Search This Blog

Tuesday, October 11, 2016

Tiga maut, lapan cedera



Kenderaan yang terbabit kemalangan di Jalan Masai Lama, Masai, malam tadi. FOTO ihsan bomba


Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Tiga maut, manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Masai Lama, Masai di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 9.10 malam itu, Perodua Myvi dan Toyota Avanza bertembung antara satu sama lain menyebabkan tiga maut termasuk kedua-dua pemandu kenderaan terbabit.


Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, mereka yang maut adalah pemandu Toyota Avanza, Hamidi Mohd Nor, 50; pemandu Perodua Myvi, M Viswanaath, 26; dan seorang penumpang Perodua Myvi, G Premkumar, 19.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Avanza yang datang dari arah bertentangan.

"Semua mangsa termasuk yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, untuk rawatan lanjut.

"Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Difahamkan, lapan mangsa yang cedera ialah enam penumpang Toyota Avanza, Miskiah Satar, 44; Nurhaziqah Hamidi, 12; Muhammad Nur Haikal Hamidi, 9; Mohd Nur Hakim, 16; Mohd Hafiz Hamidi, 17; dan Ain Maisarah Suhaimi, 12.

Manakala, dua lagi yang cedera ialah penumpang Perodua Myvi, M Sargunam, 18; dan K Stevenraj, 26.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 10:33 AM

Marah lamaran ditolak


Junaidi Ladjana & Mohd Ruzaini Zulkepli
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Gadis pekerja pusat kecantikan yang ditemui mati, Ahad lalu, di bilik tempat kerjanya di Tanjung Aru, di sini, dipercayai dibunuh.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian atas gusi selain tulang hidung patah dan satu gigi tercabut akibat dihentak benda tumpul.

"Hasil bedah siasat juga mendapati punca kematian mangsa disebabkan dicekik oleh suspek.

"Berdasarkan daripada maklumat yang diperoleh, polis berjaya menahan dua suspek dalam tangkapan berasingan di Kota Kinabalu," katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, motif awal kejadian ini disebabkan ketidakpuashatian suspek ke atas mangsa selepas lamarannya ditolak dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ahad lalu, Harian Metro, melaporkan seorang gadis pusat kencantikan ditemui mati dalam keadaan terbaring dengan mulutnya berdarah di tempat kerjanya di sebuah premis, Tanjung Aru.

Jasad Norfazlina Abantas, 20, ditemui pengurus pusat spa berkenaan, pada 11.38 pagi, hari kejadian, selepas dihubungi seorang daripada pekerjanya.

M Chandra, ketika itu dipetik berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian tiada kesan selongkar atau geledah dan kematian ketika diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 10:41 AM