Search This Blog

Saturday, September 3, 2016

Kaut RM5 juta tipu LPG


Satu sindiket tumpas, sembilan lagi diburu
NURFARAHIN HUSSIN  |  03 September 2016 1:00 AM



KUALA LUMPUR 2 Sept. - Kaut untung RM5 juta termasuk RM2 juta wang subsidi kerajaan hasil penipuan penjualan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.
Itu anggaran kasar habuan dalam tempoh tiga tahun yang dipercayai diperoleh 10 sindiket yang menipu pengguna dengan memindahkan gas LPG dari tong 12 kilogram (kg) ke tong 14kg sebelum menjualnya di sekitar Lembah Klang dengan harga antara RM26 dan RM27 setiap tong.
Kesemua sindiket terbabit yang aktif di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan serta mengawal pasaran LPG di tiga negeri berkenaan dipercayai menjual sehingga 1,000 tong sehari atau 240,000 tong setahun dengan keuntungan RM1.68 juta atau RM7 setiap tong.
Bagaimanapun kegiatan salah satu daripada sindiket itu tumpas hasil serbuan oleh Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) bersama Kementeri­an Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman di dua lokasi bermula malam tadi hingga petang ini.
Turut dirampas dalam serbuan yang dibuat di Jalan Genting Klang di sini dan Batu Caves, Selangor ialah ribuan tong berisi LPG dan yang masih kosong bernilai RM1.1 juta.
Selain itu, sebanyak tujuh warga asing dan enam warga tempatan termasuk dua peniaga yang salah seorang daripadanya tidak mempunyai lesen perniagaan diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Pihak berkuasa juga sedang dalam proses membekukan 12 akaun bernilai RM2 juta yang berkaitan dengan kegiatan sindiket itu sementara usaha memburu sembilan lagi sindiket sedang giat dijalankan.
Menurut sumber, dalam serbuan pertama di sebuah stor haram di Jalan Genting Klang yang dipercayai dijadikan lokasi pemindahan isipadu gas daripada tong 12kg ke tong 14kg, sebanyak 619 tong LPG bersubsidi bernilai RM622,000 dirampas.
Ujarnya, tujuh pekerja warga India dan seorang ahli perniagaan yang merupakan pemilik stor warga tempatan dirakam percakapan sementara tiga lori tiga tan termasuk sebuah lori dengan muatan 172 tong yang ditemukan di Jalan Sri Wangsa 1 disita.
“Susulan serbuan tersebut, pihak berkuasa menyerbu sebuah syarikat pembekal di Batu Caves kerana membekalkan LPG bersubsidi kepada syarikat milik sindiket yang beroperasi secara haram.
“Sebanyak 3,358 tong gas pelbagai isipadu daripada stor syarikat dirampas kerana dipercayai menyimpan gas LPG bersubsidi melebihi kuota dan lima individu termasuk pemilik syarikat diambil keterangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sumber itu memberitahu, kesemua sindiket berkenaan dipercayai mengawal pasaran LPG hingga menyebabkan pihak pemborong lain tidak mempunyai pilihan kerana terpaksa mengikut rentak mereka (sindiket) demi bertahan dalam industri LPG.
Tambahnya, pengguna pula tanpa sedar ditipu dan rugi kerana membayar harga untuk tong LPG 14 kg sedangkan isipadu yang diterima hanya 12 kg.
“Ini adalah taktik licik sindiket untuk mengaburi mata pengguna selama ini dan rungutan gas memasak sekarang terlalu cepat habis kini terjawab,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kaut-rm5-juta-tipu-lpg-1.377900#sthash.DSKqZQUx.dpuf

Polis tahan penganggur rogol bekas anak tiri

JUMAAT, 2 SEPTEMBER 2016 @ 8:20 PM

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi tuty@bh.com.my

SEREMBAN: Polis menahan seorang penganggur yang didakwa merogol bekas anak tirinya sejak lebih lapan bulan lalu di sebuah rumah di Kuala Sawah, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Seremban Jaya dekat sini, kira-kira jam 12.15 pagi.

Katanya, lelaki itu ditahan selepas mangsa yang berusia 15 tahun membuat laporan polis selepas tidak tahan dirogol dengan kali terakhir pada Ahad lalu.

 "Suspek adalah bekas bapa tiri mangsa hasil perkahwinan kali kedua ibu mangsa.

Dia kini ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini," katanya di sini, hari ini. Muhamad Zaki berkata, siasatan terhadap suspek mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod lampau iaitu berkaitan dadah dan satu kes jenayah yang masih dalam proses perbicaraan.

Katanya, mangsa akan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk pemeriksaan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/189197

Tonto lindungi perlombongan bauksit haram ditahan

AYAH JUMAAT, 2 SEPTEMBER 2016 @ 1:24 PM

Oleh Hidayah Mahmud bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Polis menahan sembilan tonto, dipercayai melindungi aktiviti perlombongan bauksit di sekitar Bukit Goh dalam dua tangkapan pada 15 dan 29 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berkata kumpulan pertama yang membabitkan empat lelaki ditahan pada 15 Ogos lalu, manakala baki lima lelaki kumpulan kedua pada Isnin lalu.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux, dua kereta Hyundai serta PERODUA Myvi, walkie talkie, batang kabel, pengunci stering, batang buluh, cota dan sebuah buku.

"Siasatan mendapati, mereka ini adalah tonto yang terbabit dalam membantu kegiatan perlombongan bauksit secara haram walaupun dalam tempoh moratorium yang akan berakhir pertengahan bulan ini.

"Mereka menganggu pihak berkuasa menjalankan tugas Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dengan menakutkan mereka, termasuk membaling mercun serta mengekorinya," katanya pada sidang media, di sini, sebentar tadi.

Katanya, semua suspek berkenaan masih ditahan reman bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Kita akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/189105

Penyamun acu parang di leher


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 SEPTEMBER 2016
Penyamun acu parang di leher

Penyamun acu parang di leher Khairi menunjukkan tangannya yang luka dan terpaksa menerima 10 jahitan angkara penyamun.
JERANTUT - Sepasang suami isteri tidak menyangka bunyi ketukan berkali-kali di pintu bilik dan suara anak memanggil ‘abah’ didengari adalah disebabkan rumah mereka di Taman Sri Embun, di sini, dipecah masuk sekumpulan penyamun awal pagi semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, Khairi Hamzah, 45, dan isterinya, Rosnaini Buhari, 41, pada mulanya enggan membuka pintu bilik mereka kerana berasa tidak sedap hati apabila mendengar bunyi ketukan itu.

Bagaimanapun setelah mendengar suara Muhammad Yusri, 17, memanggil ‘abah’, Khairi terus membuka pintu bilik untuk memeriksa keadaan anaknya itu.

Rosnaini berkata, sebaik pintu bilik dibuka, dia melihat anaknya, Muhammad Yusri dan Muhammad Syukri, 20, dalam keadaan tangan terikat serta dikawal sekumpulan penyamun bersenjatakan parang.

“Penyamun tolak suami saya sampai jatuh ke lantai. Suami cuba bangun tapi mereka acu parang.

“Mungkin mereka sangka suami saya nak melawan, jadi salah seorang penyamun acu parang dan ditepis dalam cubaan mempertahankan dirinya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, akibat kejadian itu, suaminya mengalami luka pada tangan kiri sehingga terpaksa menerima 10 jahitan.

Rosnaini berkata, penjenayah terbabit mengikat tangan Khairi dan pada masa sama mengacukan parang kepada suaminya itu dan dua anak mereka.

“Penyamun tanya saya mana duit, saya pun tunjuklah duit jualan perniagaan apam balik dalam satu bekas. Lepas tu, mereka tanya barang kemas pula. Mereka ambil rantai leher saya dan gelang yang saya letak di almari.

“Mereka tanya jika saya ada simpan lagi barang kemas, saya beritahu dah tak ada. Ada barang kemas saya dah gadai sebab tak ada duit. Saya siap tunjuk surat pajak gadai dan bersumpah, tapi mereka marah saya,” katanya.

Menurutnya, kesemua penjenayah terbabit bersenjatakan parang sepanjang kira-kira semeter dan bertopeng.

“Mereka turut mengugut untuk melakukan sesuatu ke atas keluarga saya jika masih terjumpa barang kemas yang kononnya disorok.

“Saya manalah ada harta sangat. Saya cuma berniaga apam balik di pasar malam dan pekan sehari dengan pendapatan tidak menentu. Kalau ada memang saya bagi sebab pada saya nyawa keluarga lagi berharga,” katanya.

Wanita itu berkata, dia bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat dalam kejadian itu dan anak keduanya, Muhammad Azri, 19, serta pekerjanya yang tinggal bersama, Nurul Iffah Syafiqah Zaina Amir, 16, tidak berada di rumah ketika kejadian.

Sementara itu, Muhammad Yusri berkata, ketika kejadian dia dan abangnya tidur di bilik hadapan rumah sebelum dikejutkan seseorang.

“Bila buka sahaja mata saya nampak lima penyamun berada di sekeliling saya dan memegang tangan saya sambil pengacukan parang ke leher.

“Mereka terus ikat tangan saya guna tali kasut sebelum kejut abang saya dan turut mengikatnya,” katanya.

Remaja itu berkata, mereka berdua dibawa ke bilik ibu bapa sementara kesemua penyamun terbabit menggeledah rumah.

Sebaik mengetahui kejadian menimpa keluarganya, Muhammad Azri yang baru sahaja memulakan kerja sebagai seorang pengawal keselamatan di Kuala Lumpur bergegas pulang ke rumah ibu bapanya.

Nurul Iffah pula berkata, dia kebetulan berasa tidak sedap hati untuk pulang ke rumah pada malam kejadian dan memutuskan tidur di rumah rakannya di Kampung Bukit Genting.

38 motor curi dijumpai


WARTAWAN SINAR HARIAN
3 SEPTEMBER 2016
38 motor curi dijumpai

38 motor curi dijumpai Operasi selama 30 hari itu berjaya menahan 34 individu termasuk seorang lelaki dikenali sebagai Amin dengan rampasan 38 motosikal curi.
KUANTAN - Polis berjaya menemui kembali  38 motosikal yang disyaki  dicuri di sekitar bandar Kuantan berikutan penahanan 34 individu  termasuk seorang lelaki dikenali sebagai Amin yang dipercayai ketua kegiatan itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner  Abdul Aziz Salleh berkata, kesemua suspek  berusia 20 hingga 40 tahun itu dipercayai mempunyai kaitan dan terlibat  mencuri, menjual dan memiliki motosikal curi.

Menurutnya, Ops Amin Lejang Chini dijalankan Bahagian  Siasatan dan Jenayah selama 30 hari bagi membanteras kecurian motosikal didalangi kumpulan terbabit di bandar Kuantan yang dipercayai aktif sejak dua tahun lepas.

“Seorang lelaki dikenali sebagai Amin berusia 25 tahun didakwa hari ini (semalam) di Mahkamah Majistret Kuantan dengan 25 pertuduhan di bawah Seksyen 379 A, 411 dan 414 Kanun Keseksaan.

“Daripada keseluruhan suspek yang ditahan,  21 daripadanya telah dituduh di mahkamah di sini,  sementara tiga lagi di mahkamah luar daerah di Pekan, Johor dan Melaka.

“Sementara enam sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan tiga yang lain masih direman untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media, semalam.

Guru didakwa lakukan kelucahan melampau


2 SEPTEMBER 2016
mahkamah

mahkamah
KUALA LUMPUR - Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan merangsang murid lelaki berumur 11 tahun untuk melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kamarul Azamin Mohamad, 37, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap murud itu di bilik guru di sebuah sekolah rendah di sini pada 9 pagi, 4 Mei 2016.

Bagi kesalahan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap murid sama di bilik komputer sekolah itu pada 8.45 pagi, 6 Mei 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid membenarkan guru itu diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dia dilarang mendekati saksi sementara menunggu perbicaraan pada 2 November.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa tidak menawarkan sebarang jaminan dan meminta syarat tambahan supaya tertuduh tidak menganggu saksi.

Peguam, Datuk Taqiyuddin Yahya yang mewakili Kamarul Azamin merayu supaya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan memandangkan dia memberi kerjasama kepada pihak polis semasa siasatan dilakukan.

Taqiyuddin berkata tertuduh, yang mempunyai dua anak, merupakan guru bertanggungjawab serta suka bergaul dengan murid-muridnya. - Bernama

Guru wanita ditikam




Hazsyah Abdul Rahman
hmkk@hmetro.com.my

Sandakan: Guru wanita cedera selepas ditikam di leher dengan pisau pemotong buah oleh seorang lelaki berdekatan sebuah restoran makanan laut, di Batu 4, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian6.20 petang itu, mangsa yang berusia 27 tahun kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, sebelum kejadian guru wanita itu yang memandu sebuah kenderaan baru tiba di kawasan parkir berdekatan sebuah restoran untuk membeli makanan.

“Selepas memberhentikan kenderaan, seorang suspek yang disyaki datang dari arah belakang kenderaan tiba-tiba berdiri di tepi pintu pemandu. Suspek kemudiannya meminta mangsa pindah ke kerusi penumpang hadapan.

“Bagaimanapun, mangsa menjerit sebelum ditikam di leher oleh suspek menggunakan pisau pemotong buah. Sejurus itu, penjenayah berkenaan terus melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jumpa mayat mangsa kemalangan




ORANG ramai membantu mengeluarkan mayat mangsa dari Sungai Peria. FOTO ihsan Polis

Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Kampar: Mayat lelaki Orang Asli ditemui dalam Sungai Peria di sini, pagi tadi dipercayai terbabit kemalangan pada 27 Ogos lalu.

Mangsa Akong Husin, 62, ditemui bersama motosikal di dalam sungai berkenaan oleh orang awam yang kemudian memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 11.20 pagi dan siasatan yang dijalankan mendapati mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, Sabtu lalu.

"Kami terima maklumat mengenai satu kemalangan jalan raya di Jalan Kuala Dipang-Chenderiang di sini yang membabitkan motosikal.

"Siasatan awal mendapati mangsa dilaporkan hilang bersangkut laporan Balai Polis Kuala Dipang di sini dan kemalangan dipercayai berlaku pada 27 Ogos lalu kira-kira 4 petang ketika mangsa menunggang dari Sungai Siput Selatan menghala ke Pos Dipang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa hilang kawalan dan melanggar tembok sebelum terjatuh ke dalam Sungai Peria," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu mangsa yang bekerja sebagai tukang rumah mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 6:40 PM

Dua maut kemalangan motosikal




KEADAAN motosikal dinaiki Mohd Adnan Abdullah selepas kemalangan. FOTO ihsan Polis

Khairul Najib Asarullah Khan
Seremban: Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan berasingan berhampiran sini, hari ini.

Kejadian pertama membabitkan penunggang, Mohd Adnan Abdullah@Mohamad, 49, apabila motosikal naiki bersama anaknya bergesel dengan lori rosak yang diletak di bahu Jalan Rasah, berhampiran kedai marmar, 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, akibat daripada itu, mangsa terjatuh dari motosikal dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Anaknya, Muhammad Amsyar, 19, yang membonceng pula patah kaki dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk rawatan lanjut," katanya.

Muhamad Zaki berkata, dalam satu lagi kejadian, lelaki berusia 20 tahun, Ahmad Faizulhazim Zulkefli maut apabila motosikal ditunggang merempuh belakang lori Kilometer 262.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan berhampiran susur keluar plaza tol Seremban, kira-kira 12 tengah hari tadi.

"Ketika kejadian, lori dipandu Zulkifli A Rahim, 23, berada di lorong kanan lebuh raya terbabit dan mangsa yang dipercayai menunggang laju gagal mengelak kenderaan di hadapannya.

"Akibat kemalangan itu, mangsa parah kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dibawa ke HTJ untuk dibedah siasat.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41 APJ 1987," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:27 PM

Mayat dengan kesan tetak




Mayat yang ditemui di Ulu Sungai Balui, Belaga, semalam. FOTO ihsan PDRM

Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my





Belaga: Mayat lelaki dengan kesan tetakan di badan, dipercayai dibunuh ditemui terapung diUlu Sungai Balui berhampiran Uma Apan di sini, semalam.

Mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui penduduk kampung pada 7 pagi dan memaklumkan mengenai penemuan itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Belaga Deputi Superintendan Melay Tingom berkata, lelaki itu dipercayai dibunuh terlebih dulu di tempat lain sebelum dibuang dalam sungai.

Menurutnya, lelaki terbabit dipercayai berusia linkungan 30-an dan berketinggian kira-kira 152 sentimeter.

"Pemeriksaan pada badan lelaki itu mendapati ada kesan tetakan menggunakan senjata tajam di badan dan kedua-dua tangan.

"Muka lelaki itu sudah tidak dapat dikenal pasti kerana kulit dan rambut sudah tiada," katanya.

Melay berkata, setakat ini tiada laporan berkaitan orang hilang atau kemalangan diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat dihantar ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.







Tamat
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 11:26 AM

Dari KK ke Lawas




KERETA suspek yang ditukar nombor pendaftarannya.

Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Lawas: Seorang lelaki sanggup melarikan Honda Accord miliknya dari Luyang, Kota Kinabalu sejauh 186 kilometer ke daerah ini semata-mata mahu mengelak kereta berkenaan disita bank akibat kegagalannya menjelaskan ansuran bulanan kenderaan itu sejak berbulan lalu.

Bagi mengelak ia dikesan, lelaki berusia 28 tahun itu menukar nombor pendaftaran kereta berkenaan.

Ketika ditahan, lelaki terbabit terkejut kerana helahnya menukar nombor pendaftaran digagalkan polis.

Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di pekan Trusan di sini, kelmarin.

“Pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran kereta berkenaan palsu. Suspek ditahan untuk siasatan lanjut kerana memandu kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Siasatan lanjut mendapati suspek menukar nombor pendaftaran kereta berkenaan kerana mahu mengelak daripada dikesan bank,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:19 AM

Hermines badai Florida




SEORANG kanak-kanak Hannah Coles, sembilan, terpaksa berhenti menunggang basikal meredah banjir apabila angin kencang membadai mukanya di Gulfport, Florida. - AP

AFP
Tampa: Angin kencang berserta hujan lebat yang dibawa puting-beliung Hermine membadai Pantai Teluk di utara Florida sebelum ia melemah menjadi ribut tropika dan menuju ke daratan ke arah pantai Atlantik, semalam.

Dengan hujan dan angin selaju 130 kilometer sejam, Hermine menyebabkan kerosakan dan puluhan ribu penduduk terputus bejkalan elektrik di sepanjang Pantai Teluk Florida.

“Keadaan menjadi bercelaru. Beberapa kawasan dinaiki air,” kata Ketua Polis Ceddar Citu, Virgil Sandlin.

Pusat Puting-Beliung Kebangsaan memberi amaran, beberapa kawasan di utara negeri itu mungkin dinaiki air setinggi tiga meter.

Di Pasco County, pihak berkuasa menyelamatkan 18 orang dan membawa mereka ke tempat perlindungan selepas kediaman mereka dinaiki air.

Hermine ialah puting-beliung keempat dalam musim ribut Atlantik 2016. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:03 AM

Polis Tahan Pekerja Ladang Disyaki Bunuh Abang Ipar


Diterbitkan: Sabtu, 3 September 2016 10:42 PM


KINABATANGAN: Polis menahan seorang pekerja ladang yang disyaki membunuh abang iparnya yang ditemui dengan 12 kesan tetakan di kawasan perumahan sebuah ladang kelapa sawit dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supt A. Sahak Rahmat berkata suspek lelaki warga Filipina berusia 23 tahun itu ditahan di pejabat Ladang Permodalan 1 pada pukul 12.40 pagi Sabtu selepas menyerah diri kepada pengurus ladang.

Beliau berkata polis dimaklumkan mengenai penemuan mayat lelaki warga Filipina berusia 28 itu, yang juga pekerja ladang sama oleh pengurus ladang pada pukul 8.18 malam.

Mangsa ditemui tertiarap di atas tanah tanpa berbaju dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tetakan di badan, tengkuk, kepala dan bahu katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Katanya, polis merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat. -Bernama

JAS Siasat Kejadian Ikan Mati Di Sungai Lamah


Diterbitkan: Sabtu, 3 September 2016 11:35 PM


KUCHING: Jabatan Kimia Bintulu sedang menganalisis sampel air yang diambil dari Sungai Lamah, kira-kira 100 kilometer dari Miri, susulan laporan mengenai banyak bangkai ikan ditemukan terapung di sungai itu beberapa hari lepas.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sampel itu diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) atas arahannya supaya disiasat kejadian itu dan keputusannya akan diumumkan dalam masa dua atau tiga minggu lagi.

Menurutnya jabatan itu mengkaji kemungkinan sama ada kejadian itu berpunca daripada sisa buangan yang dilepaskan sebuah kilang sawit yang terletak kira-kira 20km dari tempat kejadian.

"Sehubungan itu, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa JAS tidak teragak-agak mengambil langkah perlu mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 terhadap individu atau syarikat yang bertanggungjawab mencemarkan sungai berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Wan Junaidi berkata kementerian itu juga tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perbuatan mencemarkan alam sekitar dan beliau sekali lagi mengingatkan pengusaha kilang sawit supaya bersikap lebih bertanggungjawab melindungi alam sekitar.

Sebuah akhbar harian melaporkan seorang Tuai Rumah, Seman Ringgie, berkata pelbagai spesies ikan kelihatan terapung di sepanjang sungai berkenaan Rabu lepas.

Namun, semasa pasukan daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta JAS dari Miri ke lokasi itu untuk mengambil sampel pada Jumaat, semua bangkai ikan berkenaan telah dihanyutkan air pasang. -Bernama

Remaja dikhuatiri lemas



Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@mediaprima.com.my

Rompin: Remaja lelaki berusia 16 tahun dikhuatiri lemas selepas mandi di Pantai Bernas, Kuala Rompin, di sini, jam 3.20 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Aidil Roneh Abdullah berkata, mangsa R Denis Kumar dikatakan mandi bersama empat lagi rakannya di pantai itu sebelum dia dihanyutkan arus deras.

"Menurut keterangan rakan mangsa, mereka sebelum itu memukat ikan dan kemudian mandi di kawasan itu. Bagaimanapun remaja berkenaan gagal diselamatkan rakannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat turut membabitkan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Polis Marin dan beberapa penduduk kampung.

Aidil Roneh berkata, hingga jam 8.30 malam mangsa masih belum dijumpai dan usaha mencari akan disambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 9:12 PM

Kereta musnah terbakar




Anggota bomba memadamkan kebakaran kereta di Jalan Raja Perempuan Zainab 1, tengah hari tadi. FOTO ihsan bomba

Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


Kota Bharu: Kereta musnah dalam kebakaran di Jalan Raja Perempuan Zainab 1, di sini, jam 1.20 tengah hari tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Pegawai Bomba Kanan II Mohd Ridzuan Baharudin berkata, kebakaran berpunca daripada bahagian enjin kereta jenis Suzuki itu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.30 tengah hari dan seramai sembilan anggota ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kita dapati api sedang marak di bahagian enjin dan pasukan kami berusaha memadamkan api berkenaan.

"Kebakaran dapat dipadamkan dalam masa 10 minit dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya di sini, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 11:46 PM

Padah putus cinta di udara



GAMBAR dari berita BTV menunjukkan pintu pesawat yang cuba dibuka Zhang. - hongkongfp.com

Agensi
Beijing: Seorang lelaki cuba membunuh diri dengan membuka pintu kecemasan di dalam pesawat yang berada ribuan meter di udara selepas bertengkar dengan teman wanitanya yang mahu memutuskan hubungan mereka.

Kejadian itu berlaku kelmarin dalam penerbangan Air China dari Chongqing ke Beijing, selepas teman wanita lelaki dikenali sebagai Zhang, 18, itu tiba-tiba memberitahu dia mahu berpisah.

Disebabkan itu Zhang hilang pertimbangan dan cuba membunuh diri dengan membuka pintu kecemasan pesawat. Tindakan itu bagaimanapun gagal apabila dia ditahan kakitangan pesawat.

Kerana tindakannya itu, Zhang dipenjara 15 hari manakala kekasihnya, Wu, didenda 200 yuan (RM120) selepas didapati bersalah mengganggu ketenteraman di dalam pengangkutan awam.

Wu memberitahu polis, pertengkaran tercetus selepas dia cuba memutuskan hubungan dengan Zhang ketika penerbangan selama tiga jam itu.

Katanya, dia rasa tidak serasi dengan Zhang dan tidak mahu berhubung untuk beberapa hari, tetapi tanpa disangka kekasihnya bertindak di luar dugaan.

“Dia bangun dan berkata ‘saya mahu mati di depan kamu’,” katanya.

Namun Zhang terus meluru ke pintu keselamatan menyebabkan anak kapal bertindak pantas mengawalnya.

Pegawai keselamatan udara yang berada dalam pesawat itu mengesahkan kejadian berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2016 @ 5:06 AM

Jumpa lepas tiga hari hilang





Oleh AIMUNI TUAN LAH

Bapa mangsa, Wan Muhamad Sallam Wan Salleh (dua kiri) bersama anggota penyelamat mengangkat mayat anaknya yang dijumpai di Sungai Galas, dekat Kampung Batu 6, semalam.

GUA MUSANG – Ahli keluarga murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Gua Musang yang dijumpai lemas selepas tiga hari hilang dihanyutkan arus deras Sungai Galas menerima hakikat kematian anak lelaki tunggal daripada empat beradik itu.

Menurut bapanya, Wan Muhamad Sallam Wan Salleh, 45, mereka sekeluarga menerima suratan takdir dan bersyukur kerana mayat anaknya, Wan Abi Hurairah Wan Muhamad Sallam, 11, sudah dijumpai pasukan penyelamat.

Katanya, dia masih mengecam fizikal anaknya walaupun keadaan mayat membengkak serta wajahnya sudah berlainan.

“Seluar pendek celoreng pendek berwarna merah yang dipakai ketika hari terakhir saya menghantar ke rumah rakan masih tersarung elok di tubuhnya.

“Saya terkilan kerana sebelum ini, saya dan isteri Fauzianita Hashim, sering mengawal pergaulan dan pergerakannya.

“Mungkin sudah tiba ajalnya kerana ketika hari kejadian, kami membenarkan tanpa membantah keinginannya untuk bermain bersama rakan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz4J92qUSgJ
Hakcipta terpelihara 

Syarikat Korea didakwa bakar hutan Indonesia untuk projek sawit


REUTERS  |  02 September 2016 10:41 PM
PANDANGAN udara menunjukkan beberapa longgokan kayu yang tersedia

PANDANGAN udara menunjukkan beberapa longgokan kayu yang tersedia untuk dibakar bagi membolehkan projek penanaman sawit dijalankan oleh sebuah syarikat Korea Selatan di Papua, Indonesia.-MIGHTY/AGENSI
JAKARTA 2 Sept. - Sebuah syarikat Korea Selatan didakwa terlibat dengan aktiviti penebangan hutan untuk mendapatkan kayu, kata satu laporan hasil siasatan yang dijalankan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar di Indonesia.
Menurut laporan itu, syarikat tersebut, Korindo Group PT yang berpangkalan di Jakarta itu dikatakan turut membakar hutan dan tanah untuk memulakan projek penanaman sawit sekali gus melanggar undang-undang negara itu.
Korindo juga didakwa telah membersihkan lebih daripada 50,000 hektar tanah untuk projek berkenaan di wilayah Papua dan Maluku, manakala lebih 75,000 hektar tanah lagi turut ‘berisiko tinggi’ untuk dibersihkan, kata laporan tersebut.
“Saya tidak pernah nampak bukti yang begitu kukuh untuk meyakinkan bahawa sebuah syarikat telah melakukan pembakaran hutan secara sengaja,” kata konsultan kanan AidEnvironment Indonesia, Erik Waker. - REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/syarikat-korea-didakwa-bakar-hutan-indonesia-untuk-projek-sawit-1.377678#sthash.AqUN1uSM.dpuf

Pekerja Myanmar saman syarikat Thailand kerana mendera


AFP  |  02 September 2016 11:15 PM

SEORANG pekerja asing warga Myanmar memegang gambar Menteri Luar

SEORANG pekerja asing warga Myanmar memegang gambar Menteri Luar negara itu, Aung San Suu Kyi dan bapa pemimpin tersebut, Jeneral Aung San.-AFP
BANGKOK 2 Sept. - Sekumpulan pekerja asing dari Myanmar memfailkan saman terhadap sebuah syarikat pengeksport makanan utama di Thailand kerana memaksa mereka bekerja di sebuah ladang penternakan ayam untuk tempoh yang lama.
Kumpulan pekerja yang terdiri daripada 14 orang itu mendakwa, mereka dikerah bekerja hingga 20 jam sehari termasuk tidur di reban-reban ayam yang terletak di wilayah Lopburi itu.
Menurut Rangkaian Hak Pekerja-Pekerja Asing (MNRN), kumpulan pekerja terbabit turut menuntut bayaran ganti rugi sebanyak AS$1.3 juta (RM5.3juta) disebabkan penderaan tersebut. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pekerja-myanmar-saman-syarikat-thailand-kerana-mendera-1.377680#sthash.zQogMHfC.dpuf