Search This Blog

Wednesday, October 5, 2016

Polis bantuan maut dilanggar

RABU, 5 OKTOBER 2016 @ 5:37 PM

Oleh Hamzah Osman bhnews@bh.com.my

KAMARUZAMAN Zainol Abidin, 44, maut.

 LANGKAWI: Seorang polis bantuan maut dilanggar motosikal ditunggang seorang lelaki yang cuba menceroboh kawasan pelabuhan di Dermaga Tanjung Lembung, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi itu, Kamaruzaman Zainol Abidin, 44, yang juga kakitangan Langkawi Port Sdn Bhd (Langkawi Port), meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dialami.

 Pengurus Besar Langkawi Port, Muhd Nasir Abdul Aziz, berkata seorang lelaki bermotosikal tidak dikenali dikesan memasuki pelabuhan menerusi satu lorong sempit tanpa kebenaran pihak pelabuhan kira-kira jam 8 pagi.

 "Lelaki terbabit ditahan dan diarah meninggalkan pelabuhan tetapi ketika di pintu masuk pelabuhan, lelaki itu ditahan oleh Kamaruzaman untuk pemeriksaan.

 "Bagaimanapun, mangsa dilanggar dan jatuh tersembam ke tanah. Kami sudah membuat laporan mengenai kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di sini dan kita serahkan kepada pihak berkenaan untuk menjalankan siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang, ketika mengesahkan kejadian berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Langkawi (HL) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199138

Lelaki godam papan iklan, siar filem lucah mungkin kena 6 tahun

RABU, 5 OKTOBER 2016 @ 5:07 PM



FILEM lucah disiarkan selama 10 minit pada waktu puncak di kota Jakarta.
JAKARTA: Seorang lelaki Indonesia yang ditahan selepas menggodam sebuah papan iklan elektronik dan menyiarkan filem lucah pada waktu puncak di kota ini, boleh dipenjara hingga enam tahun, kata polis hari ini.

Filem Jepun berjudul "Watch Tokyo Hot" disiarkan selama 10 minit pada skrin pengiklanan itu Jumaat lalu di sebuah persimpangan utama di kota itu, menyebabkan pengguna jalan raya terkejut dan takut.

Bekalan elektrik pantas diputuskan dari skrin gergasi yang dipanggil "videotron" itu, namun seorang pengguna jalan raya sempat merakam adegan panas menggunakan telefon dan menyebarkannya di media sosial.

Polis dan pakar jenayah siber berjaya mengesan penjenayah itu dan menahan seorang penganalisis teknologi maklumat berusia 24 tahun di pejabatnya.

Suspek yang dirahsiakan identitinya itu mengaku bersalah dan boleh dipenjara sehingga enam tahun kata ketua polis Jakarta, Mochamad Iriawan.

Akses ke laman web pornografi disekat di Indonesia dan babak romantis dalam filem dan televisyen sering dikaburkan atau dipotong oleh badan penapis filem. - AFP

Penyelam maut disengat ikan pari di UWS



RABU, 5 OKTOBER 2016 @ 6:11 PM



PHILIP Chan. - Foto AFP
SINGAPURA: Seorang penyelam mati selepas disengat ikan pari di akuarium Underwater World Singapore (UWS), menurut pemilik pusat itu, hari ini.

Ketika kejadian semalam, Philip Chan, 62, ketua penyelam UWS sedang menyiapkan kerja pemindahan haiwan itu ke akuarium lain apabila dia mengalami kecederaan.

Mangsa yang disengat di bahagian dada, dikejarkan ke hospital berdekatan dan disahkan meninggal dunia pada hari yang sama.

"Ini adalah kemalangan yang tragis," kata Haw Par Corporation, pemilik UWS dalam satu kenyataan.

UWS ditutup kepada orang ramai sejak Jun lalu. Chan adalah antara petugas yang bekerja di akuarium itu sejak ia dibuka pada 1991.

Beliau adalah salah seorang daripada 10 pekerja penjaga haiwan sementara hingga mereka mendapati kediaman yang sesuai ditemui.

Haw Par berkata, mereka menggantung program pemindahan haiwan dan membantu pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Kebanyakan ikan pari hidup di kawasan perairan tropika. Mereka mempunyai lebih daripada satu sengat di bahagian ekor yang digunakan untuk mempertahankan diri.

Pencinta haiwan, Steve Irwin yang juga dikenali sebagai 'Crocodile Hunter' meninggal dunia pada 2006 selepas beberapa kali disengat ikan pari di kawasan perairan Great Barrier Reef. - Reuters

Bayi ditinggal berdekatan tong sampah




Bayi lelaki yang ditemui. FOTO ihsan FB I Love Sarawak


Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Sibu: Bayi lelaki cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui seorang lelaki berdekatan tong sampah di Jalan Laichee 3, di sini, pagi tadi.

Lelaki terbabit kemudian membawa bayi itu pulang ke rumah untuk dimandi serta diberikan susu sebelum menghubungi ambulans dan dibawa ke Hospital Sibu.

Timbalan Ketua Polis Sibu Superintendan Martin Koo berkata, bayi seberat 2.3 kilogram itu dilaporkan sihat selepas pemeriksaan lanjut dijalankan doktor.

Menurutnya, bayi itu kini ditempatkan di Hospital Sibu untuk pemantauan kesihatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas mendapat perintah mahkamah.

"Polis sudah mengambil keterangan daripada lelaki yang menemui bayi terbabit dan usaha mengesan ibu bapanya sedang giat dijalankan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 4:37 PM

Suspek samun kedai vape dicekup




MOHAMAD Roy menunjukkan perisa vape yang dirampas. FOTO Mohd Fadly Samsudin



Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Polis menahan tiga lelaki di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ayer Panas, Setapak kelmarin, dipercayai terbabit kes menyamun kedai menjual vape, April lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, dalam tangkapan 10.30 malam itu pihaknya menemui beg galas mengandungi 87 botol perisa vape.

Menurutnya, dalam kejadian 5.50 pagi 23 April lalu, kedai vape di Taman Sri Rampai dimasuki dua lelaki sebelum melarikan lebih 400 perisa vape serta peralatan lain dianggarkan bernilai lebih RM20,000.

"Ketika kejadian terdapat, dua lagi rakan suspek berada di luar premis. Seorang pekerja turut dipukul dan telefon bimbitnya dilarikan.

"Semua lelaki terbabit berusia 23 hingga 26 tahun ditahan reman sehingga 8 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 6:42 PM

Rampasan terbesar RM114.5 juta di Kota Kinabalu


5 OKTOBER 2016
Rampasan terbesar RM114.5 juta di Kota Kinabalu


Rampasan terbesar RM114.5 juta di Kota Kinabalu Antara wang yang berjaya dirampas
KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas RM114.5 juta daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di sini, yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah, yang merupakan kes terbesar dalam sejarah SPRM.  

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata rampasan itu dibuat daripada seorang pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi awam itu selepas mereka ditahan SPRM semalam.

"Hasil siasatan, SPRM merampas RM75 juta daripada pejabat, rumah dan akaun bank kedua-dua suspek tersebut dan keluarga mereka," katanya pada sidang berita mengenai kes itu di sini, hari ini.  

Susulan penahanan kedua-dua suspek itu, katanya SPRM turut menangkap seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' dan akauntannya yang disyaki mempunyai kaitan dengan mereka.  

Beliau berkata penangkapan 'Datuk' dan akauntannya itu membolehkan SPRM menyita kira-kira RM37 juta daripada akaun sebuah syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan seorang daripada pegawai kanan agensi awam itu. - Bernama

3 individu seludup 2kg syabu dari India

JENAYAH RABU, 5 OKTOBER 2016 @ 9:06 AM


 Oleh Mohd Iskandar Ibrahim mohd_iskandar@bh.com.my

Twitter Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga individu termasuk dua warga Nigeria kerana menyeludup dadah jenis syabu di sekitar Selangor dan ibu negara, awal pagi tadi.

 Ketiga-tiga suspek itu ditahan menerusi operasi Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) hasil maklumat awam dan risikan.

Dalam serbuan itu, polis merampas dua kilogram syabu dipercayai diseludup dari Mumbai, India. Kejayaan itu diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter dan Facebook rasminya tadi.

 "Syabas STING@PDRMsia tahan tiga orang (dua warga Nigeria) di Selangor dan Kuala Lumpur serta rampas lebih dua kilogram syabu yang diseludup dari Mumbai. #GoPDRMGo," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/198993

Pengarah, timbalan direman penyelewengan RM3.3b

JENAYAH RABU, 5 OKTOBER 2016 @ 3:11 PM

 Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah thaddius@bh.com.my

ANTARA kenderaan mewah yang dirampas

SPRM bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa pengarah dan timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan di Sabah yang di letakkan, di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan negeri, di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Pengarah, timbalan direman penyelewengan RM3.3b: Pengarah dan Timbalan Pengarah sebuah jabatan kerajaan di Sabah direman tujuh hari mulai hari ini, berhubung penyalahgunaan kuasa membabitkan pengagihan projek bernilai lebih RM3.3 bilion.

 Turut direman ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 2.30 petang tadi ialah abang timbalan pengarah bergelar Datuk berumur 55 tahun dan akauntan berusia 50 tahun.

 Mereka ditahan berhubung kes penyalahgunaan kuasa bagi projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion di Sabah sejak tahun 2010.

Semalam, pengarah dan timbalan pengarah berumur 54 dan 51 tahun ditahan di pejabat masing-masing pada jam 9.15 pagi kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan memonopoli dan memberi projek jabatan kepada sanak-saudara mereka.

 Berikutan penahanan itu, SPRM menyita wang tunai lebih RM10 juta yang ditemui disembunyikan dalam rumah, pejabat dan kenderaan milik suspek.

 Sebahagian daripada wang tunai iaitu kira-kira RM3 juta ditemui dalam peti besi di pejabat seorang daripada suspek, manakala selebihnya susulan penggeledahan di rumah dan kenderaan. Siasatan awal SPRM mempercayai mereka mengumpul kekayaan melebihi RM50 juta.



PEGAWAI kanan sebuah jabatan kerajaan di Sabah (tengah) diiring kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas direman seminggu berhubung penyalahgunaan kuasa bernilai lebih RM3.3 billion ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan di Sabah (tengah) diiring kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas direman seminggu berhubung penyalahgunaan kuasa bernilai lebih RM3.3 billion ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199090

Aktor Filipina ditahan bersama 1 kg ganja

DUNIA SELASA, 4 OKTOBER 2016 @ 9:41 PM



FERNANDEZ ditahan semalam kerana didakwa memiliki satu kilogram ganja. - Foto ihsan rappler.com

ANGELES CITY (Filipina): Aktor Filipina, Mark Anthony Fernandez ditahan di sini malam semalam kerana didakwa memiliki satu kilogram ganja.

Polis menemui pek ganja itu, dikelaskan sebagai dadah berbahaya di Filipina, di dalam kereta Ford Mustang berwarna kuning miliknya, menurut Ketua Polis Bandar, Superintendan Sydnet Villaflor.

Polis mengejar Fernandez ketika aktor itu memandu menerusi pusat pemeriksaan di Lebuh Raya MacArthur di Barangay Virgen de los Remedios di sini.

Villaflor berkata, keadaan lalu lintas sesak menuju ke ibu kota Pampanga di San Fernando memaksanya berhenti. Fernandez, anak lelaki kepada aktres Alma Moreno bersama mendiang bintang aksi Rudy Fernandez, kini ditahan di balai polis.

 Dia berdepan tuduhan pelanggaran Akta Dadah Berbahaya Komprehensif. Penahanan Fernandez susulan penangkapan seorang pemandu beca roda tiga yang didakwa membawa 28 kilogram ganja dalam bentuk bata bernilai 480,000 pesos (RM41,060.93) pada 29 September lalu. - AGENSI

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/198886

Warga Korea di Jepun dakwa jadi mangsa 'keganasan wasabi'

RABU, 5 OKTOBER 2016 @ 3:16 PM



SUSHI dihidangkan bersama wasabi. - Foto AFP

OSAKA: Sekumpulan rakyat Korea di Jepun dilaporkan berang dengan sebuah restoran sushi di sini yang menyajikan terlalu banyak wasabi terutamanya kepada pelanggan Korea.

Mengikut media tempatan Jepun pada Isnin, sebuah rangkaian restoran terkenal, Ichiba Sushi seolah melancarkan "keganasan wasabi" kepada kalangan pengunjung asing, khususnya dari Korea.

Di Jepun, sushi dihidangkan bersama wasabi yang sudah dimasukkan ke dalam sushi, manakala di tempat lain, pes hijau pedas itu dihidangkan berasingan bagi mereka yang tidak biasa dengan rasanya yang pedas.

Gambar sushi, dengan lapisan luar wasabi yang tebal menjadi viral di Jepun dalam kalangan warga Korea yang marah dan mendakwa menjadi sasaran jenayah "benci-lidah". Susulan kontroversi itu, Ichiba Sushi mengeluarkan kenyataan pada Isnin yang menyebut:

"Oleh kerana permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan asing yang mahukan lebih wasabi, kami secara tidak sengaja menyebabkan satu pengalaman yang tidak menyenangkan kepada mereka yang tidak biasa dengan sambal itu." Ichiba Sushi turut berjanji untuk meningkatkan latihan kakitangannya. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199092

Texas laksana hukuman mati ketujuh tahun ini Barney Fuller Jr

RABU, 5 OKTOBER 2016 @ 12:24 AM



HUNTSVILLE: Seorang lelaki berusia 58 tahun dari Timur Texas yang mengaku bersalah dalam insiden tembakan rawak 2003, menyebabkan dua jirannya maut, dihukum mati hari ini.

Suntikan maut dijadualkan hari ini ke atas Barney Fuller Jr, akan menjadi yang ketujuh tahun ini di Texas dan pertama dalam tempoh enam bulan buat negeri dengan hukuman mati paling sibuk di Amerika Syarikat (AS).

 Ia akan menjadi hukuman ke-16 tahun ini di seluruh negara, menggambarkan penurunan hukuman mati oleh kerana kes besar mendapat penelitian mahkamah selain negeri itu mengalami kesukaran mendapatkan ubatan suntikan maut.

 Fuller meminta supaya rayuan mahkamah tidak dibuat untuk menyelamatkan nyawanya. Dia disabitkan membunuh Nathan Copeland, 43, dan isterinya, Annette, 39, dalam pertelingkahan panjang berhubung ugutan telefon ke atas mereka. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/198958

Lelaki mabuk tak mati jatuh bangunan tiga tingkat

DUNIA RABU, 5 OKTOBER 2016 @ 10:31 AM



SHARJAH: Seorang lelaki mabuk terselamat selepas terjatuh dari tingkat tiga balkoni sebuah bangunan dekat kawasan perindustrian di sini, kata pegawai kepada Gulf News semalam.

Polis berkata lelaki India berusia 32 tahun yang hanya dikenali sebagai M.P itu terjatuh dari balkoni pangsapurinya sekitar jam 12 tengah hari Isnin dan dimasukkan ke hospital Al Qasimi.

Menurut doktor, lelaki itu mengalami kecederaan serius termasuk tulang retak di beberapa bahagian namun berada dalam keadaan stabil.

Lelaki itu dipercayai di bawah pengaruh alkohol ketika jatuh dari balkoni, dan masih tidak jelas sama ada ia adalah cubaan membunuh diri.

 Polis sudah melancarkan siasatan berhubung insiden itu. lelaki itu kini diletakkan di bawah pemerhatian polis. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199026

2 rumah meletup dipercayai akibat gas bocor

DUNIA RABU, 5 OKTOBER 2016 @ 12:15 AM



ANGGOTA bomba memadamkan sisa kebakaran di Paterson, New Jersey. - Foto WABC/abcnews

PATERSON: Dua rumah musnah dalam satu letupan pagi ini selepas jiran melaporkan bau gas dan anggota bomba tiba untuk menyiasat. Tidak jelas jika sesiapa cedera dalam letupan di bandar ini.

Anggota majlis perbandaran, Andre Sayegh berkata, penduduk memaklumkan pihak berkuasa mengenai bau gas dan anggota bomba tiba di tempat kejadian sejurus sebelum letupan berlaku.

Charlie Hayek, pemilik kedai berhampiran memberitahu saluran WNBC-TV, pemilik satu daripada dua rumah keluar sebelum letupan untuk mengadu mengenai bau gas. Katanya, rumah berhampiran dikosongkan dan letupan berlaku tidak lama selepas penduduk masuk ke dalam.

 "Jika ia berlaku 10 minit sebelum, ia sudah pasti lebih teruk," kata Hayek kepada stesen itu. Seorang jurucakap Public Service Electric & Gas berkata, pihaknya sedang mengenal pasti punca kejadian.

 Letupan sebuah rumah di Bandar Raya New York seminggu lalu mengorbankan seorang ketua balai bomba yang terkena serpihan jatuh. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/198956

Dua maut nahas di Jeli

RABU, 5 OKTOBER 2016 @ 4:03 PM



Oleh Kamal Majid bhkb@bh.com.my

JELI: Dua maut dan tiga cedera apabila kereta dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 92, Jalan Ayer Lanas di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi berhampiran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

 Kereta PROTON Saga dinaiki lima penumpang dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Jeli itu dipercayai melanggar treler yang berhenti di bahu kiri jalan. Mangsa maut dikenal pasti sebagai Siti Norasmad Salsabila Jusoh, 24, dari Kampung Belahak dan Zakaria Maliki, 75, dari Kampung Selar, dekat sini.

Seorang yang cedera ialah ibu Siti Norasmad, Siti Aminah Mat, 56, dan dua lagi belum dikenal pasti. Ketua Polis Jeli, Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar, mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199099

Kegiatan curi kelapa sawit tumpas


WARTAWAN SINAR HARIAN
5 OKTOBER 2016
Kegiatan curi kelapa sawit tumpas

Kegiatan curi kelapa sawit tumpas Lori dengan muatan kelapa sawit yang dicuri daripada ladang di Batu 18, Kahang.
KLUANG - Kegiatan enam lelaki mencuri kelapa sawit di sekitar Batu 18, Kahang, dekat sini, akhirnya tumpas.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Mohamad Laham berkata, aktiviti enam lelaki berusia antara 29 hingga 61 tahun itu berjaya dihidu pemilik ladang lalu membuat laporan polis pada 1 Oktober kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, berdasarkan laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Siasatan Jenayah Kluang dibantu anggota Balai Polis Kahang membuat serbuan di ladang berkenaan pada hari yang sama kira-kira jam 5.30 petang.

“Aktiviti mencuri kelapa sawit yang dijalankan kumpulan terbabit dipercayai dilakukan sejak tiga bulan lalu namun gagal dikesan kerana sering berpindah lokasi.

“Dengan menggunakan lori, kumpulan tersebut boleh membawa sehingga lima tan kelapa sawit dan dijual ke pusat pengumpulan berdekatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, semalam.

Mohamad berkata, dengan tertangkapnya enam lelaki terbabit, pihaknya turut berjaya merampas empat lori, lima tan kelapa sawit, 60 kilogram biji kelapa sawit yang telah lerai, lapan besi penyangkut buah dan sebuah motosikal Honda EX5.

Katanya, semua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM350,000.

“Kesemua yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga mendapati mereka bebas dadah, kenderaan yang dirampas juga tidak mempunyai laporan hilang.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 397/447 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 5 Oktober (hari ini) untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurut Mohamad, berdasarkan rekod di daerah ini, hanya lima kes kecurian buah sawit dilaporkan.

 Bagaimanapun, pihaknya percaya banyak kejadian yang tidak dilaporkan kerana kebiasaannya pekebun akan mengambil tindakan pencegahan sendiri.

Justeru, beliau menasihatkan pemilik ladang atau kebun sawit agar melaporkan kepada pihak polis sekiranya terdapat kejadian seumpama ini.

Maut kereta dihempap gear


IZWAN ROZLIN
5 OKTOBER 2016
Maut kereta dihempap gear

Maut kereta dihempap gear Mangsa yang maut dalam kejadian kemalangan Kilometer 38 Lebuhraya Kesas.
SUBANG – Seorang lelaki maut selepas terkena komponen penyambung gear seberat 20 kilogram  yang  terpelanting dari sebuah lori ketika sedang memandu di Kilometer 38 Lebuhraya Shah Alam (Kesas), di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.55 petang itu, mangsa, Wong Soon Heng, 46,  maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Difahamkan, mangsa memandu Mazda CX5 bersama isteri berusia 46 tahun, dan anaknya berusia 7 tahun, dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Shah Alam sebelum komponen berkenaan terpelanting ke arah keretanya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad berkata, siasatan awal mendapati, salah satu komponen dari lori yang dalam perjalanan dari arah Shah Alam ke Kuala Lumpur tercabut dan terpelanting ke arah cermin kereta mangsa.

Menurut beliau, siasatan  mendapati lori berkenaan mengalami masalah sehingga komponen gear berkenaan tercabut dan tercampak memasuki laluan sebelah.

“Komponen itu terperosok tepat di cermin  hadapan sebelah  tempat duduk pemandu dan terkena kepala mangsa.

“Mangsa disahkan maut, manakala penumpang lain terselamat,” katanya semalam.

Katanya,  pihaknya menemui komponen penyambung gear itu berada di but kereta mangsa.

“Cermin kereta mangsa pecah dan bumbung kereta turut 'terkopak’ dalam kejadian tersebut.

"Isteri dan anak mangsa masih dalam keadaan terkejut," katanya.

Kamaludin berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

“Saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan  dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

SPRM jumpa wang tunai RM50j di rumah pegawai GLC


MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN
5 OKTOBER 2016

SPRM jumpa wang tunai RM50j di rumah pegawai GLC

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjumpai wang tunai yang dianggarkan hampir RM50 juta di dalam sebuah rumah salah seorang pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah dalam serbuan ke rumahnya semalam.

Sumber berkata, selain itu, SPRM juga menemui wang tunai dalam jumlah yang besar dalam salah sebuah kenderaan milik suspek.

"Siasatan awal mendapati salah seorang suspek yang merupakan ketua kepada suspek kedua ini mempunyai bilik khas untuk menyimpan wang berkenaan.

"Dia tidak menyimpan dalam bank, sebaliknya menyimpan wang tunai di rumah. Terdapat juga sejumlah besar barang kemas dan jam tangan pelbagai jenama," katanya kepada Sinar Harian.

Siasatan dilakukan berikutan SPRM menahan dua pegawai berkenaan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan memonopoli dan memberikan projek-projek yang dikendalikan jabatan tersebut kepada sanak saudara mereka.

Kedua-duanya yang berusia 54 dan 51 itu ditahan di pejabat mereka di Kota Kinabalu, Sabah kira-kira pada jam 9.15 pagi semalam.

Semalam, SPRM turut merampas wang tunai bernilai lebih kurang RM3 juta yang disimpan dalam peti besi di pejabat salah seorang pegawai kanan itu.

Kedua-dua pegawai kanan yang berjawatan pengarah dan timbalan pengarah di jabatan kerajaan yang mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion sejak tahun 2010 itu telah memonopoli kesemua projek dan diserahkan kepada adik-beradik mereka.

Hasil penyalahgunaan kuasa ini yang dipercayai bermula sejak tahun 2010 hingga kini, siasatan awal mempercayai mereka telah mengumpul harta kekayaan melebihi RM50 juta.

Sementara itu, seorang lagi suspek ditemukan wang tunai berjumlah hampir RM3 juta, dan simpanan dalam akaun bernilai puluhan juta ringgit.

Difahamkan, SPRM juga akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap mereka berdua hari ini di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Susulan tangkapan ini, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Azam Baki akan mengadakan sidang media khas di Kota Kinabalu petang ini.

Dua Lagi Ditahan SPRM, Rampasan Wang Tunai Kini Cecah Lebih RM20 Juta


Diterbitkan: Rabu, 5 Oktober 2016 2:00 PM
 Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
iwan@thestar.com.my


Gambar yang viral di laman sosial berkaitan rampasan wang tunai hasil operasi SPRM susulan penahanan dua pegawai kanan kerajaan di Sabah, Selasa.

PETALING JAYA: Wang tunai dianggarkan lebih RM20 juta dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penahanan dua pegawai kanan agensi kerajaan di Kota Kinabalu, Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam pemberian projek jabatan awam.

Terkini, dua lagi ditahan suruhanjaya itu dan semua empat individu terlibat akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, wang tunai berjumlah RM3 juta yang dirampas sebelum ini hanya sebahagian daripada keseluruhan rampasan.

“RM3 juta sebahagian daripadanya. Sebenarnya lebih daripada itu. Saya fikir lebih RM20 juta,” katanya ketika dihubungi mStar Online.



Wang tunai mencecah RM10 juta ditemui di kediaman pegawai kanan yang ditahan SPRM di Sabah, Selasa.

Mengulas lanjut, Azam berkata, rampasan wang tunai jutaan ringgit itu melibatkan beberapa lokasi seperti di rumah, bank dan pejabat suspek.

“Setiap daripada sasaran yang kita tahan itu, setidak-tidaknya tiga lokasi. Termasuk peti besi, rumah, pejabat dan ada juga melibatkan peti besi di bank,” katanya.

Pada Selasa dilaporkan dua suspek berusia 51 dan 54 tahun ditahan di pejabat masing-masing kira-kira 9.15 pagi Selasa kerana disyaki memonopoli dan memberikan projek-projek yang dikendalikan jabatan itu kepada sanak saudara mereka.

Azam berkata,  sidang media berhubung kes berkenaan akan diadakan di Kota Kinabalu petang ini.

Menurutnya, SPRM akan meneruskan siasatan dengan lebih agresif dan menjangkakan lebih ramai lagi ditahan.

Kedua-dua pegawai kanan berjawatan pengarah dan timbalan pengarah itu mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion sejak 2010 dan telah memonopoli kesemua projek untuk diserahkan kepada adik-beradik mereka.

Jumlah harta kekayaan yang dikumpul mencecah RM50 juta hasil penyalahgunaan kuasa yang dipercayai bermula sejak 2010.

Pelajar Perubatan Hilang Selepas Keluar Dari Rumah


Diterbitkan: Rabu, 5 Oktober 2016 12:46 PM

Siti Fatimatuzzahrah Bumidin. Foto Bernama

SIBU: Seorang pelajar perubatan tahun akhir Segi College Sarawak yang sedang menjalani latihan di Hospital Sibu dilapor hilang selepas tidak kembali ke rumah pada Sabtu lalu.

Siti Fatimatuzzahrah Bumidin, 25, dari Ipoh, Perak dilihat oleh rakan-rakannya keluar daripada rumah mereka di Lorong 21, Taman Permai di sini kira-kira 1 tengah hari.

Dia bagaimanapun tidak menyatakan kepada rakan-rakan serumahnya ke mana dia hendak pergi, malahan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.

Bapa saudaranya, Ishak Rahmad iaitu jurugambar akhbar Utusan Malaysia yang menghubungi Bernama di sini meminta agar orang ramai menghubungi pihak polis jika mereka ternampak kelibat Fatimatuzzahrah yang memakai tudung, berketinggian 140 sentimeter dan berat 45 kilogram.

"Dia sepatutnya menduduki peperiksaan profesional perubatan, tapi tidak hadir," katanya.

Ishak berkata, laporan mengenai kehilangan anak saudarnya itu telah dibuat di Balai Polis Sentral Sibu oleh rakan serumanya pada 4.47 petang Selasa.

Pihak polis dilapor telah meminta bantuan pihak Lapangan Terbang Sibu untuk memeriksa sekiranya Fatimatuzzahrah telah keluar dari Sibu melalui lapangan terbang itu.

"Kita akan temubual rakan-rakan kolejnya dan akan menghubungi keluarganya jika ada perkembangan terbaharu," kata Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Supt Martin Khoo.

Balai Polis Sibu boleh dihubungi di talian hotline 084-322222. - Bernama

Dua Lelaki Pukul Pekerja Restoran Ditahan


Diterbitkan: Selasa, 4 Oktober 2016 10:49 PM

Gambar hiasan.

JOHOR BARU: Hanya gara-gara tidak berpuas hati kerana makanan dan minuman dipesan lambat tiba, dua lelaki sanggup bertindak di luar batasan dengan memukul dua pekerja restoran di sini, awal pagi Selasa.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira 4.25 pagi itu disedari anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan Taman Nusa Bestari, dan berjaya meleraikannya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Supt Noor Hashim Mohamad berkata dua lelaki tempatan berusia 26 tahun ditahan susulan itu kerana mengakibatkan dua pekerja restoran berkenaan, masing-masing warga Sri Lanka dan India berusia 28 dan 40 tahun mengalami kecederaan di muka, dahi dan badan.

"Pemeriksaan ke atas badan suspek tidak menjumpai sebarang senjata berbahaya malahan ujian air kencing terhadap mereka didapati negatif.

"Namun, berdasarkan siasatan awal, punca pergaduhan disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan minuman dan makanan yang dipesan lambat sampai," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, katanya. - BERNAMA

Pemuda Ditahan Disyaki Cabul Pelajar Tingkatan Tiga


Diterbitkan: Selasa, 4 Oktober 2016 9:39 PM

Gambar hiasan.

JOHOR BARU: Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan kerana disyaki terlibat mencabul seorang pelajar perempuan tingkatan tiga yang baru dikenalinya dalam applikasi WhatsApp, di Gelang Patah, dekat Iskandar Puteri pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Supt Noor Hashim Mohamad berkata dalam tangkapan pada pukul 3.15 petang itu, sebuah telefon bimbit milik suspek turut dirampas bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu bersama seorang rakannya yang kini sedang diburu.

Katanya, kejadian itu terbongkar apabila bapa pelajar itu membuat laporan polis di sini pada petang Ahad selepas menyedari mangsa telah hilang dari rumah sejak malam Sabtu.

Dalam laporan itu, bapa mangsa turut memberitahu dia ada menerima maklumat mengenai anaknya yang sedang dikurung di sebuah rumah, kata Noor Hashim dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Maklumat itu diperoleh daripada rakan anaknya dan dilaporkan mangsa turut ada menghantar lokasi rumah tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.

"Dalam usaha polis mengesan lokasi dan tempat mangsa dikurung, polis telah dimaklumkan bahawa mangsa telah berjaya diselamatkan oleh kakaknya di tepi jalan di Taman Nusantara," kata Noor Hashim.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang berusia 15 tahun itu telah keluar dari rumah keluarganya di Kampung Ulu Pulai, di sini, tanpa disedari anggota keluarganya.

Katanya, mangsa berbuat demikian untuk mengikut dua kenalan lelaki yang baru dikenalinya selama dua hari dalam aplikasi WhatsApp.

"Ketika bertemu dengan mereka (suspek), mangsa telah dibawa makan di sebuah restoran di Bukit Indah.

"Setelah selesai makan, mangsa turut dibawa ke rumah suspek di Taman Nusantara, Gelang Patah dan di situlah, kedua-dua suspek meraba dan mencium mangsa secara bergilir-gilir," kata Noor Hashim.

Menurut beliau, mangsa juga cuba melawan namun telah ditampar suspek.

Mereka juga didakwa cuba melakukan seks dengan mangsa namun tidak berbuat demikian apabila mendapati mangsa dalam keadaan datang bulan (haid).

"Apabila kedua-dua suspek berada di ruang tamu rumah, mangsa mengambil kesempatan menghubungi rakannya untuk meminta bantuan dengan menghantar lokasi rumah terbabit.

"Mangsa juga telah merayu kepada suspek agar menghantarnya pulang, sebelum ditinggalkan di tepi jalan dan diselamatkan oleh kakaknya," katanya.

Noor Hashim berkata kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan beliau menasihatkan ibu bapa agar memantau pergerakan dan aktiviti anak-anak di media sosial. - BERNAMA

Curi telefon bimbit, pengawal dipenjara 5 bulan


5 OKTOBER 2016
mahkamah

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan warga Nepal dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri dua telefon bimbit milik rakan senegaranya.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Lokendra Ranamagar, 29, dan memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 17 Ogos lepas.

Lokendra didakwa mencuri telefon bimbit itu yang masing-masing bernilai RM400 milik Lokenra Magar dan Til Bahabur Guring di rumah kongsi, atas pasar raya Chow Kit, di sini, pada 12 tengah hari, 17 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, manakala, bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya tertuduh boleh dipenjara dan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aftal Mariz Mohamed memohon hukuman setimpal bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dihantar pulang ke negaranya. - Bernama

Rogol anak tiri dalam ladang kelapa sawit


ADILA SHARINNI WAHID
4 OKTOBER 2016
Rogol anak tiri dalam ladang kelapa sawit

Rogol anak tiri dalam ladang kelapa sawit Tertuduh (dua,kanan) dikawal polis keluar dari mahkamah selepas dituduh.
KOTA BHARU – Seorang lelaki mengaku tidak salah di mahkamah sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan merogol anak tirinya dalam ladang kelapa sawit.

Tertuduh yang berusia 36 tahun itu dituduh merogol mangsa yang berusia 14 tahun 10 bulan antara jam 10 hingga 10.30 malam, 6 Mac lalu, di sebuah ladang kelapa sawit di Pahi, Kuala Krai.

Tertuduh didakwa di hadapan Hakim, Nazri Ismail. Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta minimum 10 rotan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Fahrul Razi Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, Fahrul Razi memohon tarikh sebutan lain untuk pengurusan kes dan tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh berikutan tuduhan serius yang dihadapi.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 November depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.

Sementara tertuduh akan ditahan sehingga tarikh sebutan semula susulan tiada jaminan dibenarkan hakim.

12 motosikal terbakar dipercayai angkara khianat

JENAYAH RABU, 5 OKTOBER 2016 @ 9:32 AM

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim mohd_iskandar@bh.com.my -

Foto ihsan Bomba

KUALA LUMPUR: Sebuah rumah, kereta dan 12 motosikal terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat di Flet Hang Tuah di sini, hari ini.

 Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.39 pagi sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian.

 "Anggota yang tiba terpaksa memecah masuk pintu sebuah unit kediaman di tingkat bawah flet berkenaan bagi memadamkan kebakaran pada bahagian dinding hadapan.

"Sebanyak 10 daripada 12 motosikal terbakar 100 peratus manakala sebuah kereta mengalami kerosakan pada bahagian bonet dan pintu kiri hadapan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui satu botol minyak dipercayai digunakan dalam kebakaran terbabit. - Foto ihsan Bomba


Bomba turut menemui satu botol minyak dipercayai digunakan dalam kebakaran terbabit. - Foto ihsan Bomba
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199000

Banduan merusuh kerana hamster mati




BAHAGIAN hadapan penjara HMP Stocken di Leicester, Britain. - Agensi



Agensi
Leicester (Britain): Kematian seekor hamster yang menjadi haiwan kesayangan seorang banduan mencetuskan satu rusuhan di sebuah penjara di sini yang menyebabkan kerugian lebih £12,000 (RM64,000).

Kejadian berlaku apabila empat banduan merusuh dengan merosakkan peralatan, perabot dan membakar bilik tahanan di penjara HMP Stocken, April tahun lalu.

Rusuhan itu berlaku selama empat jam sebelum pasukan khas menyerbu masuk menangkap semua banduan berkenaan.

Dalam satu perbicaraan di Mahkamah Diraja Leicester semalam, keempat-empat banduan berkenaan berang selepas pegawai penjara membuat pemeriksaan di bilik tahanan mereka.

Seorang banduan berkenaan dilaporkan marah selepas beberapa gambar peribadinya rosak manakala seorang lagi banduan sedih apabila hamster kesayangannya mati selepas pemeriksaan dilakukan.

Banduan di penjara itu dibenarkan membela haiwan peliharaan sebagai balasan kerana berkelakuan baik.

Pegawai penjara cuba memujuk banduan berkenaan tetapi gagal.

Pegawai penjara kemudian mengepung sebahagian penjara yang menempatkan 800 banduan bagi mengelak rusuhan merebak.

Keempat-empat banduan itu menjalani hukuman penjara lima hingga enam tahun atas kesalahan merompak.

Semua mereka dihukum tambahan penjara antara 20 hingga 22 bulan selepas mengaku bersalah bergaduh dan melakukan kerosakan jenayah. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 8:58 AM

Bunuh rebut stik



MORRIS

GRAY


Agensi
Memphis, Amerika Syarikat: Kerana berebut sepotong stik, seorang lelaki di sini sanggup membunuh cucunya sendiri apabila menikam mangsa dengan pisau.

Harold Gray, 65, didapati bersalah oleh mahkamah di sini atas tuduhan membunuh cucunya, Anthony Morris, 31, dalam satu pertengkaran pada 25 April 2014.

Menurut dokumen mahkamah, pertengkaran tercetus selepas Morris mahu mengambil sepotong stik di dalam peti sejuk di rumah mereka.

Gray yang mabuk ketika itu terus memarahi Morris kerana dia juga mahu memakan stik berkenaan sehingga berlaku pertengkaran antara mereka.

Secara tiba-tiba Gray mencapai pisau di dapur dan terus menikam cucunya di bahagian pangkal paha.

Isteri Gray, Mildred memberitahu mahkamah, dia cuba menghentikan pendarahan di paha Morris sementara menunggu ambulans tiba.

Bagaimanapun, Morris meninggal dunia akibat kehilangan banyak darah.

Mildred berkata, Gray mempunyai ketagihan arak yang teruk dan bertahun-tahun dia cuba membantu masalah suaminya itu.

“Apabila dia mabuk sikapnya seperti syaitan.

“Saya mahu dia berada di dalam penjara untuk tempoh yang lama. Saya berharap dia terus kekal di situ,” katanya kepada mahkamah.

Gray tidak memberi keterangan tetapi peguamnya memberitahu mahkamah, lelaki itu tidak berniat untuk membunuh cucunya itu.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Mahkamah Jenayah, Paula Skahan membuat keputusan Gray bersalah membunuh cucunya sendiri.

Hakim menetapkan 4 November ini sebagai tarikh hukuman dibacakan terhadap Gray.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 8:55 AM

Jari dalam mulut senduk hitam




Muaz Fitri menangis kesakitan.


Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my


Pasir Puteh: Seorang bayi lelaki berusia setahun enam bulan nyaris maut apabila digigit ular senduk ketika tidur di Kampung Gong Kulim, Semerak di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, mangsa, Mohamad Muaz Fitri Mat Khaizuan bagaimanapun sempat dikejarkan ke Hospital Tengku Anis (HTA), di sini sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu dan kini dilaporkan stabil.

Menceritakan detik cemas itu, ibu mangsa, Nur Farah Wahidah Ramli, 27, berkata, ketika kejadian anaknya tidur sendirian dalam bilik di kedai runcit miliknya sementara dia menidurkan seorang lagi anaknya juga kembar Mohamad Muaz, Muiz Fitri yang demam di luar bilik berkenaan.

Tiba-tiba, dia dikejutkan dengan tangisan kuat Mohamad Muaz sebelum bergegas ke bilik dan melihat jari telunjuk kanan anaknya berada di dalam mulut ular senduk hitam sepanjang setengah meter.

“Tanpa mempedulikan keselamatan diri, saya terus merentap dan menepis kepala ular senduk itu sekuat hati sehingga terpelanting dan hilang melarikan diri.

“Suami yang masuk terus menyedut bisa pada jari Mohamad Muaz yang sudah mula bertukar kebiruan sementara saya mengikat lengan anak dengan kain bagi mengelak bisa itu terus merebak.

“Melihat keadaan Mohamad Muaz yang terus menangis kesakitan, kami membawanya ke HTA untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Kecemasan dan Trauma, di sini, malam kelmarin.

Sementara itu, datuk bayi berkenaan, Ramli Mustapha, 54, berkata, ketika kejadian dia membina rumah sebelum dihubungi isterinya, Nor Azhar Mohamad, 53, memaklumkan cucu mereka dipatuk ular.

“Bimbangkan keselamatan kedua-dua cucu kami, saya berusaha mencari ular berkenaan sebelum menemuinya bersembunyi di celah kotak, berhampiran tempat tidur Mohamad Muaz.

“Saya memukulnya hingga mati sebelum diminta oleh menantu, Mat Khaizuan yang membawa reptilia itu ke hospital bagi memudahkan doktor mengenal pasti jenis serta spesiesnya,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 6:59 AM

Bayi dalam lubang tandas selamat




GAMBAR dari rakaman video menunjukkan bayi itu selepas dia ditarik keluar dari lubang tandas.


Agensi
Khujand: Seorang bayi yang baru lahir ditemui di dalam lubang najis di bawah tandas awam dengan beg plastik menyelubungi kepalanya.

Rakaman video menunjukkan kanak-kanak itu menangis selepas dia ditarik keluar dari lubang berkenaan dan plastik itu dicabut dari kepalanya.

Kejadian berlaku di bandar Khujand di wilayah Sughd, barat laut Tajikistan.

Seorang wanita dipercayai membungkus muka bayi berkenaan dengan plastik bagi memastikan tangisannya tidak didengari orang ramai sebelum membuangnya ke dalam tandas.

Bagaimanapun, mujur bayi itu dilihat oleh seorang penduduk yang menggunakan tandas itu sebelum dia meminta bantuan daripada jiran yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 7:59 AM

Asrama terbakar, lima pelajar dimasukkan ke HTAA


BERNAMA  |  04 Oktober 2016 3:53 PM


gim

Keadaan salah sebuah bilik di asrama lelaki Sekolah Menengah Teknik Kuantan yang musnah terbakar. - UTUSAN
KUANTAN 4 Okt. - Seramai 88 pelajar di Sekolah Menengah Teknik Kuantan yang sedang nyenyak tidur awal pagi tadi, dikejutkan dengan kejadian kebakaran melibatkan dua bilik di bangunan asrama lelaki sekolah itu.
Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Azmi Jaafar berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada 3.10 pagi dan tiba di lokasi kejadian 13 minit kemudian.
"Setibanya di lokasi, pihak kami mendapati dua bilik iaitu satu bilik bacaan dan satu lagi bilik gimnasium yang terletak di tingkat bawah bangunan asrama lelaki ini sudah terbakar 100 peratus.
"Ketika itu, terdapat seramai 15 pelajar lelaki terperangkap di blok bangunan asrama tiga tingkat ini, namun hasil tindakan pantas anggota bomba kesemua mereka berjaya diselamatkan," katanya di sini, hari ini.
Azmi berkata, bagaimanapun, pihaknya difahamkan lima pelajar lelaki telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapat rawatan lanjut kerana dipercayai mengalami asma akibat terhidu asap.
Sebanyak tiga jentera dengan 14 pegawai serta anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan terlibat dalam operasi berkenaan dan api dapat dipadam sepenuhnya pada 5.13 pagi.
Nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM30,000 tidak termasuk bangunan, dan punca kejadian berkenaan masih dalam siasatan. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/asrama-terbakar-lima-pelajar-dimasukkan-ke-htaa-1.390585#sthash.qeh01mTt.dpuf

Polis cari suspek kes pukul lelaki hingga mati


NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI  |  04 Oktober 2016 10:06 PM

LUMUT 4 Okt. - Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pukul hingga mati seorang penumpang teksi di sebuah stesen minyak di Batu 13, Segari dekat sini pada 5 September lalu.
TENGKU MOHD. ZAILAN TENGKU AHMAD

TENGKU MOHD. ZAILAN TENGKU AHMAD
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd. Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, suspek dipercayai seorang lelaki Melayu dan berusia dalam lingkungan 20-an.
Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari stesen minyak, suspek berada di tempat kejadian.
“Sebelum ini polis menahan enam suspek berusia 19 hingga 30 tahun berhubung kes ini, namun mereka telah dibebaskan tanpa syarat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini hari ini.
Tengku Mohd. Zailan juga meminta suspek menyerah diri bagi membantu siasatan kes tersebut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut agar menghubungi Deputi Superintenden Ahmad Hisham di talian 019-5753207 atau 05-5689 9053.
Dalam kejadian pada pukul 8.50 malam 5 September lalu, mangsa berusia 33 tahun menaiki teksi dari Sitiawan menghala ke Kuala Sepetang, Taiping bertindak agresif dan menyerang pemandu teksi berumur 49 tahun kerana menuduh lelaki itu mengambil cermin matanya.
Ekoran kejadian itu, orang ramai yang menyaksikan pergaduhan kedua-dua lelaki tersebut telah masuk campur dan memukul penumpang berkenaan.
Akibat pergelutan tersebut, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 10 pagi 16 September lalu. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-cari-suspek-kes-pukul-lelaki-hingga-mati-1.390612#sthash.FJuPuE14.dpuf