Search This Blog

Tuesday, September 27, 2016

Dua lelaki samun kedai dalam masa 28 saat


SYAMILAH ZULKIFLI
27 SEPTEMBER 2016
Dua lelaki samun kedai dalam masa 28 saat

Dua lelaki samun kedai dalam masa 28 saat Polis sedang menjalankan siasatan di kedai emas yang dirompak.
SEREMBAN - Hanya mengambil masa 28 saat, sebuah kedai emas di Jalan Dato Bandar Tunggal dekat sini, mengalami kerugian dianggarkan RM50,000 selepas disamun dua penjenayah hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.56 pagi itu, dua suspek yang memakai serba hitam, bertopi dan berkaca mata hitam memasuki premis lalu mengacukan senjata dipercayai menyerupai sepucuk pistol.

Ketua Polis Dearah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, ketika kejadian itu terdapat tujuh pekerja termasuk pemilik premis berkenaan, namun tiada pengawal keselamatan disediakan.

“Suspek yang menunggang motosikal terus meluru masuk ke dalam premis dan mengacukan senjata dikatakan menyerupai sepucuk pistol ke arah tiga pekerja wanita.

“Pekerja premis telah diarahkan oleh suspek menyerahkan dulang berisi barangan emas sebelum mereka melarikan diri dan dulang tersebut telah dibuang di tepi jalan tidak jauh dari lokasi,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis, suspek  hanya mengambil masa lebih kurang 28 saat untuk melakukan kegiatan jenayah berkenaan.

“Anggaran kerugian dianggarkan RM50,000 apabila satu dulang subang emas berjaya dilarikan suspek dari premis tersebut yang beroperasi sejak 24 tahun lalu.

“Polis sedang giat mengesan suspek dengan melancarkan Ops Tutup serta turut meneliti rakaman CCTV dari premis sekitar. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sawa cuba belit 3 anggota APM






tiga anggota APM berjaya menangkap ular sawa batik seberat 100kg selepas hampir 10 minit bertarung dengan reptilia itu dalam kejadian di Taman Fikri, Kemaman kelmarin.

KEMAMAN – Sepasukan tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berdepan saat mencemaskan kira-kira 10 minit apabila seekor ular sawa batik sebe­rat 100 kilogram (kg) cuba menyerang dan membelit mereka di Taman Fikri dekat sini malam kelmarin.

Ketua Skuad APM, Ahmad Zaquan Aziz berkata, kejadian pada pukul 9.35 malam itu berlaku apabila tiga anggota APM itu mene­rima maklumat orang awam me­ngenai kehadiran ular tersebut di kawasan perumahan di Taman Fikri.

Menurut beliau, tiga anggota APM yang pergi ke Taman Fikri menemui seekor ular sawa sepanjang 3.6 meter dengan berat 100kg berada di dalam longkang.

“Tiga anggota APM mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menumpaskan ular sawa tersebut yang cuba menyerang dan membelit anggota kita.

“Agak sukar untuk kita menangkap ular itu dengan keadaan gelap serta ruang yang sempit serta ular yang turut bertindak agresif.

“Namun dengan kepakaran yang ada kita berjaya menangkap haiwan tersebut menggunakan pencangkuk kayu,” kata beliau ketika ditemui di sini semalam.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz4LQZUeVqh
Hakcipta terpelihara 

Bayi ditinggalkan di tiang surau





Oleh KAMARIAH KHALIDI




Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat dan dibalut dengan sehelai kain batik ditemui di sebuah surau Setapak Jaya, Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR – Jemaah surau yang baru selesai menunaikan solat Zuhur di sebuah surau di Setapak Jaya di sini kelmarin terkejut apabila menemui seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditinggalkan di tepi tiang surau berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 tengah hari, bayi yang dibalut dengan sehelai kain batik berwarna hijau itu ditemui salah seorang jemaah surau sebelum melaporkan pe­nemuan tersebut kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, menurut para jemaah yang menunaikan solat di surau itu, semasa kejadian, mereka tidak nampak mana-mana individu yang mencurigakan meninggalkan bayi tersebut.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, surau berkenaan tidak dilengkapi rakaman televisyen litar tertutup dan tiada sebarang nota atau barangan bayi ditemui bersama bayi malang itu.

“Bayi lelaki itu kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz4LQYWMxjn
Hakcipta terpelihara 

Padah rogol kekasih bawah umur





Oleh FIRDAUS HASSAN

ANGGOTA polis membawa Muhamad Ramzi (kiri) selepas dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Seorang pemandu bot pelancong dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan merogol kekasih bawah umur.

Hakim Adli Abd. Ghalib menjatuhkan hukuman terhadap Muhamad Ramzi Zulkifli, 21, selepas tertuduh didapati bersalah pada akhir kes perbicaraan.

Sebaik mendengar hukuman yang dijatuhkan kepadanya, tertuduh agak terkejut dan sempat berpaling ke arah ahli keluarga yang duduk di galeri awam mahkamah.

Muhamad Ramzi didakwa merogol mang­sa berusia 15 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Cherang Ruku, Pasir Puteh dekat sini pada pukul 10 malam pada 15 Ogos 2014.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili tertuduh merayu hukuman ke atas­nya diringankan.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz4LQYCmIZc
Hakcipta terpelihara 

Pelakon drama ditahan polis





Oleh MALINDA ABDUL MALIK

IHSAN POLIS KUALA LUMPUR - AMAR (kiri) menunjukkan pelbagai jenis senjata yang dirampas di sebuah banglo pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang pelakon popular, Aidil Aziz, 29, (gambar kecil) dan anak seorang tokoh perniagaan bergelar Datuk Seri ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes menanam pokok ganja serta memiliki senjata di sebuah banglo­ Jalan Ampang Ulu di sini pada Sabtu lalu.

Seorang lelaki warga Filipina yang bekerja di sebuah syarikat pe­ngurusan teknologi­ maklumat di sini turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, ke­semua mereka kini ditahan reman di lokap Jinjang selama enam hari bermula­ kelmarin hingga Jumaat ini.

Menurutnya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah menyerbu banglo milik Datuk Seri selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di banglo itu polis menjumpai tiga pasu yang mengandungi pokok ganja de­ngan ketinggian 0.19 meter hingga satu meter setiap satu pasu, satu tiub straw me­ngandungi benih ganja serta daun ke­ring disyaki dadah jenis ganja.

“Polis turut merampas bahan dan pera­latan menanam pokok ganja, empat pistol angin, dua senapang angin, tujuh pedang samurai dan 19 pisau pelbagai jenis, sehelai vest polis dan satu lampu kecemasan,” ujarnya pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini semalam.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz4LQXa6yyf
Hakcipta terpelihara 

Ibu Mengaku Tidak Bersalah Bunuh Anak


Diterbitkan: Selasa, 27 September 2016 12:13 PM

Anggota polis mengiringi seorang ibu muda, Aida Amira Harun,22, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 27 September atas pertuduhan membunuh anak perempuannya berusia dua tahun awal bulan lalu. - BERNAMA

SUNGAI PETANI: Seorang ibu muda yang didakwa membunuh secara tidak sengaja anak perempuannya berusia dua tahun pada awal bulan lalu, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Selasa.

Pengakuan itu dibuat Aida Amira Harun, 22, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula oleh jurubahasa di hadapan Hakim M. Vijayalakshmi.

Tertuduh sepatutnya dijatuhkan hukuman pada hari ini selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 22 Ogos lalu.

Dia yang ketika itu belum diwakili peguam, didakwa menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Ainul Solehah Mohd Husamuddin.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani antara 9.10 malam hingga 9.40 malam pada 10 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Mahkamah menetapkan 25 Okt sebagai tarikh sebutan kes bagi tujuan serahan dokumen berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan Izzah Munirah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hezeri Hamid. - BERNAMA

Kereta Tukang Jahit Langgar Kereta Morais


Diterbitkan: Selasa, 27 September 2016 5:44 PM

Kesemua tertuduh dibawa melihat barang kes iaitu sebuah kereta pacuan empat roda, tong drum dan simen pada perbicaraan kes pembunuhan Kevin Morais di Mahkamah Tinggi, 20 September lalu. fotoBERNAMA
   (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR: Seorang tukang jahit wanita memberitahu Mahkamah Tinggi pada Selasa bahawa kenderaan pacuan empat rodanya digunakan untuk melanggar kereta Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, yang mayatnya disumbat di dalam guni dan disimen di dalam tong dram di Subang Jaya tahun lepas.

S.Yogeswari, 37, berkata kenderaan Mitsubishi Triton berwarna hitam dengan nombor pendaftaran PEP 1135 adalah miliknya namun, ia digunakan oleh seorang lelaki bernama Rajendran iaitu suami bekas pekerjanya.

Yogeswari berkata beliau memiliki dua kenderaan iaitu Mitsubishi Triton dan Perodua Kembara tetapi beliau hanya menggunakan Kembara manakala Triton digunakan Rajendran.

Saksi ke-37 itu memberitahu demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin pada perbicaraan kes bunuh itu yang masuk hari ke-25 pada Selasa.

Bagaimanapun, wanita itu berkata sekitar Ogos hingga September tahun lepas, beliau menyerahkan kenderaan itu kepada seorang lelaki bernama Selvam, yang baharu dikenalinya selama tiga minggu, untuk dijual.

Yogeswari berkata sepanjang 2 Ogos sehingga 11 September, kenderaan itu tidak ada bersamanya tetapi berada di dalam kawalan Selvam.

Kepada soalan Saiful Edris mengapa beliau mahu menjual kenderaan itu, Yogeswari berkata beliau berbuat demikian kerana berhutang dengan Selvam sebanyak RM4,000 dan mahu menyelesaikan hutang itu.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas peguam V.Rajehgopal yang mewakili tertuduh ketujuh, S.Ravi Chandaran dan tertuduh keenam, S.Nimalan, Yogeswari berkata sekitar 2 Ogos hingga 11 September 2015, Selvam mengambil kenderaan itu pada setiap hari untuk dijual dan mengembalikan semula kepadanya pada waktu malam.

Saiful Edris kemudian memohon mahkamah untuk mencabar kredibiliti saksi itu berikutan keterangannya yang bercanggah mengenai lokasi kenderaan pada 2 Ogos sehingga 11 September 2015.

Terdahulu ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Nurfaida Mohd Rashidee, Pegawai Operasi Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) Bukit Aman ASP Ahmad Zamri Jai berkata beliau telah menahan tertuduh pertama Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 53, di rumahnya di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor pada 15 September 2015.

Ahmad Zamri berkata beliau turut merampas sebuah telefon bimbit, kad sim dan kad pengenalan tentera daripada tertuduh sebelum membawanya ke Balai Polis Kepong di sini.

Enam lelaki iaitu G. Gunasekaran, 48, R.Dinishwaran, 24, A.K. Thinesh Kumar, 23, M.Vishwanath, 26, Nimalan, 23, dan Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Kolonel Dr Kunaseegaran mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung pada Rabu. - BERNAMA