Search This Blog

Monday, September 5, 2016

Tembak di kepala



DR Abdul Rahman mengunjungi adik Nur Irisha Miasara yang mengalami sakit kronik yang dipangku ibunya Nur Shahirah (kiri) di Kampung Berangan Hujung, semalam.

Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Tumpat: Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga tempatan maut dengan kesan tembakan di bahagian kepala dalam kejadian di selatan Thailand, kelmarin.

Mayat Mohamad Rizuwan Mohamad, 27, ditemui adiknya di dalam sebuah bot di Pengkalan Pisau Raut, di sini, selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Nuar.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tumpat oleh adik dan ayahnya pada jam 11 malam, kelmarin.

Katanya, hasil maklumat yang diperoleh daripada adik mangsa, abangnya itu ditembak di selatan Thailand sebelum mayatnya ditinggalkan di dalam bot.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa ditembak di bahagian kiri belakang kepala selain luka di tangan kiri.

“Melihat kepada kecederaan mangsa, kita percaya senjata yang digunakan adalah senapang angin,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati mangsa mempunyai dua rekod lampau berhubung kesalahan jenayah.

“Kita masih menunggu hasil laporan bedah siasat dan siasatan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi Nur Irisha Miasara Marzuki, 5, kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik di Kampung Berangan Hujung, di sini, semalam.

Dalam kunjungan yang dianjurkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Kelantan, Ab Rahman turut menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak terbabit.

Katanya, sumbangan yang dikumpulkan berjumlah RM6,950 adalah untuk membantu menampung kos rawatan ditanggung kanak-kanak terbabit.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 10:09 AM

Mengaku rogol anak




TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu. FOTO Faris Zainuldin

Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Kota Bharu: Penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan merogol anak kandung di antara 2013 hingga 2014.

Tertuduh, 38, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nazri Ismail.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol anak kandungnya yang ketika itu berusia 13 tahun di rumah dekat Kuala Krai di antara 1 pagi hingga 2 pagi, 2013 hingga 2014.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam tahun hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh kerana kesalahan merogol anak sendiri.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:26 PM

Tiga rumah hangus




ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran tiga rumah. FOTO Ramdzan Masiam

Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


Georgetown: Tiga rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Jalan Jelutong, di sini, hari ini.

Kebakaran berlaku 3.45 petang namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Penguasa Bomba Kanan II Zulkapli Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.48 petang.

Menurutnya, enam jentera bergegas ke lokasi kejadian dan tiba lima minit kemudian.

"Dua rumah didapati hangus keseluruhan manakala sebuah lagi hanya 30 peratus terbakar.

"Api dikawal daripada terus merebak dan dipadam sepenuhnya pada 4.27 petang," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 7:38 PM

Sindiket jahanam paksa kanak-kanak mengemis




Teksi yang dipercayai digunakan untuk mengangkut pengemis. - Foto Ihsan PDRM

Antara warga asing yang dipaksa mengemis oleh sindiket yang berjaya diselamatkan polis. - Foto Ihsan PDRM

Fardy Bungga
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seramai 17 warga asing termasuk enam kanak-kanak berjaya diselamatkan oleh polis semalam, selepas dikesan menjadi buruh paksa satu sindiket untuk mengemis di beberapa lokasi pasar malam di Puchong.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, semua pengemis berusia antara dua tahun hingga 50-an yang diselamatkan itu terdiri daripada dua lelaki, sembilan wanita dan enam kanak-kanak.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket didalangi tiga lelaki dan seorang wanita itu menyediakan tempat tinggal dan makanan kepada semua mangsa.

"Mangsa dihantar ke beberapa lokasi pasar malam untuk mengemis selama beberapa jam sebelum dijemput pulang mengikut masa ditetapkan sindiket.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom) kerana mengeksploitasi warga asing termasuk kanak-kanak sebagai buruh paksa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar turut merakamkan ucapan syabas atas kejayaan itu menerusi akaun Twitter miliknya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 8:54 PM

Lelaki pelupa mati terbakar


BERNAMA
Tapah: Seorang lelaki yang mempunyai masalah pelupa meninggal dunia selepas lebih 60 peratus badannya terbakar dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Gajah di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Somsak Din Keliaw berkata siasatan awal mendapati mangsa dikenali sebagai S Arumugam, 44, juga mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan kencing manis yang kronik.

Katanya kebakaran pada kira-kira 8.30 pagi itu bermula di dapur selepas mangsa yang bersendirian di rumah, dikatakan terlupa menutup api dapur gas selepas memasak.

"Mangsa dipercayai cuba lari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri kerana kita menemui mayatnya di luar rumah dan ketika itu isteri serta anak mangsa keluar ke pekan," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, R Balaratnam berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira 8.32 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak di kawasan hutan kelapa sawit.

"Setiba di lokasi kejadian, kebakaran rumah berkenaan sudah terpadam dan hanya tinggal bara-bara api.

"Rumah hampir musnah sepenuhnya dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 9:06 PM

Lapan kes cuba culik pekerja wanita





BERNAMA
Georgetown: Polis menerima lapan laporan polis daripada pekerja wanita sebuah kilang baju di Jalan Sungai Pinang, Jelutong, di sini, berhubung kejadian cubaan culik sejak 28 hingga 30 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan siasatan terperinci, polis mendapati ada percubaan culik oleh beberapa lelaki yang datang dengan kereta atau van yang cuba menarik pekerja menaiki kenderaan berkenaan.

"Kami sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di sekitar kawasan kilang itu dan menemui beberapa keterangan serta petunjuk yang dapat membantu siasatan," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pihak polis turut meningkatkan rondaan di sekitar kawasan Jalan Sungai Pinang bagi menjaga keselamatan pekerja dan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Mior Faridalathrash berkata, kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 363 dan 511 Kanun Keseksaan dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau suspek yang dengan menyalurkan maklumat ke talian 04-2181822 atau balai polis berdekatan.

Kejadian cubaan culik pekerja kilang itu menjadi viral di Facebook dan WhatsApp hari ini. Mereka mendakwa hampir menjadi mangsa penculikan dengan suspek memberhentikan kereta sebelum menarik mangsa masuk ke dalam kenderaan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 11:34 PM

Bomba cedera terkena renjatan elektrik




Anggota bomba dan penyelamat memadamkan kebakaran tiga rumah di Jelutong, Georgetown. - Foto RAMDZAN MASIAM

BERNAMA
Georgetown: Seorang anggota bomba cedera terkena renjatan elektrik ketika operasi memadam kebakaran tiga rumah kayu di Jalan Jelutong di sini, lewat hari ini.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Azman Hussin berkata, kemalangan itu berlaku terhadap Mohd Faris Shamsari, 30-an, dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jalan Perak, di sini.

Beliau berkata Mohd Faris dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

"Sehingga 8 malam tadi, dia masih belum sedar," kata Mohd Azman di sini.

Kebakaran itu menyebabkan tiga keluarga di tiga buah rumah berkenaan tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah.

Mohd Azman berkata, 20 anggota bersama enam jentera terbabit dalam operasi memadam kebakaran itu dan api berjaya dipadam pada 4.27 petang.

Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Berita berkaitan

http://www.hmetro.com.my/node/164206
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 11:47 PM

Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka diserang




Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka, Ibrahim Sahib Ansar. - Hairul Anuar Abd Rahim

Fardy Bungga
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia Ibrahim Sahib Ansar cedera akibat dibelasah sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi.

Kenyataan Menteri Luar Sri Lanka menerusi laman web rasmi kementeriannya, mengutuk kejadian itu dan menyatakan Ibrahim Sahib sedang mendapatkan rawatan berikutan serangan berkenaan.

Katanya, pihaknya akan merujuk perkara itu dengan pihak berkuasa Malaysia untuk mengenalpasti penyerang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenalpasti penyerang yang terbabit dalam kejadian itu.

Sementara itu, akhbar Daily Mirror melaporkan Ibrahim bersama seorang lagi ahli rombongan turut cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan akibat serangan itu.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 12:34 AM

Lelaki Maut Dihempap Pokok Yang Ditebang


Diterbitkan: Isnin, 5 September 2016 3:48 PM


KINABATANGAN: Seorang tukang tebang pokok maut selepas dihempap pokok yang ditebangnya di Hutan Kuamut di sini.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supt A. Sahak Rahmat berkata mangsa dikenali sebagai Barau anak Rengie, 72, dari Kampung Karamunting, Sandakan.

Beliau berkata kemalangan itu disedari apabila mangsa yang bekerja dengan sebuah syarikat di Sandakan telah keluar bekerja pada pukul 6 pagi Sabtu lepas tetapi tidak pulang hingga pukul 6 petang.

Pengurus syarikat itu kemudiannya membawa beberapa pekerjanya untuk mencari mangsa dan mereka menjumpai mayat mangsa yang dihempap sebatang pokok tumbang pada pukul 4 pagi semalam, katanya.

A. Sahak berkata anak lelaki mangsa memberitahu bapanya turut menghidap sakit lemah jantung.

Rasuah: Dua Sahabat Dipenjara Lima Tahun, Denda RM35,000



Diterbitkan: Ahad, 4 September 2016 5:50 PM

Kedua-dua tertuduh, Ezli dan Mohd Amzar ketika didakwa membabitkan kesalahan rasuah di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 2014.

ALOR SETAR: Dua sahabat dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM35,000 kerana didapati bersalah meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,000 di Langkawi, tiga tahun lepas.

Hakim Zainol Rashid Hussain menjatuhi hukuman itu terhadap Ezli Efifuddin Chik, 30, yang bertugas di Agensi Anti Dadah Kebangsaan Langkawi dan kakitangan sebuah agensi pelancongan, Mohd Amzar Hashimi, 30, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi tiga pertuduhan pindaan di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa meminta suatu suapan wang tunai RM3,000 daripada Mohammed Sharif Abdul Aziz Bhagad sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas Mohammed Sharif kerana ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Lazeez, Kompleks Kelana Mas, Kuah, Langkawi pada 9 malam, 23 Jun 2013.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, mereka didakwa menerima suapan wang tunai RM1,200 daripada Syed Fakhraymoin Chisty sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas Mohammed Sharif, pada 9.10 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan pindaan ketiga, mereka didakwa menerima wang tunai RM1,800 daripada Mohammed Sharif di Lot 91, 92 dan 93, Persiaran Mutiara 2, Pusat Perdagangan dan Pelancongan Kelana Mas, Kuah pada 2.40 petang pada 2 Julai 2013.

Bagi kesemua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafiiz Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Rasmadi Abdul Rashid dan Shariff Mat.

Terdahulu, Rasmadi yang mewakili Ezli meminta agar hukuman minimum diberikan kepada anak guamnya yang masih belum berkahwin dan perlu menanggung ibu dan bapanya.
Shariff yang mewakili Mohd Amzar turut merayu agar hukuman minimum diberikan terhadap anak guamnya yang perlu menanggung tiga anak berusia 3 tahun, 2 tahun dan 3 bulan serta isterinya yang merupakan seorang mualaf warganegara Thailand.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya memohon agar mahkamah dapat memberikan hukuman yang setimpal dan mencerminkan pendirian yang tegas terhadap kesalahan rasuah.

Hakim Zainol Rashid kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dan dijalankan secara serentak serta denda RM15,000 bagi pertuduhan pertama dan RM10,000 masing-masing bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Rasmadi kemudian memohon kedua-dua tertuduh diberikan pelaksanaan penangguhan hukuman penjara.

Hakim membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan syarat kedua-dua tertuduh perlu memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi dan wang jaminan dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM15,000. --Bernama

Pekerja Binaan Maut Dilanggar Jentera Kompaktor


Diterbitkan: Isnin, 5 September 2016 3:53 PM


JOHOR BAHRU: Seorang pekerja binaan rakyat Bangladesh yag dikenali sebagai Islam maut akibat dilanggar sebuah jentera kompaktor di kawasan tapak pembinaan Empangan Kahang di Jalan Felda Kahang Timur, Kluang, petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Mohamad Laham berkata kejadian berlaku kira-kira 4.30 petang yang menyaksikan mangsa meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

"Islam dipercayai sedang berehat di tepi jentera berkenaan. Dikatakan pemandu jentera terbabit yang juga rakyat Bangladesh tidak perasan bahawa Islam berada di tepi jentera tersebut," katanya.

Namun pemandu jentera itu melarikan diri selepas kemalangan berkenaan.

Butiran peribadi Islam dan rakan senegaranya itu dikatakan disimpan oleh syarikat pembinaan itu di Kuala Lumpur.

Rakyat Singapura Mangsa Bas Terbalik Meninggal Dunia


Diterbitkan: Isnin, 5 September 2016 8:25 AM


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Singapura yang cedera dalam insiden bas terbalik di KM 31.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak Rabu lepas, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi Ahad.

Lim Sia Thian, 61, meninggal dunia pada pukul 7.22 pagi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata mangsa menerima rawatan di Zon Merah HKL sejak dipindahkan dari Hospital Bentong sehari selepas kejadian.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor disebabkan kecederaan parah di kepala," katanya kepada Bernama malam Ahad.

Ali berkata mayat mangsa telah dituntut keluarganya dan dibawa pulang ke Singapura untuk upacara pengebumian.

Pada Rabu lepas, seramai 12 pelancong warga Singapura dan seorang pemandu bas persiaran serta pembantunya cedera selepas bas dua tingkat berkenaan terbabit dalam kemalangan di KM 31.3, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Bukit Tinggi, kira-kira pukul 4.17 petang.

27 lagi jangkitan Zika di Singapura, 242 kes setakat ini

AHAD, 4 SEPTEMBER 2016 @ 10:04 PM

SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura hari ini mengesahkan 27 lagi kes virus Zika jangkitan tempatan menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 242 kes.

Kementerian Kesihatan dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan dalam satu kenyataan bersama berkata, 25 kes baharu itu dikaitkan dengan kawasan wabak awal, satu dikaitkan dengan kelompok baharu, manakala satu lagi kes baharu tidak diketahui kaitannya dengan mana-mana kelompok sedia ada.

 "Ada kelompok baharu yang berpotensi membabitkan satu kes yang dilaporkan sebelum ini dan satu kes baharu hari ini," kata kenyataan itu.

 Jangkitan Zika terhadap wanita hamil terbukti menyebabkan berlakunya mikrosefali - bayi dilahirkan berkepala kecil.

Kaitan antara Zika dan mikrosefali mula dikesan di Brazil yang menyaksikan lebih daripada 1,800 kes terbabit dicatat.

Bagi orang dewasa, jangkitan Zika turut dikaitkan dengan sindrom neurologi yang jarang berlaku dikenali sebagai Guillain-Barre serta gangguan saraf yang lain.

Virus ini mula dikenal pasti di Uganda pada 1947 dan tidak diketahui kewujudannya di Amerika Syarikat hingga 2014. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/189736

Mesin ATM Diletup Di Terengganu, RM260,000 Lesap



Diterbitkan: Isnin, 5 September 2016 11:29 AM

Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Jalan Yayaya Ahmad cuba diletupkan penjenayah awal pagi Isnin. Dalam kejadian 5.50 pagi tadi penjenayah memecah dan meletupkan bilik yang menempatkan tiga mesin ATM dan dua mesin deposit tunai serta melarikan wang tunai kira-kira RM260,000. -fotoBERNAMA

DUNGUN: Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di sini diletup awal pagi tadi dan wang kira-kira RM260,000 dilarikan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 5.50 pagi apabila dua suspek bertopeng dipercayai bertindak memecahkan mesin tersebut yang terletak berhampiran pintu utama bank itu.

Beliau berkata suspek didapati turut menggunakan kuku kambing sebelum memasukkan alat letupan ke dalam mesin berkenaan bagi melarikan wang tunai.

"Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), didapati dua lelaki bertopeng memasuki premis berkenaan serta memecahkan lapisan mesin ATM sebelum meletupkannnya.

"Sejurus alat penggera bank berkenaan berbunyi, unit kereta ronda sampai di lokasi, namun suspek telah melarikan diri," katanya di tempat kejadian.

Ahmad Zailani berkata sebuah lagi mesin ATM di situ cuba turut dipecahkan, namun gagal.

Menurutnya, suspek mengambil masa kira-kira lima minit untuk melakukan kegiatan tersebut sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti bahan letupan yang digunakan bagi memecahkan mesin tersebut.
Beliau berkata gerakan memburu serta mengenal pasti suspek juga sedang giat dijalankan.

Pencarian udara 2 pendaki AS ditangguh

DUNIA AHAD, 4 SEPTEMBER 2016 @ 11:54 PM



 SCOTT Adamson dan Kyle Dempster.

KARACHI: Pencarian dari udara dua pendaki warga Amerika Syarikat (AS) yang hilang di Pakistan ditangguhkan hari ini, kata seorang pegawai.

Keputusan itu dibuat selepas operasi sebelum ini tidak menunjukkan jejak lelaki berkenaan tetapi pasukan mencari menemui kesan runtuhan salji di puncak yang didaki.

Dua pendaki terbabit, Kyle Dempster dan Scott Adamson, cuba mendaki hingga ke puncak Ogre-II di pergunungan Karakoram setinggi 6,960 meter, namun tidak pulang seperti yang dijadualkan.


Cuaca buruk menghalang pencarian udara hingga semalam, namun dua helikopter yang terbang hingga ketinggian 7,200 meter tidak menemui sebarang jejak pendaki terbabit atau mana-mana kem didirikan, kata Karrar Haidri, jurucakap Alpine Club.


"Berlaku runtuhan salji besar, oleh kerana cuaca agak baik hingga 23 Ogos lalu, namun salji turun dengan lebat selama empat atau lima hari.

Pencarian helikopter digantung Ahad kerana keluarga tidak memohon operasi hari kedua," katanya misi menyelamat masih dijalankan dan pendaki lain mencari menerusi jalan darat.

Media AS berkata, kedua-dua lelaki terbabit adalah pendaki berpengalaman dengan Dempster memenangi anugerah pendakian berprestij Alp, Piolet d'Or, sebanyak dua kali. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/189754

11 mati insiden tembak di sempadan Mexico

AHAD, 4 SEPTEMBER 2016 @ 9:19 AM

CIUDAD, Mexico: Seramai 11 orang terbunuh termasuk orang awam yang terperangkap dalam dua kejadian tembak menembak antara anggota tentera dan kumpulan disyaki geng dadah, lapor pihak berkuasa Mexico utara.

Keganasan yang berlaku di Nuevo Laredo, dekat seberang sempadan Texas itu, menyebabkan lebuh raya kebangsaan yang menghubungkan negeri Tamaulipas ke pusat bandar Mexico di tutup sementara.

 Kerajaan negeri dalam satu kenyataan berkata, konfrontasi bersenjata itu bermula pada awal Sabtu.

 Dalam insiden pertama, tentera membunuh lapan orang disyaki penjenayah di lebuh raya, yang mengendalikan hampir separuh daripada kargo import eksport di antara Mexico dan Amerika Syarikat.

Sejam kemudian satu lagi kejadian tercetus di kawasan berhampiran.

Pihak berkuasa berkata, dua suspek terbunuh dan seorang wanita yang memandu kereta di lebuh raya. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/189566

Kereta bawa lembu curi terbabas ke sungai

ISNIN, 5 SEPTEMBER 2016 @ 7:55 PM

Oleh Nur Izzati Mohamad bhnews@bh.com.my

 SEORANG lelaki ditahan selepas kereta membawa seekor lembu yang dipercayai baharu dicuri, terbabas ke sungai ketika dikejar polis awal pagi tadi.

TASEK GELUGOR: Seorang lelaki ditahan selepas kereta yang digunakannya untuk membawa seekor lembu yang dipercayai baharu dicuri, terbabas ke sungai ketika dikejar polis awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi di kawasan berdekatan Padang Chempedak, di sini, dua lelaki yang menaiki sebuah kereta dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota polis bertugas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Azmi Adam, berkata anggota yang curiga dengan gerak-geri suspek mengarahkan mereka memberhentikan kereta untuk tujuan pemeriksaan, namun pemandunya enggan bekerjasama dan cuba mengelak. "Kedua-dua suspek cuba melarikan diri namun gagal mengawal kereta sebelum kenderaan itu terbabas dan terjunam ke sungai.

 "Seorang daripada suspek yang berusia 18 tahun ditahan di lokasi kejadian, manakala rakannya pula sempat melarikan diri," katanya.

 Azmi berkata, pemeriksaan awal di lokasi menemui seekor lembu yang sudah mati. "Hingga kini punca sebenar lembu terbabit berada di dalam kereta berkenaan masih disiasat dan polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek berkenaan adalah pencuri lembu.

"Hingga kini polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana individu yang melaporkan mengenai kehilangan lembu dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/190024

Motosikal jatuh longkang, bapa maut, anak cedera

ISNIN, 5 SEPTEMBER 2016 @ 5:45 PM


Oleh Nor Azizah Mokhtar bhnews@bh.com.my

Seorang penunggang motosikal maut manakala anak lelakinya cedera selepas motosikal mereka naiki terhumban ke longkang berhampiran persimpangan lampu isyarat Bandar Kinrara 1, Puchong, tengah hari tadi. - Foto ihsan PDRM dan Bomba

SERDANG: Seorang penunggang motosikal maut manakala anak lelakinya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terhumban ke dalam longkang berhampiran persimpangan lampu isyarat Bandar Kinrara 1 di sini, tengah hari tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12 tengah hari, N Peter, 59, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya, Master Jack Ratnam, 13, cedera di kepala dan tangan. Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Kinrara 3 untuk menghantar Master Jack Ratnam ke Sekolah Menengah Seksyen 3 Bandar Kinrara.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan ketika menuruni laluan berbukit di situ sebelum membelok ke kanan di simpang empat berkenaan.

"Motosikal dinaiki mereka kemudian merempuh besi penghadang jalan dan dua beranak itu tercampak ke dalam longkang yang tidak berair sedalam kira-kira 5 meter. "Penunggang motosikal yang cedera parah pada kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Siasatan mendapati kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar," katanya ketika dihubungi BH, hari ini. Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dikejarkan ke lokasi untuk membantu menaikkan kedua-dua mangsa sebelum dihantar ke Hospital Serdang. Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/190000

Isteri, perempuan simpanan mengamuk di hospital


5 SEPTEMBER 2016
Isteri, perempuan simpanan mengamuk di hospital

Isteri, perempuan simpanan mengamuk di hospital Sedutan video yang viral di laman YouTube.
SEORANG suami mendapat pengajaran dengan cara paling memalukan apabila isteri dan perempuan simpanannya melawatnya serentak di hospital.

Seorang pelayar laman sosial yang mendakwa dirinya seorang jururawat telah memuat naik rakaman tersebut ke YouTube semalam.

Dalam video berdurasi 2 minit itu, dua wanita dilihat saling menarik rambut dan bergelut.

Seorang lelaki yang memakai pakaian pesakit hospital dipercayai suami salah seorang wanita terbabit kemudian cuba meleraikan pergaduhan itu.

Walaupun pergelutan berjaya dileraikan, salah seorang wanita itu mula mengambil peralatan dan barangan hospital untuk dibaling ke arah wanita yang didakwa perempuan simpanan suaminya.

Video tersebut yang telah ditonton berpuluh ribu pelayar bagaimanapun hanya menimbulkan rasa geli hati di kalangan mereka yang menonton.

Lokasi sebenar kejadian gagal diketahui.

'Kau dah tumbuk muka laki aku, kau tunggu!'


WARTAWAN SINAR HARIAN
5 SEPTEMBER 2016
'Kau dah tumbuk muka laki aku, kau tunggu!'

'Kau dah tumbuk muka laki aku, kau tunggu!' Perkongsian yang viral di laman Facebook, hari ini.
SEBUAH rakaman video yang menunjukkan seorang lelaki berbaju Polo biru yang didakwa sebagai pembuli jalanan dan menumbuk pengguna jalan raya yang lain menjadi viral hari ini.

Video tersebut dimuat naik ke Facebook oleh isteri mangsa yang didakwa telah ditumbuk.

"Samseng jalanan!!! Kau sudah tumbuk muka laki aku!! Kau tunggu!!" tulis pelayar berkenaan berkaitan kejadian yang dipercayai berlaku di Melaka, semalam.

Pelayar berkenaan mendakwa dihimpit kereta lelaki berkenaan ketika mahu memotong sebelum diekori dari Cheng ke Bachang.

"Dari Cheng sampai Bachang dia follow (ikut). Sampai Bachang terus himpit kereta kitorang suruh turun. Laki aku turun terus dia shoot!! (tumbuk).

"Salah kitorang memotong ke tak (memotong) ke, apa hak dia nak pukul orang!!," luahnya lagi.

Walaupun tiada sebarang rakaman yang menunjukkan mangsa ditumbuk, pelayar tersebut telah memuatnaik bukti pemeriksaan doktor terhadap mangsa iaitu suaminya.

"Yang kongsi dan nak bukti sangat, nah bukti doktor. Kalau awak kat tempat saya, awak tahu ke turun kereta tu nak kena tumbuk?," tulisnya selepas terdapat pelayar lain yang mempertikaikan kesahihan kejadian berkenaan.

Kejadian tersebut kini telah dikongsi oleh lebih 1,000 pelayar.

Pasangan kekasih 'wheelie' sampai patah kaki


5 SEPTEMBER 2016
Pasangan kekasih 'wheelie' sampai patah kaki

Pasangan kekasih 'wheelie' sampai patah kaki Antara sedutan video yang viral di laman Facebook.
BAGAIKAN kisah cinta tragik merpati sejoli, Romeo dan Juliet, sepasang kekasih yang yang melakukan aksi motorsikal merbahaya akhirnya menemui kemalangan bersama-sama.

Kejadian tersebut yang dirakam dan dimuatnaik di Facebook pada 29 Ogos lepas menjadi viral selepas orang ramai mempertikaikan kesahihan rakaman berkenaan.

Dalam sebuah rakaman, seorang wanita melakukan aksi 'wheelie' menggunakan sebuah skuter sambil dibonceng oleh seorang lelaki yang didakwa teman lelakinya.

Aksi tersebut berterusan selama beberapa saat sebelum disambung oleh sebuah lagi video.

Video kedua menunjukkan pasangan kekasih tersebut mengalami kemalangan dengan pembonceng lelaki terbaring tidak sedarkan diri.

Penunggang wanita pula mengerang kesakitan sambil kakinya bengkok di bahagian paha, dipercayai patah.

Pelayar laman sosial bagaimanapun mempertikaikan kesahihan video berkenaan kerana pakaian yang dipakai oleh pasangan kekasih tersebut berbeza dalam kedua-dua video.

Sehingga kini, lebih 5 juta pelayar sudah menonton video-video berkenaan.

Sindiket pengemis tumpas


05 September 2016 1:01 AM


SEBAHAGIAN daripada warga Myanmar yang diselamatkan polis selepas dipaksa menjadi pengemis di Petali

SEBAHAGIAN daripada warga Myanmar yang diselamatkan polis selepas dipaksa menjadi pengemis di Petaling Jaya, semalam.
KUALA LUMPUR 4 Sept. – Pende­ritaan 17 warga Myanmar yang dipaksa mengemis setiap hari oleh satu sindiket didalangi rakan senegara berakhir apabila diselamatkan polis yang menyer­bu rumah tempat mereka dikurung di Prima Damansara, Jalan PJU/10 Petaling Jaya dekat sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 2 petang itu, mereka yang dise­lamatkan terdiri daripada sembilan wanita dan dua orang lelaki warga Myanmar yang dipercayai dipaksa menjadi pengemis di sekitar Lembah Klang.
Turut diselamatkan ialah empat kanak-kanak Myanmar iaitu tiga lelaki, seorang perempuan dan dua bayi.
Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa berkata, hasil serbuan itu juga, seramai empat individu terdiri dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar serta seorang lelaki warga tempatan turut ditahan.
Menurut beliau, kesemua suspek yang ditahan berperanan sebagai penjaga yang memberi arahan untuk kesemua mangsa mengemis.
“Siasatan awal mendapati kesemua mangsa ditempatkan di sebuah rumah sebelum mereka diarahkan oleh suspek wanita untuk mengemis di kawasan pasar malam setiap hari.
“Kesemua mangsa dikehendaki mendapatkan hasil sekurang-kurangnya RM100 sehari dan sekiranya mereka tidak memperoleh jumlah itu maka mereka akan dipukul oleh ahli sindiket,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rohaimi berkata, kesemua wang yang diperoleh hasil mengemis itu akan diserahkan kepada ketua sindiket manakala mangsa tidak mendapat upah.
Ujarnya, siasatan lanjut mendapati, kesemua mangsa telah dibawa masuk ke negara ini sejak bulan Mei lalu menggunakan jalan darat sebelum dieksploitasi untuk bekerja secara paksa sebagai pengemis.
“Pergerakan mereka juga sentiasa dikawal dan bagi mengelak mangsa melarikan diri, mereka juga akan dihantar serta diambil dari tempat mereka mengemis,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sindiket-pengemis-tumpas-1.378739#sthash.MUVzQX1Z.dpuf

Wanita Jerman maut terjatuh di Banjaran Alps Perancis

ISNIN, 5 SEPTEMBER 2016 @ 8:20 AM

GRENOBLE, Perancis: Seorang wanita Jerman berusia 62 tahun maut selepas terjatuh ketika mendaki di Banjaran Alps Perancis semalam, kata perkhidmatan penyelamat gunung.


Kemalangan itu berlaku pada ketinggian 1,800 meter di Massif des Ecrins, dekat tenggara Perancis, ketika wanita berkenaan dikatakan sedang menuruni cerun sebelum hilang keseimbangan dan jatuh setinggi 50 meter.


"Beliau sedang berjalan turun melalui jalan yang sangat licin dengan bantuan kabel di sepanjang laluan itu," kata penyelamat.

Apabila jatuh, mangsa terikat pada tali yang bersambung dengan pendaki lain yang ditemui selamat, katanya. Satu kertas siasatan dibuka untuk mengetahui situasi sebenar kemalangan itu. - AFP


Banjaran Alps Perancis. - Foto www.summitpost.org  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/189844

Ahli Parlimen British letak jawatan didakwa bayar pelacur lelaki

ISNIN, 5 SEPTEMBER 2016 @ 9:26 AM


Ahli parti buruh British, Keith Vaz. - Foto Getty Image


LONDON: Ahli parti buruh British, Keith Vaz meletak jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Dalam Negeri berikutan dakwaan beliau membayar dua pelacur lelaki untuk seks dan menawarkan untuk menampung kos dadah Kelas A di pangsapuri beliau di sini. Ahli Parlimen Leicester Timur itu mengeluarkan permohonan maaf selepas Sunday Mirror melaporkan beliau bertemu dan membayar dua pengiring lelaki warga Eropah Timur di premisnya di Edgware dan bercakap besar mengenai hubungan seks tanpa perlindungan.

Dalam pertemuan itu, ahli politik berusia 59 tahun berkenaan didakwa menawarkan untuk menampung kos kokain jika ia dibawa ke pangsapuri itu, tetapi enggan menggunakannya. Satu siri mesej teks yang disiarkan akhbar itu didakwa menunjukkan Vaz meminta dadah kelas A itu dibawa ke kediamannya.

Bahan ini digunakan secara meluas sebagai ubat meningkatkan rangsangan seks. Rakaman suara pertemuan selama 90 minit pada 27 Ogos itu juga dipercayai menunjukkan Vaz sedang meneliti gambar-gambar lelaki pada aplikasi janji temu gay Grindr, lapor The Independent.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada The Mail semalam, Vaz yang menjadi pengerusi Jawatankuasa Pilihan Dalam Negeri sejak 2007, berkata beliau benar-benar meminta maaf kerana melukakan dan menyusahkan hati seluruh anggota keluarga di atas tindakannya, khususnya kepada isteri dan anak-anak.

Katanya dalam satu kenyataan, beliau menjadi mangsa pihak tertentu. "Amat membimbangkan apabila sebuah akhbar kebangsaan membayar individu tertentu untuk bertindak dengan cara ini." katanya. Vaz sudah merujuk dakwaan itu kepada peguam beliau. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/189864

Lelaki dipenjara 15 tahun bersalah seludup dadah guna dron

 ISNIN, 5 SEPTEMBER 2016 @ 10:29 AM

JEDDAH: Mahkamah Ringkasan di sini menjatuhi hukuman 15 tahun penjara dan 1,500 sebatan kepada seorang warga Arab Saudi kerana menyeludup dadah di penjara utama di sini menggunakan sebuah pesawat kawalan jauh kecil atau dron.

Peguam Negara membantah hukuman itu menyifatkannya sebagai terlalu ringan dan menggesa hukuman mati dikenakan ke atas defendan utama. Kejadian itu berlaku kira-kira dua setengah tahun lalu apabila sebuah dron mendarat di atas bumbung berek 7 dan 8 di penjara Briman. Ia membawa sejumlah 1,997 pil narkotik Captigon dan 115 gram hashish.

Seorang ekspatriat Lubnan, yang dituduh menjual dron itu kepada penyeludup Arab Saudi, dijatuhi 10 tahun penjara, 1,000 sebatan dan dihantar pulang ke negaranya selepas selesai menjalani hukuman. Seramai tujuh lagi banduan lain dihukum penjara antara tiga hingga 10 tahun manakala dua pengawal penjara, yang dituduh bersekongkol dibebaskan. - Agensi


GAMBAR hiasan - Pameran drone di Paris. - Foto AP  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/189882

Lelaki hilang diculik 27 tahun ditemui mati


05 September 2016 12:17 AM



MINNEAPOLIS 4 Sept. - Mayat seorang lelaki, yang dilaporkan diculik 27 tahun lalu di Minnesota telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa dan seterusnya menamatkan persoalan selama bertahun lamanya.
Jacob Wetterling diculik oleh seorang lelaki topeng lengkap bersenjata pada Oktober 1989 berdekatan rumahnya di St.Joseph, kira-kira 128 kilometer barat laut Minneapolis.
Pejabat Syerif Stearn County dalam satu kenyataan mengesahkan pada Sabtu lalu bahawa mayat Jacob telah ditemui dan pasukan perubatan serta doktor gigi forensik telah mengenalpasti mayatnya.
Dalam pada itu, ibu Jacob, Patty menghantar teks mesej kepada stesen penyiar tempatan, KARE-TV, berkata Jacob telah ditemui dan hati mereka sekeluarga hancur.
Sebelum ini, tiada sesiapa ditahan atau didakwa susulan penculikan Jacob, sehingga menyebabkan berlakunya perubahan dalam undang-undang pesalah seks.
Namun tahun lalu, pihak berkuasa meneliti kembali kes tersebut sehingga membawa kepada penangkapan seorang lelaki bernama Danny Heinrich.
Walau bagaimanapun, Heinrich, 53, menafikan penglibatannya dalam penculikan tersebut dan dilepaskan daripada sebarang tuduhan. - AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lelaki-hilang-diculik-27-tahun-ditemui-mati-1.378693#sthash.VSZgswAM.dpuf