Search This Blog

Thursday, August 4, 2016

Gigitan tikus akibat selinder gas meletup, bakar kediaman penduduk


terbakar

Keadaan dapur sebuah rumah panjang yang terbakar akibat letupan tong gas di Rumah Panjang Dius, di sini, hari ini. - UTUSAN
SARIKEI 2 Ogos - Sebuah keluarga yang tinggal di Rumah Panjang Dius, Batu 17, Jalan JKD Julau, Bintangor, di sini cemas apabila tong gas yang digunakan untuk memasak tiba-tiba meletup, hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi itu turut mencemaskan empat lagi keluarga lain yang mendiami rumah panjang lima pintu tersebut, manakala seorang mangsa dilaporkan melecur kerana cuba memadam api daripada merebak membakar kediaman berkenaan.
Jurucakap bomba berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor diketuai oleh Herman Basa bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 7.06 pagi.
“Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati berlaku kebakaran melibatkan tong gas memasak yang bocor, manakala 15 peratus dapur kediaman mangsa turut terbakar.
“Seorang lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pelaut didapati cedera melecur kerana cuba memadam api daripada merebak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ujar jurucakap itu, siasatan mendapati tong gas berkenaan meletup semasa pemilik rumah menghidupkan api untuk memasak.
Katanya, pemilik rumah tidak menyedari terdapat kebocoran gas daripada silinder akibat gigitan tikus pada saluran getah yang menyambungkan tong gas dengan dapur memasak.
Tambahnya, sebaik sahaja cuba menghidupkan api, berlaku letupan daripada silinder gas sebelum api merebak membakar sebahagian ruang di dapur kediaman berkenaan.
“Tindakan pantas pemilik rumah memadamkan api berjaya menyelamatkan kediaman terbabit dan empat lagi rumah lain daripada musnah terbakar,” katanya. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/gigitan-tikus-akibat-selinder-gas-meletup-bakar-kediaman-penduduk-1.365732#sthash.uXkeX9dA.dpuf

Rumah panjang hangus : 130 penduduk hilang tempat tinggal


terbakar

Beberapa orang penduduk Rumah Panjang Charles Egat di Telok Telalo, Pulau Kerto sedang cuba menyelamatkan barangan mereka sewaktu kebakaran melanda rumah tersebut hari ini. - GAMBAR IHSAN BOMBA
SIBU 3 Ogos - Seramai 130 penduduk yang tinggal di Rumah Panjang Charles Egat, Telok Telalo, Pulau Kerto, di sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah terbakar hari ini.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, kebakaran berlaku kira-kira pukul 2.15 petang itu telah memusnahkan keseluruhan rumah panjang 14 pintu berkenaan.
Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu, dibantu sebuah jentera dari BBP Sungai Merah dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 2.24 petang.
“Tiba di lokasi kejadian yang terletak 35 kilometer dari balai pada pukul 3.05 petang, bomba dapati sederet rumah panjang 14 pintu yang dibina daripada kayu telah musnah keseluruhannya.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.49 petang dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Farhan Sufyan, tragedi itu menyebabkan 130 penghuni hilang tempat tinggal manakala jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/rumah-panjang-hangus-130-penduduk-hilang-tempat-tinggal-1.366151#sthash.CYOD197E.dpuf

Suri rumah cemas diacukan parang


NUR AZMINA JAMALUDIN menunjukkan pintu jeriji yang dipotong penjenayah sebelum mengumpil pintu dapur

NUR AZMINA JAMALUDIN menunjukkan pintu jeriji yang dipotong penjenayah sebelum mengumpil pintu dapur rumahnya di Taman Gau Makmur, Temerloh, Pahang, semalam. –Abdul Rashid Abdul Rahman
TEMERLOH 2 Ogos – Seorang suri rumah dan keluarganya kerugian lebih RM20,000 selepas barang kemas, wang tunai RM800 serta empat telefon bimbit disamun dalam kejadian pecah rumah di Taman Gau Makmur, di sini awal pagi ini.
Ketika kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, Rahizah Ramli, 51, tidur di bahagian ruang tamu manakala suami­nya, Jamaludin Alias, 55, dan dua anaknya tidur di dalam bilik.
Lebih mencemaskan semasa kejadian mangsa telah diacukan parang di leher oleh tiga lelaki bertopeng yang masuk ke rumahnya selepas memotong dan mengumpil pintu dapur.
“Pada malam itu saya memang tidak dapat tidur dan keluar ke ruang tamu sebelum terlelap. Namun apabila tersedar saya terkejut dan menjerit apabila diacukan senjata di leher sebelum mereka mengacukan parang dan meminta saya untuk bekerjasama.
“Saya hanya memikirkan keselamatan kedua-dua anak gadis dan juga suami yang berada di dalam bilik dengan menyerahkan barang kemas dan wang yang ada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Menurut Rahizah, meskipun berada di ruang tamu dia tidak mendengar apa-apa bunyi termasuk ketika penjenayah berke­naan mengumpil pintu dapur.
Ujarnya, dalam kejadian tersebut penjenayah berkenaan mengikat tangannya sebelum membawanya masuk ke dalam bilik dan menyelongkar mencari barangan berharga.
Sementara itu, anak mangsa, Nur Azmina Jamaludin, 22, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata, kejadian yang berlaku sekelip mata itu menyebabkan dia dan adiknya, berusia 12 tahun masih berasa trauma.
Katanya, semasa kejadian dia nyenyak tidur di dalam bilik bersama adiknya sebelum dikejutkan oleh ibunya yang datang bersama lelaki bertopeng.
“Saya hanya tersedar selepas dikejutkan dan hanya diam selepas diarahkan berbuat demikian oleh lelaki berkenaan dan juga ibu sebelum melihat mereka menggeledah bilik,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/suri-rumah-cemas-diacukan-parang-1.365843#sthash.7pZIi2t2.dpuf

African Scam : Polis tahan sembilan individu, termasuk lapan warga Nigeria


twitter

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan warga Nigeria dan seorang warga tempatan kerana disyaki terlibat kegiatan 'African Scam' yang mengakibatkan kerugian RM7.2 juta di Cyberjaya.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam catatan Twitter beliau hari ini yang menyebut tangkapan itu melibatkan dua kumpulan.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK )Bukit Aman dan beliau mengucapkan syabas kepada jabatan berkenaan.
"Syabas JSJK @PDRMsia Bukit Aman tangkap sembilan orang (lapan warga Nigeria) bongkar dua kumpulan African Scam di Cyberjaya kerugian mangsa cecah RM7.2 juta. #GoPDRMGo," katanya. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/african-scam-polis-tahan-sembilan-individu-termasuk-lapan-warga-nigeria-1.366105#sthash.PCAoJ5vf.dpuf

Dua sindiket Love Scam tumpas, 9 ditahan


Usahawan warga AS dan Australia rugi RM7.2 juta

SEMBILAN suspek terbabit dengan sindiket Love Scam yang ditangkap.

SEMBILAN suspek terbabit dengan sindiket Love Scam yang ditangkap.
KUALA LUMPUR 3 Ogos - Angkara cinta siber, seorang lelaki warga Amerika Syarikat dan seorang wanita warga Australia kerugian RM7.2 juta selepas diperdaya sindiket penipuan Love scam yang beroperasi di negara ini.
Kedua-dua mangsa yang berusia 60 tahun itu masing-masing kerugian RM7.1 juta dan RM800,000 melalui 10 transaksi selepas terpedaya dengan ‘janji manis’ kekasih yang dikenali mereka di laman sosial Facebook sejak tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, bertindak atas maklumat daripada pihak Polis Persekutuan Australia dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dua serbuan berasingan di sekitar Cyberjaya, Selangor dan menahan lapan individu yang terlibat dengan penipuan itu pada awal pagi ini.
Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita warga Afrika serta seorang wanita tempatan.
“Turut dirampas ialah 16 buah telefon bimbit, kad bank (8), komputer riba (4), pasport (2) dan komputer (1).
“Dengan penahan mereka ini, kita telah berjaya menumpaskan dua sindiket yang menjalankan kegiatan ini dan selesaikan empat kes,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Acryl Sani memberitahu, kesemua suspek berusia antara 24 dan 40 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitter milik­nya mengucapkan syabas ber­ikutan penahanan itu.
“Syabas JSJK @PDRMsia Bukit Aman tangkap sembilan orang iaitu lapan warga Nigeria. Bongkar dua kumpulan African Scam di Cyberjaya kerugian mangsa cecah RM7.2 juta, #GoPDRMGo,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-sindiket-love-scam-tumpas-9-ditahan-1.366335#sthash.d1UalTEK.dpuf

Hidup macam raja di penjara




PAVAO hidup mewah dalam penjara di Paraguay.

BILIK kurungannya dilengkapi televisyen besar.

Agensi
Asuncion: Polis Paraguay yang menyerbu bilik kurungan seorang ketua dadah terkejut mendapati dia hidup seperti ‘raja’ dalam penjara berkenaan.

Bilik kurungan tiga bilik itu dilengkapi perpustakaan, tempat bersantai, televisyen besar, dapur, bilik air besar dan meja mesyuarat.

Koleksi buku dan cakera DVD, termasuk satu mengenai raja dadah, Pablos Escobar yang juga pernah hidup mewah dalam penjara, turut ditemui.

Bilik kurungan itu yang dibina khusus untuk ketua dadah warga Brazil, Jrvis Chimenes Pavao, sudah dirobohkan, kata polis.

Polis melancarkan serbuan itu secara mengejut selepas mereka percaya Pavao merancang untuk melarikan diri dengan menggunakan bahan letupan untuk membuat lubang pada tembok penjara.

Pihak berkuasa Paraguay melancarkan siasatan untuk mengesan pihak yang membenarkan bilik kurungan VIP mewah itu dibina untuk membolehkan Pavao hidup mewah.

Lelaki itu kini dipindahkan jauh dari penjara Tacumbu.

Dia dijadualkan menamatkan hukuman penjaranya atas tuduhan penggubahan wang tahun depan sebelum diusir ke Brazil.

Banduan memberitahu pihak berkuasa, unit mewah itu bukan murah. Tahanan yang mahu duduk di situ perlu membayar wang pendahuluan RM20,000 dan sewa seminggu RM1,600.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 7:51 AM

Lebih 30 universiti palsu ditutup di UK UNITED KINGDOM

IA RABU, 3 OGOS 2016 @ 1:10 PM

: Lebih daripada 30 universiti palsu ditutup di sini sejak setahun lalu berikutan kebimbangan penjualan ijazah tidak sah yang semakin meningkat. Menurut kajian yang diterbitkan semalam, Daftar Data Ijazah Pendidikan Tinggi (HEDD), pertubuhan yang memantau ijazah universiti palsu di UK, mengenal pasti sejumlah 62 institusi palsu pada 2015.

Sebanyak 32 daripada universiti palsu itu ditutup oleh penguat kuasa undang-undang dan agensi standard perdagangan. Menurut Pengarah HEDD, Jayne Rowley, daripada 32 institusi palsu yang ditutup, 25 berpangkalan di luar negara.

 "Semua yang ditutup memang benar-benar palsu," katanya yang menggambarkan universiti itu sebagai "laman web yang benar-benar palsu yang berbicara mengenai kampus pelajar sedangkan hakikatnya tiada apapun di situ." Menurut Rowley, sejak 2011, 220 universiti palsu UK dikenal pasti dan 80 peratus daripadanya tidak lagi aktif. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/179504

1 maut, 12 cedera nahas treler, bas ekspres

JENAYAH RABU, 3 OGOS 2016 @ 11:01 AM

 Oleh Mohd Roji Kawi mdroji@bh.com.my

KEADAAN treler dan bas ekspres yang kemalangan di Jalan Sibu-Selangau pagi tadi. SIBU: Seorang lelaki maut apabila treler dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Jalan Sibu-Selangau, di sini awal pagi tadi. Nahas jam 4 pagi itu turut menyebabkan pemandu bas cedera, namun 11 penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan. Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.04 pagi sebelum menghantar sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu serta Sungai Merah. Tempat kejadian terletak 76 kilometer dari balai bomba di sini. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat dengan punca nahas. Setakat ini identiti mangsa masih belum diperoleh.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/179472

Polis musnahkan 11,525 komputer judi dalam talian

RABU, 3 OGOS 2016 @ 6:09 PM

Oleh Nor Azizah Mokhtar bhnews@bh.com.my

KETUA Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur memusnahkan 11,525 set komputer yang dirampas menerusi Ops Dadu dari premis perjudian dalam talian di sekitar ibu negara sepanjang dua tahun lalu. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata rampasan peralatan dianggarkan bernilai RM22 juta itu dibuat menerusi 814 serbuan dalam usaha membendung kegiatan berkenaan. "Sepanjang tahun ini, iaitu sehingga 31 Julai lalu sahaja, sebanyak 1,134 serbuan sudah dibuat di semua daerah dengan 1,119 serbuan berjaya menghasilkan tangkapan dan rampasan. "Bagi tempoh itu juga, sebanyak 2,531 tangkapan dibuat membabitkan peniaga, penjaga premis dan pemain yang kebetulan ada dalam premis judi yang diserbu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan proses memusnahkan barang kes di Balai Polis Bukit Jalil, di sini hari ini. Katanya, wang tunai sebanyak RM206,378 turut dirampas sepanjang tempoh itu. Beliau berkata, Polis Kuala Lumpur sentiasa menggiatkan usaha dengan melaksanakan Ops Dadu dalam mengatasi jenayah perjudian dalam talian yang menyumbang kepada masalah sosial.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/179619

Indonesia akan tenggelamkan 71 bot asing



AFP - GAMBAR fail bertarikh 5 April lalu menunjukkan sebuah bot nelayan diletupkan oleh pihak berkuasa Indonesia di Kuala Langsa, Aceh.


JAKARTA – Indonesia akan menenggelamkan 71 bot asing yang dirampas pada hari kemerdekaannya bulan ini, kata seorang menteri kelmarin.
Pasukan tentera laut Indonesia merampas sebuah bot nelayan China sekitar di perairan Kepulauan Natuna pada Jun 2016.
Indonesia yang merupakan negara kepulauan terbesar di dunia, cuba menyekat kapal dan bot nelayan asing daripada menangkap ikan tanpa permit di wilayahnya, manakala Presiden Joko Widodo mendakwa, aktiviti perikanan haram mengakibatkan Jakarta kerugian berbilion-bilion dolar pada setiap tahun.
Sehingga kini, sebanyak 176 bot asing yang dirampas kerana menangkap ikan secara haram telah ditenggelamkan, manakala krunya ditahan. Sebahagian bot nelayan itu turut diletupkan secara terbuka.
Menteri Perikanan, Susi Pudjiastuti yang menge­tuai kempen itu berkata, sebanyak 71 bot asing yang dirampas kerana menangkap ikan secara haram akan ditenggelamkan pada 17 Ogos ini sempena Hari Kemerdekaan Indonesia Ke-71.
Beliau berkata, semua bot itu akan ditenggelamkan di pelbagai lokasi di Indonesia tanpa menyatakan negara asal bot-bot itu.
Sebelum ini, sebilangan bot dari negara-negara termasuk China, Thailand, Vietnam, Filipina dan Malaysia telah ditenggelamkan.
Semua bot yang akan ditenggelamkan lewat bulan ini tidak akan diletupkan.
“Ia ekoran aduan pertubuhan-pertubuhan alam sekitar bahawa tindakan meletupkan bot-bot ini akan memberi kesan buruk kepada persekitaran marin,” kata Susi. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4GKhbl3Bm 
Hakcipta terpelihara 

Dapat komisen hampir RM1 juta

Oleh AQMAR ALLADAD

CHIN WAH


KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini semalam diberitahu bahawa bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (JSJKL), Datuk Ku Chin Wah menerima komisen berjumlah RM931,500 dalam urusan jual beli dua hartanah di Bukit Bintang.
Bekas Timbalan Ke­tua Polis Kuala Lumpur, Datuk Khoo Ah See, 73, berkata, Chin Wah menerima wang itu kerana membantunya mendapatkan individu yang mahu menjual hartanah tersebut iaitu sebuah bangunan kosong dan hotel kepada ahli perniagaan dalam bidang makanan dan minuman, Datuk Seri Kok Kuan Hwa.
“Pada tahun 2009, Kuan Hwa hubungi saya sama ada kenal siapa yang mahu jual bangunan di Jalan Bukit Bintang sebab dia hendak membuka perniagaan di sana. Saya beritahu saya akan cuba tengok siapa yang hendak jual.
“Salah seorang yang saya tanya ialah Chin Wah. Pada hemat saya, dia seorang pegawai yang masih berkhidmat mungkin dia kenal orang. Kira-kira tiga bulan selepas itu, Chin Wah meng­hubungi saya, bagi nombor telefon seorang lelaki India bahawa ada sebuah bangunan mahu dijual di Jalan Bukit Bintang,” kata Ah See yang juga saksi pendakwaan ketujuh dalam perbicaraan hari kelima kes tersebut.
Dalam sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed, Ah See turut memberitahu, bangunan kosong yang ingin dijadikan Hotel Izumi bernilai RM5.5 juta manakala sebuah hotel bernama Fortuna pula bernilai RM98 juta.
Jelas Ah See, Kuan Hwa memberitahunya akan memberinya satu peratus daripada harga jualan bangunan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0804&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz4GKgAaLdW 
Hakcipta terpelihara 

Dua budak rompak, rogol wanita



Dua remaja (menutup muka) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam atas tuduhan merompak dan merogol seorang wanita, bulan lalu.


KOTA BHARU – Dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan merompak dan merogol seorang wanita berusia 27 tahun di Bachok dekat sini, Julai lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Isa Mohamed.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua remaja terbabit bersama dua orang lagi yang telah ditangkap untuk disoal siasat serta seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang wanita di Bachok pada pukul 4 pagi, 15 Julai lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0804&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz4GKfcRrs5 
Hakcipta terpelihara 

Bahana makan suap RM1.5 juta


KHAIRUL IZWAN


IPOH - Seorang bekas pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan berkaitan rasuah membabitkan sogokan berjumlah lebih RM1.5 juta.
Hakim S. Indra Nehru turut memerintahkan harta tertuduh, Leftenan Komander Khairul Izwan Mohd. Khir, 38, yang pernah bertugas sebagai Pegawai Kawalan Material 2 di Depot Bekalan Armada TLDM di Lumut bernilai lebih RM1.6 juta dilucutkan hak.
Indra Nehru juga me­ngarahkan bapa kepada tiga anak itu menjalani hukuman penjara selama 12 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0804&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz4GKfPygT0 
Hakcipta terpelihara 

Guru Berusia 50 Tahun Ditahan Cabul Tiga Murid


Diterbitkan: Khamis, 4 Ogos 2016 10:41 AM
Gambar hiasan.

BESUT: Seorang guru berusia 50 tahun di sebuah sekolah di Jerteh, ditahan polis setelah ibu bapa pelajar membuat aduan anak mereka dicabul Isnin lalu. 
Kesemua ibu bapa kepada tiga pelajar berumur antara 9 dan 10 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Jerteh pada Selasa lepas setelah anak mereka mengadu tentang perbuatan suspek itu.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi ketika mengesahkan kejadian itu berkata pada awalnya kesemua ibu bapa menemui guru besar sekolah berkenaan untuk membuat aduan namun akhirnya bersepakat membuat laporan polis.
"Polis menahan suspek di sekolahnya kira-kira pukul 3 petang dan berdasarkan temu bual awal, kesemua mangsa memberitahu suspek telah melakukan perbuatan kurang sopan itu terhadap mereka semasa berada di Makmal Komputer sekolah itun," kata Mohd Zamri kepada pemberita di sini, Khamis.
Guru terbabit didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan negatif dadah.
Beliau berkata, kesemua mangsa akan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan, untuk pemeriksaan lanjut. - Bernama

Peniaga Ditemui Mati Dengan Kesan Tikaman


Diterbitkan: Khamis, 4 Ogos 2016 5:58 PM

GEORGE TOWN: Seorang ahli perniagaan dalam talian ditemui mati di unit apartmennya di Pinang Court 2, Lebuh Sungai Pinang 1.

Kesan tikaman dikatakan ditemui di bahagian badan mangsa yang dikenal pasti sebagai Norlisham Nordin, 34, dalam kejadian pukul 2 petang Khamis.

Difahamkan, bapanya mahu menghantar makanan di rumahnya tetapi tiada siapa yang membuka pintu.

Mangsa dikatakan tinggal bersama beberapa rakan dan juga menjadi pensyarah di sebuah kolej swasta di sini.

Serangan Pisau: Lelaki Ditahan Kerana Disyaki Membunuh


Diterbitkan: Khamis, 4 Ogos 2016 7:13 PM

-fotoAFP

LONDON: Lelaki yang ditahan di tempat kejadian serangan pisau di London ditangkap kerana disyaki membunuh, kata polis, Khamis.
"Kami terus memberi tumpuan terhadap siasatan kami ke atas kesihatan mental sambil masih berfikiran terbuka mengenai motifnya," kata polis London dalam satu kenyataan.

Seorang wanita meninggal dunia dan dua wanita serta tiga lelaki cedera dalam serangan lewat malam Rabu di kawasan Russell Square, pusat bandar London, di sebuah hotel pelancongan berhampiran dengan Muzium British.

Tiga daripada lima yang cedera telah dibenarkan keluar dari hospital.

"Seorang lelaki telah ditangkap kerana disyaki membunuh," kata polis London.

"Pistol Taser (pistol renjatan elektrik) telah digunakan semasa penangkapan suspek itu, seorang lelaki berusia 19 tahun."

Polis, dalam Twitter kemudian berkata bahawa suspek telah meninggalkan hospital, di mana dia telah menerima rawatan.

Dia kini berada dalam jagaan di sebuah balai polis di selatan London, kata satu kenyataan.

Suspek hanya akan dinamakan oleh polis apabila mereka telah didakwa melakukan jenayah.

"Ini adalah satu kejadian tragis menyebabkan kematian seorang wanita dan lima yang lain cedera," kata Penolong Pesuruhjaya Polis Mark Rowley.

"Tanda-tanda awal menunjukkan bahawa kesihatan mental merupakan faktor dalam serangan ngeri ini. Walau bagaimanapun kita masih berfikiran terbuka mengenai motifnya.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, penduduk di London akan bangun pada pagi ini dan melihat ramai anggota dan pegawai,  termasuk pegawai bersenjata di jalanraya.

"Kami menggesa orang ramai supaya bertenang, peka dan berhati-hati."

Polis Tahan Lelaki Minta Pengikut Bayar Rp2 Juta Untuk Masuk Syurga


Diterbitkan: Khamis, 4 Ogos 2016 9:34 PM
- Gambar hiasan

JAKARTA: Seorang lelaki yang pernah ditangkap kerana mengaku dirinya sebagai 'nabi' di Jawa Barat pada tahun lepas, kini mengulangi kegiatan dakwahnya tetapi dengan ajaran terbaru iaitu mengenakan bayaran Rp2 juta (kira-kira RM600) kepada setiap pengikutnya yang mahu masuk syurga.

Lelaki yang dikenali sebagai Abdul Muhjib itu menjalankan kegiatan dakwahnya di sebuah pondok yang didirikan bersama lima rakannya di kampung Medal Sari di daerah Tegal Waru di Karawang, Jawa Barat.

Kegiatannya terbongkar apabila terdapat penduduk yang tidak berpuas hati dengan ajarannya, membuat laporan polis.
Polis semalam menahan Abdul Muhjib kerana memperdayakan masyarakat kampung  dan dia ditahan di balai polis Karawang untuk siasatan lanjut.

Media dalam talian memetik Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Pangkalan, Kerawang di Jawa Barat, Rahmat Ginanjar sebagai berkata, Abdul Muhjib sebelum ini pernah ditahan polis tetapi dibebaskan kerana berjanji tidak akan meneruskan ajarannya dan bertaubat di hadapan pegawai agama dari Majlis Ulama Indonesia.

Bagaimanapun dia didapati tidak serik untuk menipu dan menggiatkan semula ajaran sesatnya pada awal bulan ini.

Katanya, Abdul Muhjib akan didakwa di bawah Pasal Penistaan Agama yang membawa hukuman penjara dan polis juga masih menyiasat serta mengumpulkan bukti mengenai penipuan yang dilakukannya.