Search This Blog

Tuesday, August 9, 2016

Pelanggan Pusat Hiburan Keluarga Maut Dihempap Runtuhan Bumbung


Diterbitkan: Selasa, 9 Ogos 2016 4:54 PM

BUTTERWORTH: Seorang pelanggan lelaki sebuah pusat hiburan keluarga di Jalan New Ferry, di sini maut selepas bumbung di situ yang dalam pembinaan runtuh dan menghempapnya pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Khalil Abdul Rahim berkata mangsa, Rasidi Rashid, 55, maut di tempat kejadian kerana cedera parah selepas dihempap bumbung dalam insiden kira-kira pukul 7.20 pagi itu.
Katanya bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.22 pagi dan jentera pertama bersama enam anggota dari BBP Butterworth tiba di lokasi kejadian kira-kira 11 minit kemudian.
"Sebaik tiba kami dapati bumbung pusat hiburan keluarga yang dalam pembinaan itu telah runtuh dan menghempap seorang lelaki yang dipercayai pelanggan di situ," katanya di sini Selasa.
Beliau berkata kerja mengalihkan runtuhan bumbung itu dijalankan pihaknya bagi menyelamatkan mangsa tetapi lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.
Khalil berkata semasa kejadian dipercayai terdapat seorang lagi pelanggan lelaki di situ tetapi dia sempat menyelamatkan diri.
"Operasi yang disertai tiga jentera bersama 11 pegawai dan anggota bomba itu ditamatkan pada pukul 8.50 pagi selepas memastikan kawasan runtuhan berkenaan selamat dan tiada sebarang unsur bahaya lain di situ," katanya.
Difahamkan pusat hiburan keluarga itu beroperasi seperti biasa walaupaun bahagian bumbungnya dalam pembinaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Azmi Adam ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan katanya mayat mangsa di hantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat. - BERNAMA

38 Terbunuh Akibat Ribut, Tanah Runtuh


Diterbitkan: Isnin, 8 Ogos 2016 11:53 AM
PUEBLO, Mexico: Seramai 38 orang dilaporkan terbunuh dalam kejadian tanah runtuh dan ribut tropika di Mexico sepanjang minggu lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 28 dilapor terbunuh di tengah Puebla manakala selebihnya di lokasi berasingan seperti Veracruz.
Selain tanah runtuh terdapat mangsa maut akibat ditimpa dinding rumah dan bangunan yang runtuh.
Kerajaan Mexico berkata, kadar hujan berlebihan tanpa henti yang turun pada musim menjadi punca banyak tanah runtuh berlaku.
Jelasnya, terdapat lebuh raya dan jalan terpaksa ditutup kerana mengalami kerosakkan dan bahaya untuk pengguna.
Gabenor Puebla, Rafael Moreno berazam untuk membantu membina semula bandar tersebut yang rosak akibat ribut dan tanah runtuh berkenaan.

Pembantu Tadbir Perbadanan Putrajaya Didakwa Pecah Amanah Duit Sewa Dewan


Diterbitkan: Selasa, 9 Ogos 2016 3:15 PM

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu tadbir di Perbadanan Putrajaya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah wang hasil sewaan dewan di perbadanan itu untuk kegunaan sendiri.
Ridhuwan Abdul Manaf, 35, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.
Tertuduh, yang telah diamanahkan menguruskan sewa tempahan dan penggunaan dewan di Kompleks Perbadanan Putrajaya didakwa telah melakukan pecah amanah iaitu menyalahgunakan wang hasil sewaan dewan berjumlah RM40,316 bagi kegunaan diri sendiri dengan tidak menyerahkan wang itu kepada perbadanan. 
Ridhuwan didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Perbadanan Putrajaya, 24 Persiaran Perdana Presint 3, Putrajaya, antara 23 Jun 2015 hingga 6 Mei 2016.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 
Timbalan Pendakwa Raya Suhaidariah Ahmad tidak menawarkan wang jaminan bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada pihak polis. 
"Tertuduh sudah berkahwin mempunyai dua anak berusia lima dan tiga tahun yang mana anak bongsunya menghidap penyakit sawan dan kerap kali mendapatkan rawatan di hospital," kata peguam itu. 
Hakim Zulqarnain membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos untuk sebutan semula kes. -- Bernama

Wanita Mengandung Antara Tiga Rakyat Malaysia Ditahan Kerana Dadah Di Lapangan Terbang Lombok


Diterbitkan: Selasa, 9 Ogos 2016 4:10 PM

JAKARTA: Tiga rakyat Malaysia, termasuk seorang wanita hamil berusia 21 tahun ditahan oleh kastam dan pegawai eksais di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok atas dakwaan cuba menyeludup 1.9kg kristal methamphetamine ke pulau itu.

Mereka didakwa cuba menyeludup dadah berkenaan dengan menyembunyikannya di dalam seluar.

"Kami telah menahan tiga rakyat Malaysia sejurus selepas mereka tiba di lapangan terbang melalui penerbangan AirAsia untuk laluan Kuala Lumpur-Lombok.

"Mereka didapati membawa 1.9kg kristal methamphetamine bernilai sekitar Rp3.5bil (RM1.07 juta)," demikian menurut Ketua Pegawai Kastam dan Eksais, Himawan Indarjono.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita serta barang rampasan telah diserahkan kepada Polis West Nusa Tenggara (NTB).

Pengangur Curi Milo Dipenjara


Diterbitkan: Selasa, 9 Ogos 2016 3:58 PM

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri enam paket Milo daripada sebuah pasar raya, seorang penganggur dihukum penjara 15 hari oleh Mahkamah Majistret di sini, Selasa.
Majistret Husna Dzulkifly menjatuhkan hukuman itu ke atas Aw Man Chong, 57, selepas dia mengaku bersalah mencuri enam paket Milo bernilai keseluruhannya RM73, di pasar raya UO Superstore Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini pada 9.05 malam, 7 Ogos lepas.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 7 Ogos, 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Mengikut fakta kes tertuduh ditangkap di kaki lima di pasar raya itu selepas keluar tanpa membuat bayaran di kaunter.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia tidak bekerja dan mengalami sakit tulang belakang.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira rekod lampau tertuduh yang mempunyai 11 kesalahan dadah, satu kes curi dan satu kes rompak.

Ah Long Tampal Gambar Keluarga Penghutang Di Sekolah


Diterbitkan: Selasa, 9 Ogos 2016 8:17 AM

GEORGE TOWN: Beberapa poster seorang pelajar dan ahli keluarganya telah ditampal di luar sebuah sekolah di sini - didakwa dilakukan peminjam wang tanpa lesen, ah long.

Sekurang-kurangnya enam poster ditemui ditampal di dinding di luar sekolah berkenaan.

Ia dipercayai adalah kali pertama ah long membawa isu pinjaman wang dengan penghutang ke sekolah.

Salah satu poster menunjukkan wajah seorang kanak-kanak yang dibulatkan dengan dakwat mewah dengan tulisan Cina yang berbunyi: "Bapa kanak-kanak ini adalah seorang penipu. Daripada membayar hutangnya, dia sebaliknya membuat laporan polis."

Terdapat beberapa poster lain, dipercayai adalah gambar ahli keluarga kanak-kanak itu.

Ketua Pemuda Parti Cinta Malaysia, Liew Yeow Hooi berkata, beliau menyedari kewujudan poster tersebut petang semalam ketika berada di sekolah untuk mengambil anak saudaranya.

Beliau kemudiannya merakamkan gambar-gambar poster tersebut dan memuat naik di media sosial bagi mengutuk tindakan ah long tersebut.

Tegasnya tindakan melibatkan kanak-kanak dalam isu hutang tidak boleh dimaafkan.

"Jika ibu bapa terlibat dalam hutang, ia tiada kaitan dengan kanak-kanak.

"Mendedahkan gambar seperti ini akan memalukan kanak-kanak itu dan dia akan berasa malu untuk berhadapan dengan guru-guru dan rakan sekolah pada masa akan datang," katanya.

Sebelum ini, seorang ah long akan mencari penghutang di rumah atau menyimbah cat merah, namun ini adalah kes pertama di mana peminjam wang menampal gambar keluarga penghutang di hadapan sebuah sekolah.

Polis Selamatkan 10 Wanita Filipina Mangsa Pemerdagangan


Diterbitkan: Isnin, 8 Ogos 2016 10:06 PM
Gambar hiasan.

SIBU: Polis Sibu pada Isnin menyelamatkan 10 wanita warga Filipina yang disyaki mangsa pemerdagangan orang dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Hardin di sini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Saiful Bahari Abdullah berkata, siasatan awal mendapati wanita berusia 20 hingga 30 tahun itu memasuki negeri ini dengan menggunakan permit kerja sebagai penghibur namun dieksploitasi untuk kerja tidak bermoral.
Mereka dipercayai sudah berada di bandar ini sejak setahun lalu, katanya ketika dihubungiBernama.
Dalam serbuan pada tengah hari itu, katanya, polis turut menahan seorang lelaki berusia 54 tahun yang bertindak sebagai penjaga permis berkenaan bagi membantu siasatan.
"Kesemua wanita itu kini dalam perlindungan polis," katanya. - Bernama

Ditembak Demi Rakan


Diterbitkan: Selasa, 9 Ogos 2016 10:43 AM

KUALA LUMPUR: Tareem Islah Taraz membahayakan nyawanya sendiri apabila bergegas ke dalam kedai serbaneka di stesen minyak apabila melihat seorang lelaki mengacukan pistol kepada dua rakan-rakannya.

"Saya cuba untuk menghalangnya dari belakang tetapi saya ditembak ketika cuba untuk berbuat demikian.

"Rasa sakit itu memeritkan tetapi saya perlu melakukan sesuatu sebelum rakan-rakan dan pelanggan saya dianiaya.

"Saya gembira dia telah ditangkap. Saya lakukan apa yang difikirkan betul untuk dilakukan," katanya ketika ditemui di katil hospital di Hospital Kuala Lumpur, Isnin.

Drama itu bermula pada petang Ahad apabila seorang lelaki bersenjata meminta wang tunai dari kedua-dua pekerja di sebuah stesen minyak di Jalan Genting Klang, Setapak.

Tareem, 23, yang berada di kawasan pam petrol bergegas ke dalam kedai dan cuba menyerang perompak itu dari belakang.

Pergelutan tercetus hingga menyebabkan tiga das tembakan dilepaskan dan salah satu daripadanya mengenai pinggang kiri Tareem.

Sambil mengakui bahawa dia masih trauma dengan kejadian itu, Tareem berkata: "Saya bimbang mereka akan kembali mencari saya. Tetapi majikan dan kawan-kawan saya telah memberi sokongan."

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohd Roy Suhaimi Sarif berkata, seorang penganggur lelaki berusia 32 tahun telah ditahan beberapa minit selepas kejadian itu dengan bantuan pejalan kaki.

"Dia patah kaki kiri ketika pergelutan itu dan kini menerima rawatan di HKL," katanya pada sidang media, Isnin.

Sindiket Dadah Tempatan Tumpas Dalam Operasi Sehari


Diterbitkan: Selasa, 9 Ogos 2016 1:48 PM
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supt Maidu Abu Bakar (dua, kanan) bersama pegawai polis menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas ketika mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen, Selasa.

GEORGE TOWN: Polis menumpaskan satu sindiket dadah tempatan dengan serbuan ke atas sebuah makmal dadah mini dan menangkap individu yang disyaki dalangnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Superitendan Maidu Abu Bakar berkata, polis merampas 1.3kg heroin, 0.89kg syabu dan beberapa jenis dadah dalam jumlah yang kecil, bernilai RM120,000. 
Beliau berkata polis juga menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 32 hingga 34 tahun, dipercayai rakan sejenayah di dalam tiga operasi itu.
"Kami percaya sindiket ini membekalkan dadah untuk pasaran tempatan dan berdasarkan risikan kami, mereka baru beroperasi selama dua bulan, kata Maidu dalam satu sidang media di sini, Selasa.
Beliau berkata semasa operasi itu, pihaknya menyita sebuan kereta, barang kemas, satu jam berjenama, peralatan memproses dadah dan wang tunai berjumlah RM592,150.
Dalam operasi pertama pada pukul 5.30 petang Ahad lepas di sebuah kawasan perumahan di Tanjung Tokong, polis menyerbu sebuah makmal dadah mini dan memberkas dua suspek bersama heroin, yaba, syabu, kafien, sebotol asid dan peralatan memproses dadah.
Berikutan operasi itu, polis menyerbu sebuah hotel di sekitar George Town pada pukul 8 malam hari yang sama dan menahan suspek ketiga bersama heroin dan syabu. 
Suspek ketiga kemudiannya membawa polis ke lokasi ketiga dan menemui dadah jenis ketamin dan syabu pada hari yang sama.
Ketiga-tiga suspek didapati positif dadah ketika ditangkap dan ada yang mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, katanya.
Kesemua mereka direman shingga 14 Ogos ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-- Bernama

Kanak-Kanak Perempuan 11 Tahun Didakwa Nyaris Diculik


Diterbitkan: Selasa, 9 Ogos 2016 2:22 PM
Nor Asilawani Mohd Sehut (kiri) dan anak perempuannya berusia 11 tahun menunjukkan laporan polis ketika ditemuramah wartawan hari ini. selepas mendakwa anak perempuannya dikenali sebagai Zara nyaris diculik dua lelaki yang menaiki van hitam ketika berada di kawasan letak kereta bangunan Wisma Persekutuan di Anak Bukit, 7.27 pagi Isnin.

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun trauma selepas mendakwa nyaris diculik dua lelaki yang menaiki sebuah van di kawasan letak kereta bangunan Wisma Persekutuan di Anak Bukit, di sini pada Isnin.
Ibu mangsa, Nor Asilawani Mohd Sehut, 43, berkata kejadian pada pukul 7.27 pagi itu berlaku sewaktu anaknya sedang menunggunya di luar kereta ketika beliau pergi mengetik kad perakam waktu di pejabatnya.
Beliau berkata menjadi rutin hariannya datang ke pejabat terlebih dahulu sebelum menghantar anaknya ke sekolah berdekatan.
"Selepas saya selesai mengetik kad perakam waktu, saya terkejut melihat anak saya berlari ke arah saya dalam keadaan takut dan seperti dikejar seseorang," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Menurut Nor Asilawani, anaknya memberitahu ada dua lelaki yang menaiki van berwarna hitam cuba menculiknya.
Katanya beliau kemudian membuat laporan di Balai Polis Anak Bukit pada pukul 9.19 pagi semalam.
Sementara itu, kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Zara berkata pemandu van tersebut menanyakan nama dan memanggilnya untuk memberikan coklat.
"Tetapi saya tidak ambil kerana ibu pesan jangan ambil makanan daripada orang yang tidak dikenali," katanya sambil menambah lelaki berkenaan bercakap dalam loghat Kedah.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
"Berdasarkan fakta kes, kita dapati tiada unsur culik atau melarikan orang kerana ia cuma tanggapan pengadu yang merasakan dia hampir diculik," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, katanya polis akan meningkatkan rondaan di kawasan tersebut bagi mengelak sebarang kejadian jenayah.

Jaga dua isteri didakwa menyamar Sultan Melaka

Oleh SHARKAWI LONDING


Sabirin (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam atas pertuduhan menyamar sebagai Sultan Melaka bagi memperdaya seorang mangsa demi mendapatkan ‘set persalinan Diraja Melaka’ semalam.


JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan didakwa Mahkamah Majistret di sini semalam atas tiga tuduhan kerana menya­mar sebagai Sultan Melaka untuk memperdayakan seorang mangsa sebanyak RM2,100 bagi mendapatkan ‘set persalinan Diraja Melaka’ pada Mei lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Sabirin Yusof, 48, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan serentak terhadapnya di hadapan Majistret Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias.
Mengikut kesemua pertuduhan, Sabirin didakwa memperdayakan Poniran Sumardi, 55, dengan mengaku sebagai Sultan Melaka bagi menolong mangsa mendapatkan persalinan Diraja Melaka sehingga mendorong mangsa menyerahkan sebanyak RM2,100.
Perbuatan tersebut dilakukannya di Jalan Persona 12, Taman Pelangi Indah di sini antara awal hingga akhir bulan Mei 2016.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Ariffin menawarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam Ahmad Yusri Ahmad Fuad yang menyebut kes bagi pihak peguam Nordin Hussin yang mewakili Sabirin, memohon mahkamah mengurangkan jaminan itu memandang­kan tertuduh mempunyai pendapatan kecil sebagai pengawal keselamatan dan menyara dua isteri serta 16 anak.
Majistret Mohd. Azlan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 4 September ini tarikh sebutan untuk serahan dokumen.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz4Gp9VpWE2 
Hakcipta terpelihara 

Dua blok hotel musnah terbakar


9 OGOS 2016
Dua blok hotel musnah terbakar

Dua blok hotel musnah terbakar Dua blok bangunan sebuah hotel yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) musnah dalam satu kebakaran petang tadi. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Dua blok bangunan sebuah hotel yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang musnah dalam kebakaran petang tadi.

Dalam kejadian itu, dua daripada 20 blok bangunan hotel yang menempatkan bahagian dapur, restoran, lobi, bahagian pentadbiran dan stor musnah.

Bernama difahamkan kebakaran berpunca dari bahagian dapur dan lounge hotel yang apinya merebak pantas berikutan struktur bangunan dan angin yang kuat.

Asap tebal dan olak haba dikatakan turut menyukarkan kerja-kerja memadam api.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Zamri Che Din berkata pihaknya yang menerima panggilan pada 3.48 petang menghantar antara lain empat jentera menyelamat, tiga jentera tangki air dan sebuah jentera membawa tangga.

Kebakaran berjaya dikawal dari merebak ke blok lain pada 6.12 petang dengan  kerja pemadaman akhir sedang dijalankan, katanya.

Beliau berkata punca kebakaran masih dalam siasatan. - Bernama

Polis lancar perang premis judi

Oleh TAUFIK SALIMIN


Sebahagian mesin judi haram yang dirampas dalam serbuan di kawasan di sekitar Kuching, Sarawak baru baru ini.


KUCHING – Polis negeri ini melancarkan perang habis-habisan ke atas premis yang menjalankan kegiatan perjudian haram bagi memastikan Sarawak bebas daripada gejala tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, setakat ini, pihaknya telah merampas 570 buah mesin judi bernilai RM1 juta melalui 320 serbuan yang dilakukan di seluruh negeri bermula 1 Januari hingga 31 Julai lalu.
Katanya, selain mesin judi, pihaknya juga turut merampas wang pertaruhan berjumlah RM214,133 selain menahan 404 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan tersebut.
“Kita telah mempertingkatkan operasi membanteras dan berjaya menahan 15 individu berusia antara 18 hingga 42 tahun dalam 11 serbuan yang bermula 1 Ogos hingga hari ini (semalam).
“Siasatan mendapati, ada pengusaha premis menggunakan taktik bermain permainan snuker sebelum pelanggan membuat pertaruhan loteri dan berniaga peralatan telefon sebagai modus operandi bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz4Gp9CWC11 
Hakcipta terpelihara 

Kerbau pun diseludup masuk



Anggota PPM mengawasi sebahagian kerbau seludup yang dirampas di Kampung Pisau Raut, Kuala Jambu, Tumpat semalam.


TUMPAT – Bukan sahaja dadah diseludup ke negara ini, malah kerbau pun cuba dibawa masuk.
Bagaimanapun, cubaan satu sindiket menyeludup masuk 20 ekor kerbau bernilai RM100,000 ke Malaysia dari Thailand berjaya digagalkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dalam satu serbuan di Kampung Pisau Raut, Kuala Jambu di sini semalam.
Serbuan yang dilakukan pada pukul 3 pagi itu hasil daripada maklumat dan risikan yang dijalankan oleh anggota Unit Rondaan Marin PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.
Pegawai Pemerintahnya, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd. Rahman berkata, setelah melakukan intipan hampir sejam setengah,­ anggotanya yang menggunakan teropong khas ternampak beberapa lelaki sedang menarik beberapa kerbau dari sebelah jalan raya Kampung Derdap menghala ke kawasan bendang.
“Sebaik tiba di kawasan Kampung Pisau Raut, sekumpulan lelaki terbabit kemudian­ menambat kerbau-kerbau berkenaan di kawasan semak berhampiran.
“Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, kesemua lelaki terbabit terus melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dekat sini semalam.
Ahmad Amri memberitahu, pemeriksaan lanjut di kawasan berkenaan membawa kepada penemuan 20 ekor kerbau yang ditinggalkan.
“Kesemua kerbau itu kemudian dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Difahamkan, ternakan yang diseludup itu kebiasaan akan dijual di pasaran gelap.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz4Gp97bOxS 
Hakcipta terpelihara 

Kempen ‘dedah’ Duterte berhasil



DELA ROSA


MANILA – Berpuluh-puluh ahli politik dan anggota polis Filipina menyerah diri untuk siasatan semalam selepas mereka dituduh terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah oleh Presiden Rodrigo Duterte.
Lebih 50 datuk bandar, pegawai tempatan dan polis hadir di ibu-ibu pejabat polis bagi membersihkan nama mereka.
Ketua Polis Nasional, Ronald Dela Rosa berkata, kempen ‘dedah dan malukan’ oleh Duterte itu akan mempercepatkan proses membersihkan Filipina daripada najis dadah.
“Ramai yang marah kerana nama mereka disebut oleh Pre­siden,” katanya selepas menemui pegawai-pegawai berkenaan.
“Ini bukan pengakhiran dan kita memerlukan kesedaran orang ramai supaya perang menentang dadah ini dapat terus diutamakan dan orang ramai akan bekerjasama.
“Peratusan kemenangan kita kini semakin meningkat,” tambah Dela Rosa.
Beliau mengecam anggota dan pegawai polis yang berada dalam senarai Duterte itu.
“Kamu semua anak haram! Kamu berada dalam perkhidmatan polis, kita sepatutnya menjadi pihak yang menyelesaikan masalah dadah. Namun, kita pula menjadi sebahagian daripada masalah ini. Adakah kamu semua gembira dengan apa yang berlaku?” soal Dela Rosa.
“Sekiranya saya bersara sekali pun, saya akan memburu kamu semua, anak haram!” tambahnya.
Duterte kelmarin menamakan lapan hakim, lebih 50 datuk bandar dan bekas datuk bandar, sebilangan timbalan datuk bandar, gabenor dan ahli kongres di samping 95 anggota dan pegawai polis, askar serta pengawal penjara yang didakwa mempunyai kaitan dengan kegiatan dadah.
Beliau mengarahkan mereka yang berada dalam senarai itu supaya menyerah diri dalam tempoh 24 jam atau berdepan risiko dibu­ru oleh seluruh anggota tentera dan polis Filipina. – Dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz4Gp8yqS8h 
Hakcipta terpelihara 

349 orang disaman kerana main Pokemon Go semasa memandu di Taiwan


EPA - SEBUAH telefon pintar memaparkan permainan Pokemon Go di Taipei, Taiwan pada Sabtu lalu.


TAIPEI – Hampir 350 pemandu di Taiwan disaman kerana mereka bermain permainan realiti maya, Pokemon Go menggunakan telefon pintar ketika memandu.
Sejumlah 349 saman itu dikeluarkan sejak Pokemon Go dilancarkan di Taiwan pada Sabtu lepas dengan majoriti pesalah merupakan penunggang motosikal, demikian menurut Agensi Polis Nasional.
Pemandu kenderaan berdepan saman NT$3,000 (RM383) jika ditangkap menggunakan telefon bimbit semasa memandu, manakala saman bagi penunggang motosikal pula ialah NT$1,000 (RM127)
Dalam pada itu, akhbar Apple Daily melaporkan, seorang pemuda berumur 20 tahun di New Taipei City mengalami retak lutut selepas terjatuh dari motosikalnya pada Sabtu lepas gara-gara leka bermain Pokemon Go.
Di Muzium Istana Kebangsaan di Taipei pula, pihak berkuasa melarang pelawat bermain Pokemon Go di dalam dewan pamerannya yang menempatkan artifak berharga berusia sehingga 7,000 tahun bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Walaupun Pokemon dipuji kerana menggalakkan orang ramai menjadi lebih aktif, pihak berkuasa Taiwan memberi amaran kepada pemain supaya sentiasa berwaspada.
“Tangkap makhluk yang jarang ditemui ini tetapi janganlah sampai terlibat dalam kemala­ngan,” kata Perdana Menteri Lin Chuan di laman Facebook Kabinet Taiwan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz4Gp8l4zAE 
Hakcipta terpelihara 

Serangan bom api cederakan 15 orang termasuk bayi di Tokyo


TOKYO – Seramai 15 orang termasuk seorang bayi pe­rempuan berumur setahun cedera dalam serangan bom api di sebuah festival perarakan di Tokyo, kata beberapa pegawai semalam.
Pihak polis dan bomba berkata, beberapa buah bom api dilontarkan dari sebuah bangunan apartmen berdekatan apabila perarakan itu melintasi sebuah kejiranan sunyi petang kelmarin.
“Anggota-anggota bomba kemudian menemui seorang lelaki berusia dalam lingkungan 60-an menggantung dirinya di dalam apartmen di mana bom petrol ini dilontar,” kata pihak berkuasa.
Seorang jiran lelaki itu memberitahu stesen televisyen tempatan, Fuji TV bahawa dia murung selepas kehilangan isterinya pada tahun lalu. Lelaki itu juga berkata, bunyi bising daripada perarakan tersebut amat mengganggunya.
Menurut media tempatan, bom api itu dibuat daripada botol kaca yang dilekatkan dengan sebuah balang gas.
“Kebanyakan mangsa melecur tetapi keadaan mereka tidak kritikal,” kata seorang pegawai bomba.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4Gp8WAgax 
Hakcipta terpelihara