Search This Blog

Sunday, October 9, 2016

Jangan ganggu siasatan SPRM


9 OKTOBER 2016
Rampasan terbesar RM114.5 juta di Kota Kinabalu

Rampasan terbesar RM114.5 juta di Kota Kinabalu Antara wang yang berjaya dirampas
KOTA KINABALU - Tidak ada pihak harus mencampuri atau dilihat mencampuri siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemberian projek infrastruktur asas bernilai RM3.3 bilion di Sabah.

Dalam satu kenyataan, bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihak-pihak berkenaan tidak wajar membuat sebarang kenyataan umum atau pengakuan tidak bersalah agar tidak berlaku tolak ansur terhadap integriti siasatan SPRM.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rampasan terbesar RM114.5 juta di Kota Kinabalu]

Mengenai kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan tentang pemberian projek infrastruktur asas, Shafie berkata:

"Adalah agak pelik dan jenaka melihat pihak berkuasa negeri tergesa-gesa mengaku tidak bersalah secara umum dan mengalihkan kesalahan kepada Kementerian Kemajuan Luar bandar dan Wilayah, sedang siasatan SPRM masih berjalan.

"Ini menyebabkan saya memberi respons terhadap kenyataan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berhubung pemberian projek bernilai RM3.3 bilion yang berkaitan penangkapan dua pegawai kanan kerajaan negeri baru-baru ini.

"Dinyatakan bahawa projek itu diberikan pada 2010 semasa penggal saya sebagai Menteri yang tertanggungjawab terhadap Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Ia juga menunjukkan bahawa projek itu tidak dikendali oleh kementerian saya," kata Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna. - Bernama

Pensyarah UiTM Dijumpai Mati Di Bilik Fakulti


Diterbitkan: Sabtu, 8 Oktober 2016 8:53 PM

SHAH ALAM: Seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, dijumpai mati di dalam bilik Fakulti Sains Gunaan universiti itu, pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata, dalam kejadian 2.30 pagi, mangsa, Prof Madya Dr Zaini Hamzah, 61, ditemui dalam keadaan terbaring dengan pintu bilik itu berkunci.
"Polis bantuan (universiti) mendapat maklumat daripada pihak universiti terdapat pensyarah yang terperangkap dalam bilik itu dan anggota (polis) bertugas telah pergi ke lokasi kejadian dan dapati bilik tersebut berkunci.
Anggota kemudian memecah masuk melalui syiling dan telah menemui seorang lelaki dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Shafien berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan siasatan awal menunjukkan mangsa meninggal dunia disebabkan sakit jantung.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM Profesor Emeritus, Datuk Dr Hassan Said menyifatkan Zaini sebagai seorang pensyarah yang berdedikasi  dan pemergiannya merupakan kehilangan besar kepada universiti itu dan dunia pendidikan. 
"Salam takziah kepada keluarga Allahyarham," katanya dalam kenyataan di sini. - Bernama

Hampir 900 maut di Haiti



KEADAAN di Jeremie, Haiti, semalam, selepas dibadai taufan Matthew, Selasa lalu.



Agensi
Port-Au-Prince: Taufan Matthew meragut hampir 900 nyawa dan menyebabkan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal di Haiti awal minggu ini sebelum ia bergerak ke arah utara semalam, membadai pesisir pantai tenggara Amerika Syarikat, menyebabkan banjir serta memutuskan bekalan elektrik di banyak kawasan.

Jumlah kematian di Haiti, negara paling miskin di benua Amerika, meningkat kepada 877 apabila maklumat mengenai kemusnahan di kawasan pedalaman yang sebelum ini terputus mula diterima.

Matthew membadai semenanjung barat Haiti Selasa lalu dengan membawa angin kencang selaju 233 kilometer sejam dan hujan lebat.

Pegawai berkata, kira-kira 61,500 masih lagi berada di tempat perlindungan selepas ribut dan hujan lebat memusnahkan perkampungan tepi pantai negara itu yang sebahagiannya baru semalam dapat dihubungi.

Sekurang-kurangnya tiga bandar di kawasan bukit dan pantai bahagian barat negara itu melaporkan puluhan penduduknya terbunuh.

Di Chantal, sebuah kampung pertanian, 86 orang mati, kebanyakannya selepas rumah mereka dihempap pokok yang tumbang.

Usaha menghantar bantuan ke kawasan yang paling teruk terjejas sukar dilakukan kerana banjir. Makanan terlalu sedikit dan sekurang-kurangnya tujuh orang mati akibat taun, kemungkinan besar disebabkan air banjir bercampur dengan air kumbahan.

Di Amerika Syarikat, sebahagian bandar bersejarah di selatan negara itu berdepan dengan taufan berkenaan yang semakin lemah tetapi tetap berbahaya.

Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh di Florida akibat taufan itu dan lebih sejuta kediaman dan premis perniagaan terputus bekalan elektrik walaupun angin paling kencang itu hanya membadai kawasan pesisir pantai.

Pusat Taufan Kebangsaan Amerika meramalkan, Matthew yang kini dalam Kategori Dua, akan tiba di Carolina Utara malam ini (waktu tempatan).

Matthew dianggap taufan paling kuat mengancam kawasan Atlantik dalam tempoh lebih 10 tahun.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:05 AM

Rakyat Jepun mati kerana kerja


KAJIAN mendapati rakyat di Jepun terlalu banyak menghabiskan masa untuk bekerja sehingga menjejaskan kesihatan mereka. – Gambar hiasan


TOKYO – Satu daripada lima pekerja di Jepun berdepan risiko kematian disebabkan bekerja secara berlebihan, menurut kaji selidik terbaharu oleh kerajaan negara itu.
Ratusan kematian yang berpunca daripada bekerja terlalu kuat itu termasuk angin ahmar, serangan jantung dan bunuh diri yang dilaporkan berlaku setiap tahun di Jepun.
Selain itu, beberapa masalah kesihatan serius akibat corak be­kerja seperti itu turut dilaporkan dan mengundang gesaan serta tindakan undang-undang untuk mengatasi masalah terbabit.
Kaji selidik kerajaan itu merupakan sebahagian daripada kertas laporan ‘karoshi’ atau mati akibat kerja kuat yang disokong Kabinet Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pada Jumaat lalu.
Kebanyakan pekerja di Jepun masih menghabiskan banyak masa untuk bekerja di pejabat berbanding tenaga kerja di negara-negara maju.
Menurut kaji selidik tersebut, sebanyak 22.7 peratus syarikat yang ditinjau antara bulan Di­sember 2015 dan Januari 2016 menunjukkan sebahagian pekerja mencatat masa kerja tambahan lebih 80 jam sebulan.
Laporan itu juga mendedahkan kira-kira 21.3 peratus pekerja yang bekerja pada purata 49 jam atau lebih seminggu, iaitu lebih 16.4 peratus berbanding Amerika Syarikat, Britain (12.5 peratus) dan Perancis (10.4 peratus).
Kaji selidik itu juga merumuskan, pekerja Jepun mengadu mengalami tekanan tinggi akibat kerja dan menggesa pihak berkuasa untuk mengarahkan syarikat membaiki persekitaran kerja. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4MXa6Zu2z 
Hakcipta terpelihara 

877 maut dibadai Taufan Matthew


GAMBAR yang dirakam dari udara kelmarin menunjukkan kerosakan teruk yang dialami di Jeremie, barat Haiti selepas dilanda Taufan Matthew. - AFP


PORT-AU-PRINCE, Haiti – Taufan Matthew mengakibatkan 877 orang maut dan puluhan ribu lagi hilang tempat tinggal di Haiti awal minggu ini, sebelum bera­lih menuju ke kawasan tenggara berhampiran perairan Amerika Syarikat (AS) semalam.
Ketibaan bencana alam di AS itu sekali gus mengakibatkan berlaku banjir, manakala bekalan elektrik dilaporkan terputus.
Jumlah kematian di Haiti, sebuah negara miskin, melonjak kepada 877 orang pada Jumaat lalu, demikian menurut maklumat daripada pihak berkuasa kepada agensi berita Reuters.
Taufan Matthew turut mengakibatkan pemindahan besar-besaran penduduk di kawasan pantai AS iaitu dari Florida hingga Georgia dan South Carolina hingga North Carolina.
Presiden AS, Barack Obama meminta orang ramai supaya tidak leka dan mematuhi peraturan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“Potensi kejadian ribut, kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda yang teruk akan berlaku,” kata Obama kepada pemberita selepas menghadiri taklimat bersama pegawai-pegawai pengurusan kecemasan.
Taufan Matthew disifatkan sebagai bencana alam paling teruk melanda AS selepas Superstorm Sandy yang berlaku kira-kira empat tahun lalu.
Taufan Matthew memusnahkan semenanjung barat Haiti pada Selasa lalu dengan hujan lebat dan angin kencang 233 kilometer sejam (km/j).
Setakat ini, seramai 61,500 orang terpaksa tinggal di pusat-pusat perlindungan, manakala sekurang-kurangnya tiga buah bandar di kawasan bukit dan pantai Haiti melaporkan puluhan penduduk di situ maut.
Datuk Bandar Chantal berkata, terdapat 86 orang terbunuh dengan kebanyakan mereka maut apabila rumah ditimpa pokok tumbang.
Sebanyak 20 lagi penduduk masih hilang di sebuah perkampungan pertanian.
Taufan Matthew yang tiba pantai Florida dengan angin selaju 195 km/j pula hanya menyebabkan sekurang-kurang­nya empat kematian.
Pusat Taufan Kebangsaan AS (NHC) menurunkan skala intensiti taufan taufan itu kepada Kategori 2 selepas kelajuan angin merosot kepada 177 km/j. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4MXZEskrZ 
Hakcipta terpelihara 

Kehilangan tukang rumah terjawab

Oleh SHARKAWI LONDING



Mayat Anuar ditemui terbaring di tepi jalan sebuah ladang kelapa sawit Jalan Batu 3, Jalan Paloh-Yong Peng, Batu Pahat kelmarin.


JOHOR BAHRU – Misteri kehilangan seorang tukang rumah sejak dua hari lalu terjawab apabila lelaki itu ditemui mati de­ngan tiga kesan tetakan pada kepala dan tangan di tepi jalan sebuah ladang kelapa di Jalan Batu 3 berhampiran Jalan Paloh-Yong Peng, Batu Pahat dekat sini kelmarin.
Mangsa, Anuar Abd. Shokor, 50, ditemui orang awam dalam keadaan terbaring dan masih lengkap berpakaian pada pukul 12.20 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahid Musa berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati, tiada kesan pergelutan dan senjata dijumpai.
Menurutnya, polis percaya lelaki terbabit dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke kawasan berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz4MXZ2CRDE 
Hakcipta terpelihara 

Penjahat mati ditembak polis

Oleh SAHLIZAH MOHAMED



TIAN KEE menunjukkan pistol yang dirampas daripada seorang penjenayah yang mati ditembak pada sidang akhbar di Ipoh semalam.


IPOH – Seorang penjenayah yang paling dikehendaki bertemu buku dengan ruas apabila dia mati selepas berbalas tembak dengan polis dalam kejadian di Simpang Lima berhampiran Pekan Gurney menuju ke Sitiawan semalam.
Kejadian pada pukul 3.15 pagi itu berlaku apabila polis menerima maklumat mengenai sebuah kereta Proton Waja dipandu suspek berusia 29 tahun itu dalam keadaan mencurigakan di pekan Ayer Tawar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Gan Tee Tian Kee berkata, terkejut dengan kehadiran polis, suspek kemudian terus memecut ke arah Simpang Lima walaupun telah diarahkan untuk berhenti.
Katanya, ketika cuba me­larikan diri, kereta suspek te­lah terbabas ke kiri jalan sebaik tiba di satu selekoh menyebabkan suspek keluar dan terus melepaskan tembakan ke arah polis.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz4MXYo1QM2 
Hakcipta terpelihara 

Bapa dakwa Nurul Wafiqah pernah dibuli di asrama


09 Oktober 2016 12:15 AM




KLANG 8 Okt. – Seorang pelajar perempuan Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin, Sungai Bertih dekat sini, Nurul Wafiqah Mohd. Haidzer, 15, yang dilaporkan hilang selepas tamat sesi persekolahan pada Selasa lalu didakwa pernah dibuli oleh pelajar lain di asrama sekolah terbabit.

Ayah mangsa, Mohd. Hai­d­zer Shafie, 48, mendakwa, anak bongsu daripada enam beradik itu yang tinggal di asrama seko­lah terbabit pernah mengadu kepadanya beberapa bulan lalu yang dia dibuli oleh rakan-rakannya di sekolah berkenaan.

“Saya juga pernah mengadu kepada pihak sekolah berkenaan hal itu, tetapi tiada sebarang maklum balas balas diberikan kepada saya sama ada perkara itu sudah selesai atau belum.

“Mungkin sebab itu dia tidak suka tinggal di asrama terbabit dan bertindak keluar tanpa penge­tahuan keluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Nenas, Meru, di sini hari ini.

Dalam kejadian Selasa lalu, Nurul Wafiqah sepatutnya pulang ke asrama selepas selesai sesi persekolahan kira-kira pukul 2.30 petang tetapi berdasarkan rakaman litar tertutup (CCTV) di pagar sekolah berkenaan mendapati pelajar tingkatan tiga itu dilihat keluar bersama pelajar lain di pintu utama sekolah dan menghilangkan diri sehingga kini.

Mengulas lanjut, Mohd. Haidzer memberitahu, pihaknya juga terkilan dengan tindakan pihak sekolah yang lambat memaklumkan kehilangan anaknya itu.

“Kami hanya tahu tentang kehilangan itu daripada adik seorang guru sekolah berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi keesokan harinya iaitu selepas kira-kira 18 jam dia hilang,” ujarnya.

Katanya, laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada pukul 2 petang hari yang sama.

Tambahnya, seluruh ahli keluarganya kini amat risau tentang kehilangan anak bongsunya itu dan berharap Nurul Wafiqah dalam keadaan selamat serta cepat pulang ke pangkuan keluar­ganya.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh meng­hubungi saya di nombor 019-6119268, 019-3465643 atau 018-3997411,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Da­erah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan sedang dijalankan untuk mengesan remaja itu.