Membabitkan nombor telefon pengguna, kata laluan, soalan keselamatan
24 September 2016 12:19 AM
![]() |
NEW YORK 23 Sept. - Yahoo Inc. (Yahoo!) mendedahkan sebanyak 500 juta akaun penggunanya telah digodam sejak Ogos lalu menyebabkan berlakunya kebocoran data terbesar.
Menurut Mail Online, walau bagaimanapun beberapa maklumat akaun penting pengguna sebenarnya telah dicuri pada lewat 2014 dan dipercayai didalangi ‘penggodam berbayar’.
Di samping itu, Yahoo! berkata, maklumat akaun yang bocor termasuk nama, alamat emel, nombor telefon, tarikh lahir, kata laluan dan soalan keselamatan.
Tambah Yahoo!, mereka menggalakkan pengguna menukar kata laluan dan menggunakan beberapa kaedah bagi pengesahan akaun.
Selain itu, Yahoo! juga akan memberikan pemberitahuan kepada pengguna yang terdedah bahaya melalui emel selain memuat naik maklumat tambahan di laman sesawangnya.
Walau bagaimanapun, maklumat yang dicuri itu tidak termasuk kata laluan tidak dilindungi, data pembayaran kad dan akaun bank.
Dalam pada itu, pengasas Hold Security, Alex Holden memberitahu The New York Times bahawa tindakan itu mungkin membolehkan penjenayah mengakses keseluruhan hidup pengguna.
“Data akaun yang dicuri adalah penting kerana bukan sahaja menjurus kepada satu sistem tunggal tetapi kepada hubungan pengguna ke bank, profil media sosial, perkhidmatan kewangan lain, rakan-rakan dan keluarga.
“Ini merupakan salah satu kebocoran terbesar melibatkan privasi orang dan sangat meluas,” katanya.
Sebelum ini, agensi berita Motherboard melaporkan kumpulan penjenayah siber dikenali sebagai Peace didakwa menjual data pengguna Yahoo! sebanyak 200 juta orang dalam pasaran gelap namun tidak dapat dibuktikan.
Tambah laporan itu, Peace menjual data berkenaan pada harga AS$1,860 (RM7,639.11).
Buat masa ini, masih belum diketahui identiti sebenar ‘penggodam berbayar’ itu namun Yahoo! percaya terdapat tiga suspek yang melakukan jenayah berkenaan antaranya Rusia, China dan Korea Utara.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/500j-akaun-yahoo-digodam-1.386502#sthash.CJ3s3FQ8.dpuf