Search This Blog

Thursday, June 16, 2016

Ahli Perniagaan Mati Ditembak Dekat Plaza Tol Sungai Rasau


Diterbitkan: Khamis, 16 Jun 2016 12:02 AM

SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan ditemui mati ditembak dalam kenderaannya dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Sungai Rasau di sini Rabu.
Mangsa dikenali Gooi Tan Hock, 43, ditemui mati dengan enam kesan tembakan di bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata dalam kejadian kira-kira 4.35 petang itu, mangsa dipercayai dari arah Klang menuju ke rumahnya di Kajang.
"Mangsa dipercayai mati ditembak ketika sedang memandu kereta Toyota Velfire oleh seorang individu menaiki motosikal sehingga menyebabkan kereta yang dipandunya terbabas ke bahu jalan. Lelaki ini dipercayai sempat membayar tol menggunakan kad Touch N Go sebelum kejadian berlaku," katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Katanya enjin kereta mangsa masih hidup ketika polis menemui mangsa dalam kereta dan siasatan mendapati tiada barangan berharga di dalam keretanya.
Hasil siasatan, katanya menemui 10 kesan tembakan di bahagian luar kereta mangsa manakala enam tembakan di badan mangsa.
Shafien tidak menolak kemungkinan suspek adalah seorang penembak profesional berikutan ketepatan tembakannya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Wanita ditahan selepas lapor diri diperkosa


13 JUN 2016

Rogol


Rogol Gambar hiasan.
THE HAGUE - BELANDA. Gara-gara melaporkan dirinya dirogol ketika bercuti di Qatar, seorang wanita berusia 22 tahun ditahan, lapor AFP.

Peguamnya, Brian Lokollo melalui laporan media Belanda berkata, anak guamnya mendakwa diberi dadah dalam sebuah hotel dan diperkosa.

Namun mangsa tidak ingat apa-apa tentang kejadian itu dan hanya sedarkan diri keesokan harinya di sebuah apartmen yang tidak dikenalinya.

"Dia ditangkap pada Mac lalu kerana disyaki berzina iaitu mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin.

"Memang dia pergi menari namun apabila kembali ke meja untuk minum, dia menyedari telah diberi dadah bila rasa tidak sedap badan," katanya.

Menurut laporan sama, suspek sudah diberkas namun menegaskan kedua-dua mereka bersetuju untuk mengadakan hubungan seks dan wanita itu didakwa meminta bayaran wang.

"Anak guam saya menafikan semua tuduhan itu," kata Lokollo.

Sementara menurut jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Belanda, Daphne Kerremans mengesahkan wanita itu ditangkap namun wanita yang namanya diberikan sebagai Laura belum didakwa.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan dan pihak berkuasa Belanda berhubungan dengan Laura secara kerap.

Perbicaraan akan diadakan esok dan kementerian berharap keputusan sama ada untuk mendakwa wanita Belanda itu akan ditetapkan.

Pada 2013, seorang wanita Norway berusia 24 tahun yang membuat aduan rogol terhadap majikannya dikenakan hukuman penjara 16 bulan di Amiriah Arab Bersatu (UAE) atas kelakuan tidak senonoh, sumpah palsu dan pengambilan arak.

Namun wanita itu kemudian mendapat pengampunan dari pihak berkuasa.