Search This Blog

Friday, July 29, 2016

Polis P.Pinang Buka Kertas Siasatan Video Namawee Hina Islam


Diterbitkan: Jumaat, 29 Julai 2016 9:51 PM
Abdul Ghafar Rajab menunjukkan sebahagian daripada rakaman video 'Oh My God' oleh Namawee. Foto: ZHAFARAN NASIB/The Star

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung sebuah video lagu penyanyi dan pengarah tempatan, Namawee yang menjadi viral kerana didakwa menghina agama Islam.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata ekoran video kliplagu 'Oh My God' itu, pihaknya menerima beberapa laporan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan polis akan memanggil Namawee untuk merekodkan keterangan bagi membantu siasatan.

"Berdasarkan siasatan awal, sebahagian rakaman video lagu itu dilakukan diMasjid Terapung di Tanjung Bungah dan laporan polis pertama yang diterima ialah pada 27 Julai oleh jawatankuasa masjid berkenaan," katanya di sini, Jumaat.

Video klip memaparkan rakaman empat lelaki yang menyanyikan lagu berdurasi 4.05 minit itu menjadi viral sejak semalam dan telah menimbulkan kemarahan orang ramai kerana ia dipercayai menghina Islam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata perbuatan empat lelaki dalam video klip berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati orang Islam kerana mencemar imej masjid, sebagai tempat beribadat.

"Menurut pengerusi Masjid Terapung yang membuat laporan polis berhubung video itu, beliau memaklumkan rakaman yang dipercayai dilakukan di masjid tersebut memaparkan mereka berkelakuan tidak senonoh dengan menari dan menyanyi di dalam masjid.

"Tindakan empat lelaki itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam bukan sahaja di negeri ini malah seluruh negara," katanya.

Mior Faridalatrash berkata selain itu, mereka turut menjadikan beberapa rumah ibadat seperti kuil, tokong dan gereja dipercayai di sekitar negeri ini sebagai tempat rakaman nyanyian dan tarian dalam video berkenaan.

Katanya selain Namawee, polis juga akan memanggil beberapa individu termasuk mereka yang terlibat dalam pembikinan video itu bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan, katanya. -Bernama

SPRM Tahan Tiga Polis Disyaki Terlibat Rasuah


Diterbitkan: Jumaat, 29 Julai 2016 8:24 AM

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan tiga anggota polis kerana disyaki menerima rasuah sebanyak RM300 daripada seorang pembantu jualan.
Tiga anggota polis yang berumur antara 24 hingga 39 tahun terbabit disyaki meminta wang itu sebagai imbuhan untuk membebaskan pengadu yang dikatakan mempunyai dokumen pengenalan diri palsu pada 4 Julai lepas, kira-kira pukul 11.30 pagi di belakang pusat membeli belah Centre Point, di sini.
Ketiga-tiga anggota polis yang bertugas di Kota Kinabalu itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Sabah pada Khamis antara pukul 8 malam hingga 8.30 malam ekoran aduan yang dibuat pengadu berusia 23 tahun itu.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Shaharom Nizam Abdul Manap mengesahkan tangkapan berkenaan.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. - Bernama