Search This Blog

Friday, September 30, 2016

Tinggal dengan mayat anak selama 20 tahun


29 SEPTEMBER 2016
Tinggal dengan mayat anak selama 20 tahun

Rangka tersebut masih dalam keadaan utuh ketika dijumpai.

NEW YORK -  Seorang pengumpul warga emas yang buta dikatakan telah tinggal bersama dengan mayat anaknya yang mati sejak 20 tahun yang lalu lapor New York Post.

Warga emas tersebut, Rita Wolfensohn selama ini menyangkakan anaknya itu meninggalkan rumah tanpa berkata apa-apa ketika ditanya mengenai penemuan rangka tersebut, dia juga dengan yakin menjawab anaknya sudah berpindah.

Pihak polis menyifatkan penemuan ini seperti dalam babak dalam sebuah filem seram Hitchcock yang terbaik.

Rangka tersebut dijumpai oleh adik ipar Wolfensohn, Jossete Buchman ketika dia pergi ke rumahnya untuk mengambil barang ketika wanita itu dirawat di hospital.

“Apabila saya tiba di tempat kejadian, kelihatan satu rangka yang lengkap berpakaian jeans, stoking dan juga baju t-shirt sedang terbaring dalam keadaan meniarap di atas sebuah tilam nipis di atas lantai.

“Ia seperti babak di dalam filem Psycho. Bau makanan yang reput telah menggantikan bau busuk daging mereput,” kata seorang pegawai polis awam.

Pihak berkuasa masih belum mengenal pasti rangka mayat tersebut namun percaya bahawa itu merupakan anak Wolfensohn dan ia meninggal dunia atas sebab semula jadi.

Rekod awam menunjukkan bahawa Wolfensohn mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Michael dan Louis. Michael meninggal dunia pada tahun 2003 pada umur 38 tahun manakala Louis pula sudah tidak kelihatan sejak 20 tahun yang lalu.

1 maut, 8 cedera nahas 3 kenderaan

JENAYAH JUMAAT, 30 SEPTEMBER 2016 @ 12:42 PM

 Oleh Yahya Awang bhnews@bh.com.my

ANGGOTA polis mengawal lalulintas dimana berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 79.4 Jalan Sitiawan-Taiping, di Trong. - Foto Ihsan Bomba

TAIPING: Seorang pemandu treler maut manakala lapan cedera, termasuk dua parah, dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 79.4 Jalan Sitiawan-Taiping, Trong, dekat sini, pagi tadi.

 Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun maut di lokasi kejadian selepas treler membawa muatan tanah peluntur untuk loji penapisan minyak kelapa sawit dipandunya bertembung dengan sebuah bas. Sebuah motosikal turut merempuh belakang bas berkenaan.

Kemalangan turut menyebabkan pemandu bas berusia 67 tahun dan penunggang motosikal berusia 19 tahun parah manakala enam penumpang bas cedera ringan. Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah, berkata siasatan awal mendapati treler dari arah Taiping menghala ke Sitiawan, gagal dikawal lalu memasuki laluan bertentangan dan terbalik. "Treler itu turut melanggar bas dari arah bertentangan.

Pada masa sama, motosikal dari arah sama melanggar belakang bas, menyebabkannya terseret ke bawah bas," katanya di sini, hari ini. Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca kemalangan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/197537

Maut kereta terjunam ke sungai

JUMAAT, 30 SEPTEMBER 2016 @ 12:00 PM

Oleh Zuliaty Zulkiffli bhnews@bh.com.my

RAMSUNARDI Ramli (gambar kecil) lemas selepas kereta dipandunya terjunam ke sungai di Kilometer 10.5 Kampung Alor Biak, dekat Jalan Sungai Korok, di sini pagi tadi. - Foto ihsan PDRM


 JITRA: Seorang kakitangan Tabung Haji (TH) Sungai Petani lemas, selepas kereta dipandunya terjunam ke sungai di Kilometer 10.5 Kampung Alor Biak, dekat Jalan Sungai Korok, di sini pagi tadi.

Ramsunardi Ramli, 42, dipercayai dalam perjalanan dari Sungai Petani untuk bercuti ke kampungnya di Arau, Perlis.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abdul Hadi Hassan, berkata siasatan mendapati mangsa memandu seorang diri dari arah Kubang Sepat, sebelum Proton Persona dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam sungai kira-kira jam 7 pagi tadi.

Katanya, mangsa dipercayai terperangkap dalam kenderaan sebelum dikeluarkan dengan bantuan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang bergegas ke lokasi.

 "Mangsa dikeluarkan pada jam 8.30 pagi tetapi disahkan sudah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Jitra," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Juhaisam Jusoh di talian 04-9172222 untuk membantu siasatan. "Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/197516

Lenyap dibaham buaya




GAMBAR hiasan.


Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


Lahad Datu: Lelaki dikhuatiri maut dibaham buaya ketika memukat ikan di Sungai Simpang Putih di sini, petang tadi.

Difahamkan, mangsa yang berusia 20-an sedang memukat ikan bersama bapanya namun tiba-tiba ditarik sebelum dibaham buaya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Mohd Affendy K Ramin berkata, pihak bomba menerima panggilan pada 6.03 petang dan sembilan anggota dikejar ke lokasi kejadian.

"Maklumat awal menyatakan mangsa dikhuatiri dibaham buaya di Sungai Simpang Putih sebelum pemanggil menghubungi pihak bomba.

"Sebuah jentera bersama satu kenderaan Perkhidmatan Anggota dan Penyelamat Paramedik (EMRS) turut dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 11:03 PM

Lolos selepas dijatuh hukuman



TERTUDUH yang melarikan diri ketika berada di perkarangan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang. FOTO ihsan Polis

Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


Georgetown: Lelaki yang dijatuhkan hukuman setahun penjara dan denda RM3, 000 kerana mencuri motosikal melarikan diri dalam perjalanan ke trak polis di perkarangan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang di sini, hari ini.

Kejadian berlaku 4.30 petang tadi apabila tertuduh, Mohd Rozali Omar, 32, diiring anggota polis menuju ke trak polis selepas Mahkamah Sesyen di sini menetapkan hukuman terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati suspek memanjat tembok mahkamah dan melarikan diri menuju ke Jalan Masjid Kapitan Keling.

"Berikutan itu, polis kini sedang menjejaki lelaki terbabit.

"Orang ramai yang mengenali atau terserempak suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 7:10 PM

Satu maut, lapan cedera kemalangan babitkan tiga kenderaan





30/09/2016 11:23am


Anggota bomba sedang menyelamatkan mangsa yang terlibat.

TAIPING - Satu maut manakala lapan cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan termasuk sebuah bas dan lori di Jalan Trong, Kampung Batu 11 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Taiping, Hasna Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar pukul 7.36 pagi sebelum ke lokasi kejadian dengan satu jentera dan lapan anggota.

"Setibanya di tempat kejadian, kami mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas, lori dan motosikal.

"Kemalangan turut menyebabkan dua mangsa tersepit iaitu pemandu lori dan motosikal," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Bagaimanapun, pemandu lori disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. - K! ONLINE



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_02.htm#ixzz4Li3vshdT
Hakcipta terpelihara 

Pekerja Restoran Dipenjara 25 Tahun, 20 Sebatan Rogol Anak Tiri


Diterbitkan: Selasa, 27 September 2016 2:32 PM



KUALA LUMPUR: Seorang pekerja restoran terpaksa  meringkuk lebih lama dalam penjara selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menaikkan hukuman penjara daripada 20 tahun kepada 25 tahun kerana merogol anak  tirinya yang berusia enam tahun, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah juga menambah jumlah sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen terhadap Kairuddin Md Rosly, 33, daripada 15 sebatan kepada 20 sebatan.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan tertuduh bagi  mengurangkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 30 Oktober 2015, dan memerintahkan Kairuddin menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 14 November 2014.

Kairuddin dituduh melakukan perbuatan itu pada 7 November 2014, antara 5 petang  hingga 9 malam, mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Mohamad Shariff dalam penghakiman berkata mahkamah bersetuju dengan  keputusan hakim Mahkamah Sesyen bahawa saksi kanak-kanak (mangsa) bercakap benar dan disokong oleh keterangan saksi-saksi pendakwaan lain.

"Keputusan hakim Mahkamah Sesyen itu adalah keputusan yang betul, benar dan  tepat, oleh itu mahkamah ini tidak ada alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Sesyen.

"Ingatlah bahawa anak itu satu anugerah dan amanah untuk kita jaga, jangan  buat yang tidak betul, berilah didikan sempurna. Duduklah dalam penjara tu dan renungkanlah," katanya sambil menasihatkan Kairuddin agar bertaubat.

Tertuduh diwakili peguam PG Cyril, manakala pendakwaan dikendalikan  Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz.

2,470 Pemandu Akan Didakwa Salah Guna Lorong Kecemasan - JPJ


Diterbitkan: Rabu, 28 September 2016 5:00 PM



KUALA LUMPUR: Sehingga Isnin lepas, seramai 52 individu sudah dihadapkan ke mahkamah kerana menyalahgunakan lorong kecemasan di lebuh raya manakala tujuh waran tangkap telah dikeluarkan bagi kesalahan sama.

Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk V. Valluvan berkata seramai 2,470 pemandu akan didakwa di mahkamah bermula bulan depan kerana melakukan kesalahan itu.

Katanya langkah orang awam menghantar aduan bergambar pemandu yang menggunakan lorong kecemasan telah banyak membantu JPJ mengesan dan mengambil tindakan terhadap pesalah jalan raya itu.

Beliau berkata kerjasama berkenaan dilihat telah memberikan hasil yang sangat efektif kepada JPJ untuk mengesan pemandu yang tidak bertanggungjawab.

"Kerjasama diberikan orang awam kepada JPJ telah beri hasil yang begitu baik dalam kita membudayakan satu pemanduan yang sihat di Malaysia...saya menghargai dan berterima kasih kepada mereka yang mengambil inisiatif menghantar gambar kepada kami," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Katanya, sebanyak 138 aduan bergambar telah diterima oleh JPJ dalam tempoh seminggu ketika cuti panjang Aidiladha dan Hari Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu, Valluvan menyarankan orang ramai turut menghantar aduan bergambar bukan sahaja bagi kesalahan menggunakan lorong kecemasan tetapi bagi kesalahan jalan raya yang lain seperti memotong barisan.

"Jika ada maklumat, sila maklumkan kepada JPJ...kami akan ambil tindakan yang serius terhadap mereka," katanya.

Orang awam yang ingin membuat aduan bergambar boleh salurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my. -- Bernama

15 hamba seks, termasuk seorang di bawah umur diselamatkan

JUMAAT, 30 SEPTEMBER 2016 @ 1:56 AM



Oleh Siti Azila Alias sitiazila@bh.com.my

 POLIS menyelamatkan 15 wanita, termasuk lima rakyat tempatan, dengan seorang di bawah umur, yang dipercayai dijadikan hamba seks dalam serbuan ke atas sebuah spa dalam sebuah hotel di Lingkaran Syed Putra.

 KUALA LUMPUR: Polis menyelamatkan 15 wanita, termasuk lima rakyat tempatan, dengan seorang di bawah umur, yang dipercayai dijadikan hamba seks dalam serbuan ke atas sebuah spa dalam sebuah hotel di Lingkaran Syed Putra, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, diketuai Asisten Superintendan Zahirudin Baharom, selepas penyamaran mendapati wujud aktiviti pelacuran di premis terbabit.

Zahirudin berkata, semua wanita terbabit terdiri daripada lima warga negara Vietnam, empat warga negara China, seorang Mongolia dan lima lagi adalah wanita tempatan.

Katanya, semua mereka ditahan dalam 10 bilik berasingan. Turut ditahan adalah seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun, yang berperanan sebagai penjaga premis dan seorang wanita tempatan berusia 53 tahun, yang bekerja sebagai juruwang.

Tangkapan turut dibuat ke atas dua lelaki yang disyaki kapten di premis itu dan dua pekerja spa lelaki warga Bangladesh serta empat pelanggan.

"Sebelum serbuan, dua anggota diarahkan untuk melakukan penyamaran sebagai pelanggan di premis berkenaan. "Selepas 20 minit, anggota memaklumkan terdapat aktiviti pelacuran di premis itu membabitkan wanita warga asing dan tempatan.

"Ketika serbuan, penjaga di kaunter gagal mengemukakan lesen perniagaan. Anggota seterusnya melakukan pemeriksaan dari bilik ke bilik dan menemui 10 wanita warga asing dan lima tempatan dipercayai pelacur berada dalam bilik bersama pelanggan, selain di bilik pekerja yang dijadikan ruang menunggu," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu juga pihaknya turut merampas wang tunai RM3,591; lapan keping resit bayaran, tiga keping kad perakam waktu kerja, dua keping kertas putih catatan kerja harian dan satu unit walkie talkie serta kondom dan tiub pelincir.

 Katanya, tangkapan dibuat mengikut Akta Anti Pemerdangangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah serta menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/197454

3 maut, lebih 100 cedera, nahas tren di New Jersey

JUMAAT, 30 SEPTEMBER 2016 @ 12:27 AM



PEGAWAI polis Hoboken melihat ke tempat kejadian kemalangan kereta api di mana New Jersey Transit tergelincir. - Foto REUTERS

 HOBOKEN (NEW JERSEY): Tiga maut dan lebih 100 cedera apabila sebuah tren NJ TRANSIT merempuh stesen, di sini. Kemalangan itu juga menyebabkan kerosakan besar bangunan stesen berkenaan dan menghentikan perkhidmatan kereta api ketika waktu puncak, pagi hari ini. Polis NJ TRANSIT berkata, ramai mangsa cedera dalam keadaan kritikal. "Ada mangsa mengalami pelbagai kecederaan, serta kritikal ketika ini. Terminal tren ditutup," kata jurucakap NJ TRANSIT Jennifer Nelson. Katanya, kemalangan berlaku sekitar jam 8.45 pagi hari ini ketika tren berkenaan menghampiri stesen di trek 5 dari Spring Valley, New York menerusi jaringan Pascack Valley Line. Imej di tempat kejadian dihantar ke media sosial menunjukkan logam remuk, wayar dan serpihan bertaburan di lantai. Sebahagian siling stesen turut runtuh. "Tren tidak berhenti. Ia merempuh penghadang dan terus ke kawasan penyambut tetamu," kata pengacara WFAN John Minko, yang menyaksikan nahas itu. Beliau memberitahu saluran CBS2, keadaan menjadi huru hara dan orang ramai berebut-rebut keluar untuk menyelamatkan diri dari tempat kejadian. Seorang penumpang, Lauren Berlamaino, berkata beliau sedang duduk di gerabak kedua tren apabila berlaku rempuhan. "Kami menghampiri stesen, saya terfikir ia tidak berhenti. Perkara selanjutnya yang saya tahu, kepala saya ke depan, melanggar tempat duduk dan melantun, juga jeritan di sana-sini," katanya sambil memberitahu ramai penumpang dalam tren berdiri kerana tidak cukup tempat duduk. "Apabila kami keluar, gerabak pertama berada dalam terminal, bumbung runtuh," katanya. Hoboken adalah hentian terakhir untuk beberapa jaringan tren dengan lebih 15,000 penumpang setiap hari bekerja. Satu sumber penguat kuasa undang-undang memberitahu CBS News, tiada apa dirumuskan berkaitan punca nahas, namun laporan awal mendakwa ia satu kemalangan, tren tergelincir menyebabkan ia merempuh stesen. Sumber berkata, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional akan mengetuai siasatan dan Pentadbiran Kereta Api Persekutuan akan menghantar pasukan ke tempat kejadian untuk menyiasat. - AGENSI

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/197446

Bebas tuduhan curi, lupus pesawat TUDM

KHAMIS, 29 SEPTEMBER 2016 @ 12:39 PM

Oleh Suhaila Shahrul Annuar suhaila.shahrul@bh.com.my

N Thamendran (kiri) dan K Rajandran Prasad.

PUTRAJAYA: Dua lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas semua tuduhan mencuri serta melupuskan enjin pesawat F5 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pengubahan wang haram pada Disember 2007. Pemandu peribadi, N Thamendran , 48, dan pengarah syarikat, K Rajandran Prasad, 44, dilepas dan dibebaskan pada akhir pendakwaan tanpa dipanggil membela diri. Hakim Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap kedua-dua tertuduh bagi semua pertuduhan. Aslam berkata, keputusan itu ditetapkan selepas mengambil kira kenyataan saksi dan meneliti pelbagai sudut. Thamendran dan Rajandran Prasad hadir ke mahkamah diiringi ahli keluarga termasuk peguam bela masing-masing iaitu Rajpal Singh serta Gobind Singh Deo. Seramai 54 saksi dipanggil memberi keterangan perbicaraan bermula 22 Julai 2011. Thamendran yang juga bekas anggota TUDM dan Rajandran Prasad menghadapi pertuduhan bersubahat mencuri dan melupuskan dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 milik TUDM di Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi sekitar Disember 2007.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/197248

Suami isteri ditemui mati



ANGGOTA polis membuat siasatan di lokasi kejadian. FOTO Amir Irsyad Omar



Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetri.com.my


Bukit Mertajam: Mayat suami isteri ditemui dalam rumah di Taman Machang Bubok di sini, 5.45 petang tadi.

Mayat pasangan yang bekerja sebagai penjaja itu ditemui orang ramai yang terhidu bau busuk dari rumah berkenaan.

Jiran yang tinggal berdekatan berkata, pasangan itu sudah menyewa di situ lebih daripada tiga tahun.

Katanya, pasangan masing-masing berusia 51 dan 35 tahun sering dilihat keluar masuk dari rumah mereka namun tidak pernah berbual dengan jiran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, pihaknya masih menunggu laporan siasatan unit forensik berhubung penemuan mayat itu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, mangsa maut akibat terhidu gas memasak berlebihan hasil penemuan dua tong gas petroleum cecair (LPG) di dalam bilik yang dikunci dari dalam serta dilekat dengan pita pelekat.

Menurutnya, setakat ini pihaknya mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 9:36 PM

Kejamnya kamu wahai ibu




Ritu Ahuja ketika dibawa keluar dari mahkamah untuk dihantar ke penjara, semalam.

Daily Mail
New Delhi: Hanya kerana sayang dan mahu memberi perhatian lebih kepada anak lelaki yang sakit, seorang wanita yang membunuh bayi perempuan berusia enam bulan, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup semalam.

Mahkamah Tinggi Jabalpur menjatuhkan hukuman itu selepas memutuskan Ritu Ahuja, 27, bersalah membunuh anaknya, Arohi, sebelum membuang mayat kanak-kanak itu berhampiran sebuah kuil pada September 2014.

Ritu ditahan selepas rakaman CCTV menunjukkan dia memandu keluar dari rumah membawa anaknya namun pulang tanpa anak berkenaan.

Menurut Times of India, dia membunuh bayi itu dengan melemaskan mangsa dalam kolam air di kawasan terpencil.

Mahkamah diberitahu Ritu membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang ketika dia mandi.

Wanita itu memberitahu polis anak lelakinya sering sakit dan dia tidak mampu memberi perhatian jika berterusan perlu menjaga anak perempuannya.

“Saya sudah menghadapi kesukaran membesarkan anak berusia dua tahun dan sekarang datang bayi ini, keadaan semakin susah,” katanya.

Ritu juga cuba mendakwa anaknya diculik sekumpulan samseng bermotosikal, namun polis menemui sisa mayat Arohi dan identitinya dikenal pasti melalui ujian DNA menyebabkan wanita itu terpaksa mengakui jenayahnya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 8:26 PM

Ketua perogol dihukum mati


Didakwa merogol, bunuh remaja perempuan 14 tahun
30 September 2016 12:28 AM
LIMA lelaki yang juga geng jenayah rogol, didapati bersalah atas

LIMA lelaki yang juga geng jenayah rogol, didapati bersalah atas tuduhan merogol dan membunuh seorang remaja perempuan di depan hakim di sebuah mahkamah di Curup, dekat Bengkulu, Indonesia, semalam. REUTERS
CURUP, INDONESIA 29 Sept. - Seorang lelaki yang juga ketua sebuah kumpulan jenayah, yang didakwa merogol serta membunuh seorang remaja perempuan pada April lalu, dijatuhi hukuman mati hari ini.
Tertuduh, Zainal, dijatuhi hukuman tersebut di sebuah mahkamah di Sumatera manakala empat yang lain dihukum penjara selama 20 tahun kerana terlibat dalam ‘serangan’ ke atas remaja berusia 14 tahun itu.
Kes berkenaan mendapat perhatian serius Presiden Indonesia, Joko Widodo yang mahu mengambil langkah sewajarnya untuk mengenakan hukuman le­bih berat terhadap jenayah tidak bermoral itu, terutama membabitkan kanak-kanak.
Malah, Widodo atau dikenali Jokowi itu juga meluluskan satu undang-undang yang memper­untukkan hukuman mati sebagai hukuman maksimum terhadap perogol kanak-kanak selepas beberapa kes rogol ganas mencetuskan kemarahan rakyat negara ini.
Keganasan seksual berlaku secara berleluasa di negara paling ramai penduduk di Asia Tenggara ini, namun insiden rogol beramai-ramai jarang berlaku.
Terdahulu, ketika membacakan hukuman, Hakim Henny Faridha memberitahu mahkamah bahawa hukuman mati ke atas Zainal adalah disebabkan oleh ‘sifat’ sadis jenayah yang dilakukan tertuduh.
Mengikut kertas pendakwaan, jenayah berkenaan dilakukan oleh 14 individu termasuk lapan remaja.
Mereka didakwa menyerang remaja perempuan berkenaan ketika mangsa sedang dalam perjalanan ke sekolah.
Mayat mangsa ditemukan di sebuah ladang getah beberapa hari kemudian selepas dilaporkan hilang.
Sebelum ini, tujuh anggota kumpulan terbabit telah dihukum penjara selama 10 tahun manakala seorang lagi diarah menjalani program pemulihan akhlak selama setahun.
Dalam pada itu, ibu bapa mangsa ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, hukuman ke atas pesalah dilihat tidak mencukupi.
“Mereka semua patut dijatuhi hukuman mati,” tegas ibu mang­sa, Yana. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ketua-perogol-dihukum-mati-1.388797#sthash.aLW7BNaL.dpuf

Balasan bunuh teman wanita




Oleh NOOR HASLIZA NUSI

ANGGOTA polis mengiringi Teik Keon (tengah) yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati keluar dari Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, George Town semalam.

GEORGE TOWN – Perbuatan kejam seorang bekas jurutera membunuh teman wanitanya pada sambutan Hari Kekasih tiga tahun lalu berbalas apabila dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Pesuruhjaya Kehakiman, Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu terhadap Cheong Teik Keon, 34, yang berasal dari Sungai Siput, Perak, selepas mendapati, pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, Teik Keon didakwa membunuh Tan Ching Chin, 24, di rumah mangsa di Taman Hwa Seng, Bukit Mertajam pada pukul 8.40 pagi, 14 Februari 2013.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Lawrence Sequerah dalam penghakimannya berkata, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira kandungan e-mel tertuduh sebelum kejadian berlaku.

“Kandungan e-mel yang dikirim kepada mangsa tersebut menunjukkan bahawa tertuduh ada berniat untuk melakukan perbuatan itu,” katanya.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz4LgouHwc4
Hakcipta terpelihara 

Dituduh bunuh dua beranak





Oleh MOHD. IZUAN ROSELI

Subramaniam (kiri) dan Uvaneswaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Dua sahabat dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh dua beranak di rumah mangsa di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram pada minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh, R. Subramaniam dan L. Uvaneswaran, masing-masing berusia 20 tahun dan tidak bekerja mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Salina Omar.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh terbabit.

Mengikut pertuduhan, Subramaniam dan Uvaneswaran didakwa bersama-sama membunuh M. Mariayee, 56, dan anak perempuannya, C. Durga Devi, 16, di No. 51, Jalan Beladau 40, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram di sini antara pukul 10 hingga 11 pagi pada 21 September lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz4LgoY5UnU
Hakcipta terpelihara 

Pengarah JKR Melaka didakwa rasuah





Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

ANGGOTA SPRM membawa Khalid (tengah) keluar dari kamar mahkamah selepas didakwa atas 16 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Melaka semalam.

MELAKA – Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Me­laka, Datuk Khalid Omar (gambar kecil) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 16 pertuduhan menerima suapan dan pengubahan wang haram berjumlah RM1.28 juta.

Bagaimanapun, Khalid, 56, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Tertuduh didakwa atas 13 pertuduhan me­nerima suapan berjumlah RM196,200 membabitkan nilai antara RM3,000 hingga RM41,200 daripada lima individu dan tiga buah syarikat sebagai upah kerana melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal dengan membantu mendapatkan kerja-kerja menyelenggara, meluruskan dan menurap semula jalan serta membina dan menyiapkan sebuah klinik kesihatan di sekitar Melaka Tengah.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Batu Berendam dan pejabat JKR Melaka, Jalan Taming Sari di sini antara Mac 2014 sehingga Ogos lalu.

Daripada 13 pertuduhan itu, lapan pertuduhan dilakukan mengikut Sek­syen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz4LgnGmfvi
Hakcipta terpelihara