Search This Blog

Wednesday, August 3, 2016

Dua peragut dirempuh pacuan empat roda


03 Ogos 2016 12:59 AM



SEREMBAN 2 Ogos – Tindakan dua lelaki meragut di sebuah restoran dekat Senawang membawa padah apabila motosikal yang dinaiki mereka dirempuh oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.20 petang di Taman Guru itu, kedua-dua suspek cuba me­larikan diri selepas meragut beg ta­ngan salah seorang daripada dua wanita yang sedang makan di restoran tersebut sebelum mereka dirempuh seorang lelaki yang menyaksikan kejadian tersebut.
Pemandu ken­deraan pacuan empat roda itu nekad merempuh motosikal suspek selepas menyaksikan pekerja restoran mengejar mereka.
Kedua-dua suspek terjatuh dari motosikal sebelum ditangkap oleh pekerja restoran dan diserahkan kepada polis.
Kejadian itu kemudiannya viral di laman sosial Facebook apabila gambar insiden berkenaan dimuat naik oleh orang awam.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mu­hamad Zaki Harun berkata, suspek yang berumur 31 dan 32 tahun itu diberkas berhampiran Taman Desa Duranta, 200 meter dari tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati mereka menggunakan motosikal Yamaha LC135 dengan nombor pendaftaran palsu.
“Seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan samun berkumpulan pada 2010 dan mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 8 Ogos untuk disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan,” katanya. 

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-peragut-dirempuh-pacuan-empat-roda-1.365908#sthash.nnrRJPRZ.dpuf

Lelaki Mati Ditetak Ditemui Di Perkarangan Rumah


Diterbitkan: Rabu, 3 Ogos 2016 11:56 AM

IPOH: Mayat seorang lelaki berusia 35 tahun yang mati ditetak ditemui terbaring di perkarangan sebuah rumah berhampiran sebuah sekolah di Pasir Puteh di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa yang hanya dikenali sebagai Raymond, ditemui oleh ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah rendah di Laluan Temenggong di sini kira-kira pukul 7.33 pagi Rabu.

"Lelaki itu, dari Buntong, ditemui terbaring berlumuran darah dengan keretakan di kepala.

"Berdasarkan siasatan awal, barang-barang berharganya seperti telefon bimbit dan dompet itu tidak terusik," katanya kepada pemberita di tempat kejadian jenayah.

Walaupun kesan darah mencadangkan bahawa mangsa telah berlari jauh sebelum sampai ke kawasan rumah, terbabit, Chang Keong tidak mahu membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan.

"Kami sedang menyiasat kes itu sebagai kes bunuh, dan kami akan mencari saksi sekitar kawasan," katanya.

22 Hilang Jambatan Runtuh Di India


Diterbitkan: Rabu, 3 Ogos 2016 2:20 PM

MUMBAI: Sekurang-kurangnya 22 orang hilang selepas dua bas yang dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di barat India dalam kejadian sebuah jambatan runtuh, kata pegawai pada Rabu.
Pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian di selatan Mumbai bagi mencari penumpang yang dihanyutkan arus deras. 
Rakaman televisyen menunjukkan sebuah jambatan besi berkonsepkan zaman kolonial British di sungai Savitri runtuh ketika hujan lebat.
"Seramai 22 orang yang berada di dalam kedua-dua bas hilang selepas jambatan runtuh," kata polis di daerah Raigad, Sanjay Patil kepada AFP.
Jambatan yang merentasi sungai itu menghubungkan laluan lebuh raya utama antara Mumbai dan Goa. - AFP