Search This Blog

Sunday, July 31, 2016

Mangsa Tembak Baru Dua Minggu Tukar Kereta Elak Diekori - Rakan


Diterbitkan: Rabu, 27 Julai 2016 10:55 PM
Anggota forensik PDRM melakukan siasatan ke atas mayat seorang lelaki yang mati ditembak ketika memandu di Danau Kota, Setapak pada petang Rabu. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengurup wang yang maut ditembak di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang di sini pada Rabu baru dua minggu membeli kereta baharu setelah mendapati ada pihak mengekorinya, menurut seorang rakan mangsa.
Rakan yang enggan dikenali itu berkata mangsa yang menjalankan perniagaan itu sejak kira-kira 10 tahun lepas, sebelum ini menggunakan Toyota Camry.
"Baru dua minggu dia beli kereta baharu jenis Honda Accord. Dia tukar kereta setelah mendapati ada pihak tertentu memantau pergerakannya.
"Saya jumpa mangsa sebulan lepas di sebuah hotel di Jalan Ipoh dan dia tidak mengadu tentang apa-apa masalah (ketika itu). Kelakuan dia seperti biasa," katanya.
Menurut polis, mangsa maut serta-merta dalam kejadian 3.35 petang itu yang menyaksikan 18 das tembakan - 10 daripadanya mengenai mangsa - dilepaskan dua penembak yang merupakan pembonceng dua motosikal.
Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, badan serta paha.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Seorang saksi kejadian berkata bunyi tembakan bertalu-talu yang didengari ketika kejadian disangkakannya bunyi mercun.
"Saya ingatkan hanya bunyi orang main mercun, tak sangka pula ia datang dari tembakan yang bertalu-talu," kata saksi yang hanya ingin dikenali sebagai sebagai Sazwan.
Sazwan berkata beliau dan dua rakan sedang minum petang di gerai berhampiran tempat kejadian.
Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas dan sejurus selepas itu orang ramai bergegas mengerumuni kereta mangsa.
"Saya terkejut apabila mendekati kereta itu, terdapat banyak kesan tembakan. Saya nampak pemandu kereta seorang lelaki dah terkulai dengan kesan tembakan pada badannya," katanya.
Beliau berkata tiada penumpang dalam kereta berkenaa.
Katanya sejurus kejadian, orang awam menghubungi polis yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian. - BERNAMA 

Isteri Pelakon Antara 28 Pegawai Imigresen Ditahan


Diterbitkan: Khamis, 28 Julai 2016 9:33 PM
Noor Rashid Ibrahim

KUALA LUMPUR: Isteri kepada seorang pelakon terkenal merupakan antara 28 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen yang ditahan polis dalam operasi khas Selasa lalu di Putrajaya, kerana dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan manusia.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata kesemua mereka termasuk wanita berusia 33 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.

"Mereka disyaki terlibat dalam pemalsuan dokumen dan memberi laluan segera kepada warga asing yang memasuki negara ini tanpa melalui prosedur yang sah,"katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Noor Rashid berkata polis tidak menolak kemungkinan terdapat pegawai kanan imigresen yang terlibat dalam kes itu.

Beliau berkata siasatan lanjut dilakukan untuk mengenal pasti individu lain yang mungkin terlibat.

Semua suspek ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.-Bernama

Suspek Tembak Pengurup Wang Diburu - KPN


Diterbitkan: Khamis, 28 Julai 2016 1:15 PM

KUALA LUMPUR: Polis sedang giat memburu suspek yang disyaki terlibat dalam kes menembak hingga mati seorang pengurup wang di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang di sini, Rabu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata keempat-empat suspek itu dipercayai masih berada dalam negara.
Ikuti laporan mStar TV.

Polis Sahkan Kes Pelajar Dirotan Di Maahad Tahfiz


Diterbitkan: Khamis, 28 Julai 2016 9:42 PM
Kesan rotan dipercayai akibat perbuatan seorang ustaz di sebuah Maahad Tahfiz di Sungai Petani.

SUNGAI PETANI: Polis mengesahkan kejadian muridberusia 10 tahun cedera dirotan di sebuah maahad tahfiz di sini yang menjadi viral di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Md Zukir Md Isa berkata siasatan awal mendapati kejadian itu melibatkan tiga murid lelaki berusia 10 tahun yang dirotan seorang ustaz gantian di maahad terbabit.

"Punca kejadian dipercayai kerana ketiga-tiga pelajar berkenaan hendak melarikan diri dari asrama," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Gambar seorang kanak-kanak dengan kesan rotan di badan dan kepala menjadi viral di laman sosial apabila dikatakan dipukul seperti penjenayah. 

Beliau berkata siasatan itu dijalankan selepas anak kepada pengasas maahad tahfiz terbabit membuat laporan polis menafikan penglibatan maahad tahfiz tersebut dalam kes berkenaan setelah ia menjadi viral. 

Katanya laporan polis dibuat lelaki berusia 46 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, pada pukul 11.50 pagi Khamis.

Bagaimanapun, katanya pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut memandangkan polis masih belum menerima laporan daripada ketiga-tiga mangsa. -Bernama

Barang Kemas Lebih RM800,000 Lesap Di Sungai Petani


Diterbitkan: Sabtu, 30 Julai 2016 9:35 PM

SUNGAI PETANI: Barang kemas bernilai lebih RM800,000 dilarikan dari sebuah kedai emas di Jalan Pengkalan di sini pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata kejadian itu disedari seorang pekerja wanita di premis tersebut sewaktu dia datang untuk bekerja kira-kira 10 pagi.

"Pekerja berkenaan mendapati bumbung siling pada bahagian tengah kedai dan bahagian pejabat telah berlubang. Dia juga mendapati dinding di tepi peti besi telah dipotong dan barangan kemas pelbagai jenis telah hilang," katanya.

Beliau berkata peralatan kamera litar tertutup (CCTV) juga didapati telah dirosakkan.

Kejadian dipercayai dilakukan sekurang-kurangnya tiga individu, katanya.-Bernama

'Datuk Seri' Tidak Sengaja Rempuh Isteri Sendiri



Diterbitkan: Ahad, 31 Julai 2016 10:46 AM
 ONG HAN SEAN Oleh: ONG HAN SEAN
editor@mstar.com.my


KUANTAN: Seorang lelaki bergelar Datuk Seri berusia 59 tahun secara tidak sengaja melanggar isterinya hingga maut.

Difahamkan beliau telah membuat pusingan U setelah melepasi pondok pengawal di kawasan perumahan tempat beliau tinggal di Bukit Istana dan menuju ke arah Kuantan.

Pada masa yang sama, isterinya yang berusia 57 tahun tiba di pondok pengawal yang sama selepas keluar membeli-belah.

Isterinya menaiki kereta lain bersama menantunya dan apabila tiba di pondok pengawal, dia ternampak kereta Range Rover milik suaminya.

Beliau meminta untuk diturunkan di situ dan kemudian meluru ke arah kereta suaminya.

Bagaimanapun, beliau telah dirempuh sebelum suaminya dapat mengelak.

Mangsa yang tercampak jauh mengalami pendarahan hidung dan mulut serta patah tulang.

Beliau dikejarkan ke pusat perubatan berhampiran tetapi meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Mangsa dan suaminya merupakan pengarah urusan sebuah syarikat perlombongan.

"Menurut kenyataan saksi, mangsa sedang dalam perjalanan ke sebuah program agama kira-kira pukul 9 malam Khamis. Dia sudah lewat jadi dia melambai ke arah kereta suaminya.

"Bagaimanapun, tindakannya secara tiba-tiba itu tidak dapat dilihat oleh suaminya kerana suasana gelap dan lampu jalan menutupi pokok-pokok," kata Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali , Sabtu.

Beliau berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan menunjukkan bahawa mangsa mati akibat kecederaan di kepala dan dada.

Ketua Polis Negeri Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata kemalangan itu disebabkan kecuaian dan tiada sebarang unsur jenayah.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai tragedi itu.

Suami Isteri Dibunuh Akibat Hutang 90 Sen


Diterbitkan: Ahad, 31 Julai 2016 10:33 AM

Pasangan mangsa yang dibunuh kerana hutang di India.

NEW DELHI: Seorang lelaki dipancung dan isterinya ditetak hingga mati selepas berlaku pergelutan dengan pekedai runcit pada Khamis, lapor pihak berkuasa di India.

Pembunuhan itu berlaku di daerah Mainpuri, Utara India berdekatan Uttar Pradesh.

Pasangan yang berada dalam kasta terendah hierarki India tersebut dikatakan telah berhutang dengan pemilik kedai yang dikenali Ashok Mishra sebanyak 90sen (15 rupee) dan mereka tidak mampu untuk membayar semula wang tersebut.

Menurut polis, saksi yang berada di tempat kejadian berkata pasangan Bharat dan Mamta meminta untuk tangguhkan bayaran sehingga hujung bulan kerena belum menerima gaji sebagai pekerja buruh.

Selepas pertengkaran berlaku sehingga pukul 6 pagi, Mishra pulang ke rumah untuk mengambil kapak dan menyerang pasangan itu sehingga mati.

"Masih tidak jelas sama ada pemilik kedai itu mempunyai dendam ataupun tidak terhadap pasangan berkenaan.

"Penyerang telah membuat pengakuan jenayah kepada polis dan peranan isterinya dalam kejadian ini masih belum jelas. Kami sedang menyiasat.

"Kami juga sedang menyiasat beberapa saksi untuk mengetahui mengapa tidak ada orang yang cuba untuk menghentikan tindakan suspek," kata pegawai polis, Digambar Kushwaha.

Tambahnya, suspek turut memberitahu polis bahawa pasangan itu turut didera secara lisan olehnya.

Penyerang dan isteri telah ditangkap dan senjata yang digunakan dalam serangan itu telah dirampas.

Menurut pihak berkuasa, Bharat dan Mamta meninggalkan empat orang anak dan tiga daripada mereka masih di bawah umur. - CNN