Search This Blog

Monday, August 1, 2016

Ustaz Rotan Tiga Pelajar Tahfiz Direman Empat Hari


Diterbitkan: Jumaat, 29 Julai 2016 12:27 PM

SUNGAI PETANI: Seorang ustaz ditahan reman bagi membantu siasatan kes tiga pelajar lelaki cedera dirotan di sebuah maahad tahfiz di sini yang menjadi viral di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di Parit Buntar, Perak pada 10.10 malam tadi.
"Lelaki terbabit direman selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.
Beliau berkata polis telah mengambil keterangan daripada dua pelajar terlibat berusia 12 dan 10 tahun, masing-masing berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani dan Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Seorang lagi mangsa bagaimanapun belum dapat dihubungi, katanya.
Md Zukir berkata siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga mangsa dirotan kerana cuba melarikan diri dari maahad tahfiz itu ketika waktu subuh, Isnin lepas. 
Beliau berkata suspek yang merupakan ustaz ganti di maahad tahfiz itu mencari dan menemui pelajar terbabit berhampiran Ibu Pejabat Polis Kuala Muda lalu membawa mereka pulang sebelum dirotan di dalam bilik kuliah di hadapan rakan-rakan lain.
"Akibat kejadian itu, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan lebam pada badan dan luka di kepala," katanya.
Gambar pelajar tahfiz dengan kesan rotan di badan dan kepala menjadi viral di laman sosial apabila dikatakan dipukul seperti penjenayah.-- Bernama

7 pelampau Islam mati pertempuran di Pakistan


AHAD, 31 JULAI 2016 @ 7:01 PM


LAHORE: Tujuh pelampau Islam mati dalam pertempuran di wilayah Punjab ketika polis menyerbu kumpulan suspek yang melancarkan serangan ke atas pos pengawal, kata pegawai hari ini.

Tembakan meletus di antara polis dan 10 orang disyaki militan pada awal pagi ini di sebuah rumah yang menjadi tempat perlindungan kumpulan berkenaan.

Polis berkata, tujuh orang mati dalam pertempuran terbabit.

"Apabila tembakan berhenti, tujuh orang pengganas didapati mati dan selebihnya melarikan diri dalam kegelapan malam," kata polis dalam kenyataan.


Kejadian itu berlaku di tengah wilayah Punjab kira-kira 56 kilometer di barat Lahore.

Polis berkata, pengganas dari cawangan Taliban di Pakistan, Tehreek-e-Taliban dan kumpulan yang diharamkan Lashkar-e-Jhangvi (LeJ).

Mereka didakwa merancang serangan ke atas pos keselamatan dan agensi penguatkuasa undang-undang di Punjab. - AFP

Ibu, anak dakwa dirogol beramai-ramai

AHAD, 31 JULAI 2016 @ 8:21 PM


NEW DELHI: Seorang ibu dan anak perempuannya menjadi mangsa rogol beramai-ramai enam lelaki di kawasan padang, di pinggir New Delhi, lapor polis, hari ini.

Ketua Polis New Delhi, Daljeet Chaudhary berkata, kenderaan dua beranak itu ditahan sekumpulan lelaki di kawasan lebuh raya sebelum mereka diheret keluar dan dirogol.

Chaudhary berkata, selepas dirogol mereka kemudian di ikat dengan tali dan semua barangan milik mereka dirompak ketika melakukan serangan itu.

Susulan itu, polis menahan 16 orang suspek dan masih mencari suspek utama kejadian yang berlaku di negeri Uttar Pradesh, kira-kira 65 kilometer ke selatan New Delhi.

"Suspek utama sudah dikenal pasti. Kami berusaha menangkap secepat mungkin untuk didakwa dan dipenjarakan mengikut undang-undang yang ketat," kata Chaudhary.

India adalah antara negara yang mengenakan hukuman berat terhadap perogol dan kejadian dua beranak itu adalah kes terbaharu membabitkan serangan seksual ganas di negara yang kerap berlaku kes serangan seksual. - AFP

Wanita parah dilanggar kereta dipandu penagih dadah


Paya Terubong

PULAU PINANG 1 Ogos - Empat penunggang motosikal serta seorang pembonceng cedera apabila dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh dadah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 malam tadi di Jalan Jalan Paya Terubong di sini, lelaki berkenaan yang memandu kereta Proton Iswara Aeroback melanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki bersama pembonceng wanita berhampiran sebuah stesen minyak di situ.
Suspek yang panik kemudian terus memecut kenderaannya tanpa menghiraukan teriakan orang ramai yang memintanya berhenti.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kemalangan itu menyebabkan wanita yang berumur 20 tahun cedera parah di bahagian kepala manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan pada bahagian muka.
Katanya, selepas melanggar pasangan berkenaan, lelaki berkenaan terus memecut keretanya menuju ke arah Air Itam dan kemudian berpatah balik kira- kira 400 meter dari lokasi pertama.
"Ketika berpatah balik, kereta yang dipandu lelaki itu melanggar tiga buah motosikal lagi menyebabkan kesemua penunggang mengalami kecederaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, kesemua mangsa termasuk suspek kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/wanita-parah-dilanggar-kereta-dipandu-penagih-dadah-1.365316#sthash.eI3euxrf.dpuf

3 beranak maut, 2 cedera kereta terbabas


kemalangan 3 maut

Kemalangan di Kilometer 104.3 Lebuhraya Utara Selatan mengala ke utara dekat Batu Pahat yang mengorbankan tiga nyawa hari ini.
BATU PAHAT 1 Ogos - Tiga beranak maut manakala dua kanak-kanak cedera parah selepas tercampak keluar ekoran kereta dinaiki lima sekeluarga itu terbabas di Kilometer 104.3, Lebuhraya Utara Selatan menghala utara, di sini petang tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 6.10 petang itu, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian merupakan sepasang suami isteri dan anak perempuan bongsu mereka, manakala dua lagi anak lelaki pasangan itu cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.
Mereka yang meninggal dunia ialah S. Siva, 34; M. Gayetri, 32; dan S. Viishnu Priiya, 2, manakala kanak-kanak yang cedera ialah S. Tushan, 5, dan S. Tiiraan, 4.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/3-beranak-maut-2-cedera-kereta-terbabas-1.365299#sthash.mv6s3Ns5.dpuf

Kelucahan melampau, guru agama kena 2 tahun penjara

ISNIN, 1 OGOS 2016 @ 2:30 PM



Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim nfazlina@bh.com.my

 SEORANG guru agama, Nik Hazmi Ghani, dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini atas tuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang pelajarnya, di sebuah rumah di Kampung Teras, Sering, Binjai, pada 30 Oktober 2014 lalu. - Foto Faris Zainuldin

KOTA BHARU: Seorang guru agama dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap pelajarnya pada tahun 2014.

Hakim Mohd Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Nik Hazmi Ghani, 33, didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad dan tertuduh diwakili peguam, Datuk Takiyuddin Hassan.

 Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa merangsang kanak-kanak sembilan tahun itu untuk melakukan perbuatan kelucahan melampau dengannya di sebuah rumah di Kampung Teras, Sering, Binjai, di sini, antara jam 11 malam hingga 1 pagi, 30 Oktober 2014.

 Kes itu didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan sebat.

Takiyuddin kemudian memohon mahkamah menangguhkan hukuman itu sehingga rayuan tertuduh didengar di Mahkamah Tinggi. Mohd Yusoff membenarkan hukuman itu ditangguh dan tertuduh dikenakan jaminan sehingga RM12,000 dengan seorang penjamin.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/178935