Search This Blog

Thursday, September 29, 2016

9 ahli keluarga terselamat dari rentung


MOHD AZLIM ZAINURY
28 SEPTEMBER 2016
9 ahli keluarga terselamat dari rentung

9 ahli keluarga terselamat dari rentung Rumah mangsa musnah dalam sekelip mata kerana api marak dengan cepat.
MARANG – Sebuah keluarga berjaya menyelamatkan diri mereka sebaik merasakan keadaan di dalam rumah didiami tiba-tiba menjadi panas sebelum api menjadi semakin marak hingga memusnahkan kediaman mereka awal pagi tadi.

Ketua keluarga terbabit, Ibrahim Fikri Mat Nor, 60, dan isterinya, Rubiah Othman, 53, sedang tidur sebelum dikejutkan salah seorang anak mereka, Atirah Ibrahim Fikri, 21, dalam insiden berlaku di Kampung Undang sekitar jam 2.30 pagi itu.

Menurut Ibrahim, Atirah mengejutkan mereka apabila merasakan keadaan di dalam rumah itu tiba-tiba menjadi panas dan dalam masa sama kedengaran bunyi yang mencurigakan datang dari arah bahagian hadapan rumah berkenaan.

“Anak ke enam (Atirah) maklumkan kepada isteri saya, kenapa rumah ini berasa panas. Kami kemudiannya keluar dari bilik untuk membuat pemeriksaan dan mendapati api sedang marak. Masa kejadian itu berlaku lebih kurang jam dua lebih.

“Ketika itu kami tidak dapat berbuat apa-apa, hanya bawa diri (saya) dan anak bini semua keluar sahaja. Barang-barang tak sempat ambil langsung sebab api sudah besar (marak),” katanya ketika di temui Sinar Harian di lokasi kejadian, hari ini.

Ibrahim berkata, ketika kejadian mereka sembilan beranak termasuk seorang menantu dan seorang cucu berusia setahun berada di dalam rumah tersebut dan amat bersyukur kerana mereka berjaya keluar dari dalam rumah ke tempat selamat.

“Tetapi api merebak dengan cepat… Tiada apa-apa lagi tinggal dan mungkin selepas ini kami terpaksa tinggal di bahagian belakang rumah yang masih tidak terjejas dalam kebakaran atau di rumah saudara terdekat yang turut menetap di kampung ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai jumlah kerugian ditanggung akibat insiden itu, katanya, kerugian dianggarkan berjumlah lebih kurang RM100,000 namun sehingga tengahari ini dia masih belum membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.

Bagaimanapun, tragedi menimpa keluarganya mendapat perhatian segera Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Undang, Mohamad Hamzah yang menyampaikan bantuan berupa wang tunai berjumlah RM500 pagi tadi.

Pencuri wang masjid ditangkap


WARTAWAN SINAR HARIAN
29 SEPTEMBER 2016
Pencuri wang masjid ditangkap

Pencuri wang masjid ditangkap Suspek berjaya diberkas di rumahnya di kawasan perumahan Kuala Besut.
Pencuri wang masjid ditangkap
KAMPUNG RAJA - Seorang lelaki yang diburu selepas wajahnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) ketika memecah dan mencuri wang tabung Masjid Tembila pada 12 September lalu berjaya diberkas di Kuala Besut hujung minggu lepas.

Video aksi suspek sedang memecah dan mencuri wang tabung masjid itu berjaya dirakam CCTV yang dipasang di masjid berkenaan dan diviralkan melalui media sosial.

Susulan laporan polis dibuat jawatankuasa masjid berkenaan terhadap kejadian itu, usaha mengesan suspek telah dilakukan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah kawasan perumahan di Kuala Besut dan berjaya menahan suspek kira-kira jam 1.30 petang

Menurutnya, suspek berusia 55 tahun itu tinggal bersama orang tuanya dan difahamkan telah berpisah dengan isterinya.

“Polis turut merampas wang tunai RM288 daripada suspek dan dari siasatan awal, suspek mengaku wang tersebut hasil curi dari tabung beberapa masjid dan surau lain selepas mencuri tabung di Masjid Tembila dulu,” katanya.

Mohd Zamri berkata, semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai 18 rekod kesalahan jenayah lampau yang dilakukan di negeri ini, Kelantan, Johor dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, rekod lampau yang dicatatkan bermula tahun 1973 sehingga terakhir tahun 2009 dan tangkapan ini menjadikan ia kes ke-19 suspek, manakala kebanyakan rekod tersebut kerana kesalahan mencuri.

“Saringan awal air kencing mendapati suspek juga positif pil kuda,” katanya.

Beliau berkata, suspek juga mendedahkan dia memakai jubah yang dicuri di sebuah masjid lain ketika melakukan perbuatan memecah tabung di Masjid Tembila.

Suspek yang merupakan seorang penganggur ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen  380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Lelaki maut dirempuh treler


NORFARHIZA MOHD ATAR
29 SEPTEMBER 2016
Lelaki maut dirempuh treler

Lelaki maut dirempuh treler Mangsa maut serta merta di tempat kejadian akibat dilanggar treler berkenaan. Gambar kecil: Azhar
MERAPOH - Perjalanan pulang seorang lelaki dari kedai ke rumahnya berakhir dengan tragedi apabila dia maut dirempuh treler dalam kejadian langgar lari kira-kira jam 12.10 tengah hari semalam.

Ketua Polis Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, mangsa, Azhar Hussin, 49, dipercayai menunggang motosikal jenis EX5 bersendirian dari arah Lipis menghala ke Merapoh.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian di Kilometer 96, Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Kampung Mentara Baru, motosikal yang ditunggang mangsa dirempuh kenderaan berat berkenaan.

“Siasatan awal polis mendapati, mangsa melalui satu selekoh sebelum cuba memasuki simpang kanan untuk pulang ke rumahnya yang terletak di Kampung Mentara Baru.

“Namun motosikal mangsa telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah treler dan mengheret mangsa serta kenderaannya sejauh tujuh meter,” katanya di sini, semalam.

Azry berkata, pemandu lori terbabit kemudiannya bertindak melarikan diri dan pihak polis masih mengesan pemandu berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala, badan dan kaki maut serta merta di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mentara Baru.

“Kita masih mengesan pemandu treler plat WVM, nombor tidak dapat dipastikan, kepala treler berwarna merah dan badan berwarna hijau yang ditutupi kanvas hitam.

“Treler berkenaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan bucu sebelah kiri akibat pelanggaran berkenaan,” katanya.

Azry berkata, orang ramai yang mengenal pasti lori terbabit diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.

Menurutnya, saksi kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nafis Nazaruddin menerusi talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan.

Bantu apa saja yang diperlukan




NUR Shakinah Naim.



Hamzah Osman
am@hmetro.com.my



Langkawi: Kerajaan negeri sedia membantu keluarga Nur Shakinah Naim, 19,pelajar Malaysia yang hilang di Normandy, Perancis, sejak Ahad lalu, selain menawarkan kerjasama kepada agensi kerajaan untuk menggiatkan usaha mengesannya.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanifah berkata, wakil kerajaan negeri juga sudah melakukan kunjungan dan berjumpa bapa dan ibu pelajar terbabit di Tikam Batu, Sungai Petani, semalam.

"Kerajaan negeri sedang bekerjasama dan sentiasa berhubung dengan agensi kerajaan termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kedutaan Malaysia di Perancis berhubung kes ini.

"Kita juga bersedia menimbang dan menawarkan apa juga bentuk bantuan yang diperlukan keluarganya," katanya pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Makan Malam sempena Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Padang Matsirat di sini, malam tadi.

Ahmad Bashah turut menasihatkan ahli keluarga pelajar terbabit supaya bersabar dan sentiasa berhubung dengan agensi kerajaan untuk mendapatkan maklumat yang tepat.

Nur Shakinah, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam mengikuti pengajian Kejuruteraan Kimia di Institute University of Technology (IUT) Rouen,Norwandy, sejak tahun lalu.

Anak kedua daripada enam beradik itu juga adalah lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Pekula Jaya, Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah dan memperoleh 10A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2014.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan bapa pelajar terbabit, Naim Awang, 46, dan isteri, Nur Halizah Ahmad, 43, akan berlepas ke Perancis Sabtu ini dengan kos dibiaya sepenuhnya oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad.

Sementara itu, pada jamuan makan malam yang dihadiri lebih 2,000 perwakilan PEMADAM itu, menyaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Bakar Din dipilih menerima Anugerah Khas sebagai menghargai sumbangannya menggerakkan aktiviti PEMADAM di negeri ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Pengerusi PEMADAM Datuk Seri Mohd Johari Baharom.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 10:26 AM

Ajal motosikal langgar kereta



Ku Zhaina meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO ihsan Leong Beng Tatt


Meor Riduwan Meor Ahmad




mriduwan@hmetro.com.my

Kulim: Wanita berusia 51 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan kereta di Taman Mutiara Sungai Kob, Karangan Kulim, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 6.50 pagi itu, mangsa, Khu Zaina Nayan, terperosok di bawah kereta itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh kakitangan perubatan.

Ketua Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Kulim Hi Tech, Pegawai Bomba Kanan II Zabidi Mat Desa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.54 pagi dan tiba di lokasi, jam 7.13 pagi.

Katanya, seramai enam anggota bomba dan pegawai terbabit dalam operasi menyelamat itu.

"Sejurus tiba di tempat kejadian, didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga Iswara Aeroback dan sebuah motosikal Honda Wave.

"Seorang mangsa, penunggang wanita berusia 51 tahun tersepit di bawah kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh kakitangan perubatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 11:17 AM

Tahajud penyelamat




Kediaman Marwiyah yang terbakar. FOTO ihsan bomba


Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my

Klang: Rumah didiami warga emas musnah dalam kebakaran di Jalan Bukit Kerang, Kampung Tok Muda, Klang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3 pagi itu, mangsa Marwiyah Sarum,78, sempat menyelamatkan diri apabila dia bangun untuk solat tahajud di rumahnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Ahtan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.10 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba Sungai Pinang dan Kota Raja dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Rumah mangsa musnah 100 peratus namun mangsa yang tinggal seorang diri berjaya keluar dengan selamat.

""Mangsa menyedari rumahnya terbakar ketika dia bangun untuk melakukan solat sunat tahajud pada 3 pagi. Api cepat mere ak kerana struktur rumah menggunakan bahan mudah terbakar dan bomba menggunakan kaedah dua pancutan air dari pam tangki bagi memadamkan kebakaran," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 12:10 PM

Dua sahabat didakwa membunuh




Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret, atas pertuduhan membunuh dua beranak pada 21 September lalu di Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin


Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

Johor Bahru: Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh dua beranak pada 21 September lalu di Taman Puteri Wangsa, di sini.

Tertuduh R Subramaniam, 20, dan L Uvaneswaran, 20, mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Salina Omar.

Salina menetapkan kes disebut semula pada 1 November ini dan kes dikendalikan ole Timbalan Pendakwaraya, Nur Baiduri Mustakim.

Pada Rabu lalu, mayat M Mariayee, 56 dan C Durga Devi, 16, ditemui dengan kesan kelar pada kira-kira 10.30 pagi di rumah di Jalan Beladau 40, Taman Puteri Wangsa di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 1:06 PM

Ditetak sampai mati




Kumar ditetak sampai mati.



Omar Osman
am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Seorang pemandu jengkaut berusia 35 tahun mati ditetak dengan senjata tajam di bilik tidurnya oleh sekumpulan lelaki yang menyerang rumahnya di Taman Keladi, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah malam itu, sekumpulan lelaki sebahagiannya dikatakan bersenjatakan parang memecah pintu pagar dan pintu rumah selepas mangsa, M Kumar enggan membukanya.

Sebaik berjaya masuk, suspek kira-kira 10 orang dikatakan terus menyerang dengan parang dan mangsa yang cuba menyelamatkan diri berlari masuk ke dalam bilik tidur dan mengunci pintu dari dalam.

Menurut sumber, suspek kemudian bertindak memecah pintu bilik dan menetak Kumar di perut, tangan dan kaki, malah tangan kirinya hampir putus.

"Selepas melihat mangsa cedera parah semua suspek segera meninggalkan rumah terbabit dan menghilangkan diri.

"Polis yang menerima maklumat bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan menemui mangsa terbaring dalam bilik di tepi katil dengan kesan tetakan di perut, kaki dan kedua-dua belah tangan," katanya.

Sumber berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 2:28 PM

Ikut nafsu sangat...




Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

Ipoh: Mekanik berusia 31 tahun ditahan Isnin lalu kerana disyaki merogol pelajar perempuan berusia 16 tahun di Taman Bandar Baru Kampar, Kampar dekat sini pada awal September lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, suspek diberkas susulan laporan polis yang dibuat mangsa yang mendakwa dirogol oleh lelaki berkenaan di rumah sewa suspek yang juga teman lelaki mangsa.

Menurutnya, mangsa mendakwa pada 1 September lalu jam 10.15 malam keluar makan malam bersama suspek dan seorang rakan wanitanya di kawasan Bandar Baru Kampar.

"Selepas makan teman lelaki mangsa (suspek) mengajaknya pergi ke rumah sewa di Taman Bandar Baru Barat Kampar dan mereka masuk ke bilik serta menonton televisyen.

"Suspek kemudian minta untuk melakukan hubungan seks tetapi mangsa tidak mahu dan suspek terus memeluk mangsa sebelum pelajar terbabit cuba menolak tetapi teman lelakinya itu masih terus memeluk badan dengan kuat," katanya ketika ditemui di perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di sini hari ini.

Kong Soon berkata, suspek kemudian bertindak mencium mulut dan membuka baju dalam serta seluar mangsa dengan cara kasar sebelum seterusnya merogol mangsa.

"Selepas kejadian itu, pada 3.30 pagi mangsa dihantar balik oleh suspek dan mangsa kemudian membuat laporan polis pada Isnin lalu kerana merasa takut dan trauma.

"Susulan laporan yang dibuat, pada hari sama jam 6.15 petang suspek ditahan di Balai Polis Kampar selepas dipanggil untuk siasatan," katanya.

Menurutnya, suspek kini direman selama tujuh hari hingga 3 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 12:50 PM

Empat didenda RM5,000




Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Akibat gagal mengeluarkan invois cukai, empat pemilik dua restoran masing-masing didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen, di sini semalam

Hakim Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas semua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Tertuduh, Che Kamaruzaman Che Yaakob, 48 dan Noor Shaifuddin Hassan, 43, yang berdaftar di bawah Akta Cukai dan Perkhidmatan 2014 didakwa bersama-sama gagal mengeluarkan invois cukai di restoran mereka di Jalan Jambatan Sultan Yahya Petra, Kampung Sireh, di sini pada jam 2.15 petang, 12 Mei 2015.

Bagi pertuduhan berikutnya, tertuduh Mahadi Harun, 57, dan Bidah Abas, 65, pula didakwa bersama-sama melakukan kesalahan serupa di restoran mereka di Jalan Post Office Lama, di sini pada jam 1.15 petang, 27 Mei 2015.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33(2)(a) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang boleh dihukum ikut Seksyen 96, serta dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut peruntukan itu, hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, semua tertuduh dalam rayuannya memohon denda minimum kerana sudah insaf dan mempunyai tanggungan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 10:32 AM

NOOR Shaifuddin

CHE Kamaruzaman

Mahu gambar cantik ketika ditahan polis




AKSI Xu ketika gambarnya dirakam polis selepas ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk dan tiada lesen memandu. - People's Daily Online


Changji, (China): Seorang pemandu wanita yang ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk meminta polis merakam gambarnya dengan baik supaya kelihatan cantik.

Portal People’s Daily Online melaporkan, wanita itu ditahan di Changji pada waktu tengah malam pada 21 September lalu kerana memandu secara berbahaya.

Ketika pemeriksaan, wanita yang dikenali sebagai Xu itu didapati tidak membawa lesen memandu dan kelihatan mabuk.

Apabila anggota polis mahu mengenakan saman, Xu cuba menggoda dan memujuk lelaki itu supaya tidak mengambil sebarang tindakan.

Kerana curiga dengan sikap wanita itu, anggota polis berkenaan terus menjalankan ujian mengesan tahap alkohol terhadapnya.

Pada mulanya Xu enggan menjalani ujian berkenaan tetapi selepas diberi amaran dia mungkin dibawa ke hospital bagi menjalani ujian darah, wanita itu akhirnya bersetuju.

Selepas ujian dijalankan polis mendapati tahap kandungan alkohol wanita itu melebihi tahap yang dibenarkan.

Apabila polis mahu merakam gambarnya, Xu meminta anggota berkenaan mengambil gambar dengan baik supaya dia kelihatan cantik.

Xu juga meminta anggota polis itu menggunakan aplikasi kamera bagi menjadikan gambarnya lebih menarik.

Polis memberitahu, wanita itu bakal didakwa kerana memandu dalam keadaan mabuk dan tidak membawa lesen memandu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 9:18 AM

Banduan maut dalam pergaduhan di penjara





Manila: Pergaduhan membabitkan lapan banduan di sebuah penjara di Filipina semalam menyebabkan seorang ketua pengedar dadah warga China maut dan empat lagi cedera, kata pegawai.

Kejadian tercetus ketika siasatan Kongres mengenai aktiviti perdagangan dadah di pusat tahanan berkenaan.

Setiausaha Keadilan, Vitaliano Aguirre II berkata, pergaduhan tercetus apabila seorang banduan menangkap tiga banduan warga China yang mengambil dadah jenis methamphetamine.

Banduan yang maut dikenali sebagai Tony Co.

Katanya, Co dan dua lagi banduan warga China yang cedera adalah antara pengedar dadah terbesar di negara itu.

Turut cedera, ketua banduan, Jaybee Sebastian yang diminta memberi keterangan dalam siasatan Kongres terhadap Senator Leila de Lima.

De Lima, yang juga bekas Setiausaha Keadilan pernah memberitahu, Sebastian yang memberi petunjuk yang membawa kepada maklumat dan serbuan terhadap penjara berkenaan pada 2014.

Serbuan itu mendedahkan banduan berprofil tinggi tinggal di bilik penjara umpama rumah mewah lengkap dengan tab mandi air panas dan lampu disko.

Senjata api, mesin pengira, telefon bimbit dan peralatan elektronik lain turut dirampas.

De Lima kurang disenangi Presiden Rodrigo Duterte selepas wanita itu mengetuai siasatan mengenai skuad pembunuh ketika pemimpin itu menjadi datuk bandar Davao.

Dia juga mengetuai siasatan Senat terhadap kempen memerangi dadah yang dilancarkan Duterte yang sudah meragut lebih 3,000 nyawa. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 9:24 AM

Tipu duit 'beranak'



KANJENG dikawal ketat polis ketika ditahan pada minggu lalu. - Agensi


Agensi
Probolinggo, Indonesia: Pemimpin satu kumpulan agama yang mendakwa mempunyai kuasa ghaib dan mampu menggandakan wang ditangkap polis kerana disyaki menipu serta terbabit dalam pembunuhan pengikutnya yang menjadi saksi polis.

Kanjeng Dimas yang memimpin satu kumpulan yang dikenali sebagai Padepokan Kanjeng Dimas ditahan pada 22 September lalu di rumahnya di Probolinggo.

Beratus-ratus anggota polis yang lengkap dengan kereta perisai menyerbu rumah pemimpin itu sebelum menahannya.

Polis juga terpaksa melepaskan gas pemedih mata selepas sekumpulan pengikut Kanjeng cuba menghalang pihak berkuasa.

Jurucakap polis Probolinggo, Agus Andrianto berkata, Kanjeng pada mulanya disiasat susulan laporan daripada beberapa individu yang mendakwa ditipu lelaki itu.

Kanjeng yang mempunyai ribuan pengikut mendakwa mempunyai kebolehan untuk menggandakan wang.

Beberapa video menunjukkan Kanjeng menggandakan wang dan sering bergambar dengan timbunan wang banyak tersebar di Internet.

“Beberapa individu membuat laporan polis selepas menyerahkan sejumlah besar wang kepada Kanjeng supaya wang mereka digandakan tetapi akhirnya ditipu.

“Ketika siasatan dijalankan dua saksi polis yang juga pengikut Kanjeng ditemui mati dibunuh,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis Indonesia, Boy Rafli Amar memberitahu, suspek dianggap sebagai guru agama oleh pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai golongan.

“Aktiviti penipuan suspek sudah lama berlaku dan dia sering menggunakan agama untuk menipu serta memperdayakan mangsa.

“Buat masa ini polis menyiasat kes pembunuhan berkenaan sebelum meneliti kes penipuan yang dilakukannya,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 9:29 AM

Remaja bunuh bapa, tembak murid, guru




Anggota polis memeriksa lokasi kejadian di Sekolah Rendah Townville selepas seorang remaja melepaskan tembakan menyebabkan dua murid dan seorang guru cedera. - Foto AP

Reuters
Charleston, Carolina Utara: Seorang remaja lelaki menembak mati bapanya sebelum memandu ke sebuah sekolah dan menembak serta mencederakan dua dua murid dan seorang guru, hari ini.

Seorang anggota bomba sukarela yang tinggal berhampiran sekolah itu berjaya menangkapnya selepas menjatuhkan remaja berusia 14 tahun itu sebelum polis tiba dan menahannya.

Menurut polis, remaja itu menembak mati bapanya, Jeffrey DeWitt Osborne, 47, di rumahnya, memandu pikap bapanya sejauh lebih tiga kilometer ke Sekolah Rendah Townville dan merempuh pagar sebelum menembak tiga mangsanya.

Jacob Hall, 6, yang cedera terkena tembakan di betis, dilaporkan dalam keadaan kritikal. Seorang lagi murid juga berusia enam tahun ditembak di kaki manakala seorang guru cedera di bahu dan kedua-dua mereka sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Polis sedang menyiasat sama ada mangsa yang cedera itu ada hubungan dengan remaja berkenaan.

Menurut polis, remaja itu yang tidak ke sekolah kerana belajar di rumah, menghubungi neneknya yang kemudian ke rumah mereka dan menemui mayat bapanya.

“Neneknya tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang dikatakan remaja itu kerana dia bercakap sambil menangis lalu ke rumah berkenaan,” kata Koroner Greg Shore,

Menurut polis, remaja itu tidak sempat masuk ke dalam sekolah berkenaan yang mempunyai 280 murid itu.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 4:17 PM

Pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine tembak MH17






SEORANG pegawai penyiasat dari Malaysia memeriksa serpihan pesawat MH17 berhampiran kampung Hrabove di Donetsk, Ukraine pada 22 Julai 2014. - REUTERS

NIEUWEGEIN, Belanda – Penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine menggunakan sebuah peluru berpandu darat ke udara BUK buatan Rusia yang dilancarkan dari perkampungan dikuasai pemberontak pro-Moscow, kata pasukan pendakwa raya antarabangsa semalam.

Penemuan itu mencabar dakwaan Rusia bahawa pesawat milik Penerbangan Malaysia itu ditembak jatuh oleh tentera Ukraine pada Julai 2014 semasa dalam penerbangan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur.

Semua 298 penumpang dan kru pesawat jenis Boeing 777-200 itu terbunuh, kebanyakannya warga Belanda.

Pasukan pendakwa raya itu tidak boleh mengemukakan pendakwaan tetapi waris mangsa­ sebelum ini bertegas mahukan butiran terperinci tentang dalang yang menembak jatuh MH17 dengan harapan pihak yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.

Pasukan pendakwa raya itu yang dianggotai oleh Belanda, Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine berkata, sistem peluru berpandu BUK bergerak itu me­lancarkan sebuah peluru berpandu dari kampung Pervomaysk sebelum kembali ke Rusia.

Mereka memberitahu satu sidang akhbar di bandar Nieuwegein, tengah Belanda bahawa pihaknya telah mengenal pasti 100 orang yang ingin disoal siasat berkaitan tragedi itu tetapi masih belum dikategorikan sebagai suspek.

“Masih tidak jelas sama ada arahan telah diberikan kepada pemberontak pro-Rusia supaya melancarkan peluru berpandu BUK atau mereka bertindak secara bebas,” kata pasukan pendakwa raya tersebut.

Siasatan awam oleh Lembaga Keselamatan Belanda turut merumuskan pada 2015 bahawa MH17 ditembak menggunakan peluru berpandu BUK yang dilancarkan dari timur Ukraine tetapi Moscow berulang kali menafikan pembabitan pemberontak pro-Rusia.

Waris mangsa dimaklumkan tentang penemuan itu sejurus sebelum sidang akhbar pasukan pendakwa raya tersebut.

Kumpulan pemberontak pro-Rusia berperang menentang tentera Ukraine semasa tragedi itu berlaku pada 17 Julai, 2014.

Pesawat Boeing 777 itu berkecai di udara dengan sejumlah serpihan jatuh bertaburan sejauh beberapa kilometer di beberapa buah padang di wilayah yang dikuasai pemberontak pro-Rusia. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4LdGlitdx
Hakcipta terpelihara 

Juragan kapal diculik di Semporna





Oleh MUSTAPA LAKAWA

Kapal nelayan (kanan) yang turut dirompak penjenayah sama di perairan Tungku, Lahad Datu kelmarin.

KOTA KINABALU – Sekumpulan enam penjenayah rentas sempa­dan yang lengkap bersenjata api jenis M16, M14 dan pistol menculik seorang juragan kapal warga tempatan di perairan Semporna dekat Pulau Gaya dalam kejadian malam kelmarin.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan sama terdiri daripada enam lelaki itu juga dipercayai menjadi dalang kepada kes rompakan laut melibatkan sebuah kapal nelayan jenis pukat jerut di perairan Tungku, Lahad Datu.

Kejadian culik itu dilakukan sekitar pukul 9.30 malam sebelum penjenayah yang sama merompak sebuah kapal nelayan kira-kira pukul 10 malam.

Jarak antara kedua-dua lokasi kejadian kira-kira 9.3 kilometer.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, mangsa yang diculik dikenali sebagai Ruslan @ Nasir Sarapin, 39 berasal dari Lahad Datu.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz4LdGZGRxs
Hakcipta terpelihara 

Pembalak buli Orang Asli





Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB

Kawasan hutan di Gua Musang yang digondol pembalak menyebabkan kemusnahan alam sekitar dan hidupan liar di situ.

GUA MUSANG – Dua puluh tahun lalu, Adek Along, 48, dan lebih 200 penduduk Orang Asli di Kampung Gawin di sini hidup dikelilingi udara segar dan pemandangan alam semula jadi yang cukup indah.

Perasaan itu juga dirasai oleh seorang lagi saudaranya, Alang Along, 42, yang tinggal di Kampung Bering, kira-kira satu kilo­meter dari Kampung Gawin.

Alang masih teringat, dia bersama rakan-rakan termasuk anak-anak jiran akan ke sungai bermandi-manda dan berburu di hutan.

Namun, sayang sekali, kata mereka, nikmat itu tidak bertahan lama. Mengapa? Ini semua kerana aktiviti pembalakan yang semakin tidak terkawal. Kemusnahan hutan Gua Musang telah mencemarkan alam sekitar dan membunuh ‘keamanan’ bukan dua tetapi 20 buah kampung di Pos Orang Asli di daerah ini.

Cerita Adek, pada awal tahun 1996, lebih 17,000 penduduk daripada suku Temiar tidak berasa terancam dengan kehadiran pembalak daripada beberapa buah syarikat pembalakan.

“Ketika pembalak mula datang, kami fikirkan mereka bakal membawa pembangunan dan kemajuan di kawasan kami tetapi lama-kelamaan sikap mereka sudah keterlaluan. Pada setiap hari, selang dua minit, ada sahaja lori balak keluar masuk Gua Musang.

“Bayangkan, air sungai yang mengalir jernih kini sudah keku­ningan dan kotor. Budak-budak dan ibu bapa sudah malas dan tak mahu turun ke sungai yang sudah tercemar itu. Kalau anda semua mendaki puncak bukit, anda akan lihat kawasan di situ sudah ditarah dengan teruk,” keluhnya.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz4LdGF5Ktq
Hakcipta terpelihara 

Pekerja cedera kilang terbakar




ANGGOTA bomba menjalankan kerja memadam kebakaran kilang membuat acuan seramik. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Seremban: Tiga pekerja melecur selepas terkena percikan api dalam kebakaran kilang membuat acuan seramik di Kawasan Perindustrian Tuanku Jaafar, Senawang, hari ini.

Dalam kejadian 1.26 tengah hari itu, tiga pekerja masing-masing warga India, Nepal dan Bangladesh berusia lingkungan 40-an melecur di tangan dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk rawatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Seremban, Seremban 2 dan Rembau bersama 25 pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.

"Bomba dimaklumkan kilang itu terbakar secara tiba-tiba sebelum merebak ke kilang membuat alatan taman permainan bersebelahan. Pasukan bertindak mengawal kebakaran daripada merebak ke kilang lain.

"Kita mengawal kebakaran sepenuhnya pada 3 petang. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan nilai kerugian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, tiga pekerja yang cedera dilaporkan stabil dan hanya cedera ringan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 4:51 PM

Menyamar nelayan seludup dadah





Oleh SHARKAWI LONDING



WAN AHMAD NAJMUDDIN (tiga dari kiri) menunjukkan sejumlah dadah yang dirampas daripada dua suspek pada sidang akhbar di IPK negeri, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja sebuah pusat hiburan bersama abang iparnya sanggup bergadai nyawa menaiki sebuah bot kecil yang usang untuk menyeludup kira-kira 8 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.2 juta ke Batam, Indonesia kelmarin.

Lebih licik apabila dua lelaki berusia 23 dan 35 tahun itu turut bertindak menyamar sebagai nelayan yang sedang meman­cing dan menyembunyikan dadah berkenaan di dalam plastik makanan dan minuman segera bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tindakan lelaki tempatan dan abang iparnya warga Indonesia itu gagal apabila kegiatan jahat mereka dapat dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) yang berjaya menahan mereka di Perairan Kukup, kira-kira dua kilometer dari pesisir pantai Pontian dekat sini pada pukul 4.15 petang.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, bot yang dinaiki dua suspek itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika anggota daripada PPM Wilayah Dua sedang melakukan Rondaan Gelora.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz4LbAJ8w39
Hakcipta terpelihara 

Rusia sekali lagi tuduh Ukraine tembak MH17






REUTERS - GAMBAR fail pada 17 Julai 2014 menunjukkan seorang anggota pemisah berdiri di atas serpihan MH17 di Donetsk, Ukraine.

MOSCOW – Rusia kelmarin cuba menyalahkan Ukraine berhubung perbuatan menembak jatuh Pe­nerbangan MH17, beberapa hari sebelum siasatan jenayah tragedi pembunuhan beramai-ramai itu diumumkan.

Kiev dan Barat menegaskan bahawa kumpulan pemisah pro-Rusia menembak jatuh Boeing 777 milik Penerbangan Malaysia itu di ruang udara timur Ukraine yang bergolak pada 17 Julai 2014 menggunakan sistem peluru berpandu dipercayai dibekalkan oleh Moscow.

Menurut keputusan siasatan antarabangsa pada Oktober 2015, MH17 ditembak jatuh menggunakan sebuah peluru berpandu BUK buatan Rusia yang dilancarkan dari kawasan dikuasai puak pemisah pro-Rusia. Semua 298 penumpang dan kru MH17 maut dalam tragedi itu.

Namun, siasatan tersebut tidak menamakan pihak yang bertanggungjawab menembak MH17.

Begitupun, Rusia dan pembe­rontak Ukraine berulang kali menafikan terbabit menembak jatuh MH17. Kedua-dua pihak membuat dakwaan bercanggah yang dianggap oleh ramai pengkritik sebagai cubaan untuk mengelirukan kes tersebut.

Dalam satu taklimat ringkas kelmarin, Kementerian Pertahanan Rusia menyiarkan imej radar yang menunjukkan bahawa tiada sebarang peluru berpandu dilepaskan dari wilayah yang dikuasai kumpulan pemisah pro-Rusia.

“Jika peluru berpandu itu ialah BUK, maka ia milik pasukan tentera Ukraine dan ditembak dari kawasan yang dikuasai oleh Kiev.

“ Sekiranya pesawat Boeing Malaysia itu ditembak jatuh dengan menggunakan peluru berpandu dari kawasan pemberontak, sudah pasti ia akan tertera dalam radar Rusia,” kata Komander Tentera Rusia, Andrei Koban.

Rakaman radar yang disiarkan oleh Rusia kelmarin bercanggah dengan dakwaan Moscow sebelum ini bahawa sebuah jet Ukraine dikesan terbang berhampiran dengan pesawat malang itu.

Hasil keputusan siasatan yang diketuai oleh Belanda itu dijangka diketahui hari ini. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4LbAAdQZG
Hakcipta terpelihara 

Sejuta wanita miskin di Britain jadi mangsa dera






WANITA miskin cenderung menjadi mangsa keganasan dan penderaan. – Gambar Hiasan

LONDON – Seramai sejuta wanita miskin di Britain pernah menjadi mangsa keganasan dan penderaan yang menyebabkan mereka cenderung untuk membunuh diri, mengalami sakit mental dan menjadi gelandangan, demikian menurut satu laporan semalam.

Laporan pertama seumpamanya itu diterbitkan oleh Agenda, sebuah perikatan terdiri daripada lebih 60 kumpulan yang membela golongan wanita. Menurut agensi tersebut, wanita miskin lebih cenderung berdepan dengan segala bentuk penderaan dan keganasan berbanding wanita lain.

“Kaitan antara keganasan dan kemiskinan dalam kehidupan wanita bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

“Apa yang benar-benar mengejutkan ialah betapa sukarnya kehidupan wanita yang menempuh kedua-dua pengalaman ini,” kata pengarah Agenda, Katharine Sacks-Jones.

Menurut laporan itu, sebanyak 14 peratus wanita miskin berdepan keganasan dan penganiayaan paling meluas seperti menjadi mangsa kawalan dan keganasan pasangan masing-masing atau berdepan keganasan fizikal dan seksual.

Kadar itu ialah melebihi dua kali ganda daripada kadar wanita bukan miskin.

“Keganasan dan kemiskinan membawa penderitaan yang teruk terhadap kehidupan mangsa,” kata laporan sama.

Lebih sepertiga wanita yang menjadi mangsa keganasan dan pende­raan cuba membunuh diri berban­ding cuma empat peratus wanita miskin yang tidak didera, manakala satu dalam setiap dua wanita terbabit mengalami sindrom kemurungan atau masalah mental yang lain.

Satu perlima daripada golongan itu juga hidup secara gelandangan.

“Wanita miskin kekurangan sumber untuk mengelak keganasan dan penganiayaan,” kata Sack-Jones.

“Pengalaman menjadi mangsa keganasan dan penderaan boleh menyebabkan wanita kekal dalam kepompong kemiskinan. Keganasan dan kemiskinan sukar untuk dipisahkan,” tambahnya. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4LbA1u3Ie
Hakcipta terpelihara 

Ibu bapa Nurshakinah ke Perancis





Oleh NORLIDA AKMAR IDROS

Shaiful Hazizy (kiri) berkata sesuatu kepada Naim ketika pertemuan di rumahnya dekat Kampung Masjid, Tikam Batu semalam.

SUNGAI PETANI – Ibu bapa kepada Nurshakinah Naim, 19, penuntut sebuah universiti di Perancis yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu akan berangkat ke negara itu pada Sabtu ini.

Naim Awang, 46, berkata, tiket penerbangan dia dan isteri, Nor Halizah Ahmad, 44, dibiayai Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad.

“Alhamdulillah, saya dan isteri dapat berangkat ke sana pada malam Sabtu ini untuk mencari sendiri anak kesayangan kami yang masih tiada khabar berita sehingga saat ini dengan bantuan pegawai Kedutaan Malaysia di sana,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Masjid, Tikam Batu di sini semalam.

Dia yang merupakan pesawah ditemui selepas menerima kunjungan Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz4Lb9rmsJi
Hakcipta terpelihara 

Tiga lelaki berdepan hukuman mati




Zahabuddin (dua dari kiri) dan Azlan (kiri) dibawa anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam selepas didakwa melepaskan tembakan hingga mencederakan seorang lelaki bulan lalu.

KOTA BHARU – Dua beradik terma­suk seorang lelaki berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berbeza di sini semalam atas pertuduhan melepaskan tembakan dan bersubahat dalam kejadian di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Bunut Payung di sini bulan lalu.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada dua beradik itu, Muhammad Zahabuddin Ab. Kadir, 29, dan Mohammad Azlan Ab. Kadir, 26, terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Zainal Abidin.

Mereka didakwa bersama-sama telah melepaskan tembakan daripada senjata api Revolver 2 inci jenama Smith & Wesson bernombor siri 660339 sehingga menyebabkan kecederaan pada Muhammad Bazli Aiman Mohamed Zu, 22, di hadapan Restoran Shisha Maroh Hookah, Jalan Tengku Mohd. Maasum di sini antara pukul 2 pagi hingga pukul 2.15 pagi, 23 Ogos lalu.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz4Lb9ei9eY
Hakcipta terpelihara 

Sindiket pelacuran WeChat tumpas





Oleh FIRDAUS HASSAN



Tiga orang pelacur warga Thailand yang ditahan dibawa ke Mahkamah Kota Bharu bagi mendapatkan perintah reman semalam.

KOTA BHARU – Satu sindiket pelacuran yang menawarkan khid­mat seks melalui aplikasi WeChat tumpas selepas lima ahlinya termasuk dua bapa ayam ditahan dalam tiga serbuan di Jalan Seri Cemerlang di sini kelmarin.

Dalam serbuan serentak di tiga buah premis hotel kira-kira pukul 12 tengah malam itu seorang pelanggan berusia 22 tahun turut ditahan ketika sedang melanggan seorang pelacur warga Thailand.

Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Asisten Superintendan Nik Rosdi Nik Yahya berkata, sindiket yang dipercayai baru beroperasi seminggu lalu itu menggenakan caj antara RM180 hingga RM230 bagi setiap khidmat seks yang ditawarkan.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz4Lb9MAD00
Hakcipta terpelihara 

Mayat warga emas ditemui di batas sawah

JENAYAH RABU, 28 SEPTEMBER 2016 @ 10:41 PM

Oleh Noorazura Abdul Rahman bhnews@bh.com.my

ANGGOTA polis mengangkat mayat warga emas, Tan Aba@Tan Peng Lai, yang ditemui di tepi sawah dipercayai akibat serangan jantung di Kampung Anak Bukit. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Mayat seorang lelaki ditemui di batas sawah Kampung Anak Bukit, di sini, petang tadi selepas dipercayai mati akibat serangan jantung.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mayat Tan Aba @ Tan Peng Lai, 74, ditemui dalam keadaan terbaring di batas sawah oleh seorang pengendali jentera membajak. Adik mangsa, Tan Ah Siang, 73, berkata abangnya sering ke sawah pada waktu pagi dan petang setiap hari bagi meninjau kerja yang dijalankan.

 "Semalam saya ada bersembang dengan abang di rumahnya sambil minum air teh, saya lihat dia tidak menunjukkan tanda sakit atau letih.

"Saya tidak sangka menerima berita mengenai kematiannya di sawah. Dia memang tak boleh duduk diam di rumah, walaupun sudah tua, tetap mahu bekerja," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, petang tadi.

Ah Siang berkata, abangnya itu disahkan menghidap masalah jantung sejak 10 tahun lalu dan pernah menjalani pembedahan lima tahun lalu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.

 "Saya juga membuat laporan polis di Balai Polis Anak Bukit dan akan menuntut mayatnya malam ini selepas selesai bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan mati mengejut.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/197071

Rasuah: Dipenjara 21 tahun, denda RM9.24 juta


28 SEPTEMBER 2016
mahkamah

mahkamah Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Seorang bekas penolong pegawai di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini dijatuhi hukuman penjara berjumlah 21 tahun dan denda RM9,248,554 juta oleh Mahkamah Sesyen bagi kesalahan rasuah membabitkan projek kemasyarakatan kerajaan berjumlah RM18.6 juta.

Hakim Allaudeen Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap tujuh pertuduhan dihadapi Hazmi Samsudin, 41, yang ketika itu bekerja di unit Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) kementerian itu.

Hazmi dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlahnya 21 tahun dan denda berjumlah RM9,248,554 bagi kesemua pertuduhan atau penjara empat tahun enam bulan, jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun tertuduh, yang sekadar menundukkan kepalanya ketika mendengar keputusan itu, hanya perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun sehaja selepas hakim memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Sebanyak 41 saksi pihak pendakwaan dan dua saksi pihak pembelaan termasuk tertuduh, memberi keterangan sepanjang  perbicaraan kes itu.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim, yang mewakili Hazmi, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi dengan menaikkan jumlah jaminan daripada RM70,000 kepada RM80,000.

Bagi pertuduhan pertama, Hazmi didakwa meminta suapan bagi projek kemasyarakatan 1Azam bagi menaik taraf dan membaik pulih balai raya, dewan masyarakat, surau dan masjid membabitkan 10 peratus daripada nilai keseluruhan projek bernilai RM18 juta daripada empat individu iaitu Zainal Arifin Lahuri, Zamzuri Abdullah, Fadzil Anuar Ahmad dan Mohd Khairil Isma Abdullah Bacha.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No 1, Jalan PH 2, Putra Heights, Sungai Merab Luar, Bandar Baru Bangi, Hulu Langat, Selangor, pada hujung 2010.

Bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh, Hazmi didakwa memperoleh rasuah 10 peratus bagi setiap enam projek kerajaan di Manjung, Perak termasuk menaik taraf dan membaik pulih dewan, yang keseluruhannya bernilai RM596,628 melalui enam syarikat berlainan dengan perantaraan Zainal Arifin.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Aras 1-6, Blok E, Kompleks Pejabat Kerajaan Bukit Perdana, Jalan Datuk Onn, di sini, antara Mei 2011 dan Jun 2011.

Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dalam rayuan untuk mengurangkan hukuman, Mohd Baharuddin berkata anak guamnya yang kini telah hilang pekerjaan perlu menanggung keluarga dan telah insaf atas perbuatan yang dilakukan.

"Anak guam saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan dilakukan dan ini kesalahan pertama tertuduh," kata peguam itu yang turut memaklumkan anak guamnya telah berkhidmat selama 18 tahun sebagai pegawai kerajaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib daripada SPRM. – Bernama

Suspek utama larikan Nur Darleen Dazeera ditahan

ENAYAH RABU, 28 SEPTEMBER 2016 @ 9:48 PM
Oleh Nor Azizah Mokhtar bhnews@bh.com.my  bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang daripada dua lelaki yang melarikan seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 di Bandar Tun Hussein Onn, 22 September lalu, dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Koperasi Maju Jaya, Cheras, dekat sini, Isnin lalu.

 Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, lelaki berusia 27 tahun yang juga suspek utama, ditangkap hasil risikan polis dan maklumat awam.

 Suspek juga dipercayai aktif melakukan kegiatan samun. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Superintendan Othman Nanyan, berkata polis menemui sebilah parang yang dipercayai digunakan ketika melarikan mangsa dan melakukan samun dalam rumah berkenaan.

"Kita turut menemui satu dompet berisi kad pengenalan suspek dan satu lagi kad pengenalan orang lain. Hasil semakan, kita mendapati ia adalah milik seorang mangsa dalam satu kejadian samun di Batu 9 Cheras pada 24 September lalu.

 "Semakan turut mendapati suspek yang masih bujang dan tidak bekerja itu mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Katanya, hasil soal siasat ke atasnya, polis menahan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai menjadi pembeli barangan hasil samun yang dilakukan suspek.

"Tangkapan dilakukan pada hari sama dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Minang, Batu 9, Cheras, pada jam 5.30 petang. Kita menemui beberapa barangan dipercayai hasil samun, antaranya tiga utas jam tangan, tablet komputer dan telefon bimbit.

"Dalam pada itu, kita sudah mengenal pasti seorang lagi rakan suspek yang bersubahat melarikan mangsa dan usaha memburunya sedang dilakukan," katanya. Beliau berkata, suspek terbabit kini direman tujuh hari sehingga 2 Oktober depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melakukan penculikan.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, dilarikan dua lelaki menunggang motosikal di hadapan rumahnya di Jalan Suasana 4/2, Bandar Tun Hussein Onn. Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, pelajar berkenaan, Nur Darleen Dazeera Azhar, 15, sedang menunggu van untuk ke sekolah.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/197064

Pemandu treler maut tayar meletup

JENAYAH KHAMIS, 29 SEPTEMBER 2016 @ 1:26 AM

Oleh Rosli Ilham bhkt@bh.com.my

 MAYAT mangsa diangkat anggota penyelamat. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Seorang pemandu treler maut terkena serpihan tayar trelernya yang tiba-tiba meletup.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, Mohd Nazri Jusoh, 41, dikatakan memberhentikan treler di Jalan Jerangau-Jabur,  dekat Bukit Besi.

Mangsa dari Kampung Tok Dir, Kuala Terengganu dikatakan turun untuk memeriksa tayar bahagian belakang trelernya apabila ia tiba-tiba meletup.

Serpihan tayar yang meletup itu terkena pada muka, badan dan tangan. Muka mangsa dikatakan hancur akibat letupan itu dan mangsa disahkan maut di tempat kejadian.

Mangsa yang membawa muatan simen, dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Jaswari Awang, berkata sepasukan bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian,  pihaknya mendapati mangsa sudah meninggal dunia di sisi trelernya. "Jenazah mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

 MANGSA Mohd Nazri Jusoh.  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/197164