Search This Blog

Monday, August 29, 2016

Kes Seleweng RM15 Juta: Jeneral Bersara Beri Keterangan


Diterbitkan: Isnin, 29 Ogos 2016 3:37 PM

PETALING JAYA: Seorang jeneral bersara yang juga pengerusi sebuah bank berkaitan kerajaan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes penyelewengan melibatkan dana RM15 juta.
Sumber memberitahu The Star bahawa lelaki berusia 65 tahun itu hadir di pejabat SPRM Kuala Lumpur sebelum dibawa ke pejabat SPRM Putrajaya.
"Dia disoal siasat pegawai SPRM di sana.
"SPRM akan memutuskan sama ada tangkapan perlu dilakukan," kata jurucakap SPRM pada Isnin.
Terdahulu, The Star melaporkan individu kedua dari institusi kewangan itu dipanggil SPRM berhubung kontrak penerbitan buku bernilai jutaan ringgit dan projek menaik taraf sistem perbankan tersebut.
Pada Khamis lalu, pengarah urusan bank tersebut berusia 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes sama bersama empat yang lain.
SPRM turut menahan seorang lagi lelaki berusia dalam lingkungan 40-an pada Sabtu untuk membantu siasatan kes ini.
Ia membawa kepada penahanan enam suspek setakat ini.
Difahamkan kontrak bernilai RM15 juta diberikan kepada sebuah syarikat penerbitan untuk menghasilkan sebuah biografi berkaitan seorang pemimpin negara.
Antara perjanjian itu adalah penerbit perlu mencetak kira-kira 20,000 salinan penerbitan itu tetapi jumlah yang dicetak jauh lebih rendah.

SOS jadi penyelamat


29 OGOS 2016
SOS jadi penyelamat

 Pasangan Linus dan Sabina Jack berjaya diselamatkan selepas anggota tentera AS terlihat mesej SOS tersebut.
WELLINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Tindakan bijak dua individu yang terkandas selama seminggu di sebuah pulau Pasifik menulis mesej SOS pada pasir di tepi pantai membuahkan hasil selepas mereka akhirnya berjaya diselamatkan.

Semalam, pengawal pantai memaklumkan pasangan terbabit, Linus dan Sabina Jack yang mempunyai bekalan terhad serta tiada peralatan kecemasan itu ditemui di Pulau Timur Fayu di Micronesia oleh tentera Amerika Syarikat (AS).

Kedua-dua mangsa itu dilaporkan menaiki bot sepanjang lima meter dari Pulau Weno di Micronesia pada 17 Ogos lalu sebelum dilaporkan hilang selepas mereka tidak sampai di Pulau Tamatam pada keesokan harinya.

Menurut pihak berkuasa, sebanyak 15 kapal dan dua pesawat digunakan dalam operasi untuk mencari dan menyelamat (SAR) mereka di kawasan berkeluasan hampir 43,000 kilometer persegi.

Difahamkan, pasangan terbabit diselamatkan bot peronda sebelum dibawa ke atol Nomwin. - AFP

10 maut nahas bas di China

ISNIN, 29 OGOS 2016 @ 11:05 AM

SERAMAI 10 orang terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi cedera selepas sebuah bas terbalik di lebuh raya. - Foto China daily BEIJING: Seramai 10 orang terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi cedera selepas sebuah bas terbalik di lebuh raya, kata pihak berkuasa di selatan China. Menurut kerajaan Wilayah Autonomi Guangxi, kemalangan berlaku semalam apabila bas itu tiba-tiba terbalik ketika menghampiri perhentian akhir di ibu negeri Nanning. Seramai 32 lagi penumpang dalam bas 47 tempat duduk itu cedera, lima daripadanya parah. Pemandu bas adalah antara mangsa yang terbunuh dan punca kemalangan masih disiasat. Menurut pihak berkuasa, pemandu yang keletihan dan kenderaan yang tidak diselenggara dengan betul antara punca biasa terjadinya kemalangan. Guangxi yang bersempadan dengan Vietnam, adalah antara kawasan miskin dan mundur di China. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/187717

Turki benar polis wanita bertudung


29 OGOS 2016
Turki benar polis wanita bertudung

 Polis wanita Turki kini boleh memakai hijab sebagaim sebahagiandaripada mseragam rasmi mereka.
ANKARA - TURKI. Kerajaan Turki buat kali pertamanya membenarkan pegawai polis wanita untuk memakai tudung sebagai sebahagian daripada uniform mereka.

Menurut keputusan yang disiarkan dalam Official Gazette kelmarin, wanita yang berkhidmat dalam pasukan polis kini boleh menutup kepala mereka dengan tudung sama warna seperti pakaian seragam dan tanpa corak di bawah topi atau beret.

Langkah itu akan berkuat kuasa tidak lama lagi, selain bertujuan membantu anggota polis wanita menutup aurat ketika bertugas.

Pada tahun 2010, Ankara menarik balik larangan memakai tudung di kampus universiti dan tiga tahun kemudian, pelajar perempuan di institusi negeri dibenarkan berhijab.

Setahun selepas itu, pelajar sekolah tinggi turut dibenarkan bertudung.

Awal bulan lalu, polis di Scotland turut meluluskan undang-undang sama membenarkan tudung menjadi sebahagian daripada seragam rasmi dalam usaha mewujudkan pelbagai kuasa. - Press TV

5 kumpulan samun dan curi kenderaan tumpas


26 Ogos 2016 1:04 AM

Wari Kiew (empat dari kiri) menunjukkan rangka motosikal yang

Wari Kiew (empat dari kiri) menunjukkan rangka motosikal yang berjaya ditemukan selepas sidang akhbar mengenai kejayaan menumpaskan kumpulan curi motosikal dikenali sebagai Geng Chemumar di Ibu pejabat Polis Daerah Kangar, semalam.
KUALA LUMPUR 25 Ogos – Polis menumpaskan lima kumpulan yang aktif melakukan kegiatan samun dan curi kenderaan di tiga buah negeri dalam beberapa serbuan sejak awal bulan ini sehingga 22 Ogos lalu.
Negeri-negeri terlibat adalah Selangor, Johor dan Perlis.
Di SELANGOR, polis menahan empat ahli Geng Ah Wai berusia lingkungan 30-an yang dipercayai aktif melakukan kegiatan tersebut di sekitar Sri Kembangan dan Serdang sejak dua tahun lalu.
Ketua Polis daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohammad Aminuddin Megat Alias berkata, pihaknya turut merampas barang curi bernilai RM200,000 serta 61 barangan pelbagai jenis dan tiga buah kereta iaitu Perodua Myvi, Nissan Almera dan Fiat Punto.
Di Sepang, sebanyak 12 ahli Geng Mega Kajang berusia lingkungan 31 hingga 46 tahun ditahan di sekitar Kajang, Dengkil, Puchong serta Rompin.
Menurut ketua polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, nilai rampasan dianggarkan RM350,0000 merangkumi tiga jengkaut, satu jentolak, dua lori pengangkut kenderaan berat, tiga kereta, tujuh telefon bimbit dan dua keping cek bernilai RM17,000.
Sementara itu di PERLIS, satu kumpulan curi motosikal yang amat dikehendaki dikenali sebagai Geng Chemumar yang menyasarkan masjid untuk melakukan jenayah itu tumpas ekoran penahanan empat ahlinya, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew, kumpulan itu dipercayai aktif sejak tahun 2014 dan telah terbabit mencuri kira-kira 50 buah motosikal membabitkan kerugian lebih RM50,000, khususnya di bandar ini serta Kedah.
Di JOHOR pula, seorang peniaga bundle yang dipercayai memiliki sepucuk pistol jenis Beretta yang dilaporkan hilang oleh sebuah agensi kerajaan pada 2013, ditahan polis di sebuah hotel di Larkin, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, dalam serbuan pada pukul 5.30 pagi itu, polis turut menemukan wang tunai S$12,000 (RM35,640), RM26,000, sebuah telefon bimbit, dua peket lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 4.46 gram dalam beg galas suspek serta sebuah kereta Mercedes-Benz SLK 200.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/5-kumpulan-samun-dan-curi-kenderaan-tumpas-1.374837#sthash.GwnHJpGY.dpuf

Pelajar alami pendarahan di kepala dipukul senior


30 Ogos 2016 1:22 AM
Muhammad Anas Amir terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah

Muhammad Anas Amir terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, semalam. ihsan rakan media
ALOR SETAR 29 Ogos – Seorang bapa melahirkan kebimbangan terhadap masa depan anak lelakinya yang mengalami pendarahan dalam kepala dipercayai dipukul tiga seniornya dalam satu kejadian di sebuah sekolah di Sungai Petani semalam.
Amir Ahmad, 47, berkata, anaknya Muhammad Anas, 14, pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selama dua jam setengah pada pukul 4.30 pagi hari ini dan kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
“Saya kini bimbang dengan masa depan anak saya kerana doktor memaklumkan bahawa ada kemungkinan anaknya itu tidak akan kembali normal.
“Saya serahkan siasatan kes ini kepada pihak polis dan berharap pelajar terlibat menerima hukuman setimpal,” katanya ketika ditemui di pekarangan HSB di sini hari ini.
Bercerita tentang kejadian itu, Amir menambah, anak ketiga daripada empat beradik itu mengadu sakit kepala selepas pulang dari sekolah kira-kira pukul 2.30 petang semalam.
“Anas mengadu sakit kepala kepada ibunya, Suriyati Che Said, 47, dan selepas diperiksa terdapat bengkak di bahagian kanan kepalanya.
“Saya kemudiannya terus bawa Anas ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dan ketika dalam perjalanan ke hospital dia muntah-muntah,” katanya.
Kata Amir, hasil imbasan berkomputer (CT Scan) mendapati berlaku pendarahan dalam kepala mengakibatkan Anas dipindahkan ke HSB untuk menjalani pembedahan membuang darah beku.
Menurutnya, anaknya mendakwa kepalanya ditumbuk dan dihempas ke dinding oleh tiga pelajar lelaki tingkatan tiga yang tidak berpuas hati dengan tindakannya menarik tangan seorang rakan supaya masuk ke dalam kelas seperti diminta guru.
“Seorang pelajar tingkatan tiga yang kebetulan ternampak anak saya menarik tangan adiknya masuk ke dalam kelas bertindak mengajak beberapa rakannya memukul anak saya di dalam kelas tidak lama kemudian,” dakwanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pelajar-alami-pendarahan-di-kepala-dipukul-senior-1.376465#sthash.JV3wtxJj.dpuf