Search This Blog

Sunday, October 2, 2016

Stesen minyak kerugian RM200,000




POLIS menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar



Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Stesen minyak di Tunjung di sini kerugian lebih RM200,000 selepas disamun sekumpulan lelaki bertopeng, hari ini.

Dalam kejadian 2 pagi itu kumpulan lelaki yang turut membawa senjata melarikan peti besi mengandungi wang tunai, rokok dan dekoder kamera litar tertutup.

Pengawal keselamatan berusia 50 an turut diikat dan dikurung di dalam tandas sebelum ditemui oleh pekerja stesen minyak itu pada 6.30 pagi tadi.

Suspek dipercayai masuk ke dalam stesen minyak itu dengan menggunakan kunci yang diambil daripada pengawal keselamatan berkenaan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail mengesahkan kejadian berkenaan siasatan lanjut masih dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 4:32 PM

Pukul hingga maut



MAYAT ibu saudara yang dipukul dengan kayu. Foto Omar Osman


Omar Osman dan Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


Baling: Seorang lelaki mengamuk sebelum memukul adik dan ibu saudaranya sehingga maut di kediaman mereka di Kampung Lanai, Parit Parit Panjang, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.50 pagi itu, suspek, 31, dikatakan tiba-tiba mengamuk sebelum memukul adiknya, Muhammad Azuan Wahab, 25, yang lumpuh dengan pengukur kelapa dan kayu di kepala menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut sumber, bagaimanapun ibu saudara mereka, Rokiah Abdullah, 52, yang tinggal berhampiran rumah mereka mendengar bunyi bising sebelum datang untuk memeriksa.

"Namun sebaik melihat ibu saudaranya, suspek terus keluar dan memukul kepala wanita dengan bata menyebabkan mangsa terjatuh dan meninggal dunia.

"Selepas mengamuk suspek tidak melarikan diri sebelum kejadian itu disedari ibunya yang kemudian meminta bantuan orang kampung yang kemudian menahan dan mengikatnya di pokok sebelum menghubungi polis," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 2:39 PM

Tak sempat hadir konvokesyen



MANGSA (gambar kecil) meninggal dunia selepas kereta dipandu terbabs di Sungai Tengar. FOTO Mohd Shukor Amin dan ihsan Bomba

Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my


Sabak Bernam: Graduan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) Sabak Bernam maut selepas kereta dipandunya terbabas di Sungai Tengar, dekat sini ketika dalam perjalanan menghadiri konvokesyennya di PSIS kira-kira, 8 pagi tadi.

Difahamkan mangsa, Nurul Azmina Alias, 21, yang berasal dari Cheras memandu kereta bapanya bersendirian untuk ke PSIS sebelum terbabas dan terjunam ke dalam parit sedalam kira-kira dua meter.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan 8.14 pagi dan lima anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam bergegas ke lokasi.

"Kemalangan membabitkan kereta yang terbabas sendiri dan ketika anggota tiba di lokasi mangsa sudah dikeluarkan orang awam.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Mangsa sepatutnya menerima Diploma Alam Sekitar, pagi tadi dalam sesi kedua.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Azmi Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 12:52 PM

Dua sahabat maut kemalangan




SEORANG daripada mangsa yang maut dalam kemalangan. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal



Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


Georgetown: Dua sahabat karib maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, mangsa yang maut menunggang motosikal jenis Yamaha LC manakala mangsa cedera menunggang Yamaha Ego.

Difahamkan, kedua motosikal berkenaan dirempuh kereta yang datang dari arah pusat bandar ke Bayan Baru.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Faris Mohd Nasir, 19, dan Yusman Arif Jamaludin, 20, masing-masing berasal dari Jalan Tengah, Bayan Baru.

Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu lelaki berusia 20-an itu gagal mengelak jentera penurap jalan yang diletakkan di tepi jalan sebelum merempuh mangsa.

Sumber berkata, mangsa tercampak kira-kira 10 meter manakala seorang lagi mangsa dilaporkan parah akibat dilanggar kenderaan lain.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 8:47 AM

Lima motosikal kemalangan




MOTOSIKAL yang terbakar dalam kemalangan. FOTO ihsan pembaca


Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


Kepala Batas: Lima motosikal terbabit kemalangan di Jalan Permatang Binjai, dekat sini, menyebabkan dua daripadanya terbakar, 7.30 malam tadi.

Sebuah kereta turut terbabit dalam kemalangan itu.

Menurut saksi, sebuah motosikal dari arah Teluk Air Tawar menghala pekan ini merempuh kereta yang datang dari pekan ini menghala ke Butterworth.

"Motosikal terbabit bertembung dengan kereta sebelum terbakar.

"Pada masa sama empat lagi penunggang tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.

"Semua mangsa cedera di kaki dan tangan dan seorang mangsa meninggalkan tempat kejadian," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 10:13 AM

Wanita disyaki pelacur ditahan




ANTARA wanita yang ditahan. FOTO ihsan Polis



Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


Georgetown: Polis Pulau Pinang menahan enam wanita Indonesia disyaki pelacur dalam Ops Noda di Kampung Deli, 7 malam tadi.

Dalam operasi itu, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat Dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) turut menahan enam pelanggan serta lelaki dan wanita dipercayai penjaga wanita warga asing berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil intipan dan maklumat awam itu pihaknya berjaya membongkar kegiatan persundalan yang dijalankan di situ.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan keenam wanita warga Indonesia berusia antara 19 hingga 30-an ditemui berada di dalam premis itu.

Katanya, polis turut menahan seorang lelaki dan wanita berusia 48 tahun yang disyaki bapa dan ibu ayam yang melindungi dan mengajikan wanita warga asing tanpa kebenaran.

"Hasil pemeriksaan, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan, empat lelaki Nepal dan satu Myanmar berusia antara 21 hingga 29 tahun yang disyaki pelanggan.

"Kesemua mereka kemudian dibawa ke IPDTL untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba mengeksploitasi mana-mana orang dengan tujuan pelacuran dan sekiranya disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun atau sebatan dan juga dikenakan denda.

"Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 372B kanun yang sama kerana cuba menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 55 (b) kanun yang sama iaitu melindungi dan mengajikan pekerja warga asing secara haram dan Peraturan 39 (b) Akta Imigresen 1959/1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda F tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 12:38 PM

25 penagih dicekup




PENGUATKUASA AADK menyoal penagih yang ditahan dalam Ops Cegah 5 di Lembah Raja, Kepala Batas. FOTO Zulfa Mohamad



Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


Kepala Batas: Lebih 25 penagih termasuk remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan dalam Ops Cegah 5 di dua lokasi sekitar pekan ini bermula 7 pagi tadi.

Remaja berkenaan yang tidak bersekolah mendakwa mengambil dadah jenis syabu sejak awal tahun ini.

Dia ditahan penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di ladang kelapa sawit , Lembah Raja yang dijadikan 'port' melepas gian.

Selain Lembah Raja, Bakau Tua turut menjadi tumpuan operasi selain mengesan penagih dari rumah ke rumah.

Semua yang ditahan dibawa ke pejabat cawangan AADK Kampung Selamat untuk proses dokumentasi.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 1:13 PM

Maut motosikal bertembung kereta




ANTARA motosikal yang terbabit kemalangan. FOTO Facebook/Info Rakyat Dalam Kelantan


Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Tiga penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan dua kereta dalam kejadian di Jalan Salor Baru, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu Tan Cheng Ming, 15, Koh Kok Penn, 22, dan Wee Teck Ming, 19 maut di tempat kejadian akibat parah.

Seorang daripada mangsa yang maut turut putus tangan kanan.

Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, ketika kejadian semua mangsa menunggang motosikal dari Kota Bharu menghala ke Pasir Mas.

Kataanya, apabila tiba di lokasi kejadian Tan yang menunggang motosikal Yamaha RXZ melanggar Proton Satria yang datang dari arah bertentangan.

"Dua lagi mangsa yang masing-masing menunggang Yamaha 125Z yang cuba mengelak kemalangan itu merempuh Nissan Frontier yang datang dari arah bertentangan.

"Ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian akibat parah dan dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat," katanya.

Baharom berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 11:32 AM

Lelaki bunuh diri dalam kereta

AHAD, 2 OKTOBER 2016 @ 3:57 PM

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof mohdfahmi@bh.com.my

 MAYAT Goo Teck Hau ditemui dalam kereta miliknya di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Kelicap, Senggarang, Batu pahat. - Foto ihsan PDRM

BATU PAHAT: Misteri kehilangan seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah terjawab selepas mayatnya ditemui dalam kereta miliknya di sebuah kebun kelapa sawit, Kampung Kelicap, Senggarang dekat sini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata mayat Goo Teck Hau, 26, ditemui tersandar dalam kereta Toyota Vios dengan kesan kulit kaki melecur dipercayai kesan haba dalam kenderaan itu, kira-kira jam 6.35 petang semalam.

Katanya, turut ditemui di tempat duduk belakang kereta berkenaan satu tin mengandungi bara dan bekas kertas terbakar, dipercayai sengaja dibakar mangsa dan mengunci rapat dirinya di dalam kereta berkenaan untuk membunuh diri.

 "Isteri mangsa memaklumkan kepada polis suaminya itu tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi sejak Khamis lalu kira-kira jam 11 pagi sebelum laporan polis dibuat. "Mangsa seorang pengusaha kedai menjual dan membaiki telefon dan turut ditemui bersama mangsa ialah buku catatan berwarna merah yang tertulis dalam bahasa Cina bermaksud 'saya ada masalah judi, ada banyak hutang.

Saya tidak dapat jaga isteri dan anak lagi'," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Abdul Wahib berkata, pihak polis mengesahkan tiada kesan pecah kenderaan selain tiada unsur jenayah dan mangsa dipercayai membunuh diri dengan menutup semua tingkap dan membakar kertas sehingga ruangan dalam kereta dipenuhi asap.

 "Mayat mangsa dihantar ke Hospital Batu Pahat bagi tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/198190

Polis cari pemandu kereta terlibat kemalangan maut


02 Oktober 2016 11:41 AM
Langgar lari


Langgar lari
KEADAAN kereta yang melanggar dua motosikal di Lebuhraya Tun Dr. Lee Chong Eu pagi tadi. Kejadian 4.40 pagi itu terjadi setelah sebuah kereta jenis Honda City merempuh dua motosikal yang dinaiki dua lelaki berusia 19 dan 21 tahun. Akibat rempuhan itu kedua-dua mangsa tercampak sejauh kira-kira 10 meter dan maut ditempat kejadian. - BERNAMA
GEORGETOWN 2 Okt. - Polis sedang mengesan pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan dua orang maut di Lebuhraya Lim Chong Eu awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata, siasatan awal polis mendapati kereta berkenaan yang dipandu seorang lelaki dalam perjalanan ke Bayan Lepas apabila bertembung dengan dua motosikal.
"Kedua-dua mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kami sedang mencari pemandu kereta terbabit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Mohamad Faris Md. Nasir, 19, dari Bayan Lepas dan Yusman Arief Jamaluddin, 21, dari Taman Sri Gedung Sg Petani, Kedah yang bekerja sebagai posmen.
Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/polis-cari-pemandu-kereta-terlibat-kemalangan-maut-1.389546#sthash.cf5sLRBC.dpuf

Lelaki belasah adik, mak saudara hingga mati

AHAD, 2 OKTOBER 2016 @ 4:03 PM

 Oleh Omar Osman bhnews@bh.com.my

BALING: Seorang lelaki disyaki memukul adik lelakinya berusia 25 tahun yang lumpuh dan ibu saudara mereka, 52, menyebabkan kedua-dua mereka maut dalam kejadian di Kampung Lanai, Parit Panjang dekat Baling, kira-kira jam 9.50 pagi tadi. Suspek yang berlegar di lokasi kejadian selepas itu ditahan penduduk kampung. Jurucakap polis berkata, suspek berusia 31 tahun itu dikatakan tiba-tiba mengamuk dan memukul adik lelakinya, Muhammad Azuan Wahab, yang terbaring akibat lumpuh, menggunakan pengukur kelapa dan kayu, menyebabkan mangsa cedera parah dan mati di tempat kejadian. Pada masa sama, katanya, ibu saudara mereka, Rokiah Abdullah, yang tinggal tidak jauh dari rumah itu, bergegas datang sejurus mendengar bunyi bising untuk menyiasat, sebelum turut dipukul suspek sehingga mati. Berdasarkan maklumat, suspek tidak melarikan diri dan orang kampung yang berjaya menahannya menghubungi polis untuk tindakan susulan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/198193

Murid perempuan maut dalam nahas


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 OKTOBER 2016



KLANG - Seorang murid perempuan tahun satu sekolah di sini maut dalam satu kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah kereta di Jalan Paip Meru, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian lebih kurang 12.30 itu, mangsa, Afyna Zahirah Abdul Muiz yang merupakan pembonceng maut di tempat kejadian. Manakala, penunggang yang berusia 38 tahun dilaporkan patah tangan kiri dan kini keadaan stabil.

Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin  berkata, insiden berlaku apabila motosikal di bonceng mangsa terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Kancil yang sedang membelok ke kanan

“Akibat pelanggaran itu mangsa tercampak ke lorong kanan. Mayat dan kenderaan telah dialihkan ke tepi kanan jalan dari arah Pekan Meru ke Puncak Alam.

“Ketika kejadian, keadaan cuaca baik dan cerah serta permukaan jalan kering. Juga tidak terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat

Menurut Sahimi lagi, saksi kejadian diminta tampal bagi membantu siasatan polis.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dua rumah, dua kedai musnah terbakar


ADILA SHARINNI WAHID
2 OKTOBER 2016
Dua rumah, dua kedai musnah terbakar

Dua rumah, dua kedai musnah terbakar
KOTA BHARU - Dua unit rumah dan kedai musnah dalam kebakaran di Jalan Kelochor, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian jam 3.30 pagi itu memusnahkan sebahagian besarnya premis itu, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan II, Ismadi Mohamad Taib berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 4.12 pagi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, sebuah rumah yang terbabit sudah 50 peratus terbakar.

“Usaha memadam api dijalankan sebaik mungkin dan api kemudian dapat dikawal sepenuhnya jam 5 pagi.

“Pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian dan jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Operator kilang maut motosikal terperosok bawah lori


MASTURAH SURADI
2 OKTOBER 2016
Operator kilang maut motosikal terperosok bawah lori

Operator kilang maut motosikal terperosok bawah lori Mangsa yang mengalami cedera parah maut di lokasi kejadian. Gambar kecil: Motosikal mangsa terperosok bawah lori selepas terlibat kemalangan di kilometer 49.5 Jalan Johor Bahru-Mersing berhadapan Hutan Lipur Panti malam tadi.
KOTA TINGGI - Hajat seorang operator mesin kilang yang perjalanan pulang ke rumah mertuanya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di kilometer 49.5 Jalan Johor Bahru - Mersing berhadapan Hutan Lipur Panti malam tadi.

Mangsa, Farhan Aziz, 26, maut di lokasi kejadian selepas motosikal jenis Kawasaki Ninja ditunggang terperosok di bawah lori berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kejadian kira-kira jam 7.35 malam itu dipercayai berlaku apabila  lori dari arah Johor Bahru telah berhenti di tengah-tengah jalan untuk menyeberangi jalan sebelah kanan, sebelum dilanggar motosikal ditunggang mangsa dari arah Mersing.

"Motosikal tersebut yang menghala ke Kota Tinggi telah melanggar bahagian tengah lori berkenaan. Akibat dari kemalangan itu, penunggang telah mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Motosikal mangsa turut mengalami kerosakan teruk akibat terperosok di bawah lori manakala lori hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian tengah kiri lori. Pemandu lori berusia 52 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya, hari ini.

Tambah Rahmat, hasil siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Kim Long menghala ke rumah mertua di Taman Laksamana.

Katanya, tempat kejadian merupakan jalan dua hala yang lurus serta terdapat garisan putih putus-putus di tengah jalan.

"Permukaan jalan kering dan cuaca baik pada malam hari ketika kejadian berlaku. Kawasan persekitaran merupakan kawasan hutan simpan yang mempunyai kawasan hentian rehat.

"Tiada saksi bebas menyaksikan kemalangan tersebut," katanya lagi.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk urusan bedah siasat manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Warga tempatan antara ditahan disyaki jadi pelacur


SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
2 OKTOBER 2016
Warga tempatan antara ditahan disyaki jadi pelacur

Warga tempatan antara ditahan disyaki jadi pelacur Kesemua wanita ini dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di sebuah rumah tumpangan di Kampung Deli ditahan.
GEORGETOWN - Tujuh wanita termasuk seorang warga tempatan dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran dicekup sepasukan polis di sebuah rumah tumpangan di sini malam semalam.

Warga tempatan dari Sabah bersama enam lagi warga Indonesia itu dicekup dalam Op Noda di sebuah rumah tumpangan di Kampung Deli di sini kira-kira jam 7 malam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, selain tujuh wanita berkenaan, seorang lelaki dipercayai penjaga rumah tumpangan itu yang berusia 48 tahun turut ditahan.

Menurutnya, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut.

"Hasil serbuan, kita menahan kesemua wanita berusia lingkungan 19 hingga 31 tahun itu kerana disyaki menganjur kegiatan pelacuran dan melanggar syarat pas lawatan sosial kerana bekerja sebagai pelacur. Sementara lelaki yang dipercayai penjaga rumah tumpangan itu ditahan kerana mengaji dan melindungi wanita warganegara asing yang bekerja sebagai pelacur.

"Selain itu, kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan, empat lelaki Nepal dan seorang lelaki Myanmar dipercayai pelanggan untuk siasatan lanjut. Mereka berusia lingkungan 21 hingga 29 tahun," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan, Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.

Lelaki maut digilis lori


WARTAWAN SINAR HARIAN
1 OKTOBER 2016
Lelaki maut digilis lori

Lelaki maut digilis lori Motosikal ditunggangi mangsa merempuh bahagian belakang kereta Proton Iswara. Gambar kecil: Aznam
SEREMBAN – Seorang penunggang motosikal maut digilis lori selepas merempuh kereta rosak di bahu jalan dalam kemalangan di Kilometer 37.8 Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas) arah utara di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 7.47 pagi itu berlaku selepas motosikal ditunggangi mangsa, Aznam Mohd Lasim, 45 melanggar bahagian belakang sebuah kereta rosak menyebabkannya tercampak ke tengah jalan sebelum digilis lori.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan ke tempat kerja di Nilai dari rumahnya di Sikamat.

“Namun sebaik sampai di lokasi, mangsa telah melanggar bahagian belakang sebuah kereta Proton Iswara yang diletakkan di bahu jalan kerana mengalami kerosakan.

“Pemilik kereta tersebut telah meletakkan tiga kon di belakang kenderaannya, namun berkemungkinan mangsa tidak melihatnya," katanya.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan mangsa tercampak ke kanan jalan sebelum digilis oleh sebuah lori yang datang dari arah sama.

Muhamad Zaki berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat.

“Setakat jam 3 petang hari ini (semalam), polis belum menerima laporan daripada pemandu lori berkenaan.

“Polis membuat permohonan untuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak Lekas untuk mendapatkan maklumat mengenai kenderaan itu dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Didenda RM5,000 pamer nombor plat motosikal palsu


WARTAWAN SINAR HARIAN
1 OKTOBER 2016
Didenda RM5,000 pamer nombor plat motosikal palsu

Didenda RM5,000 pamer nombor plat motosikal palsu Ahmad Daniel (kiri) didenda RM5,000 atau setahun penjara oleh Mahkamah Majistret.
AYER KEROH - Gara-gara mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikal, seorang lelaki dikenakan denda RM5,000 atau penjara setahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Ahmad Daniel, 22, dari Alor Gajah itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Analia Kamaruddin selepas jurubahasa mahkamah membacakan kertas pertuduhan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai penunggang motosikal mempamerkan nombor plat bukan kepunyaan kenderaan itu di Jalan Munshi Abdullah, kira-kira jam 11 pagi, 27 April lalu.

Dia boleh dihukum mengikut Seksyen 108(3)f Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan denda RM20,000 atau penjara satu hingga lima tahun.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Nazif Ezra Abdul Rahman memohon mahkamah mengenakan hukuman yang wajar berikutan tertuduh mempunyai enam rekod jenayah lampau iaitu lima darinya bersabit Seksyen 379A Kanun Keseksaan dengan mencuri motor dan positif ujian air kencing, selain mempunyai 20 waran tangkap kerana tiada lesen memandu sejak 2012.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela itu merayu hukumannya berjalan serentak, selain memberi alasan menanggung isteri dan seorang anak kecil.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Analia mengenakan denda RM5,000 bagi  atau penjara satu tahun jika gagal bayar, serta mengenakan RM6,000 bagi semua waran tangkap yang dikeluarkan, atau penjara satu tahun dan 10 bulan jika gagal bayar.

Ditahan selepas baru dapat stok dadah


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 OKTOBER 2016
Ditahan selepas baru dapat stok dadah

Ditahan selepas baru dapat stok dadah A Asmadi (kanan) melihat pemeriksaan dijalankan dalam Ops Pencegahan Jenayah di Kuala Sungai Baru.
ALOR GAJAH - Baru mendapat stok dadah, bagaimanapun seorang remaja lelaki tidak sempat menikmatinya apabila dia ditahan sepasukan polis di tepi jalan di Kuala Sungai Baru di sini.

Menurut sumber, dalam kejadian Khamis lalu, remaja berusia 20 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mengambil stok ditahan selepas singgah di sebuah pasar raya, kira-kira jam 5.30 petang.

"Lelaki yang menggelabah cuba lari daripada polis beberapa meter dari pasar raya namun gagal, dan pemeriksaan pada badannya menemukan dua paket plastik berisi dadah disyaki syabu.

"Dia dipercayai baru menyambar stok dan mahu balik ke rumah untuk hisap dadah tapi tak sempat selepas ditahan di kawasan berhampiran pasar raya terbabit," katanya.

Sementara itu, Superintenden A Asmadi Abd Aziz berkata, lelaki berkenaan didapati positif dadah disyaki methampetamine selepas dibawa ke Balai Polis Kuala Sungai Baru untuk menjalani ujian saringan urin.

"Remaja itu ditahan kerana memiliki dadah syabu seberat kira-kira 3 gram dan siasatan ke atasnya dilakukan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Dia yang bekerja sebagai buruh ditahan dalam Ops Pencegahan Jenayah (Op Lejang Khas) di sekitar kawasan Sungai Tuang dan Kuala Linggi dari jam 3 hingga 7 petang pada 29 September lalu," katanya di sini, semalam.

A Asmadi berkata, dua lelaki warga Indonesia dipercayai pendatang asing tanpa izin (Pati) turut ditahan ketika pemeriksaan secara rawak dalam operasi selama empat jam itu.

"Kedua-dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal bersama-sama dan pemeriksaan dilakukan mendapati mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan.

Asmadi berkata, operasi berkenaan akan dilanjutkan di sekitar Alor Gajah sehingga hari ini sebagai usaha untuk menangani kes kecurian motosikal yang menjadi penyumbang utama indeks jenayah di Melaka iaitu kira-kira 45 peratus.

"Tumpuan adalah untuk mengesan suspek serta pemilik dan pengguna motosikal curi, selain aktiviti penagihan dan pemilikan dadah yang tidak dinafikan sebahagiannya mempunyai hubung kait dengan kes curi motosikal untuk menampung pembelian dadah.

"Selain itu, operasi ini juga bagi mengekang aktiviti pecah rumah serta ragut di kawasan Kuala Sungai Baru sebagai destinasi riadah dan hujung minggu yang popular," katanya.

Beliau berkata, seramai 28 anggota terlibat dalam operasi itu, termasuk Sukarelawan Polis Diraja Malaysia dan Rela.

Pekerja kilang maut nahas


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 OKTOBER 2016
Pekerja kilang maut nahas

Pekerja kilang maut nahas Keadaan kedua-dua kereta yang bertembung secara berhadapan dalam kemalangan, semalam.
TELUK INTAN – Seorang pekerja kilang maut manakala dua cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 10 Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, pemandu kereta Proton Saga, Chong Peng Tiam, 40, dari Jalan Pasir Bedamar, maut di lokasi manakala pemandu kereta Nissan Sylphy mengalami pendarahan dalam perut.

Seorang lagi wanita berusia 20 tahun yang juga penumpang Nissan Sylphy turut mengalami kecederaan retak tulang tangan kanan akibat kemalangan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Yahaya Hassan berkata, siasatan mendapati kereta Nissan Sylphy dipandu lelaki berusia 22 tahun itu dipercayai cuba memotong kenderaan lain di laluannya sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung secara berhadapan dengan kereta Proton Saga berkenaan.

“Kemalangan itu mengakibatkan pemandu kereta Proton Saga tersepit di tempat duduknya dan maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dikeluarkan anggota bomba dan dihantar ke Hospital Teluk Intan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian turut mendapati keadaan jalan bertar lurus dan kering serta cuaca baik.

“Setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dakwa anak dipukul ketika dalam tahanan


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 OKTOBER 2016
Dakwa anak dipukul ketika dalam tahanan

Dakwa anak dipukul ketika dalam tahanan Bapa mangsa menunjukkan dua laporan polis yang dibuat pada 28 dan 30 September lalu.
IPOH – Polis akan menyiasat laporan dibuat seorang bapa yang mendakwa anak lelakinya dipukul sehingga cedera ketika berada dalam tahanan polis selepas diberkas di rumahnya di Taman Malar, 23 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nor Rasid mengesahkan pihaknya ada menerima dua laporan polis berhubung insiden berkenaan.

“Berikutan itu, kita akan menjalankan siasatan mengenai dakwaan yang dibuat bapa remaja berkenaan,” katanya.

Sebelum itu, bapa kepada remaja berusia 17 tahun itu mendakwa anaknya ditahan sekumpulan anggota dan pegawai polis yang menjalankan Operasi Cantas kerana dipercayai terbabit dalam Geng Guna.

Dia mendakwa, anaknya bersama beberapa tahanan lain dipukul menggunakan beberapa peralatan seperti kerusi besi, paip dan kasut sewaktu ditahan di lokap Balai Polis Sungai Senam.

“Sewaktu saya ke lokap untuk berjumpa dengannya pada 25 September lalu, saya dapati ada kesan luka di bahagian atas bibir kirinya serta memberitahu perutnya sakit akibat ditumbuk. Selain itu, dia juga dibawa ke Balai Polis Bercham dan dipukul di sana,” dakwanya.

Dia ditemui selepas membuat laporan polis berhubung insiden itu di Balai Polis Bercham di sini. Laporan polis pertama dibuat di balai sama pada Rabu lalu.

Dalam perkembangan sama, dia turut terkejut apabila anaknya dibawa ke hospital pada jam 1 pagi oleh anggota polis yang menahan anaknya.

“Pegawai polis terbabit menggunakan kuasa mengambil anak saya dari lokap dan membawanya ke hospital sedangkan anggota polis yang sepatutnya bertanggungjawab adalah pegawai penyiasat,” katanya.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, anaknya mengaku tidak melakukan jenayah dan dibebaskan Khamis lalu selepas tempoh reman tamat.

“Bagaimanapun, dia berada dalam keadaan trauma dan masih sakit di bahagian belakang badan dan gigi,” katanya.

13 Kanak-Kanak Disahkan Positif Rotavirus Di Kedah


Diterbitkan: Sabtu, 1 Oktober 2016 8:46 PM

ALOR SETAR: Sejumlah 13 daripada 17 kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital kerana mengalami muntah dan cirit-birit selepas mandi di taman tema air Bukit Merah Lake Town Resort, Perak, disah positif Rotavirus.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata tiga lagi kes masih menunggu keputusan ujian makmal dan satu kes diberi rawatan pesakit luar.

"Sejumlah 13 kanak-kanak masih dirawat di hospital dan dilaporkan stabil manakala tiga lagi telah dibenarkan keluar," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Kesemua mangsa dimasukkan ke hospital akibat muntah dan cirit-birit setelah berkunjung ke taman tema itu pada 28 Sept lalu, dengan tujuh kes pertama direkodkan pada hari yang sama.

Susulan itu, dua kes lagi direkodkan masing-masing pada 29 dan 30 September, serta enam kes baharu hari ini membabitkan kanak-kanak berumur antara setahun dan sembilan tahun.

Dr Norhizan berkata daripada enam kes baharu hari ini, tiga daripadanya dirawat di sebuah hospital swasta di Sungai Petani, tiga di Hospital Kulim dan seorang dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Selama, Perak.

Rotavirus adalah sejenis virus yang menyebabkan jangkitan perut dan usus dan sering menyerang kanak-kanak terutamanya yang berumur lima tahun ke bawah dengan gejala seperti cirit-birit, muntah, demam dan sakit perut.

Pelajar Senior Rogol Rakan Sekolah Dalam Bilik Stor


Diterbitkan: Sabtu, 1 Oktober 2016 10:57 AM

MELAKA: Dua pelajar senior didakwa merogol pelajar perempuan berusia 13 tahun di dalam kawasan sekolah di Jasin dekat sini.
Pelajar perempuan tingkatan satu itu mendakwa diheret masuk ke dalam bilik stor oleh dua pelajar senior kira-kira pukul 2.30 petang Selasa.
Sebaik berada di bilik itu, kedua-dua pelajar senior itu didakwa menanggalkan pakaian mangsa sebelum merogolnya.
Seorang kakitangan pentadbiran yang melalui kawasan kejadian, terdengar bunyi teriakan dan bergegas masuk ke dalam bilik stor itu untuk melakukan pemeriksaan.
Terkejut dengan kehadirannya, dua pelajar lelaki itu melarikan diri dan pelajar perempuan itu dibawa ke pejabat pengetua.
Semasa di bilik pengetua, pelajar wanita itu menceritakan bagaimana dia diheret masuk ke dalam bilik stor dan dibogelkan sebelum dirogol.
Difahamkan salah seorang pelajar lelaki mengaku melakukan perbuatan itu ketika disoal siasat pada keesokan harinya.
Namun dia mendakwa pelajar perempuan itu membenarkan perbuatan seksual tersebut.
Satu laporan polis dibuat di balai polis Jasin pada Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata polis menahan dua pelajar lelaki berusia 14 dan 15 tahun untuk membantu siasatan kes tersebut.
"Kami sudah menghantar gadis itu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Siasatan sedang dijalankan atas kesalahan rogol statutori," katanya.
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin mengakui amat terkejut dan tidak percaya insiden seperti itu berlaku.
"Perbuatan itu berlaku di dalam kawasan sekolah pada waktu siang. Sudah tiba masanya pihak sekolah memperketatkan kawalan keselamatan," katanya.

Rasuah: Inspektor Polis Dipenjara Dua Tahun, Denda RM20,000


Diterbitkan: Jumaat, 30 September 2016 6:46 PM

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis wanita yang sarat mengandung menangis teresak-esak selepas dihukum penjara dua tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi akibat bersetuju menerima rasuah RM4,000.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azah Kasran terhadap pembebasan Inspektor Suriati Mohd Shafie, 35, yang hamil sembilan bulan, daripada pertuduhan itu.

Selepas mendengar keputusan itu Suriati menangis teresak-esak dan dia kemudiannya ditenangkan oleh rakan-rakan wanitanya.

Ab Karim berkata mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Nasir Nordin, telah terkhilaf semasa membuat keputusan di akhir kes pembelaan yang melepas dan membebaskan Suriati pada 23 Jan 2015. 

Beliau memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda dan mengarahkannya menjalani hukuman penjara dua tahun itu bermula hari ini. 

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sehingga rayuannya di Mahkamah Rayuan selesai dan membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata rasuah adalah kesalahan serius terutama bagi mereka yang menjaga keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang kerana melibatkan amanah dan integriti bukan sahaja kepada seseorang bahkan kepada jabatan dan masyarakat.  

"Sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor yang menjalankan penyiasatan,kamu seharusnya memegang amanah untuk menjalankan tugas dengan penuh integriti, malangnya, kamu tidak berbuat demikian.

"Kesalahan rasuah jika tidak dibendung akan menular seperti kanser dan akan melumpuhkan pentadbiran negara," katanya.

Terdahulu, peguam G. Subramaniam Nair yang mewakili Suriati selaku responden, merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya sedang mengandung sembilan bulan selain mempunyai dua anak yang masih kecil.

Suriati yang berkhidmat 10 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa bersetuju menerima rasuah RM4,000 daripada Nurullizean Yahya sebagai dorongan membantu melepaskan suaminya, Tchouanseu Tchounga Armand, warga Cameroon yangdisyaki terlibat kes samun. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bilik pejabat Tingkat 3, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields (Balai Polis Petaling), antara 8.30 malam dan 9.30 malam pada 22 Jan 2013.

Pegawai polis itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebihtinggi.

Sementara itu mahkamah turut memerintahkan Suriati membela diri terhadapsatu lagi pertuduhan meminta suapan RM6,000 daripada Nurullizean sebagai dorongan membantu melepaskan suaminya itu pada 1 tengah hari, di tempat dan hari sama, mengikut Seksyen 16(a)(B) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi pegawai polis ASP S. Ravintharan, 53, yang turut didakwa bersama-sama Suriati bagi pertuduhan bersetuju menerima rasuah di tempat dan tarikh sama, antara 8.30 malam dan 9.30 malam juga diarah membela diri. 

Ravintharan selaku responden yang diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincentsebelum ini turut dilepaskan dan dibebaskan. 

Mahkamah menetapkan 6 Okt untuk Suriati dan Ravintharan membela diri.  -Bernama

Pemandu Bas Parah Rempuh Gajah


Diterbitkan: Ahad, 2 Oktober 2016 9:49 AM

BANGKOK: Seorang pemandu bas persiaran cedera parah apabila melanggar seekor gajah yang berkeliaran di kawasan lebuh raya yang menghubungkan ibu negara Thailand ke wilayah Chiang Mai pada Jumaat malam.
Bagaimanapun kesemua 25 penumpang bas tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kejadian berkenaan berlaku di daerah Hang Chat dan sempat dirakamkan oleh seorang pengguna lalu lintas yang memberhentikan kereta bagi memberi laluan kepada gajah jantan tersebut.
Beberapa pemandu sempat mengelak daripada melanggar gajah berkenaan tetapi bas yang dipandu laju oleh Narit Jittrong, 45, gagal mengelak haiwan tersebut, sebaliknya merempuh dan mengheret mamalia berkenaan hampir 100 meter.
Rakaman video berkenaan kemudiannya menunjukkan gajah itu mati dalam keadaan tersepit di bawah tayar kanan bas tersebut manakala Jittrong mengalami kecederaan parah akibat tersepit di tempat duduk pemandu.
Pasukan penyelamat mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan mangsa sebelum membawanya ke hospital berhampiran.
Timbalan Ketua Unit Siasatan Hang Chat, Virot Saeng-iem berkata, siasatan mendapati gajah itu terlepas dari kandangnya dan tersesat masuk di kawasan lebuh raya.
"Bas berkenaan sedang menyusuri bukit Khun Tan pada waktu kejadian dan pemandunya tidak nampak gajah itu akibat pemandangan gelap.
"Gajah itu pernah terlepas pada 8 September lalu dan ditemukan mencari makanan di kawasan hutan berdekatan lebuh raya Khun Tan," ujarnya.

Pemuda maut tersepit, dua cedera dalam kemalangan


1 OKTOBER 2016
 Pemuda maut tersepit, dua cedera dalam kemalangan

 Pemuda maut tersepit, dua cedera dalam kemalangan Keadaan kereta Myvi remuk setelah dirempuh sebuah lori - Foto Bernama
SEPANG - Seorang maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori di Jalan Pekeliling 4, menghala ke Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira 2 petang itu, Shafik Shazwan Ramli, 32, berasal dari Shah Alam, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di dalam Perodua Myvi yang dipandunya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat KLIA ketika dihubungi Bernama berkata kereta yang dipandu mangsa dirempuh dari belakang oleh sebuah lori seberat 1.5 tan sehingga menyebabkan kereta mangsa merempuh sebuah lagi kereta Perodua Axia.

"Pihak kami mengambil masa kira-kira 1 jam 15 minit untuk memotong bahagian depan MyVi bagi mengeluarkan mayat yang tersepit di tempat duduk pemandu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, pemandu dan penumpang Axia hanya cedera ringan manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat. - Bernama

Kes rogol: Kementerian serah kepada polis


1 OKTOBER 2016
Rogol

Rogol Sekadar gambar hiasan
TANJONG KARANG - Kementerian Pendidikan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes dua pelajar senior yang didakwa merogol seorang pelajar  perempuan berusia 13 tahun dalam kawasan sekolah di Jasin, Melaka, Selasa lepas.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya memandang serius kejadian itu, apatah lagi ia berlaku ketika mangsa berada dalam kawasan sekolah.

"Kalau benar, ini adalah kes jenayah dan ia mesti diambil tindakan polis.

Pasa masa sama, kementerian menyerahkan kepada Jabatan Pendidikan Melaka untuk menjalankan siasatan dalaman," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan penutupan program 'Kenduri Rakyat Guru Aktif Pembina Negara Bangsa Negeri Selangor' di Sekolah Kebangsaan Parit Serong di sini.

Difahamkan, dalam kejadian pada jam 2.30 petang itu, dua pelajar lelaki, masing-masing berusia 14 dan 15 tahun, didakwa merogol mangsa dalam bilik stor sekolah tersebut.

Bagaimanapun, seorang kakitangan pentadbiran yang kebetulan melalui bilik stor itu terdengar bunyi teriakan dan bergegas menyelamatkan mangsa. - Bernama

Wanita cemas diacu parang 15 minit


AZURA MOHAMAD
1 OKTOBER 2016
Wanita cemas diacu parang 15 minit

Wanita cemas diacu parang 15 minit Naib Pengerusi MCA Bahagian Kuala Krai, Suzie Chua menunjukkan kepala mangsa yang luka di pukul penjenayah, pagi tadi.
KUALA KRAI - Seorang wanita berdepan detik cemas kira-kira 15 minit apabila diacu parang panjang dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Keroh pagi tadi.

Ketika kejadian mangsa, Chong Chong Lan, 53, berada  di dalam rumah sementara suaminya Soh Kim Cheok, 60, baharu keluar rumah untuk ke tempat kerja.

Menceritakan detik cemas pagi tadi, Kim Cheok berkata, dia melihat lima lelaki, tiga daripadanya bertopeng berada di halaman rumahnya.

Menurutnya, melihatkan lima lelaki tidak dikenali itu, dia cuba menyelamatkan diri dengan berlari ke pagar utama.

"Dua daripada lelaki bertopeng mengejar dan memukul saya, menyebabkan saya jatuh.

"Tiga lagi masuk ke rumah  lebih kurang 15 minit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Hospital Kuala Krai, petang tadi.

Kontraktor itu berkata, sebaik dia terjatuh, dua lelaki berkenaan mengikat tangannya ke belakang dan meminta wang.

Menurutnya, dia yang kesakitan akibat dipukul menjerit sambil meminta tolong.

"Kedua- dua lelaki itu kemudiannya mengambil jam tangan, beg duit serta dua telefon bimbit dari poket seluar saya.

"Tidak lama kemudian penduduk yang sedang minum pagi di kedai kopi berhampiran datang tetapi mereka tidak berani membantu kerana diacu dengan parang panjang," katanya.

Berikutan kejadian, mangsa kerugian lebih RM100,000 kerana pacuan empat roda, empat telefon bimbit, jam tangan serta wang tunai beberapa negara dianggarkan bernilai lebih RM4,000 turut dilarikan.

Mangsa yang cedera di kepala, lengan kiri dan kanan serta kaki kanan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Tangan tersangkut dalam mangkuk tandas gara-gara gigi


WARTAWAN SINAR HARIAN
1 OKTOBER 2016
Tangan tersangkut dalam mangkuk tandas gara-gara gigi

Tangan tersangkut dalam mangkuk tandas gara-gara gigi Mangsa dibaringkan selepas berjaya diselamatkan anggota bomba, hari ini. Foto Ihsan BOMBA


KUALA LUMPUR - Nasib malang bagi seorang wanita warga emas berusia 65 apabila tangannya tersangkut dalam lubang tandas hari ini.

Lebih memilukan, dia terpaksa berhadapan situasi mencemaskan itu dalam masa empat jam sebelum tangannya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Lekiu kira-kira jam 7 pagi.

Mangsa dikatakan cuba mengambil gigi palsu yang terjatuh dalam lubang tandas sebelum tangannya tersangkut dalam lubang itu.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.47 pagi.Katanya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah tiba ke lokasi sejurus kemudian.

“Operasi penyelamatan mangsa terpaksa menggunakan mesin hacket yang dibawa oleh Persatuan Bomba Sukarela Bukit Bintang tetapi gagal.

"Semasa kejadian, petugas Bomba Kuala Lumpur juga berada di lokasi dan meminjam hacket jenis heavy duty daripada syarikat pembinaan yang berada bersebelahan ibu pejabat Jabatan Bomba Penyelamat Wilayah, Persekutuan Kuala Lumpur.

"Pihak mereka memberi kerjasama dan menghantar peralatan  bersama seorang pekerja dan operasi dilakukan sehingga tangan mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 11.32 pagi sebelum dibawa ke hospital,” katanya.

Lori tangki terjunam dalam sungai


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 OKTOBER 2016
Lori tangki terjunam dalam sungai

Lori tangki terjunam dalam sungai Orang ramai melihat keadaan lori tangki yang terjunam dalam Sungai Guntung, dekat Bandar Permaisuri, semalam.
SETIU - Seorang pemandu lori berdepan detik cemas apabila lori tangki dipandunya terjunam ke dalam sungai dalam kejadian di Kilometer 78.1 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat jambatan Kampung Guntong Luar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Mohd Hafiz Amdan Mohd Noor, 26, dari Kampung Pak Katak, Kuala Terengganu, bagaimanapun hanya cedera di kaki.

Difahamkan, mangsa yang memandu lori tanpa muatan, sebelum itu dalam perjalanan dari Besut menghala ke Kuala Terengganu.

Tetapi sebaik tiba di tempat kejadian, lori tangki itu dikatakan hilang kawalan, lalu merempuh pengadang jambatan di sebelah kiri sebelum terjunam ke dalam sungai.

“Mangsa bernasib baik kerana hanya cedera ringan. Dia bertindak keluar dari lori sebelum dibawa ke Hospital Setiu.

“Akibat kejadian itu, mangsa menerima empat jahitan di kaki sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Kawan penipu



Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Usia baru mencecah 17 tahun namun seorang remaja wanita mendakwa diperdaya menjadi tukang urut selain dipaksa menjual tubuh kepada ratusan pelanggan di sebuah pusat spa.

Remaja itu yang sepatutnya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut mengaku terpaksa meninggalkan alam persekolahan selepas melahirkan seorang bayi lelaki.

Remaja berasal dari Perak itu bagaimanapun diselamatkan polis dalam serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sebuah hotel di Bangsar di sini, jam 7 petang kelmarin.

Remaja itu yang disoal siasat mendakwa terpaksa mencari pekerjaan untuk menanggung bayinya itu selepas diceraikan suami.

“Kawan saya pernah bekerja di sini. Jadi saya meminta pertolongan daripadanya untuk mendapatkan pekerjaan. Pada mulanya saya sangkakan hanya bekerja sebagai pelayan di pusat karaoke,” katanya.

Remaja itu antara 13 lagi wanita diselamatkan polis ketika serbuan di sebuah spa eksklusif di tingkat sembilan hotel berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Azman Mohd Isa berkata, serbuan itu diketuai Pegawainya Asisten Superintendan Zahirudin Baharum.

“Dalam serbuan itu, kami menyelamatkan 13 wanita yang menjadi mangsa pemerdagangan dan eksploitasi di spa berkenaan dankami turut menahan seorang penjaga, seorang juruwang, dua lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga asing disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdangangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) kerana menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah selain menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 8:27 AM

Agenda katil pelik




ANTARA 118 warga asing ditahan dalam serbuan imigresen.


Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Beberapa katil pelik lengkap dengan rantai besi milik sindiket pelacuran ditemui di dalam operasi Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya, awal pagi semalam.

Katil itu yang ditempatkan di dalam bilik di sebuah bangunan di Jalan Changkat Thambi Dollah, Pudu di sini, dipercayai dijadikan tarikan oleh sindiket pelacuran warga asing.

Dalam serbuan jam 1 pagi, bangunan setinggi 16 tingkat berkenaan diserbu selepas dikesan menjadi sarang aktiviti tidak bermoral.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya, M Saravana Kumar berkata, bangunan itu dikawal ketat oleh beberapa individu yang diarah memantau kehadiran pihak berkuasa.

“Ini terbukti apabila penjaga pintu premis warga asing cuba menghalang usaha anggota imigresen memasuki bangunan itu.

“Lelaki itu turut menjerit memberi arahan supaya pekerja seks di dalam spa dan pusat hiburan di bangunan itu melarikan diri. Namun tindakan mereka berjaya dihalang,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan dari tingkat satu hingga ke tingkat 16 bangunan berkenaan sebelum 118 warga asing ditahan untuk pemeriksaan.

“Seramai 85 individu membabitkan warga Myanmar, Thailand, Indonesia, Bangladesh dan China berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya kepada Metro Ahad.

Katanya, kebanyakan individu itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal di negara ini lebih dari tempoh ditetapkan.

“Kita percaya premis hiburan dan spa itu turut menawarkan perkhidmatan seks berdasarkan penemuan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk tujuan maksiat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui beberapa bilik khas yang disyaki digunakan untuk tujuan pelacuran.

“Pihak kami turut mengeluarkan 11 salinan Borang 29 (Saman Kepada Saksi) semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:20 AM

Penyamun larikan RM100,000




SOH cedera di kepala akibat dipukul suspek. FOTO Siti Nadzirah Che Mud

Siti Nadzirah Che Mud
am@hmetro.com.my


Kuala Krai: Seorang kontraktor lelaki dan isterinya kerugian RM100,000 selepas disamun lima lelaki bertopeng di rumahnya di Kampung Keroh, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa, Soh Kim Cheok, 60, berkata, ketika kejadian dia baru keluar dari rumah untuk bekerja sebelum terserempak dengan kumpulan suspek di kawasan kediamannya.

"Saya cuba melarikan diri untuk meminta bantuan, namun dua daripada suspek sempat menangkap saya sebelum memukul kepala dengan rotan.

"Mereka kemudian merampas beg duit, telefon bimbit dan jam tangan sebelum mengikat tangan saya dan membawa masuk ke dalam rumah. Isteri saya yang berada di dalam rumah turut diacu parang di lehernya.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik saya selepas menyedari ada orang menghampiri rumah," katanya ketika ditemui selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Krai, di sini tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning mengesahkan kejadian itu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 6:07 PM

Seorang maut, dua cedera




KEADAAN kereta jenis Perodua MyVi mangsa yang remuk teruk akibat kemalangan.FOTO ihsan Bomba KLIA



Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Sepang: Seorang lelaki maut manakala, dua mangsa lain cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori 1.5 tan dan dua buah kereta di Jalan Pekeliling, berdekatan depot minyak menghala ke Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.22 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Syafiq Syzwan Ramli, 32, berasal dari Seksyen 19, Shah Alam, Selangor.

Jurucakap polis berkata, mangsa maut serta merta di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu di dalam kereta jenis Peroduua MyVi yang dipandu.

"Kami masih menyiasat punca kejadian," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat KLIA, Yahya Mohd Sham ketika dihubungi berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati mangsa sudah meninggal dunia dan anggotanya terpaksa memotong bahagian depan kereta sebelum mangsa dapat dikeluarkan.

"Kami difahamkan, dua mangsa lain yang menaiki kereta Perodua Axia hanya mengalami cedera ringan dan sudah dibawa menaiki ambulan Mahamas ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Manakala, pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 7:51 PM

Mengaku kerat mayat, bukan bunuh



GAMBAR fail menunjukkan polis menangkap suspek pada 24 September lalu. - AP


Bangkok: Seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) yang dituduh menjalankan rangkaian pemalsuan pasport di Bangkok mengaku mengerat mayat seorang lelaki yang ditemui di dalam peti sejuk beku di rumahnya, kata polis Thai semalam.

Suspek berusia 63 tahun itu yang dikenal pasti sebagai Herbert La Fon bagaimanapun menafikan dia membunuh lelaki berkenaan.

Dia ditangkap seminggu lalu dan polis bermasalah mengenal pasti identitinya kerana jumlah pasport yang banyak dalam simpanannya.

Dia ditahan bersama dua lagi rakyat AS yang dituduh mendapatkan dokumen palsu daripada rangkaian jenayahnya.

Selain itu, polis menemui pistol, dadah dan anggota badan seorang lelaki warga asing di dalam beg di dalam peti sejuk berkenaan.

La Fon melepaskan tembakan terhadap polis yang menyerbu kediamannya sebelum mereka bertiga ditangkap.

Ketua Polis Bangkok Sanit Mahathavorn berkata: “Dia mengaku mengerat mayat itu, tetapi mendakwa tidak terbabit dalam pembunuhan warga Hungary itu.

“Namun kami belum boleh mempercayai sepenuhnya dan masih menyiasat perkara itu.” - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:15 AM

Nekad kasi lemas




RAKAMAN video diambil isteri Vaidya menunjukkannya melemaskan ibunya.


Agensi
New Delhi: Seorang lelaki ditangkap selepas cuba mencekik mati ibunya yang sudah tua dengan disaksikan anak perempuannya yang masih kecil.

Malah, kejadian itu dirakam isterinya dengan video diambil jelas menunjukkan Surendra Vaidya mengikat kain pada wajah ibunya, Mayawati, 80, untuk melemaskannya.

Mayawati dapat dilihat bergelut dengan kaki serta tangannya terkapai-kapai dalam usaha melepaskan diri, tetapi langsung tidak diendahkan anaknya itu.

Malah Vaidya juga tidak menunjukkan sebarang emosi sepanjang melakukan perbuatan kejam itu.

Suara isterinya juga boleh didengar berkata: ‘Perempuan ini begitu degil’ apabila warga emas itu berusaha melawan dan bercakap.

Menantu Mayawati itu kemudian memegang tangan mangsa untuk menghalangnya bangun.

Anak perempuan pasangan berkenaan yang menyaksikan perbuatan ibu bapanya pula diarahkan supaya mengambil pisau untuk menikam neneknya.

Bagaimanapun, Mayawati berjaya diselamatkan apabila seorang pekerja badan bukan kerajaan tiba di rumah keluarga itu di Andheri, Mumbai, selepas dihubungi jiran.

Vaidya ditahan selepas didakwa mendera ibunya sejak beberapa tahun lalu, manakala Mayawati dibawa ke hospital dan kini semakin pulih.

Menantu dan cucunya sudah menghilangkan diri dan diburu pihak berkuasa.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:18 AM

Bagi sumbat




LIMA kambing dalam kereta Myvi dipercayai dicuri dalam kejadian di Batu 3 Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah.


Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Batu Gajah: Tindakan tujuh lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan lima mencuri lima kambing jantan milik seorang penduduk di Batu 3, Jalan Tanjung Tualang, di sini, dengan memuatkan haiwan itu dalam sebuah kereta Perodua Myvi gagal apabila ditahan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, seorang daripada suspek berjaya diberkas selepas bergelut dengan beberapa penduduk kampung termasuk pemilik kambing berkenaan ketika berada di kandang kambing terbabit.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 4.36 pagi daripada pemilik kambing berkenaan Muhammad Saifuddin Mohamad Shahran, 25, yang memaklumkan tangkapan seorang lelaki yang cuba mencuri kambingnya.

“Berdasarkan maklumat daripada pemilik berkenaan, pada jam 2.30 pagi dia menerima panggilan telefon daripada seorang kawan beritahu kandang kambing miliknya yang terletak berhampiran kawasan pelupusan sampah Majlis Daerah Batu Gajah di Batu 3, Jalan Tanjung Tualang dimasuki orang.

“Suspek yang berjaya diberkas oleh pemilik dan penduduk kampung itu turut mengaku melakukan kegiatan curi itu bersama enam lagi kawannya yang sudah melarikan diri dan suspek kemudian diserahkan kepada polis yang tiba di tempat kejadian,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:20 AM