Search This Blog

Friday, October 7, 2016

Suspek Kumpul 19kg Barang Kemas Cecah RM3.64 Juta - SPRM


Diterbitkan: Jumaat, 7 Oktober 2016 2:12 PM

Sebahagian barang kemas dan wang tunai bernilai lebih RM50 juta yang dirampas SPRM yang dirampas ketika sidang media mengenai kes salahguna kuasa membabitkan empat lelaki, termasuk pegawai berjawatan pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan negeri pada 5 Oktober lalu. - BERNAMA

PETALING JAYA: Sembilan belas kilogram (kg), itulah jumlah timbangan pelbagai barang kemas milik dua suspek penjawat awam yang rampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), awal minggu ini.
Nilai keseluruhannya mencecah sebanyak RM3.64 juta selepas melalui proses timbangan dan penilaian selama hampir dua jam dengan kerjasama pakar penilai barang kemas dari Bank Rakyat.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata, proses menilai barang kemas itu bermula pukul 10.30 pagi dan selesai pada kira-kira 12.15 tengah hari, Jumaat.
"Berat barang kemas milik suspek berjawatan pengarah adalah 14.4kg yang bernilai RM2.74 juta, manakala bagi timbalannya pula melibatkan barang kemas seberat 4.8kg yang dianggarkan sekitar RM900,000.
"Kesemua barang kemas ini dijumpai di kediaman kedua-dua suspek, selain barang kemas milik timbalan pengarah yang dijumpai di dalam empat peti simpanan deposit," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Jumaat.

Menurut Azam, selain barang kemas berkenaan, nilai kenderaan mewah yang disita melibatkan kedua-dua suspek pula mencecah RM1.6 juta.
Setakat ini, empat suspek termasuk dua pegawai kanan jabatan kerajaan di Sabah ditahan reman selama seminggu kerana disyaki terlibat menyeleweng projek awam mencecah RM3.3 bilion.
Dua lagi individu bergelar Datuk yang juga abang kepada timbalan pengarah jabatan itu yang berusia 55 tahun, dan seorang akauntan berusia 50 tahun.
Lebih 38 syarikat adik beradik dua suspek utama dipercayai terlibat dalam kegiatan ini dengan pengarah dan timbalan pengarah berkenaan dikatakan telah mengumpul harta mencecah RM50 juta hasil penyalahgunaan kuasa yang dipercayai bermula sejak 2010.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan, nilai rampasan melibatkan kedua-dua suspek melebihi RM114.5 juta yang diperoleh daripada suspek dan keluarga mereka termasuk wang tunai RM52 juta, selain RM60 juta lagi dalam akaun bank yang telah dibekukan.

Suami isteri didakwa rompak kedai emas


7 OKTOBER 2016

mahkamah

GEORGETOWN - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak lima utas rantai emas bernilai RM12,000, bulan lepas.

J.Sony Liston, 43, dan isterinya M.M Yagambaresvary, 31, didakwa bersama-sama merompak lima utas rantai emas itu di Kedai Ghaik Soon, Lebuh Tek Soon di sini pada kira-kira 2.15 petang, 1 September lepas.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sony melalui peguamnya, memohon jaminan rendah kerana hanya menjual cendol serta baru selesai menjalani pembedahan jantung selain perlu menyara ibunya yang lumpuh.

Hakim Irwan Suaibon membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Irwan turut memerintahkan pasangan suami isteri itu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap sebulan serta pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 9 Nov untuk sebutan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Sook Sin. - Bernama

Lelaki bawa 200 paket heroin ditahan


7 OKTOBER 2016

pdrm
GEORGETOWN - Seorang lelaki disyaki pengedar dadah ditahan di sebuah flat di Paya Terubong di sini, dan polis turut merampas 200 paket heroin daripadanya, semalam.

Lelaki berusia 53 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah itu ditahan dihadapan rumahnya pada jam 12.30 tengah hari dan hasil pemeriksaan polis menemui 200 paket plastik berisi serbuk dan ketulan dadah di dalam kotak yang dibawanya.

"Dadah seberat 420 gram itu bernilai RM12,600. Polis percaya ia baru selesai dibungkus untuk dihantar kepada pelanggan," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata polis percaya lelaki yang merupakan anggota sindiket  pengedaran dadah di Pulau Pinang itu mendapat bekalan dalam kuantiti besar sebelum membungkusnya semula dan menjualnya dengan harga RM50 setiap paket.

Lelaki yang positif dadah itu dipercayai aktif dalam pengedaran dadah di sekitar negeri ini sejak enam bulan lepas, katanya.

Sementara itu, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun parah manakala rakannya yang berusia 13 tahun cedera ringan selepas dipukul dan disamun di Taman Lip Sin di sini, semalam.

Mior Faridalatrash berkata pelajar tingkatan satu dan remaja yang tidak lagi bersekolah itu dilapor ditarik ke dalam sebuah kereta dinaiki enam lelaki ketika berjalan di kawasan tersebut pada jam 1.41 tengah hari.

"Mereka dipukul dan lelaki-lelaki terbabit turut menyamun jam tangan dan rantai leher seorang daripada remaja itu sebelum meninggalkan mereka di tepi jalan di kawasan sama," katanya.

Beliau berkata polis telah mengenal pasti enam lelaki berusia 20-an yang disyaki terbabit dalam kejadian itu dan usaha memburu mereka giat dijalankan.

Remaja yang parah itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang, katanya. - Bernama

Tiga sekeluarga didakwa dagang dua kanak-kanak


7 OKTOBER 2016
Mahkamah

Mahkamah
KUALA LUMPUR - Tiga sekeluarga warganegara Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang, di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan dua kanak-kanak senegaranya, bulan lepas.

Yunus Bai, 49; dan isterinya, Juma Bi, 43; dan anak perempuan mereka, Sufia, 16; mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Pasangan suami isteri yang tidak bekerja itu dan anak mereka didakwa bersama-sama telah memperdagangkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun bagi maksud eksploitasi di Pangsapuri Seri Nilam, Bandar Baru Ampang, di sini pada 1 pagi, 26 September lepas.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama telah memperdagangkan seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun bagi maksud eksploitasi di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Shamsiah Noor Zakaria tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan ketiga-tiga tertuduh adalah warganegara asing.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin dan menetapkan 9 November untuk sebutan semula kes. - Bernama

Dua penunggang motosikal maut


MOHD TAHA YAACOB
7 OKTOBER 2016
Dua penunggang motosikal maut

Dua penunggang motosikal maut Mayat Ahmad Luqman ditutup oleh orang ramai sebelum di bawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat.
BESUT - Dua penunggang motosikal maut dalam dua kejadian berasingan masing-masing  di Bukit Kenak, Jerteh dan Kampung Bekok, Hulu Besut di sini semalam.

Kejadian kira - kira 10.15 malam di Bukit Kenak itu membabitkan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering, Ahmad Luqman Hakim  Zailani, 17 yang juga merupakan calon yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula November depan.

Ahmad Luqman maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai melanggar belakang sebuah treler yang keluar daripada kilang padi di Bukit Kenak.

Sebelum kejadian mangsa menghadiri solat hajat sempena menghadapi SPM di sekolahnya yang terletak kira - kira 1 kilometer daripada tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara  itu kata beliau, dalam kemalangan di Kampung Bekok, Bukit Payong pada jam 1.30 petang semalam melibatkan dua buah motosikal yang datang dari arah sama.

"Salah seorang penunggang, Fauzi Mat Ali, 70, disahkan meninggal dunia jam 8.17 malam hari yang sama ketika menerima di Hospital  Besut," katanya.

Murid beritahu ibu bapa tidak bangun, rupanya...


7 OKTOBER 2016
Murid beritahu ibu bapa tidak bangun, rupanya...

Murid beritahu ibu bapa tidak bangun, rupanya... Gambar hiasan.
PENNSYLVANIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang kanak-kanak berusia 7 tahun memberitahu pemandu bas sekolahnya bahawa ibu bapanya tidak bangun sebelum beliau ke sekolah kelmarin.

Pemandu bas berkenaan kemudian memberitahu pihak sekolah yang kemudian melaporkan perkara tersebut kepada polis.

Polis kemudian memeriksa rumah kanak-kanak tersebut dan menemui mayat ibu bapanya yang disyaki sudah meninggal dunia selama dua hari.

Laporan NY Daily News mengatakan Christopher Dilly, 26, dan Jessica Lally, 25, maut akibat pengambilan dadah berlebihan.

Pemeriksaan polis juga menemui peralatan untuk menghisap dadah dan tiga lagi anak mangsa yang berusia 5 tahun, 3 tahun dan 9 bulan di tempat kejadian.

Ke-empat-empat anak mangsa kemudian dibawa menjalani pemeriksaan perubatan dan akan diletakkan di bawah jagaan badan kebajikan sosial.

Polis masih dalam proses mengenal pasti dadah yang digunakan mangsa dan keputusan ujian bakal dikeluarkan dalam beberapa minggu.

Wanita maut selepas rakam selfie


7 OKTOBER 2016
Wanita maut selepas rakam selfie

Wanita maut selepas rakam selfie Foto selfie terakhir oleh Carmen Greenway sebelum maut.
LONDON - BRITAIN. Seorang wanita maut selepas hilang kawalan dan terbabas akibat mengambil foto selfie ketika menunggang sebuah basikal.

Laporan Telegraph mengatakan Carmen Greenway, 41 dipercayai menunggang basikal menggunakan satu tangan sebelum melalui jalan yang tidak rata dan terjatuh dalam kejadian 18 Ogos lepas.

Akibat kemalangan tersebut, tengkorak mangsa retak dan meninggal dunia enam hari kemudian di hospital St. Mary di Paddington ketika dirawat.

Suami mangsa, Rufus Greenway berkata isterinya kemungkinan telah menikmati alkohol sebelum menunggang basikal untuk pulang ke rumahnya.

Carmen juga didakwa seorang penunggang basikal yang 'kompeten' dan sering kali mengambil foto selfie ketika menunggang.

Ditanya mengapa isterinya tidak memakai helmet ketika kejadian, Rufus hanya mampu menjawab isterinya 'terlebih yakin' (overconfidence).

Remaja Texas dituduh sebabkan budak 10 tahun melecur teruk

DUNIA JUMAAT, 7 OKTOBER 2016 @ 9:56 AM

PITA polis di lokasi kejadian kebakaran dilakukan remaja menyebabkan budak lelaki berusia 10 tahun melecur teruk di Kerrville, Texas. - Foto AP

KERRVILLE: Seorang remaja Texas dituduh berbuat khianat dengan api selepas dia dikatakan melemparkan tabung gas yang sedang terbakar sehingga menyebabkan seorang budak lelaki berusia 10 tahun melecur teruk.

Pegawai di Kerrville, 112 kilometer ke barat laut San Antonio, berkata remaja itu ditahan pada Rabu. Pegawai tidak mendedahkan identitinya, yang didakwa dengan tuduhan memulakan kebakaran tahap pertama.

 Polis berkata, tong itu terbakar apabila juvana itu menyimbah minyak tanah ke atas api yang menyala dalam pondok dan melemparkan ia ke tepi, dan menyambar mangsa secara tidak sengaja.

Pegawai belum mendedahkan nama mangsa, tetapi keluarganya memberitahu media namanya Kayden Culp.

Ibu mangsa, Tristyn Hatchett, berkata 20 peratus tubuh anaknya terbakar, dari telinga ke perut, dan terpaksa diberi ubat pelali. Hatchett berkata, Kayden menunjukkan tanda autisme tetapi tidak pernah didiagnos menghidap masalah itu.

Ketua Polis David Knight berkata, empat juvana yang 'berkawan baik' sesama sendiri berada pondok berkenaan.

Knight yang tidak tahu bagaimana api dalam pondok itu dinyalakan, berkata juvana yang didakwa pada satu ketika meninggalkan pondok itu dan kembali dengan balang gas untuk menjadikan api lebih besar. Katanya, apabila api marah, juvana berkenaan melemparkan ia dan terkena mangsa.

 "Kami tiada bukti menunjukkan kecederaan dialami kanak-kanak itu dibuat dengan niat," katanya. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199703

Pasangan didakwa membunuh kanak-kanak 2 tahun

JUMAAT, 7 OKTOBER 2016 @ 2:05 PM

SAN DIEGO: Pasangan dari Los Angeles didakwa membunuh apabila cuba menyeberang ke Mexico dengan mayat kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dalam beg bimbit. Mercy Becerra dan Johnny Hartley juga didakwa dengan tuduhan mendera, menyerang kanak-kanak hingga menyebabkan kematian dan menyeludup ibu mangsa untuk tujuan seks.

Pasangan itu, yang didakwa minggu lalu, masih berada dalam penjara di Los Angeles dan berhadapan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan.

 Pendakwa berkata, mereka menyeludup seorang wanita antara 2012 dan Ogos lalu, merampas anak perempuannya, mendera mangsa dan membunuh budak itu dua bulan lalu di Whittier.

Pihak berkuasa berkata, mereka ditahan pada 9 Ogos di stesen sempadan San Ysidro selepas pihak berkuasa Mexico mengimbas beg berkenaan dan menemui mayat kanak-kanak itu. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199760

RM750,000 lagi wang tunai dirampas SPRM

KHAMIS, 6 OKTOBER 2016 @ 3:45 PM

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah thaddius@bh.com.my

KOTA KINABALU: Sebanyak RM750,000 lagi wang tunai ditemui selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka tiga peti simpanan bank milik isteri seorang daripada suspek yang ditahan dalam kes penyalahgunaan kuasa membabitkan pengarah dan timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan negeri Sabah, hari ini.

Ia disahkan Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, sebentar tadi. Selain wang tunai, sejumlah barangan kemas turut ditemui dalam peti terbabit di dua bank di Kota Kinabalu, namun nilainya belum dapat ditaksirkan. Sebelum ini, SPRM merampas RM2.5 juta wang tunai dalam sebuah peti besi milik timbalan pengarah.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199475

Korban Taufan Matthew di Haiti meningkat, 261 orang

JUMAAT, 7 OKTOBER 2016 @ 8:17 AM

 PENDUDUK mencari saki baki barang keperluan yang dapat diselamatkan di kawasan rumah yang musnah akibat Taufan Matthew di Baracoa, Cuba. - Foto EPA

PORT-AU-PRINCE: Taufan Matthew hingga kini sudah meragut 261 nyawa di Haiti termasuk berpuluh-puluh yang baru ditemui di sebuah bandar di pinggir pantai yang baru dapat dimasuki pasukan penyelamat.

Kementerian Dalam negeri berkata, kebanyakan mangsa terbunuh akibat dihempap pokok tumbang, serpihan besi dan kayu berterbangan serta banjir apabila Matthew membadai negara itu dengan kelajuan lebih 230km sejam.

Perkhidmatan perlindungan sivil Haiti meletakkan angka korban di negara itu pada 108. Kebanyakan kematian berlaku di bandar dan perkampungan nelayan di barat semenanjung Tiburon di barat daya negara itu, antara wilayah paling indah di Haiti. Ribut melepasi semenanjung itu secara langsung dan meranapkan rumah pada Isnin dan Selasa.

 "Berpuluh maut di bandar Les Anglais di Sud Department. Saya tidak pernah lihat sesuatu seperti ini," kata wakil kerajaan pusat di wilayah itu, Louis Paul Raphael. Les Anglais yang mula dibadai Matthew, terputus hubungan sejak itu.

 Sebelum ribut itu melanda, Datuk Bandar memberitahu penduduk yang panik mula meninggalkan rumah mereka apabila air laut mula melimpah. Beberapa kilometer ke selatan kampung Port-a-Piment, Datuk Bandar Jean-Raymond Pierre-Louis, berkata 25 maut manakala di kampung Roche-a-Bateau, 24 terbunuh. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199684

RM35,000 wang amanah pelajar miskin lesap disamun

JENAYAH JUMAAT, 7 OKTOBER 2016 @ 10:06 AM


Oleh Khalid Latip bhnews@bh.com.my


Cermin kereta yang dipecahkan dua suspek bermotosikal.

SARIKEI: Sejumlah RM35,000 wang Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) disamun dua penjenayah bermotosikal di Jalan Masjid Lama, di sini, petang semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 4 petang itu, kedua-dua suspek memecahkan cermin kereta milik seorang guru sejurus mengeluarkan wang berkenaan bagi kegunaan pelajarnya.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Superintendan Mat Jusoh Mohamad ketika mengesahkan kejadian, berkata mangsa diekori dua penjenayah berkenaan selepas selesai mengeluarkan wang tunai dari sebuah bank berhampiran.

 "Mengikut laporan yang dibuat, mangsa mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh suspek yang mengekorinya sejurus mengeluarkan wang berkenaan.

Mangsa kemudian menyembunyikan beg sandangnya di bahagian bawah tempat duduk penumpang hadapan sebelum mengunci keretanya dan pergi ke sebuah kedai membaiki mesin pencetak.

 "Bagaimanapun, sebaik kembali ke kenderaannya, mangsa terkejut apabila mendapati cermin keretanya sudah dipecahkan, manakala beg sandang itu juga lesap," katanya ketika dihubungi sebentar tadi. Mat Jusoh berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti kedua-dua suspek berdasarkan maklumat saksi kejadian.

"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati sistem kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran tidak berfungsi.

 "Bagaimanapun, saksi mendakwa melihat dua suspek menunggang motosikal dengan seorang daripada mereka memecahkan cermin kereta sebelum melarikan beg sandang milik mangsa," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.


Cermin kereta yang dipecahkan dua suspek bermotosikal.  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199708

Sindiket pengedaran dadah antarabangsa lumpuh

KHAMIS, 6 OKTOBER 2016 @ 6:22 PM



 Oleh Siti Azila Alias sitiazila@bh.com.my

PENGARAH JSJN, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff menunjukkan dadah disyaki ganja dan syabu dianggarkan bernilai RM19,000 hasil serbuan dua operasi berasingan sekitar Lembah Klang, pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya melumpuhkan satu lagi sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah didalangi sindiket antarabangsa susulan penahanan lapan individu termasuk dua wanita dalam dua operasi berasingan sekitar Lembah Klang, antara 30 September hingga Selasa lalu. Pengarah JSJN, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata dalam operasi pertama antara 30 September hingga 1 Oktober lalu, Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman yang melakukan serbuan di Petaling Jaya, Puchong dan Cyberjaya merampas 3.9 kilogram (kg) dadah disyaki ganja dan 106 gram syabu dianggarkan bernilai RM19,000. Dalam serbuan antara jam 11.10 malam hingga 1 pagi itu, dua lelaki warga Nigeria, dan masing-masing seorang lelaki warga Republik Guinea dan Uganda dan seorang wanita rakyat tempatan, ditahan. Katanya, dalam operasi kedua, dua lelaki warga Nigeria dan seorang wanita warga Indonesia ditahan di Kepong dan Cyberjaya serta merampas 2.05kg dadah dipercayai syabu yang disorokkan di bawah 24 kotak tali leher. "Nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua tangkapan itu adalah RM163,000. Dadah yang dirampas pula dianggarkan dapat menampung permintaan kira-kira 19,000 penagih. "Selain rampasan dadah, kita turut menyita tiga kenderaan jenis Proton Persona, Proton Wira Aeroback dan Perodua Viva serta wang tunai RM1,250," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati kotak tali leher itu mengandungi dadah itu diseludup daripada India dan memasuki negara ini melalui kargo udara, manakala ganja dibawa masuk dari Nigeria. Katanya, semua suspek berusia antara 27 hingga 38 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Sementara itu, beliau berkata daripada tempoh 1 Januari hingga 2 Oktober lalu, sebanyak 152, 477 tangkapan dilakukan terhadap individu yang terbabit dengan sindiket dadah dengan 6,138 adalah warga asing dengan nilai rampasan pelbagai jenis dadah berjumlah RM161 juta.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199539

Rompak nekad awal pagi

JENAYAH JUMAAT, 7 OKTOBER 2016 @ 9:39 AM

Oleh Rudi Affendi Khalik bhnews@bh.com.my


RAKAMAN CCTV menunjukkan cubaan merompak di sebuah hotel bajet di Kuching.

 KUCHING: Tiga petugas wanita sebuah hotel bajet di bandar raya ini berdepan detik cemas apabila dikejar seorang penjenayah bersenjatakan parang, awal pagi tadi, dalam satu cubaan merompak. Dalam kejadian jam 2.20 pagi itu, ketiga-tiga petugas berkenaan berada di kaunter pendaftaran hotel sebelum didatangi seorang lelaki memakai topi keledar yang kemudian memaksa mangsa menyerahkan wang tunai. Keengganan mangsa menuruti arahan itu menyebabkan suspek berang lalu mengeluarkan parang dan mengejar ketiga-tiga petugas terbabit sampai ke dalam hotel dan mengejutkan tetamu yang menginap. Bagaimanapun, usaha suspek yang berseluar pendek dan berselipar untuk menahan ketiga-tiga petugas itu gagal apabila mereka dapat melepaskan diri. Difahamkan, suspek berada lebih tiga minit di dalam premis hotel itu dan sempat melarikan komputer riba serta telefon bimbit milik mangsa. Aksi nekad penjenayah berkenaan dirakamkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan. Bertindak atas laporan dibuat pemilik hotel, polis kini melancarkan gerakan memburu suspek berdasarkan imej yang dirakamkan CCTV berkenaan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199696

Pakistan kenakan hukuman lebih berat kes 'pembunuhan bermaruah'

JUMAAT, 7 OKTOBER 2016 @ 11:35 AM


 GAMBAR menunjukkan rekod polis, mangsa 'pembunuhan bermaruah', Tasleem, yang ditembak oleh abangnya, dilihat di ibu pejabat polis Lahore. - Foto AP

 ISLAMABAD: Walaupun berdepan bantahan kumpulan konservatif, ahli perundangan Pakistan pada Khamis mengambil langkah penting mengekang peningkatan kes 'pembunuhan bermaruah' di negara itu dengan melaksanakan hukuman lebih berat.

 Ia juga menutup sebarang ruang yang membolehkan pembunuh bebas.

Kemarahan memuncak di Pakistan berikutan siri pembunuhan kejam yang dilakukan atas nama menjaga maruah keluarga.

 Lebih 1,000 wanita dibunuh tahun lalu, selalunya oleh bapa, saudara lelaki atau suami yang percaya mangsa mencemar nama baik keluarga dengan mengahwini lelaki pilihan sendiri, atau sekadar bertemu atau dilihat duduk dengan lelaki.

Mereka yang melakukan pembunuhan itu juga hampir tidak dihukum langsung. Selari dengan undang-undang Syariah, kanun perundangan Pakistan sejak 1990-an membolehkan keluarga mangsa memaafkan pembunuh.

Oleh kerana pembunuh dalam kes itu selalunya saudara rapat, keluarga mangsa selalunya memaafkan mereka.

Langkah yang diluluskan pada Khamis itu melaksanakan hukuman mandatori penjara 25 tahun bagi sesiapa disabitkan bersalah membunuh atas nama maruah dan melarang anggota keluarga memaafkan pembunuh.

Saudara mara mangsa cuma boleh memaafkan pembunuh yang dihukum mati, yang membolehkan hukuman dikurangkan kepada penjara.

Aktivis dan pembangkang yang menyokong undang-undang itu berkata ia adalah kemajuan dalam arah yang tepat walaupun perlu pergi lebih jauh untuk memansuhkan usaha memaafkan pembunuh. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199731

Barang kemas dirampas SPRM di Sabah bernilai RM3.64j

NAYAH JUMAAT, 7 OKTOBER 2016 @ 2:26 PM

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah thaddius@bh.com.my

SEBAHAGIAN wang tunai dan barang kemas yang dirampas SPRM. - Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Barang kemas yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada pengarah dan timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan di Sabah dalam kes penyalahgunaan kuasa membabitkan mereka dianggarkan bernilai RM3.64 juta.

Daripada jumlah itu, RM2.74 juta adalah nilai barang kemas yang dirampas daripada pengarah, manakala bakinya iaitu RM900,000 adalah milik timbalan pengarah. Jumlah itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, hari ini.

Difahamkan, lebih 14 kilogram barang kemas dirampas daripada kedua-dua suspek berikutan penahanan mereka berhubung kes penyelewengan projek bernilai RM3.3 bilion sejak 2010. Seorang pakar penilai barang kemas dari Bank Rakyat dipanggil SPRM untuk membuat penilaian harga barang kemas terbabit dan kerja penilaian mengambil masa kira-kira dua jam bermula jam 10.30 pagi tadi.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199764

Dapat hadiah kereta, langgar lari orang awam


Dapat hadiah kereta, langgar lari orang awam

Foto yang dimuatnaik oleh Aya Ibish.
CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Beberapa jam selepas memuatnaik foto kereta yang diberikan kepadanya sebagai hadiah, seorang wanita ditahan polis kerana disyaki melanggar orang awam dan melarikan diri.
Menurut laporan Dailymail, Aya Ibish, 22 memuatnaik foto berkenaan di Instagram pada 27 September lepas.
Beberapa jam kemudian, beliau ditahan selepas disyaki melanggar seorang penunggang basikal dan melarikan diri.
Mangsa bagaimanapun berjaya memberikan maklumat kepada polis yang membawa kepada penangkapan Aya.
Polis juga mendakwa Aya memandu dalam keadaan mabuk selepas beliau gagal dalam ujian alkohol.
Kes tersebut masih disiasat polis.

Bantahan Orang Asli Boleh Diselesai - MB Kelantan

Diterbitkan: Khamis, 6 Oktober 2016 10:36 PM


GUA MUSANG: Bantahan lebih 200 penduduk Orang Asli ke atas aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal Balah, Gua Musang adalah berpunca daripada salah faham dan boleh diselesaikan, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata mereka perlu memahami bahawa aktiviti pembalakan merupakan  sumber hasil kerajaan negeri dan mereka tidak boleh mendesak agar aktiviti itu dihentikan tanpa alasan kukuh.

"Lagi pun,segala aktiviti pembalakan itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Perhutanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing di Pos Brooke di sini, Khamis.

Ahmad diminta mengulas mengenai tindakan penduduk Orang Asli yang berhimpun dan membina sekatan di laluan keluar-masuk lori pengangkut balak di Kampung Petei, Pos Bering di sini sejak 26 September lepas.

Kumpulan berkenaan menggesa semua aktiviti pembalakan di Hutan Kekal Simpan Balah yang berhampiran kawasan penempatan mereka dihentikan kerana mendakwa aktiviti itu merosakkan alam sekitar dan memupus hutan hingga menjejaskan mata pencarian mereka.

Pada Isnin lepas kerajaan negeri mengarahkan syarikat pembalakan agar menangguhkan operasi berkaitan pembalakan di kawasan terbabit sehingga semua isu yang timbul dapat diselesaikan.

Ahmad berkata kerajaan negeri tidak akan menghentikan selama-lamanya aktiviti pembalakan atas sebab salah faham kumpulan penduduk tertentu yang tinggal di kawasan Hulu Kelantan.

Beliau berkata jika aktiviti pembalakan dihentikan, ia akan menjejaskan sumber hasil kerajaan negeri dan merencatkan faedah yang dinikmati rakyat.

Ditanya kemungkinan tindakan kumpulan Orang Asli terbabit adalah akibat hasutan pihak tertentu, Ahmad berkata perbuatan itu tidak harus berlaku kerana ia tidak memberi sebarang faedah.

Jurutekni TNB Parah Akibat Renjatan Elektrik Meninggal Dunia


Diterbitkan: Khamis, 6 Oktober 2016 10:17 PM


Mohd Zaid meninggal dunia selepas melecur di badan apabila kabel bervoltan tinggi di rumah pencawang elektrik yang sedang diselenggara meletup. -fotoBERNAMA

TELUK INTAN: Juruteknik Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang parah akibat terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sini semalam, meninggal dunia pagi Khamis.

Mohd Zaid Sulaiman, 34, yang melecur sehingga 80 peratus bahagian badan, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan kira-kira pukul 8 pagi.

Dalam satu kenyataan, Pengurus Besar TNB Perak Raja Abdul Jalil Raja Zaid berkata pihaknya telah dan akan terus memberi pertolongan serta bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa.

Jenazah Allahyarham Mohd Zaid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Dipang, Kampar, petang ini.

Mohd Zaid melecur selepas terkena percikan arka pepasangan elektrik di Pencawang Elektrik Medan Niaga Lagenda, Hutan Melintang dekat sini.

Allahyarham yang berkhidmat dengan TNB sejak April 2002, meninggalkan isteri, Norlydianawati Idris Akri yang kini sarat mengandung lapan bulan, serta dua anak masing-masing berumur enam dan lapan tahun.

Mayat Pemandu Teksi Ditemukan Dibalut Dengan Tilam


Diterbitkan: Khamis, 6 Oktober 2016 11:57 PM

Seorang pemandu teksi ditemui mati dipercayai dibunuh di Flat Danau Kota, Setapak. Mayat ditemui dibaluti tilam di flat berkenaan. -fotoBERNAMA
   (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi ditemukan mati dipercayai akibat dibunuh yang mayatnya dibaluti dengan tilam dan ditutup dengan pakaian di Flat Danau Kota, Setapak di sini tengah hari Khamis.

Jirannya yang dikenali sebagai Liew, 55, berkata beliau sering mendengar bunyi pergaduhan dari rumah lelaki berusia 58 tahun itu yang tinggal bersama seorang wanita berusia lingkungan 30-an dan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun.

"Saya juga selalu melihat seorang lelaki dipercayai warga Pakistan di rumah itu. Pernah satu ketika pemandu teksi itu menjerit dan menghalang lelaki warga asing itu daripada memasuki rumahnya," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa berkata laporan mengenai penemuan mayat itu diterima kira-kira 12.40 tengah hari.

Tiga suspek curi kenderaan ditahan



AB Rashid (kiri) bersama pegawainya memeriksa beberapa kereta curi yang dirampas. FOTO Eizairi Shamsudin


Hafizudin Mohd Safar
am@hmetro.com.my


Kangar: Polis Kontinjen Perlis menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai kenderaan bernilai RM190,000 di Padang Besar, 28 September lalu.

Antara kenderaan dirampas termasuk Honda, Volkswagon dan Proton selain motosikal Yamaha RXZ, disyaki kenderaan curi.

Ketua Polis negeri Senior Asisten Komisioner Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, kejayaan itu sekali gus membongkar kegiatan mencuri dan meleraikan komponen.

"Sebahagian daripada kenderaan berkenaan dilaporkan dicuri di luar Perlis dan dipercayai untuk dijual atau dileraikan komponennya untuk dijual di pasaran tempatan mahupun negara jiran.

"Jumlah rampasan dianggarkan RM190,000. Dua daripada suspek terbabit turut memiliki antara lima hingga 13 rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, hari ini.

Menurut Ab Rashid, siasatan mendapat ketiga-tiga suspek berusia 24 hingga 26 tahun positif dadah melalui ujian air kencing yang dilakukan terhadap mereka.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan berkaitan curi kenderaan selain Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana disyaki memiliki kenderaan curi.

"Kita juga melakukan siasatan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi keretangan berkaitan pemilikan harta curi," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 5:40 PM

Dua sindiket dadah tumpas




MOHD Mokhtar (tiga kanan) melihat barang rampasan dadah. FOTO Azhar Ramli


Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan dua sindiket dadah didalangi warganegara Nigeria serta menahan lapan individu dan merrampas enam kilogram dadah bernilai RM163,000 dalam lima serbuan di Kepong dan Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Sri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, serbuan pertama pada 30 September bermula 11.10 malam hingga 1 pagi dilakukan di tiga lokasi Petaling Jaya, Puchong dan Cyberjaya, Selangor.

"Dua lelaki warganegara Nigeria berusia 25 dan 32 tahun ditahan bersama seorang lelaki Republik Guinea, seorang lelaki Uganda dan wanita tempatan berusia 38 tahun.

"Serbuan di Petaling Jaya merampas 3.9 kilogram dadah disyaki ganja dan 106 gram dadah disyaki syabu bernilai RM19,000," katanya dalam sidang media di Bukit Aman.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua pada 2.10 petang kelmarin, dua lelaki Nigeria berusia 27 dan 30 tahun ditahan bersama wanita Indonesia di dua lokasi di Cyberjaya, Selangor dan Kepong.

Katanya, dadah disyaki syabu seberat 2.05 kilogram yang disorok dalam kotak tali leher dan dibawa masuk melalui kargo udara dari Mumbai, India dianggarkan bernilai RM144,000.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 5:36 PM

'Ini kerja tangan syaitan'




MOTOSIKAL milik penduduk yang hangus di Rumah Pangsa Jalan Hang Tuah, awal pagi semalam.



Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Ini kerja ‘tangan syaitan’ yang sengaja membakar deretan kenderaan milik penghuni di pangsapuri ini,” kata seorang penduduk Blok A, Pangsapuri Hang Tuah di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Aziz, 32.

Dalam kejadian jam 3 pagi semalam, sebanyak 15 motosikal dan sebuah kereta diletakkan di parkir tingkat bawah pangsapuri itu terbakar akibat perbuatan khianat individu yang dipercayai menggunakan petrol untuk membakar kenderaan itu.

Menurutnya, kebakaran berlaku ketika rata-rata penduduk tidur lena.

“Api terlalu marak dan gagal dipadamkan penduduk. Malah berlaku beberapa letupan susulan kebakaran mengejut itu.

“Kami yakin kebakaran disengajakan susulan penemuan botol plastik berisi petrol ditinggalkan berhampiran lokasi kebakaran,” katanya.

Sementara itu mangsa yang hanya mahu dkenali sebagai Hafiz, 34, buntu selepas motosikal Honda EX5 miliknya musnah terbakar dalam insiden itu.

Menurutnya, motosikal itu digunakan untuk menghantar anak ke sekolah dan bekerja setiap hari.

“Saya hanya menyedari kejadian yang berlaku ketika mahu menghantar anak ke sekolah jam 7 pagi tadi (semalam).

“Saya dapati motosikal saya itu sudah rentung. Saya buntu berikutan hanya memiliki kenderaan itu bergerak ke mana-mana,” katanya.

Susulan itu dia terpaksa meminjam motosikal milik bapa mentuanya buat sementara waktu bagi memudahkan urusan.

Seorang lagi mangsa yang juga pemilik kereta Toyota Vios, Selva R., 49, berkata, dia tidur ketika kejadian kebakaran berlaku.

“Saya terjaga sebaik terdengar bunyi letupan kuat dan segera memeriksa apa yang berlaku. Saya dapati pintu dan but kereta terbakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dikerah ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

Katanya, sebanyak 10 motosikal musnah sepenuhnya manakala sebuah kereta terbakar pada bahagian pintu kiri dan but.

“Anggota Forensik Bomba juga menemui tiga sampel serta botol plastik berisi cecair yang mungkin digunakan untuk membakar motosikal itu,” katanya,

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah memberitahu ada saksi melihat dua lelaki mencurahkan minyak lalu membakar motosikal di lokasi kejadian.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 7:40 AM

3 rakyat Britain rogol wanita Singapura





AFP
Singapura: Tiga lelaki warga Britain didakwa di mahkamah di sini, merogol seorang wanita tempatan ketika berkunjung ke Singapura untuk festival muzik yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Khong Tam Thanh, 21, Le Michael, 23, dan Vu Thai Son, 23, masing-masing didakwa merogol wanita berusia 23 tahun itu dalam bilik sebuah hotel di Orchard Road antara 4 pagi hingga 5.50 pagi, 10 September lalu.

Menurut kertas pertuduhan, mereka bergilir-gilir merogol mangsa.

Pertuduhan terhadap mereka dilakukan melalui sidang video dari Penjara Changi hari ini, dan ditawarkan ikat jamin S$50,000 (RM151,435) setiap seorang.

Peguam yang mewakili Khong, Shashi Nathan memberitahu, anak guamnya, ahli perniagaan bidang kecantikan di London mempunyai penjamin dan dia dibebaskan semalam.

Peguam Michael dan Vu pula memberitahu mahkamah mereka sukar mendapatkan penjamin dan meminta mahkamah mengurangkan nilai ikat jamin, namun rayuan itu ditolak.

Kes mereka akan disebut semula pada 22 November ini.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 10:41 PM

Warga emas temui ajal atas sofa



Ruang tamu rumah Mat Rasid dipenuhi runtuhan konkrit selepas dinding rumahnya dirempuh sebuah Suzuki Vitara yang terbabas di Jalan Permatang Pasir, Kampung Permatang Pasir, Sungai Dua, Seberang Perai kelmarin.


SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga emas menemui ajal ketika sedang berehat di atas sofa selepas rumahnya di Kampung Permatang Pasir, Sungai Dua di sini dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Suzuki Vitara yang terbabas di Jalan Permatang Pasir malam kelmarin.
Mangsa, Mat Rasid Mat Shariff (gambar kecil), 67, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala setelah dilanggar kenderaan itu dan dihempap runtuhan dinding konkrit dalam insiden kira-kira pukul 10.30 malam.
Difahamkan, ketika kejadian, Mat Rasid baru sahaja selesai menonton televisyen dan dipercayai terlelap di atas sofa di ruang tamu tingkat bawah rumah dua tingkat separa batu tersebut.
Kakak mangsa, Kamariah, 68, berkata, adik bongsu daripada 13 adik-beradik itu sedang berehat selepas penat bekerja sebagai tukang rumah pada siang hari.
“Adik saya masih bujang dan tinggal bersendirian di rumah tersebut. Ketika kejadian dia mungkin sedang menonton te­levisyen selepas solat Isyak.
“Dia memang selalu tidur awal kerana penat bekerja sebagai tukang rumah pada siang hari. Dia kini sedang menyiapkan rumah milik anak saudaranya,” katanya dalam nada sayu ketika ditemui di lokasi kejadian malam kelmarin.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz4MLtTHo1j 
Hakcipta terpelihara 

Syarikat adik-beradik kaut untung


TIGA lelaki termasuk dua pegawai kanan kerajaan negeri menutup wajah mereka selepas ditahan bagi membantu siasatan berhubung projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion.


KOTA KINABALU – Pengarah sebuah jabatan kerajaan negeri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyalahgunaan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion dipercayai memberikan kontrak kepada lebih 17 buah syarikat milik adik-beradik dan kroninya di negeri ini.
Sumber memaklumkan, syarikat-syarikat berkenaan dipercayai menerima projek infrastruktur di negeri ini bagi mengaut keuntungan luar biasa sehingga mencecah jutaan ringgit.
Beliau berkata, timbalan pengarah jabatan tersebut yang turut ditahan SPRM pula disyaki memberikan projek-projek infrastruktur kepada 21 buah syarikat juga milik adik-beradiknya.
“SPRM akan mengkaji semua dokumen berkaitan perolehan jabatan tersebut selain mengkaji pemilikan harta suspek secara meluas.
“Satu perintah pengisytiharan harta juga akan dikemukakan kepada suspek di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009,” kata sumber itu kepada Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan SPRM merampas wang sebanyak RM112 juta daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di sini yang ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz4MLtAYhRg 
Hakcipta terpelihara 

Taufan Matthew ragut 39 nyawa


AFP - SEORANG lelaki mendukung seorang wanita semasa menyeberang sungai selepas sebuah jambatan runtuh akibat Taufan Matthew di Petit Goave, Haiti kelmarin.


NASSAU, Bahamas – Taufan Matthew yang disifatkan ribut paling ganas di rantau Caribbean sejak hampir satu dekad lalu membadai Kepulauan Bahamas awal semalam dan menjadi semakin kuat ketika menuju ke pantai di tenggara Amerika Syarikat (AS).
Jalan raya di Florida, Georgia, Noth Carolina dan South Carolina di AS sesak dengan kenderaan selepas berjuta-juta orang menyahut amaran pihak berkuasa supaya berpindah ke tempat lebih selamat menjelang ketibaan Taufan Matthew.
Taufan itu diramal membawa pusuan ribut, hujan lebat dan angin kuat. Ribut itu membawa angin selaju 205 kilometer sejam (km/j).
Ribut itu telah meragut sekurang-kurangnya 39 nyawa dan memaksa beribu-ribu orang berpindah di Haiti. Amaran Tau­fan Matthew ditingkatkan kepada ribut kategori empat berbanding tiga sebelum ini.
Taufan Matthew diramalkan melanda daratan di AS lewatmalam semalam, kata Pusat Taufan Kebangsaan AS.
Menurut laman cuaca Weather Channel, agensi itu meluaskan amarannya sehingga jauh ke utara melibatkan negeri Georgia.
Setakat semalam, lebih 12 juta penduduk AS berada dalam jangkauan Taufan Matthew.
“Semua orang di negeri kita mesti bersedia untuk menghadapi ribut ini.
“Jika Matthew membadai Florida, kemusnahan besar mungkin berlaku dan kamu semua perlu bersedia,” kata Gabenor Florida, Rick Scott dalam satu sidang akhbar di Tallahassee kelmarin.
Empat negeri di laluan taufan itu mengisytiharkan perintah darurat pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) semalam bagi membolehkan gabenor masing-masing mengerahkan unit separa tentera, Pengawal Kebangsaan.
Pusat perlindungan di Florida, Georgia dan South Carolina juga dibuka selepas pihak berkuasa dan Presiden AS, Barack Obama menggesa orang ramai meninggalkan rumah mereka.
Scott turut meminta Obama mengisytiharkan perintah darurat sebelum ribut itu sampai ke Florida.
Ia bertujuan untuk membolehkan bekalan termasuk makanan dan air dibawa masuk selain menggandakan bilangan anggota Pegawai Kebangsaan kepada 3,000 orang. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4MLssudSw 
Hakcipta terpelihara 

Kementerian Kerja Raya arah siasat dakwaan Perkobf



KUALA LUMPUR 6 Okt. – Kementerian Kerja Raya mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya menjalankan siasatan terperinci terhadap dakwaan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf) berhubung hampir 80 peratus projek menurap jalan raya di negara ini dise­rahkan kepada pihak ketiga.
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya memandang serius dakwaan daripada Perkobf dan kegiatan ketirisan yang berlaku di bahagian pengurusan serta jabatan terlibat dengan mengambil tender kontraktor pada harga di bawah kadar ditetapkan Kementerian Kerja Raya.
“Tanggungjawab kementerian dalam penyenggaraan jalan hanyalah terhad kepada jalan Persekutuan sahaja. Sekiranya melibatkan jalan di bawah seliaan kementerian tindakan tegas akan diambil.
“Mana-mana pihak termasuk Perkobf yang mempunyai bukti berlakunya dakwaan itu juga boleh tampil mengemukakan bukti kepada saya sendiri. Saya memberi jaminan tindakan tegas akan diambil jika dakwaan berke­naan terbukti sahih,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur, Samsudin Muhamad Fauzi berkata, sekurang-kurangnya 60 peratus kontraktor bumiputera Kelas F gagal mendapat bayaran daripada projek terdahulu sehingga terpaksa menye­rahkan projek penurapan jalan kepada pihak ketiga.
Menurutnya, kesukaran itu menyebabkan mereka tersepit, lantas terpaksa meminjam daripada ah long sekiranya ingin meneruskan projek yang seterusnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kementerian-kerja-raya-arah-siasat-dakwaan-perkobf-1.391661#sthash.IwNDwq66.dpuf

Polis tahan pemilik rumah orang tua


MELAKA 6 Okt. - Pemilik sebuah rumah ja­gaan orang tua di Klebang di sini ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes seorang warga emas wanita yang dikasari dalam satu rakaman video dan tersebar dalam laman sosial sejak semalam.
Penghuni di pusat jagaan warga emas di Klebang dibawa menaiki bas untuk dipindahkan ke Rumah Seri Kenangan Cheng di Melaka, semalam. UTUSAN/NURSURAYA ZULKIFLI
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, lelaki berusia 54 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 pagi di pusat jagaan berkenaan dan ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, lelaki itu ditahan setelah polis menerima laporan yang mendakwa dia memukul kepala seorang wani­ta warga emas yang berada di bawah jagaannya.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan yang boleh membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain,” katanya ketika dihubungi di sini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron semalam mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan menyiasat secara terperinci rakaman video tersebut membabitkan kakitangan sebuah rumah jagaan orang tua di Melaka Tengah yang mengasari penghuninya.
Video berdurasi 10 saat dan menjadi viral dalam laman sosial itu menunjukkan seorang lelaki dipercayai kakitangan rumah jagaan itu melakukan kekasaran dengan memukul dan menampar kepala seorang penghuni wanita warga emas.
Berikutan insiden itu, kerajaan negeri telah mengarahkan rumah penjagaan orang tua itu ditutup dan sebanyak 12 warga emas yang sebelum ini ditempatkan di pusat penjagaan berkenaan dipindahkan ke Rumah Seri Kenangan Cheng mulai hari ini.
Bagaimanapun, lima penghuni lain yang tidak boleh menguruskan diri mereka dan terlantar dirujuk kepada Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Pengarah JKM Melaka, Burhanuddin Bachik berkata, kesemua penghuni 16 lelaki dan seorang wanita di pusat jagaan itu dipindahkan menggunakan sebuah bas serta ambulans.
“JKM negeri sedang mengesan waris mereka untuk menyerahkan semula penjagaan, namun sekiranya tiada waris atau waris tidak mampu untuk menjaga mereka, penghuni terbabit akan dimohon untuk ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Cheng.
“Penghuni wanita yang merupakan individu dalam rakaman video tersebut telah diambil warisnya pada pukul 9 pagi hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di pusat penjagaan itu.
Difahamkan, siasatan pihak berkuasa turut mendapati pre­mis tersebut tidak berdaftar mengikut Akta Pusat Jagaan 1993 di bawah JKM negeri.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-tahan-pemilik-rumah-orang-tua-1.391568#sthash.a2tfawNK.dpuf

SPRM buka 7 peti besi


Lagi rampasan wang tunai RM870,000

Sebahagian daripada wang tunai dan barang kemas yang dirampas SPRM selepas membuka tiga peti besi di

Sebahagian daripada wang tunai dan barang kemas yang dirampas SPRM selepas membuka tiga peti besi di dua buah bank tempatan di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
KOTA KINABALU 6 Okt. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan lagi wang tunai berjumlah RM870,000 dan barang kemas daripada peti besi dalam beberapa bank tempatan milik isteri kepada salah seorang suspek yang ditahan berhubung penyelewengan projek infrastruktur air, semalam.
Sumber memberitahu, jumlah keseluruhan wang dijumpai dalam tujuh peti besi yang dibuka empat semalam dan tiga lagi hari ini berjumlah RM3.3 juta.
“Daripada jumlah itu, kira-kira RM2.5 juta ditemukan selepas pegawai penyiasat membuka peti besi semalam sementara RM870,000 lagi daripada peti besi yang dibuka di dua buah bank hari ini.
“Jumlah besar wang tunai yang dirampas setakat ini adalah RM52.87 juta.
“Selain itu, ada juga peti besi sarat dengan barang kemas. Nilai bagi barang kemas itu belum dapat ditentukan dan SPRM akan memanggil pengusaha kedai pajak gadai esok untuk membuat penilaian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, SPRM berjaya membongkar satu aktiviti rasuah luar biasa dengan merampas wang berjumlah RM112 juta susulan penahanan dua penjawat awam kanan agensi kerajaan kerana dipercayai terlibat dalam kes penyelewengan dan menyalah guna dana kerajaan Persekutuan untuk projek infrastruktur bekalan air di negeri ini.
Turut ditahan seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk dipercayai adik kepada salah seorang pegawai kanan terbabit serta seorang akauntan.
Sementara itu, sumber memberitahu, pengarah sebuah agensi kerajaan negeri yang ditahan ekoran penemuan wang tunai luar biasa itu disyaki menggunakan lebih 17 syarikat yang dimiliki adik-beradik dan proksi.
Timbalannya pula mengaut keuntungan dengan menggunakan 21 buah syarikat milik adik-beradiknya.
Tambah sumber, penemuan wang tunai luar biasa itu bagaimanapun tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli politik tempatan di negara ini.
“SPRM sedang meneliti dokumen-dokumen berkaitan perolehan agensi kerajaan itu selain mengkaji pemilikan harta-harta suspek secara meluas. Malah, satu perintah pengisytiharan harta dikemukakan kepada suspek di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
“Berhubung akaun suspek di luar negara, SPRM telah mengenal pasti akaun-akaun tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Jelas sumber itu, seramai enam saksi telah dipanggil dan dirakam percakapan yang masing-masing merupakan kakitangan agensi kerajaan serta syarikat tersebut.
Katanya, SPRM juga telah mengenal pasti lebih 40 saksi dan terbaharu akan memanggil 10 daripada mereka dipercayai terlibat secara langsung dalam kes penyelewengan sejak enam tahun lalu.
Katanya lagi, setakat ini tiada tangkapan terbaharu dibuat berhubung kes tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sprm-buka-7-peti-besi-1.391675#sthash.Vko6Qk21.dpuf

13,245 bank ditutup di Brazil


cermin sebuah bank, Banco Do Brasil dipenuhi pelekat selepas ditutup

Cermin sebuah bank, Banco Do Brasil dipenuhi pelekat selepas ditutup selama 31 hari susulan mogok oleh kakitangan perbankan di negara ini di Rio de Janeiro, Brazil, kelmarin. AGENSI
RIO DE JANEIRO 6 Okt. – Sebanyak 13,245 bank di Brazil terpaksa ditutup ekoran mogok besar-besaran yang dilancarkan kakitangan perbank­an di seluruh negara ini sejak 7 September lalu.
Menurut agensi berita Xinhua, mogok yang memasuki 31 hari itu merupakan yang paling lama pernah dilancarkan oleh kakitangan bank dalam tempoh 12 tahun di negara ini.
Awal September lalu, kakitangan bank awam dan swasta mengumumkan akan terus memberikan tekanan kepada majikan supaya menaikkan gaji, menetapkan gaji minimum sebanyak 3,940 real (RM5,049.38) sebulan, bonus makanan yang lebih besar dan langkah-langkah untuk me­ngurangkan pemberhentian.
Mogok yang disertai 512,000 orang itu dilaporkan bermula apabila institusi perbankan enggan memberi kenaikan gaji sebanyak 14.78 peratus yang dimohon oleh Gabungan Kebangsaan Pekerja Sektor Kewangan (Contraf).
Bank di Brazil sebaliknya menawarkan kenaikan 6.5 peratus yang disifatkan lebih rendah daripada kadar inflasi tahun ini.
Pemilik bank kemudian mengemukakan tawaran baharu sebanyak 7.5 peratus yang dibentangkan minggu lalu de­ngan kenaikan tahunan sebanyak 0.5 pe­ratus, namun tetap ditolak oleh kesatuan sekerja itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/13-245-bank-ditutup-di-brazil-1.391585#sthash.4x1p04sJ.dpuf