaya, Rusila yang bekerja sebagai pemandu lori kontena, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di badan.



Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan.



Katanya, setiba di tempat kejadian, motosikal Yamaha YZF R1 ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan.



"Pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.



"Mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 5:54 PM

'via Blog this'

19 pekerja telaga minyak terbunuh

Global | Harian Metro:



 

GAMBAR menunjukkan keadaan bangkai helikopter yang terhempas di satu kawasan terpencil di Siberia, Russia, kelmarin. - EPA



AFP

Moscow: Seramai 19 orang maut kelmarin selepas sebuah helikopter yang membawa pekerja telaga minyak dan gas terhempas di kawasan terpencil di Siberia, kata pegawai penyiasat semalam.



Helikopter jenis Mi-8 itu membawa 22 penumpang termasuk tiga kru apabila ia terhempas pada malam kelmarin di utara jauh wilayah Yamalo-Nenetsky



Gambar yang disiarkan oleh pihak berkuasa menunjukkan helikopter itu pecah kepada beberapa bahagian dan terbalik di satu kawasan padang bersalji.



Pasukan penyelamat berkata, kabus dan tahap penglihatan yang buruk menjejaskan operasi mengesan helikopter berkenaan serta misi menyelamat.



Jawatankuasa penyiasat dalam satu kenyataan memberitahu, semua mangsa maut di tempat kejadian manakala penumpang yang cedera dibawa ke hospital.



Ketika kejadian, helikopter itu dalam penerbangan dari sebuah telaga minyak dan gas di Krasnoyarsk menuju ke kawasan penempatan kecil di Urengoi.



Bangkai pesawat itu berjaya dikesan oleh sebuah lagi helikopter yang membawa pasukan penyelamat dan paramedik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 5:09 AM

'via Blog this'