Search This Blog

Friday, August 12, 2016

Kakitangan PPK Maut Disengat Ratusan Tebuan Tanah


Diterbitkan: Jumaat, 12 Ogos 2016 3:37 PM

BESUT: Seorang kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerai, Jerteh meninggal dunia petang semalam (Khamis) selepas disengat ratusan  ekor tebuan tanah ketika melakukan kerja membajak di Kampung Gong Medang, dekat sini, Isnin lalu.
Mangsa, Mohamad Ishak, 61, yang kritikal dan koma meninggal dunia pada kira-kira 2.20 petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Isteri mangsa, Mariam Ahmad, 54, yang dihubungi berkata suaminya disengat tebuan apabila jentera bajaknya terlanggar sarang tebuan tanah ketika sedang  membajak tanah pertanian di kampung tersebut.
"Suami saya yang bekerja dengan PPK Gerai tidak menyedari terdapat sarang tebuan tanah di situ dalam kejadian pada kira-kira 3 petang," katanya.
Mariam berkata suaminya tidak sempat melarikan diri menyebabkan dia dihurung dan disengat tebuan tersebut tetapi beliau masih sempat menghubungi anaknya.
"Ketika anak saya tiba di situ keadaan suami amat lemah tetapi masih sedar sebelum arwah dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan," katanya.
Katanya, suaminya kemudiannya di rujuk ke HSNZ pada petang hari Selasa untuk rawatan lanjut tetapi meninggal dunia petang semalam.
Jenazah dibawa pulang ke Kampung Lapan Kotak dan dikebumikan di tanah perkuburan kampung itu selepas Isyak, semalam.
Mohamad meninggalkan seorang balu dan 11 anak berusia 11 hingga 38 tahun.

Mangsa nahas ayah, kembar sendiri





Oleh KASANABILA KAMARUL ZAMAN

Azlan bersama sepasukan anggota bomba datang untuk membantu operasi kemalangan di Jalan Kampung Bukit Nanas, Kuala Terengganu semalam sebelum mengetahui empat mangsa yang maut rupa-rupanya ayah, kembar dan dua saudaranya sendiri.

KUALA TERENGGANU – Hancur luluh hati seorang anggota bomba bantuan selepas mendapati dua daripada empat mangsa maut yang dikeluarkannya dari sebuah kereta dalam nahas jalan raya di Jalan Kampung Bukit Nanas, Tepoh di sini semalam rupa-rupanya mayat ayah dan kembarnya sendiri.

Anggota tersebut, Azlan Mustapa, 32, berkata, akibat keadaan kereta Proton Saga FLX yang remuk teruk selepas dirempuh sebuah lori tiga tan, dia sendiri pada awalnya tidak menyangka mangsa yang maut di dalam kereta itu ialah bapanya, Mustapha Abdullah, 60, dan kembarnya, Azman.

Turut terkorban dua saudaranya, Mohd. Sabri Ngah, 48, dan Alif Faizal Ibrahim@Ismail, 26.

“Saya pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa dan menjalankan tugas seperti biasa, tambahan pula keadaan kereta berkenaan sangat teruk dan nombor pendaftaran juga tidak jelas.

“Tetapi saya kemudiannya sangat terkejut apabila melihat kad pengenalan mangsa yang kesemuanya merupakan ahli keluarga saya termasuk ayah dan kembar saya. Saya tergamam melihat jenazah mereka sebelum ditenangkan oleh ketua operasi,” kata Azlan ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.

Azlan yang sudah dua tahun bertugas sebagai anggota bomba bantuan berkata, dia bagaimanapun reda dengan kejadian tersebut, malah tidak patah semangat untuk terus bertugas.



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz4H6lrBoPc
Hakcipta terpelihara 

10 banduan mati disyaki cuba lari dari penjara

JUMAAT, 12 OGOS 2016 @ 3:21 PM

 MANILA: Seramai 10 banduan di Filipina terbunuh selepas cubaan lari dari penjara dan menculik warden di pinggir bandar Manila gagal, kata pihak berkuasa hari ini.

Banduan termasuk dua warga China, sedang berjumpa warden penjara Bandar Paranaque di pejabatnya ketika letupan berlaku petang semalam, membunuh banduan itu dan mencederakan warden, kata jurucakap perkhidmatan penjara negara Inspektor Kanan, Xavier Solda.

Insiden berlaku ketika Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengisytiharkan perang dadah, mengakibatkan beratus-ratus pengedar dadah dibunuh dan ribuan lagi ditangkap dan penjara penuh sesak.

Siasatan awal mendapati letupan berpunca dari bom tangan selain menemui sepucuk pistol di tempat kejadian, kata Solda.

Menurutnya banduan yang mati adalah tahanan berprofil tinggi yang ada kaitan dengan dadah dan rompakan. Beliau berkata, banduan itu meminta untuk bertemu warden tetapi tidak jelas mengapa beliau berbuat demikian tanpa pengawal peribadi.

 "Satu-satunya individu yang boleh menyelesaikan isu ini adalah warden berkenaan tetapi beliau masih di hospital dan mungkin memerlukan pembedahan," kata Solda. - AFP


PETUGAS mengusung mayat banduan ke dalam kenderaan di bandar Paranaque, selatan Manila. - Foto EPA  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/182447

Gagal bayar duit kopi, bayi mati




Sumita meratap sambil meriba mayat anaknya, Krishna, 10 bulan, di luar hospital.

AFP
New Delhi: Ibu bapa seorang bayi berusia 10 bulan hari ini mendakwa anak mereka mati akibat rawatan di hospital kerajaan yang tertangguh kerana kakitangannya meminta ‘duit kopi’.

Sumita dan Shiv Dutt mendakwa, bayi lelaki mereka dibawa ke hospital di Uttar Pradesh Ahad lalu, dan seorang jururawat meminta bayaran untuk menguruskan dokumen rawatan.

Seorang pencuci kemudian meminta bayaran untuk menyediakan katil di hospital di bandar Bahraich itu dan ibu bapa berkenaan menyatakan mereka tiada pilihan terpaksa membayar.

Sumita Dutt mendakwa, dua hari kemudian seorang pegawai perubatan juga meminta wang bagi melakukan suntikan namun dia sudah kehabisan wang lalu berlaku pertengkaran menyebabkan rawatan anaknya tertangguh.

“Saya minta dia beri masa untuk saya saya menyediakan wang dan berjanji kepadanya akan beri berapa saja dia mahu,” katanya sambil menangis kepada rangkaian televisyen NDTV sambil meriba mayat anaknya.

Bapa bayi itu yang tidak menyatakan jumlah wang dibayarnya mendakwa kakitangan hospital meminta rasuah bagi setiap peringkat.

Berikutan itu, pengurusan hospital berkenaan menyatakan ia memulakan siasatan namun menafikan lambat merawat bayi berkenaan.

“Tiada kelewatan memberi antibiotik kepada bayi itu pada pagi dan petang setiap hari,” kata doktor kanan OP Pandey.

Menurutnya, pencuci itu sudah dipecat manakala jururawat terbabit dipindahkan ke jabatan lain.

Jun lalu, seorang lelaki 75 tahun mati selepas keluarganya mendakwa hospital di Kolkata enggan merawatnya kerana tidak membayar 200 rupee (RM8). Sebulan sebelum itu, seorang remaja dilaporkan mati selepas bapanya enggan membayar sogokan 300 rupee kepada pekerja hospital kerajaan di Tamil Nadu.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 5:20 PM

25 cedera dalam kebakaran pangsapuri di Maryland

DUNIA JUMAAT, 12 OGOS 2016 @ 12:34 AM


JABATAN bomba menganggarkan antara 20 hingga 25 mangsa termasuk dua anggota bomba cedera dalam kebakaran besar sebuah bangunan pangsapuri di Maryland.

SILVER SPRING: Jabatan bomba menganggarkan antara 20 hingga 25 mangsa termasuk dua anggota bomba cedera dalam kebakaran besar sebuah bangunan pangsapuri di Maryland. Seorang pegawai Palang Merah Amerika pula menganggarkan 100 orang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran itu manakala 60 hingga 70 mangsa tinggal di pusat perlindungan sementara pertubuhan itu di sebuah pusat komuniti berhampiran. Pengarah bencana serantau Paul Carden berkata, mangsa yang kehilangan tempat tinggal majoritinya bertutur dalam bahasa Sepanyol dan penterjemah dibawa ke tempat kejadian bagi memudahkan komunikasi. Katanya, keadaan letupan menyebabkan trauma kerana ramai mangsa "tercampak dari katil." - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/182291

Polis cari suspek samun bapa Emma Maembong

JENAYAH JUMAAT, 12 OGOS 2016 @ 12:37 AM

Oleh Safeek Affendy Razali bhnews@bh.com.my

PELAKON Emma Maembong bersama ahli keluarga berkumpul di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas bapanya disamun di Rumah GAPENA Jln Bukit Petaling. - Foto Yazit Razali

 KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai menyamun bapa pelakon Emma Maembong, Ismael Maembong di bangunan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) petang semalam.

Kedua-dua lelaki terbabit dipercayai menaiki sebuah motosikal masuk ke kawasan bangunan GAPENA di Jalan Bukit Petaling, di sini, sebelum menyamun mangsa yang ketika itu sedang berkarya. Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Habibi Majinji, berkata berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek terbabit berkulit gelap masuk ke dalam kawasan berkenaan sekitar jam 5.15 petang.

 "Setakat ini pihak polis sedang berusaha mendapatkan maklumat penuh daripada mangsa sendiri yang masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) disebabkan kecederaan yang dialaminya. "Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun serta mendatangkan kecederaan," katanya. Beliau, berkata pihak polis turut mengalu-alukan saksi kejadian atau orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan.

 "Kita meminta mereka yang melihat kelibat suspek mencurigakan sekitar kawasan berkenaan termasuk kawasan sekitar bangunan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) untuk menyalurkan maklumat," katanya. Dalam kejadian berkenaan, Ismail dilaporkan kehilangan komputer riba, dompet dan telefon bimbit selain mengalami kecederaan pada kepala dan tangan dipercayai akibat ditetak.  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/182293

21 maut, 5 cedera stesen jana kuasa meletup di China

DUNIA KHAMIS, 11 OGOS 2016 @ 11:45 PM

BEIJING: Sekurang-kurangnya 21 maut manakala lima lagi cedera dalam kejadian letupan di sebuah stesen jana kuasa di sini, hari ini, lapor perkhidmatan berita Xinhua.

Letupan itu, menurut media tempatan disebabkan saluran paip wap tekanan tinggi pecah, berlaku sehari sebelum genap setahun insiden letupan yang menyebabkan 165 maut di bandar pelabuhan utara di Tianjin. Xinhua melaporkan, kejadian terbaharu itu berlaku di Dangyang, wilayah tengah Hubei, dan usaha menyelamat sedang dijalankan.

Pihak berkuasa tempatan menyatakan ia sedang menyiasat punca kemalangan itu. Menurut akhbar, loji syarikat yang beroperasi itu didaftarkan untuk loji jana kuasa dan jualan sisa keluli serta produk petroleum.

Kemalangan industri adalah perkara biasa di China berikutan tahap keselamatan yang agak longgar. Pada awal musim panas ini, lebih 130 orang dirawat di hospital akibat kebocoran bahan kimia daripada sebuah kilang di timur China. - AFP  
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/182235

Anak perempuan Obama didakwa hisap ganja


MALIA (kanan) dan adiknya, Sasha dalam perjalanan untuk menaiki pesawat Airforce One bersama ibu bapa mereka di Maryland pada 6 Ogos lalu. - REUTERS


WASHINGTON – Malia Obama yang merupakan anak sulung Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama didakwa menghisap sebatang rokok mengandungi ganja pada festival muzik Lollapalooza di Chicago dalam negeri Illinois, lapor akhbar Daily Star semalam.
Malia, 18, membuat kejutan apabila meninggalkan Konvensyen Nasional Parti Demokrat lebih awal bersama ibu bapanya kerana mahu menghadiri pesta muzik itu.
Dia kemudian dirakam memakai seluar pendek dan baju tanpa lengan sambil menari seksi semasa berpesta.
Seorang remaja perempuan, Jerrdin Selwyn, 18, yang menyaksikan kejadian itu dan memberitahu portal Radar Online bahawa bau asap ganja berlegar di udara.
“Saya melihat Malia menghisap ganja dan saya memiliki gambar untuk membuktikannya. Anda dapat menghidu bau asap ganja,” katanya.
Namun, ramai pengguna Twitter mempertahankan anak gadis Obama itu.
“Jangan sibuk tentang Malia. Dia terkurung di rumah itu (White House) selama lapan tahun. Biar dia berseronok sedikit,” kata seorang pengguna Twitter bernama Khaleed.
“Kepada ibu bapa yang menyibuk kerana Malia berseronok di pesta Lollapalooza hujung minggu lalu, sudahkah anda memeriksa Snapchat (laman sosial) anak anda?” Soal seorang pengguna Twitter lain, Big Wave Dave.
Pemilikan sehingga 10 gram ganja dibenarkan di Illinois.
Malia bukan satu-satunya anggota keluarga Obama yang menghisap dadah itu. Bapanya pernah didakwa menghisap rokok ganja semasa menyertai kumpulan remaja dikenali sebagai Choom Gang semasa beliau menetap di Honolulu, Hawaii.
Malia kini berehat setahun sebelum menyambung pelajarannya di Universiti Harvard pada 2017. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4H4VDphJs 
Hakcipta terpelihara 

Denda RM30,000 jika guna telefon bimbit dalam pesawat




SEORANG penumpang menggunakan telefon bimbit di dalam pesawat. – Gambar hiasan


BEIJING – Penumpang pesawat China yang didapati menggunakan telefon bimbit, merokok atau menduduki tempat duduk secara paksa akan didenda sehingga 50,000 yuan (RM30,200) dalam cadangan rombakan undang-undang penerbangan awam negara itu.
Mereka yang menggunakan alat elektronik yang tidak dibenarkan di dalam pesawat atau cuba membuat gangguan akan dikenakan denda sama, demikian lapor akhbar Hong Kong, South China Morning Post semalam.
Cadangan undang-undang baharu itu menyenaraikan le­bih daripada 10 jenis kelakuan buruk di lapangan terbang atau di dalam pesawat yang boleh didenda sehingga 50,000 yuan, jauh lebih tinggi berbanding denda beberapa ratus yuan sekarang.
Banyak perbalahan antara penumpang dan kru penerbangan berlaku kerana sikap degil penumpang yang enggan mematikan telefon bimbit mereka ketika menaiki pesawat.
Pentadbiran Penerbangan Awam China menyiarkan cadangan undang-undang baharu itu di laman webnya pada minggu ini. Ia bertujuan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai sehingga bulan depan.
Pada tahun lalu, lebih 436 juta orang menaiki penerbangan di China, meningkat 11.3 peratus berbanding 2014, manakala 42 juta daripada mereka melakukan perjalanan ke luar negara.
Namun, ketika rakyat China semakin kerap menaiki pe­nerbangan, kelakuan tidak bertamadun mereka semasa berada di lapangan terbang dan menaiki pesawat menerima banyak kritikan di dalam dan luar negara. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4H4V6BT9E 
Hakcipta terpelihara 

Remaja diberkas ceroboh kem


Seorang remaja yang lengkap berpakaian ala tentera diberkas ketika hendak menceroboh Kem Majidee di Johor Bahru, Johor kelmarin.


JOHOR BAHRU – Tindakan berani seorang remaja menceroboh Batalion Kesepuluh Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD) di Kem Majidee, Jalan Tanjung Labuh, Batu Pahat dekat sini dengan memakai pakaian celoreng memakan diri apabila dia diberkas kelmarin.
Suspek berusia 17 tahun tersebut diberkas oleh anggota tentera yang bertugas di pintu utama ketika remaja berkenaan cuba memasuki kem berkenaan dengan menunggang sebuah motosikal jenis Demak pada pukul 11.55 pagi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahid Musa berkata, anggota bertugas telah meminta suspek memperkenalkan diri namun dia gagal mengemukakan sebarang dokumen menyebabkan dia diberkas dan diserahkan kepada polis.
Katanya, soal siasat mendapati suspek yang tinggal sebatang kara selepas kematian ibu dan bapanya bertindak demikian kerana terlalu minat untuk menjadi seorang anggota tentera.
“Berpandukan pada maklumat, polis kemudian telah menyerbu rumah suspek dan merampas pelbagai peralatan ketenteraan seperti baju celoreng, beg dan kasut yang disyaki dibeli sendiri oleh suspek sejak tiga tahun lalu.
“Suspek bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di Batu Pahat dan baru kematian bapa lima hari lalu manakala ibunya telah meninggal dunia ketika suspek berusia tujuh tahun,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz4H4UpxtGE 
Hakcipta terpelihara 

Bayi 14 bulan mati dilanggar kereta datuk sendiri


GAMBAR kenangan Ahmad Syawal (tengah) bersama ibu dan bapanya sebelum bayi berusia 14 bulan itu maut dilanggar kereta dipandu datuknya di Taman Darul Iman, Bukit Kuang, Kemaman semalam.


KEMAMAN – Seorang bayi lelaki berusia 14 bulan maut selepas dilanggar kereta yang dipandu datuknya dalam kejadian­ di hadapan rumah keluarga itu di Taman Darul Iman, Bukit Kuang di sini pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 8.40 pagi itu, mangsa, Ahmad Sya­wal Anaqi Ahmad Fadzi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kemaman akibat kecederaan parah pada kepala.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim ketika dihubungi berkata mangsa telah dilanggar oleh datuknya yang berusia 59 tahun ketika hendak mengundurkan keretanya.
Mangsa dikatakan merangkak keluar dari rumahnya kerana pintu gelongsor kaca rumah itu terbuka.
“Datuk mangsa tidak me­nyedari cucunya itu merangkak keluar ketika dia membuka pintu dan masuk ke dalam kereta yang diletakkan kira-kira lima meter dari rumah,” katanya.
Jelas Mohd. Said, ketika kejadian, datuk mangsa itu mahu mengalihkan kereta Perodua Axia yang diletakkan dekat simpang ke hadapan rumah.
“Datuk mangsa terdengar sesuatu bunyi di bahagian belakang keretanya dan keluar untuk meninjau apa yang berlaku sebelum melihat cucunya terbaring dalam kea­daan ber­darah di kepala di tepi kereta” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz4H4UTMqf5 
Hakcipta terpelihara 

3 maut Perodua Alza masuk gaung

Oleh TAUFIK SALIMIN



ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang tersepit dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Bau-Lundu kelmarin.


BAU – Seorang pegawai Imigresen dan dua warga Indonesia maut selepas kenderaan pelbagai guna Perodua Alza dinaiki mereka bertembung dengan kereta Perodua Axia di Kilo­meter 9, Jalan Bau-Lundu berhampiran Kampung Sibuluh di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Weley Gikian, 40, dan Isa Joni, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Mulyanto Sahri, 43, maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Bau di sini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Deputi Superintendan, Alexson Naga berkata, pemandu Perodua Axia, Flavian Jerry Francis, 24, serta penum­pang, Irene Septimus Amit, 47, bagaima­napun hanya me­ngalami kecederaan ringan.
Menurutnya, seorang lagi penumpang yang menaiki Perodua Alza, Rizal Bulyani, 21, turut terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan pada tangan dan badannya.
“Siasatan awal mendapati, nahas dipercayai berlaku apabila Perodua Alza yang dipandu Weley dari arah Lundu ke Bau tiba-tiba hilang kawalan lalu bertembung dengan Perodua Axia di laluan bertentangan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz4H4TreThw 
Hakcipta terpelihara