Search This Blog

Saturday, August 27, 2016

Kes Bunuh Tiga Sekeluarga: Dua Adik-Beradik Dalam Keadaan Stabil


Diterbitkan: Sabtu, 27 Ogos 2016 10:24 AM
Tiga sekeluarga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bertam Malim, Jumaat.

MELAKA: Dua adik-beradik yang cedera dalam kes pembunuhan tiga sekeluarga di sebuah rumah di Kampung Bertam Malim di sini, berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata Noor Haslinda Diyana Hassan, 26, dan Nuraqedah Aeina Hassan, 24, bagaimanapun masih dirawat di unit rawatan rapi Hospital Melaka.

"Saya dimaklumkan adik-beradik tersebut berada dalam keadaan stabil dan sedang dipantau rapi oleh doktor," katanya pada Jumaat.

Sementara itu, mayat ketiga-tiga mangsa yang didakwa ditetak oleh seorang anggota keluarga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bertam Malim pada pukul 11.30 pagi Jumaat.

Kira-kira 300 orang termasuk saudara-mara, rakan-rakan dan orang kampung menghadiri pengebumian Hassan A. Wahab, 72, isterinya Mariah Baharin, 60, dan anak lelaki mereka Mohd Basir Taufiq, 22.

Dalam kejadian pada awal pagi Khamis, tiga sekeluarga ditemui mati dipercayai dibunuh di rumah mereka di Jalan Sidang Daif Kampung Bertam Malim pada pukul 6 pagi.

Polis berjaya menahan suspek berusia 26 tahun di Masjid Bukit Rambai selepas lima jam pembunuhan tersebut berlaku dan suspek ditahan reman selama seminggu.

Wanita Vietnam 'potong kaki untuk tuntut insurans'

DUNIA SABTU, 27 OGOS 2016 @ 9:07 AM



HANOI: Seorang wanita Vietnam mengaku mengupah seseorang memotong kaki dan sebahagian lengannya dalam usaha menuntut pampasan insurans. Mei lalu, wanita berusia 30 tahun dikenali sebagai Ly Thi N, berpura-pura dilanggar kereta api.

Namun kini beliau dilaporkan mengaku membayar AS$2,200 (RM8,881) kepada seorang rakan supaya memotong anggota tubuhnya. Tujuan beliau adalah untuk menuntut lebih AS$150,000 (RM605,550) daripada syarikat insurans.

Rakan wanita itu, Doan Va D, yang memotong anggota tubuhnya, berpura-pura menghubungi ambulans selepas 'menemui' mangsa di atas landasan kereta api di Hanoi. Gambar yang disiarkan akhbar rasmi polis menunjukkan wanita itu selepas tiga bulan, dengan kecederaannya sudah sembuh. Media melaporkan beliau dipercayai mengendalikan perniagaan bermasalah. Kes luar biasa itu membawa kepada perbahasan panas dalam media sosial di negara itu.

"Kes tipikal penipuan insurans. Jenaka yang cuma berlaku di Vietnam. "Hilang 50 juta, satu tangan, satu kaki dan kini berisiko ke penjara. Tiada manfaat langsung," kata pengguna Facebook, Ly Phan. Beberapa pengguna lain mengecam wanita itu kerana mengambil langkah berkenaan manakala yang lain mempersoalkan sejauh mana beliau terdesak sehingga tergamak berbuat demikian. - AGENSI   DISYORKAN

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/187112

Belah perut ibu untuk curi bayi




EMPAT suspek wanita yang ditahan kerana disyaki membunuh sebelum membelah perut untuk mencuri bayi mangsa. - Agensi

Agensi
Brasilia: Seorang wanita mengupah sekumpulan samseng untuk membunuh seorang ibu mengandung sebelum membelah perut mangsa bagi mencuri bayinya.

Wanita itu dilaporkan mengupah kumpulan samseng wanita berkenaan kerana terdesak mahukan anak selepas memberitahu teman lelakinya bahawa dia mengandung.

Polis berkata, enam samseng mencekik Greiciara Belo Vieira, 19, hingga mati sebelum membelah perut mangsa untuk mengeluarkan bayi dikandungnya.

Bayi itu kemudian diserahkan kepada wanita berusia 31 tahun berkenaan yang merancang pembunuhan itu semata-mata untuk menipu teman lelakinya.

Mayat Greiciara ditemui terapung dalam keadaan perut terbelah di tasik di Minas Gerais pada Ahad lalu.

Susulan penemuan mayat berkenaan, polis menahan empat wanita pada Selasa lalu manakala dua lagi masih bebas.

Polis juga menemui seorang bayi perempuan dipercayai anak Greiciara dalam keadaan sihat di sebuah rumah di Ituiutaba.

Sementara itu, kakak mangsa, Greiciele, 21, berkata, keluarganya sangat terkejut dengan kematian tragik Greiciara.

“Greiciara sangat gembira dengan kehamilannya dan dia juga sangat teruja serta tidak sabar untuk bertemu dengan anak yang dikandunginya itu.

“Apa yang dilakukan mereka (suspek) terhadap Greiciara sangat kejam,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:06 AM

Ustaz Kazim buat laporan polis terhadap Wardina, Syed Azmi


27 Ogos 2016 1:02 AM
Mohd. Kazim Elias (empat dari kiri) bersama guru dan Jawatankuasa

Mohd. Kazim Elias (empat dari kiri) bersama guru dan Jawatankuasa Pusat Pendidikan Al Barakah membuat laporan polis berhubung individu yang mencemarkan imej pusat pendidikan itu di Ibu pejabat Polis Daerah Ipoh, Perak, semalam. Utusan/SYEFRY MONIZ
IPOH 26 Ogos – Pendakwah ter­kenal, Datuk Mohd. Kazim Elias hari ini membuat laporan polis terhadap aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi dan selebriti tanah air, Wardina Saffiyah yang didakwa menyebarkan dakwaan seorang pelajar diliwat serta dicabul di Pusat Pendidikan Al Barakah miliknya baru-baru ini.
Mohd. Kazim yang hadir bersama ahli jawatankuasa pusat pendidikan tersebut membuat laporan berkenaan kira-kira pukul 3.50 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.
Selain beliau katanya, tiga lagi laporan polis akan turut dibuat hari ini oleh pihak mudir sekolah dan ibu bapa pelajar.
“Saya mengambil keputusan untuk membuat laporan ini kerana mempertahankan diri saya dise­babkan ada komen-komen negatif yang secara langsung dapat disifatkan itu adalah saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis tersebut.
Pada masa sama, Mohd. Kazim turut berharap netizen yang me­nulis komen di Facebook mereka supaya berhati-hati dan tidak bertindak sesuka hati dalam isu tersebut.
Terdahulu, Mohd. Kazim dalam sidang akhbar khasnya berkata, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba mencemarkan imejnya dan pusat pendidikan tersebut dengan menyebarkan fitnah di laman sosial.
Menurutnya, sebagai seorang pen­ceramah bebas, beliau semema­ng­nya sentiasa dikecam, difitnah dan dibangkitkan kemarahan namun isu kali ini tidak lagi melibatkannya seorang malah agama Islam dan hufaz-hufaz muda di sekolah itu.
“Saya melihat isu ini bukan setakat dakwaan cabul dan gangguan seksual sahaja tetapi usaha untuk mencemarkan imej Islam, sekolah tahfiz dan imej pence­ramah agama.
“Jika melihat ada kecenderu­ngan untuk mencemarkan imej, mengapa tidak diambil tindakan. Saya perlu ambil tindakan untuk membersihkan nama kerana ini menjejaskan reputasi dan air muka saya yang berceramah di seluruh negara.
“Saya akan berbincang dengan pihak sekolah dan peguam untuk mengambil tindakan sekiranya berlaku komplot bagi menjatuhkan sekolah dan saya sendiri,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/ustaz-kazim-buat-laporan-polis-terhadap-wardina-syed-azmi-1.375256#sthash.xzKvZoWm.dpuf

Tindakan jiran gagalkan jenayah pecah rumah


27 Ogos 2016 11:27 PM
KERETA Volkswagen yang digunakan oleh tiga suspek penyamun untuk


KERETA Volkswagen yang digunakan oleh tiga suspek penyamun untuk melarikan diri terbabas dan terbalik di di Taman Teratai, Jerantut, Pahang semalam. MINGGUAN/HARIS FADILAH AHMAD
JERANTUT 27 Ogos –Tindakan pantas seorang lelaki menghubu­ngi jirannya selepas menyedari sesuatu yang mencurigakan berlaku di rumah jirannya itu membawa kepada penahanan dua penjenayah di Taman Teratai di sini semalam.
Hasil maklumat lelaki ber­kenaan, dua lelaki berusia lingkungan 40-an berjaya dicekup orang ramai ketika cuba melarikan diri selepas memecah masuk rumah seorang pekebun, Tey Kim Kin di perumahan berkenaan manakala seorang lagi rakan mereka melarikan diri.
Ketua Polis daerah, Superintenden Azid Ismail berkata, kejadian berlaku ketika Kim Nin berada di kebunnya yang terletak tidak jauh dari taman perumahan tersebut.
“Kira-kira pukul 4 petang, seorang jiran Kim Kin menghubungi­nya dan membe­ritahu rumahnya dipecah masuk. Dia bergegas pulang dan mendapati tingkap di bahagian tepi rumahnya diumpil.
“Mangsa kemudian ternampak seorang lelaki keluar menerusi tingkap berkenaan dan cuba me­larikan diri bersama dua lagi rakannya dengan sebuah kereta Volkswagen,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azid, berikutan itu, Kim Kin dan jirannya mengejar suspek sebelum kereta mereka terbabas kira-kira 500 meter dari rumah mangsa.
Katanya, orang ramai yang ber­ada di lokasi kejadian menahan dua suspek manakala seorang lagi melarikan diri dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 14 tahun jika sabit kesalahan.
“Siasatan mendapati kereta Volkswagen yang dinaiki suspek merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang di Kempas, Johor baru-baru ini.
“Orang ramai yang mempu­nyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tindakan-jiran-gagalkan-jenayah-pecah-rumah-1.375562#sthash.b8cOF01x.dpuf

Tan Sri terajui bank dicari SPRM


MASZUREEN HADZMAN  |  27 Ogos 2016 11:47 PM


Tan Sri terajui bank dicari SPRM

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti seorang Tan Sri menerajui sebuah bank yang dipercayai terlibat dalam kes salah guna kuasa dan penyelewengan projek penerbitan buku bernilai RM15 juta.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati, suspek menggunakan akaun dua buah firma guaman bagi menyimpan wang yang diperoleh hasil kegiatan tersebut.
Ujarnya, individu terbabit te­lah bersekongkol dengan peguam membuka dua firma guaman bagi mendapatkan tender melibatkan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.
“Sebaik sahaja wang diperoleh, wang terbabit akan dima­sukkan ke dalam dua akaun firma guaman yang terlibat sebelum wang itu dipindahkan ke beberapa akaun yang lain.
“Difahamkan, ketika firma guaman itu ditubuhkan, di dalam akaun firma terbabit hanya mempunyai wang bernilai RM2,000. Namun semakan terkini mendapati akaun terbabit mempunyai wang berjumlah ratusan ribu ringgit,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, lapan individu termasuk seorang Pengarah Urusan sebuah bank bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan kerana dipercayai terlibat dalam kes salah guna kuasa dan ra­suah melibatkan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemim­pin negara.
Kesemua mereka ditahan dalam beberapa serbuan di ibu negara sejak kelmarin.
Turut dirampas iaitu enam buah jam ta­ngan yang setiap satunya bernilai RM20,000 serta wang tunai sebanyak RM30,000 daripada Datuk terbabit.
Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 atas kesalahan menggunakan kedudukan atau jawatan untuk suapan pegawai institusi awam.
Sementara itu, pengarah siasatan SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Katanya, siasatan sedang dijalankan untuk mencari bukti kes berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tan-sri-terajui-bank-dicari-sprm-1.375601#sthash.iQa3m4HW.dpuf

SPRM bekukan harta RM5.5 juta, rampas 4 kereta mewah


27 Ogos 2016 11:47 PM

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan aset bernilai RM5.5 juta milik lapan individu termasuk dua pegawai sebuah syarikat minyak yang ditahan kelmarin bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek saluran paip minyak.
Selain itu, SPRM turut merampas empat buah kereta mewah milik mereka antaranya Rolls Royce serta Ferrari, motosikal berkuasa tinggi dan sebuah rumah dua setengah tingkat.
Sumber memberitahu, lapan individu berkenaan direman mulai semalam kerana dipercayai terlibat membuat tuntutan palsu sebanyak RM7 juta.
Kata sumber itu, siasatan bermula apabila bahagian audit syarikat minyak berkenaan mendapati berlaku lebihan tuntutan daripada projek pembinaan saluran paip Lekas 3 di Melaka pada 2011 hingga 2013 yang sepatutnya hanya berjumlah RM67 juta.
“Susulan audit berkenaan, satu laporan telah dibuat kepada SPRM agar perkara itu disiasat.
“Risikan SPRM kemudian membawa kepada penahanan dua pegawai syarikat termasuk seorang pengurus projek serta enam kontraktor bagi membantu siasatan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, kesemua suspek termasuk tiga wanita direman selama lima hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Kesemua mereka ditahan di lokasi berasingan iaitu di ibu negara, Melaka dan Negeri Sembilan.
Dalam pada itu sumber memberitahu, SPRM kini mencari beberapa individu lagi bagi membantu siasatan kes tersebut.
Tambahnya, mereka terdiri daripada sub kontraktor yang terlibat dalam projek tersebut.
Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan me­ngulas lanjut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sprm-bekukan-harta-rm5-5-juta-rampas-4-kereta-mewah-1.375604#sthash.0xh7dFTZ.dpuf

Pengarah urusan syarikat penerbitan direman 7 hari


27 Ogos 2016 11:48 PM

Seorang pengarah syarikat  penerbitan dibawa keluar selepas direman

Seorang pengarah syarikat penerbitan dibawa keluar selepas direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana bernilai RM15 juta di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam. mingguan/ZAKI AMIRUDDIN
PUTRAJAYA 27 Ogos – Seorang lagi individu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegah­an Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana RM15 juta.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman terhadap pengarah urusan syarikat penerbitan berusia 40 tahun berkenaan hingga 2 September selepas membenarkan permohon­an SPRM untuk membolehkan disia­sat berhubung tender pertukaran sistem bank.
Penahanan lelaki itu hari ini menjadikan jumlah keseluruh­an individu yang direman berhubung kes berkenaan adalah lima orang.
Semalam, mahkamah sama memerintahkan empat individu termasuk seorang pengarah urus­an sebuah bank bergelar Datuk direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan salah guna kuasa melibatkan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.
Keempat-empat mereka meru­pakan antara lapan individu yang ditahan oleh SPRM di beberapa tempat berlainan di sekitar ibu negara kelmarin.
Bagaimanapun, baki empat individu tersebut yang turut dibawa ke mahkamah, dibebaskan semalam selepas mahkamah menolak permohonan SPRM bagi menahan reman mereka untuk membantu siasatan kes berke­naan.
Difahamkan, pihak SPRM turut merampas enam utas jam tangan yang setiap satunya bernilai RM20,000 serta wang tunai sebanyak RM30,000 daripada pe­ngarah urusan tersebut ketika ditahan semalam.
Kesemuanya disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 atas kesalahan menggunakan kedudukan atau jawatan untuk suapan pegawai institusi awam.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/pengarah-urusan-syarikat-penerbitan-direman-7-hari-1.375625#sthash.Hv9Wy8tC.dpuf