Search This Blog

Saturday, August 20, 2016

'Saya pukul kepala kamu'




POLIS memeriksa mayat suspek pengedar dadah yang ditemui mati dibunuh penyerang tidak dikenali di Manila, semalam. - EPA

Agensi
Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengancam untuk memukul kepala pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dihantar memantau perang menentang dadah yang dilancarkannya.

Dalam satu wawancara, Duterte ditanya mengenai kemungkinan PBB menghantar pemerhati ke Filipina bagi memantau perkembangan di negara itu yang menyaksikan hampir 1,000 suspek dadah dibunuh.

“Sebenarnya saya tidak tahu siapa yang akan datang ke sini dan apakah tujuannya.

“Apa yang saya tahu, saya akan memukul kepalanya. Jangan menyiasat kami seperti kami ini penjenayah,” katanya.

Menurutnya, kedatangan pemerhati PBB ke negara itu tidak akan disambut dengan mesra.

“Melainkan anda datang ke sini untuk mendapatkan penerangan atau melihat sendiri jenayah yang berlaku di negara ini,” jelasnya.

Sementara itu, kerajaan Filipina semalam mengkritik kenyataan PBB yang mendakwa perang menentang dadah oleh Duterte itu jenayah mengikut undang-undang antarabangsa.

Ketua penasihat undang-undang Duterte, Salvador Panelo berkata, kenyataan PBB itu tidak berasas dan terburu-buru.

Katanya, kerajaan tidak terbabit dalam pembunuhan tanpa bicara yang menyasarkan suspek penjenayah dan mencabar pakar hak asasi manusia PBB melawat Filipina dan membuat siasatan.

Dua pakar hak asasi manusia kelmarin mendakwa arahan terus Duterte kepada pasukan keselamatan dan orang awam untuk membunuh suspek dadah adalah perbuatan menghasut untuk melakukan keganasan dan pembunuhan, satu jenayah mengikut undang-undang antarabangsa.

“Apabila anda berada di New York atau tempat lain, 10,000 kilometer jauhnya dari Filipina dan anda membuat penilaian seperti itu, ia adalah tindakan terburu-buru.

“Kenyataan itu jauh menyimpang dan tidak berasas. Mereka (PBB) patut datang ke sini bagi melihat situasi sebenar,” jelasnya
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:07 AM

100 cedera selepas bergaduh kerana drama India




SATU babak dalam drama berkenaan.

Dhaka: Satu pergaduhan berlaku antara penduduk kampung di timur Bangladesh berkait dengan plot satu siri drama India di televisyen, menyebabkan 100 orang cedera.

Penduduk kampung itu berkumpul di sebuah restoran di daerah Habiganj untuk menonton Kiranmala, drama berbahasa Benggali yang mengisahkan seorang puteri yang menyelamatkan manusia daripada kejahatan apabila pergaduhan meletus.

Polis melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka apabila pergaduhan berlarutan hingga ke awal pagi keesokannya. Penonton yang marah merosakkan restoran di kampung Dhol itu dan menyerang satu sama lain dengan kayu dan pisau.

“Pergaduhan bermula apabila dua lelaki bertengkar mengenai episod drama itu. Pertengkaran kemudian merebak menjadi pergaduhan antara dua kumpulan.

“Ketika bergaduh, mereka merosakkan restoran dan menyerang satu sama lain hingga ke pagi,” kata ketua polis tempatan, Yasinul Haque.

Sekurang-kurangnya 100 orang cedera dalam pergaduhan di kampung yang terletak kira-kira 176 kilometer ke timur laut Dhaka itu dengan 15 daripada mereka terpaksa dimasukkan ke hospital.

Sebahagian rakyat Bangladesh menyelar kerajaan di media sosial kerana membenarkan penyiaran saluran televisyen India di negara itu yang menurut mereka menyebarkan budaya permusuhan.

Sebelum ini, tiga wanita muda membunuh diri, dipercayai ada kaitan dengan Kiranmala, selepas ibu bapa mereka enggan membeli pakaian mahal yang dipakai puteri dalam drama itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:02 AM