Search This Blog

Friday, June 10, 2016

Wanita Australia menang saman


SIMON mewakili Ward yang tidak hadir ke Mahkamah Sesyen di George Town, Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN – Seorang wanita warga Australia boleh menarik nafas lega selepas Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan sebuah syarikat kecantikan di negeri ini membayar saman terhadapnya bernilai RM103,466.30 berhubung kecederaan dialami pada dahinya selepas mendapatkan rawatan di premis itu tiga tahun lalu.
Hakim Irwan Suaibon membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang dikemukakan Carol Frances Ward (gambar kecil), 57, dengan kos ditanggung oleh Europe Cosmeceutical Industries Sdn. Bhd. selaku defendan.
Ward sebagai plaintif akhirnya berjaya menuntut kos ganti rugi teladan sebanyak RM80,000 dan am iaitu kesakitan serta kesengsaraan bernilai RM10,000.
Selain itu, dia yang menetap di Victor Harbour, Australia turut menerima ganti rugi bagi keseluruhan kos rawatan daripada syarikat terbabit termasuk sebuah hospital dan klinik swasta di Pulau Pinang, laporan perubatan, penginapan di empat buah hotel serta perjalanan pergi dan balik masing-masing bernilai RM13,466.30.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz4B9W9He00 
Hakcipta terpelihara 

Menantu kelar leher bapa mertua



LOKASI sebuah sekolah rendah di Tanjung Kupang, Gelang Patah tempat seorang nelayan cedera di leher akibat dikelar menantu sendiri semalam.


ISKANDAR PUTERI – Seorang menantu lelaki yang tidak berpuas hati dengan sikap bapa mertuanya yang didakwa suka mencampuri urusan keluarganya bertindak mengelar leher kiri orang tua itu dengan sebilah pisau lipat dalam satu pergaduhan di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan Tanjung Kupang, Gelang Patah di sini pagi kelmarin.
Dalam kejadian pukul 9.45 pagi itu, mangsa, M. Razali Abdul Majidee, 54, yang merupakan seorang nelayan mengalami pendarahan pada leher akibat cedera dikelar dengan sebilah pisau. Dia bagaimanapun, sempat mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, insiden itu tercetus selepas mangsa datang ke sekolah berkenaan setelah menerima panggilan telefon daripada anak perempuannya yang memberitahu telah didatangi suami dalam keadaan marah.
“Anak perempuan mangsa yang berusia 28 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah tersebut telah diserang oleh suspek berusia 42 tahun yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di tempat lain.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz4B9Vugr2b 
Hakcipta terpelihara 

Balasan rompak nenek 79 tahun


HALIMAH terbaring dan tidak mampu bangun selepas dipukul oleh Muhammad Nassaruddin di Kampung Padang Batu 5, Jeram Perdah, Pasir Mas pada 3 Mei lalu.


PASIR MAS – Perbuatan seorang penganggur merompak barang kemas dan wang tunai milik seorang wanita warga emas akhirnya menerima balasan apabila dihukum penjara selama lapan tahun serta tiga kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Muhammad Nassaruddin Ibrahim, 21, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan.
“Saya jatuhkan hukuman penjara ke atas kamu (Muhammad Nassaruddin) agar kamu dapat memperbetulkan diri di sana (penjara).


MUHAMMAD NASSARUDDIN (tengah) dihukum penjara lapan tahun dan tiga kali sebatan selepas mengaku bersalah merompak barang kemas dan wang tunai milik Halimah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas semalam.


“Di dalam penjara, akan ada orang yang bimbing kamu,” kata Dazuki ketika menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh di Mahkamah Sesyen di sini.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Nassaruddin didakwa merompak seutas rantai leher, lima bentuk cincin, dua bentuk subang dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM800 milik Halimah Isa, 79.
Tertuduh juga didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada mangsa semasa melakukan rompakan tersebut.
Perbuatan itu dilakukannya di Kampung Padang Batu 5, Jeram Perdah di sini pada pukul 8 pagi, 3 Mei lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0610&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz4B9VZzYqs 
Hakcipta terpelihara 

Guru wanita mengaku rasul


Agensi
Pekalongan (Indonesia): Seorang guru di sebuah sekolah, di sini mengaku sebagai rasul selepas mendakwa bertemu malaikat Jibrail dan menerima wahyu daripada tuhan.

Sri Hartatik, 47, turut menulis kitab sucinya sendiri berdasarkan wahyu yang didakwanya disampaikan tuhan melalui Jibrail.


Wanita itu mendakwa kitab sucinya yang dinamakan Alkitab Na’sum adalah pelengkap kepada semua kitab suci yang pernah diturunkan tuhan sebelum ini.

Sri berkata, dia menerima banyak wahyu dari tuhan termasuk yang mengarahkannya bersolat menghadap ke timur bukannya arah kiblat.

“Saya menerima seruan untuk mengubah arah kiblat bagi orang yang menerima petunjuk dan sayalah orang yang menerima petunjuk itu,” katanya.

Menurutnya, dia sedar dirinya dilantik sebagai rasul apabila mendengar bisikan yang didakwanya dari
Jibrail selepas sembuh daripada satu penyakit pada 2013.

“Selama tiga tahun saya mendengar bisikan ini dan menulisnya menjadi kitab suci,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Pekalongan, Abu Bahro menegaskan ajaran yang dibawa oleh wanita itu jauh menyimpang daripada Islam.

“Pasangan ini mendakwa beragama Islam tetapi ibadah dan amalan mereka tidak menunjukkan mereka beragama Islam.

“Saya sedang mengumpul ulama dalam MUI bagi membincangkan ajaran yang dibawa ini dan seterusnya mengeluarkan fatwa mengenainya,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 9:12 AM
SRI (kiri) bersama suaminya menunjukkan kitab suci yang didakwanya wahyu dari tuhan.

Wanita Maut, Suami Dikelar Pembantu Rumah


Diterbitkan: Rabu, 8 Jun 2016 3:51 PM
Ong sedang dirawat di Hospital Umum Changi.

SINGAPURA: Tabiat isterinya yang tidak masuk ke dalam bilik mereka untuk menonton televisyen pada petang Selasa menimbulkan rasa tidak sedap hati peniaga Ong Thiam Soon, 57.
Susulan itu, dia mencari isterinya di kediaman tiga tingkat mereka di Telok Kurau.
"Saya terus memanggil namanya tetapi tiada respons," kata Ong.
Dari tingkat pertama, dia terus mencari isterinya, Seow Kim Choo, 59, sebelum mendapati pintu bilik mandi di tingkat dua berkunci.
"Saya ingin tahu. Tiada bunyi dari dalam bilik mandi itu jadi saya pergi mencari lampu suluh dan kunci," katanya.
Dia terlihat tompokan darah sebaik sahaja membuka pintu bilik mandi itu.
Namun malangnya, pembantu rumah Ong yang baharu sahaja bekerja selama lima bulan menyerangnya dengan pisau.
"Dia mengelar leher saya. Saya amat terkejut," katanya.
Selepas itu, beliau menyedari tubuh kaku isterinya terbaring di atas lantai bilik mandi itu.
Dia mengerah segala tenaganya untuk menahan serangan pembantu rumah berusia 23 tahun itu yang dipanggil sebagai Wariwati.
"Sebaik sahaja dia tenang, saya pergi mendapatkan isteri saya tetapi dia tidak lagi bernafas. Terdapat banyak darah," katanya.
Wariwati cuba menyerang Ong semula dan kedua-duanya terus bergelut.
Ong menjerit meminta tolong kepada menantu perempuannya yang sedang menjaga dua anaknya di tingkat tiga.
Akibat kekecohan yang timbul, seorang lagi pembantu rumah bergegas ke bilik mandi tetapi melarikan diri sambil menjerit.
Menantu perempuan Ong menghubungi polis sebelum menyelamatkan mangsa.
Mereka berjaya menenangkan pembantu rumah itu dan mengikat tangannya.
Polis berkata mereka menemui mayat seorang wanita berusia 59 tahun di tingkat dua sebaik tiba di tempat kejadian.
Kira-kira pukul 9.03 malam, pasukan paramedik mengesahkan kematian wanita itu.
Ong dikejarkan ke Hospital Besar Changi untuk menjalani pembedahan akibat kecederaan di leher, dahi dan kaki.
Bercakap kepada pemberita di hospital, Ong berkata Wariwati yang dibenarkan membuat panggilan sekali ke rumahnya setiap bulan kelihatan gelisah beberapa hari lalu kerana tidak dapat berhubung dengan keluarganya Indonesia.

Pasangan warga emas maut kemalangan


Kereta Perodua Kancil yang dinaiki kedua mangsa yang maut remuk teruk selepas bertembung kenderaan lain.
MUADZAM SHAH - Pasangan suami isteri warga emas maut dalam satu kemalangan apabila kereta Perodua Kancil yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer (KM) 10 Jalan Ibam – Rompin sekitar jam 6.30 petang, semalam.
Mangsa yang berada di kerusi penumpang dikenali sebagai Aminah Ismail, 67, maut di tempat kejadian manakala pemandu, Abdul Talip Abdul Rahman, 67, disahkan meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah.
Dua lagi penumpang yang berada di kerusi belakang yang merupakan cucu kepada kedua mangsa yang maut mengalami cedera parah dan dikenali sebagai Nor Huda Khuzaila Rosman, 15, serta Muhammad Hafiz Abdul Rahman, 8, manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki mangsa dari arah Rompin menghala ke Ibam manakala pacuan empat itu dari arah bertentangan.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku dipercayai kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki jalan bertentangan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda berkenaan.
“Penumpang kereta kancil itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah manakala pemandunya meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah. Kedua penumpang belakang pula turut mengalami cedera parah dan dikejarkan ke hospital sama untuk diberi rawatan,” katanya kepada Sinar Harian.
Kedua kenderaan terlibat rosak teruk di bahagian hadapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

ROSALWANI CHE SOH KOTA BHARU - Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman yang dihuni selama 20 tahun, hangus sekali gus dalam kebakaran di Kampung Belukar Panji, di sini hari ini.
Mangsa, Bilal Mohamad, 56, berkata, rumahnya itu ditinggalkan kosong selepas dia keluar bekerja di bengkel membaiki kereta tidak jauh dari kediamannya.
“Saya serta tiga anak dan isteri yang menjaga ibunya di hospital, meninggalkan kediaman kira-kira jam 9 pagi dalam keadaan dikunci dan terurus dengan baik, namun terkejut menerima panggilan kira-kira jam 11 pagi daripada jiran memberitahu rumah saya terbakar.
“Apabila pulang kerumah, saya lihat hampir keseluruhan kediaman hangus  termasuk barang-barang dalam rumah tidak dapat diselamatkan,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya, hari ini.
Bilal berkata, hanya kereta jenis Proton Saga dan motosikal anaknya yang dapat diselamatkan oleh jiran memandangkan api marak begitu cepat.
“Saya pada mulanya cuba untuk menghampiri kawasan rumah, namun dihalang jiran ekoran kebakaran cepat merebak memandangkan rumah saya dibina berasaskan kayu dan separa batu.
“Memang agak sedih memandangkan baru sahaja empat hari kita berpuasa dan kejadian ini berlaku pada bulan Ramadan,”katanya.
Bilal berkata, dia mengharapkan agar pihak tertentu dapat memberi bantuan untuk mendapatkan kediaman baharu memandangkan tidak mempunyai tempat tinggal lain.
“Setakat ini saya tidak tahu punca api datang dari mana, memandangkan isteri tidak memasak  untuk hidangan sahur dan berbuka dan menyerahkan kes ini untuk siasatan pihak bomba,”katanya.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12.05 tengah hari dan sampai di tempat kejadian hampir 15 minit kemudian.
“Ketika kami sampai hampir 95 peratus kediaman itu terbakar dan pihak kami mengalami kesukaran untuk memadamkan kebakaran apabila pili bomba agak jauh dan sumber air terbuka tiada di kawasan itu.
“Namun api dapat dikawal dengan kekuatan tiga jentera termasuk, jentera Balai Kota Bharu, Unit Paramedik dan Tangki Air (Water Tangker) bersama 14 anggota kita berjaya mengawal api dari merebak ke kediaman berhampiran," katanya.

Padah curi peralatan kuih raya


Kes jenayah
KUALA LUMPUR - Gara-gara mencuri peralatan membuat kuih raya dan beberapa barang lain di sebuah pasar raya, seorang wanita dihukum penjara sehari dan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu ke atas Mazileen Mubarak Ali, 29, selepas dia mengaku bersalah mencuri 15 jenis peralatan membuat kuih dan juga makanan kucing yang bernilai RM114.60 milik Sogo Department Store, di sini pada 6.30 petang, semalam.
Antara barang itu ialah acuan biskut, pisau kek, berus pastri, penggelek plastik dan papan kuih siput.
Terdahulu, Mazileen yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan dalam rayuannya berkata dia mencuri kerana mahu menjalankan perniagaan kuih raya dan ini merupakan kesalahan pertamanya.
Dia juga memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan suaminya tidak bekerja dan dia perlu menanggung ibu bapanya yang sudah tua.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh.
Mahkamah memerintahkan wanita itu menjalani hukuman tersebut dari tarikh dia ditangkap pada 8 Jun dan jika gagal membayar denda dia boleh dipenjara 10 hari.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda dan bagi kesalahan kali kedua atau lebih boleh dikenakan hukuman penjara dan juga denda atau sebatan. - Bernama

Sindiket kereta klon beralih taktik

Kereta Klon

9 JUN 2016 Kereta klon - Foto Bernama

 JOHOR BAHRU - Sindiket klon kereta Singapura kini didapati beralih pula menggunakan laman jual beli barangan Carousell untuk mendekati bakal pembeli mereka dan tidak lagi menggunakan Facebook.
Menerusi pemerhatian Bernama, terdapat sekurang-kurangnya enam 'pengguna' Carousell yang berpangkalan di Johor Baharu secara terang-terangan mengiklankan kereta mereka di laman tersebut.
Tiga daripadanya menyertai laman itu sejak awal tahun ini manakala tiga lagi sejak Mac tahun lalu.
Kenderaan yang dijual mereka merangkumi pelbagai jenama dan model termasuk Volkswagen Scirocco, Honda Jazz dan Stream, Toyota Vios dan Wish, Nissan Sentra, Mazda 3, BMWe90 320i serta Mercedez A170 dan Class 350.
Harga yang ditawar pula serendah RM2,800 sehingga RM30,000 yang rata-rata kenderaannya didakwa berada dalam keadaan 'tip-top', bebas kemalangan dan kerosakan.
Terdapat pengguna yang mempunyai 3,400 pengikut dan mendakwa mereka adalah penjual yang boleh dipercayai.
"Anda boleh view feedback customer kami. Kami juga hampir setiap mhari upload kereta untuk dijual dalam page ini. Diharap jangan banyak permintaan seperti nak complete dokumen dan sebagainya seperti anda beli kereta kat used car show room.
"Tengok pada harga pun anda sudah tahu dan jelas!," katanya.
Untuk berurus niaga, penjual mengalakkan pelanggan menghubungi atau menghantar terus mesej kepadanya menerusi nombor telefon yang tertera.
Apabila pelanggan mengesahkan pembelian, penjual akan meminta pembeli membayar sejumlah deposit yang bagi kereta Suzuki Wish yang siap dihantar ke Kuala Lumpur misalnya, penjual meminta deposit RM1,500 daripada harga sebenar RM5,500.
"Baki akan dibayar semasa mengambil kereta. Urus niaga hanya dalam bentuk tunai, tiada bayaran bulanan disediakan.
"Sebarang insiden di atas jalan adalah tanggungan sendiri dan rakyat asing (bukan rakyat Malaysia) tidak dibenarkan membeli," kata penjual itu.
Selesai urus niaga, pembeli akan dibekalkan dengan cukai jalan dan nombor pendaftaran klon selain 'log card' kenderaan Singapura tersebut.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Mohd Rusdi Mohd Darus berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut mengenai penjualan tersebut.
Beliau berkata pihaknya maklum sindiket kereta klon kini menggunakan pelbagai medium untuk mendekati orang ramai, namun mereka boleh menyemak kenderaan yang dijual dengan pihak JPJ sebelum meneruskan pembelian.
"Terutama sekali bagi kenderaan yang lebih murah daripada harga pasaran. Mereka perlu berhati-hati. Tetapi berdasarkan iklan ini, jelas mengatakan kereta yang dijual adalah kereta klon dan pembeli semestinya tahu risiko membelinya," katanya.
Menurut Mohd Rusdi, sekiranya dikesan dan ditemui sewaktu menggunakan kenderaan berkenaan, pemiliknya akan dihadapkan ke mahkamah manakala kenderaan pula akan disita.
Jika sabit kesalahan, pembeli boleh dikenakan denda maksimum RM12,000 dan dilucutkan hak ke atas kenderaan tersebut, tambahnya.
Beliau berkata sejak tahun lepas sehingga kini, 363 kenderaan klon telah dirampas di Johor dengan 14 daripadanya sudah mendapat perintah mahkamah untuk dilucutkan hak manakala dua lagi kes masih menunggu untuk didakwa. - Bernama

Padah bermain cinta dengan kawan baik isteri

Padah bermain cinta dengan kawan baik isteri

9 JUN 2016 Paramedik menemui Somchai dalam keadaan berlumuran darah.‎ PATTAYA - THAILAND. Seorang wanita bertindak memotong kemaluan suaminya sendiri kerana lelaki itu curang dengan kawan baiknya sendiri.
Wanita yang menjual ayam goreng bersama suaminya di bandar Pattaya pada mulanya mendengar khabar angin mengenai suaminya yang dikenali sebagai Somchai yang curang dengannya.
Namun kemarahannya membuak-buak apabila khabar angin itu adalah benar dan sedar dia ditipu oleh suaminya yang berlaku curang dengan rakan baiknya sendiri.
Memetik Pattaya One, sebelum wanita itu memotong kemaluan suaminya dengan pisau, dia berpura-pura memaafkan suaminya dan melakukan hubungan seks bersama.
Ketika Somchai sedang berehat, wanita itu terus mencapai pisau dan mengelar kemaluan suaminya sehingga hampir terputus.
Bagaimanapun, wanita itu menelefon ambulans selepas melihat suaminya itu mengalami kecederaan serius.
Paramedik menemui Somchai dalam keadaan berlumuran darah sambil meletakkan pek ais di pangkal peha di tengah jalan.
Somchai kemudiannya dikejarkan ke Hospital Bang Lamung yang turut disertai isterinya.
Sementara itu, polis berkata, pihaknya akan menunggu lelaki berkenaan pulih sebelum menjalankan siasatan lanjut.

Op Khas Tonto II diperluas


KP JPJ

Ketua Pengarah JPJ, DatuK Seri Ismail Ahmad (berdiri belakang 9 dari kanan) selepas menghadiri majlis menyerahkan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota JPJ dan PDRM yang terlibat dengan operasi khas tonto bulan lepas. GAMBAR UTUSAN
KUALA LUMPUR 9 Jun - Op Khas Tonto II yang dilancarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diperluaskan ke beberapa negeri lain secara berperingkat.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, operasi itu akan diadakan sekiranya aktiviti tonto masih dijalankan di beberapa negeri yang telah dikenal pasti.
"Operasi pertama dilakukan di tiga negeri yang menjadi 'serangan' tonto.
"Negeri-negeri lain seperti Johor dan Kedah juga ada, oleh itu kita akan pergi secara berfasa," kata Ismail selepas menyerahkan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota JPJ dan PDRM yang terlibat dengan operasi khas tonto pada bulan lepas yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, di sini hari ini.
Menurut Ismail, operasi terbabit adalah satu kejayaan yang hebat kerana masalah tonto sudah berlaku sejak berpuluh tahun dan kini pihak berkuasa berjaya mengatasi sebahagiannya.
Jelasnya, operasi yang dilakukan itu adalah amaran, justeru pihaknya akan mengambil tindakan keras sekiranya sindiket tonto masih berdegil dan menjalankan kegiatan haram.


Ujarnya lagi, semenjak operasi tersebut dilakukan, laporan berkaitan lori lebih muatan telah berkurangan.


Sementara itu ketika ditanya mengenai empat lagi sindiket tonto yang masih diburu, Mohmad memberitahu, pihaknya percaya sebahagian daripada ahli terbabit berada di dalam negara dan hidup secara ‘mobile’ namun pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa kesemua yang diburu berada di sempadan.


“Mereka mungkin berpindah-pindah dan mungkin berada di sempadan tetapi keluar secara haram.
"Ini kerana kita tidak menerima laporan daripada pihak Imigresen berhubung perjalanan keluar masuk sindiket terbabit dengan cara yang sah,” jelasnya.


Mengulas lanjut, Mohmad menyatakan pihaknya memandang baik kerjasama yang terjalin antara pasukan PDRM dan JPJ tambahan pula mendapat respon positif daripada pelbagai pihak serta masyarakat.

 - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/op-khas-tonto-ii-diperluas-1.340443#sthash.OPVvHfrM.dpuf

Tiga penyamun bersenjata api ditahan


JOHOR BAHRU 9 Jun - Tiga sekawan yang aktif me­la­kukan jenayah samun ber­senjata api di kawasan Kota Tinggi dan Seri Alam sejak beberapa hari lalu berjaya dicekup polis apabila tersilap langkah lari ke kawasan letak kenderaan yang merupakan jalan mati di Kampung Nelayan Kong Kong, hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, ketiga-tiga suspek berusia 28 tahun itu disyaki kali terakhir mela­ku­kan jenayah samun bersenjata di sebuah premis di Kota Masai, dekat sini pada pukul 5.20 petang semalam.
Menurutnya, suspek yang menaiki kereta Proton Gen2 berwarna hitam dikesan anggota polis peronda berhampiran Plaza Tol Cahaya Baru, Lebuh Raya Senai-Desaru pada pukul 1 pagi sebelum anggota peronda berkenaan mengejar kenderaan mereka.
“Penahanan tiga suspek itu ber­jaya membantu polis menyelesaikan beberapa kes lain, antaranya tiga kes samun bersenjata dan masing-masing satu kes cubaan samun dan cubaan bunuh.
“Siasatan awal juga mendapati dua daripada tiga suspek me­miliki rekod jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah,” kata­nya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, dekat sini hari ini.
Turut dirampas sepucuk pistol semi automatik beserta 17 butir peluru dipercayai digunakan kumpulan itu untuk melakukan jenayah.
Wan Ahmad Najmuddin yakin masih terdapat saki-baki kumpulan penjenayah berkenaan dan gerakan menjejaki mereka giat dijalankan.
“Saya juga menasihatkan pemilik premis supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar premis masing-masing ke­rana peralatan itu dapat membantu siasatan polis jika berlaku jenayah,” katanya.
Katanya, kes itu disiasat me­ngi­kut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dijatuhkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tiga-penyamun-bersenjata-api-ditahan-1.340491#sthash.zBjKBpWE.dpuf

Mohd. Nizam dibunuh kerana cara tunggangan motosikalnya - Polis Hatyai


Hatyai tembak

Polis Hatyai mengadakan sidang akhbar hari ini bagi mengumumkan penangkapan suspek (berbaju belang) yang dipercayai menembak mati warga Malaysia, Mohd. Nizam Ahmad Basrah pada 16 Mei lepas. GAMBAR BERNAMA
HATYAI 9 Jun - Pembunuhan rakyat Malaysia, Mohd. Nizam Ahmad Basrah pada awal pagi 16 Mei lepas di Hatyai dipercayai berpunca dari perasaan tidak puashati suspek terhadap cara tunggangan motosikal mangsa pada hari kejadian.
Perkara itu didedahkan oleh Penolong Ketua Polis Songkhla, Kol. Chaiwat Nittayavitmol yang berkata, saspek Warawut Muangmin, 25, tidak berpuashati cara tunggangan motosikal oleh Mohd. Nizam dan bertindak menembaknya.
"Motif suspek menembak mangsa adalah kerana motosikal mangsa secara tiba-tiba memotong motosikal dinaikinya bersama rakan, yang menyebabkannya rasa terkejut dan marah dengan kejadian itu telah bertindak melepaskan tembakan terhadap mangsa," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya, Warawut berasal dari Hatyai merupakan penjual alat binaan, ditahan dalam sebuah van disewanya di Jalan Tak-Lampan ketika cuba melarikan diri daripada buruan pihak polis.
Pada 16 Mei lepas, Mohd. Nizam yang berasal daripada Pulau Pinang ditembak mati ketika sedang menunggang motosikal seorang diri ke sebuah hotel di Hatyai kira-kira 3.30 pagi.
Sejurus selepas ditahan, Warawut menurut Chaiwat telah dibawa ke Hatyai untuk soal siasat.
Beliau berkata, sewaktu proses siasatan polis telah bertindak menemu bual beberapa saksi serta melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum dapat menahan Warawut.
Chaiwat juga berkata, pihak polis sedang memburu rakan Warawut yang menunggang motosikal bersamanya. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mohd-nizam-dibunuh-kerana-cara-tunggangan-motosikalnya-polis-hatyai-1.340448#sthash.2Ol73QCi.dpuf

Sabotaj myIMMs, lima pegawai imigresen ditahan


Khalid

KHALID ABU BAKAR - BERNAMA
KUALA LUMPUR 9 Jun - Seramai lima pegawai imigresen ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam kerana dipercayai terlibat dalam melakukan sabotaj terhadap Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs).
Kesemua individu terbabit ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membantu siasatan.
Penahanan kesemua suspek disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sabotaj-myimms-lima-pegawai-imigresen-ditahan-1.340368#sthash.XxpxeBYx.dpuf

Dua lelaki ditahan, 300kg daun ketum dirampas


Ketum

NANDA Maarof (dua kanan) menunjukkan daun ketum seberat 300kg bernilai kira-kira RM6,000 yang ditemui dalam sebuah kereta hari ini. - BERNAMA
ARAU 9 Jun - Dua lelaki warga tempatan ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana cuba menyeludup 300 kilogram (kg) daun ketum bernilai lebih RM6,000 ke negara jiran.
Ketua Polis Daerah Arau, Supt. Nanda Ma’arof berkata, mereka ditahan di Jalan Ngulang, Datuk Kayaman di sini pada kira-kira pukul 5.15 pagi semalam selepas kereta dinaiki berhenti di tepi jalan selepas dikejar kereta peronda polis sejauh dua kilometer (km).
“Anggota polis yang membuat rondaan rutin mengesan sebuah kereta jenis Nissan Cefiro yang dinaiki dua lelaki Melayu dalam keadaan mencurigakan di hadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jejawi.
“Apabila menyedari kereta mereka diekori PDRM, pemandu berkenaan memecut laju ke arah Jalan Ngulang, namun suspek yang dikejar polis sejauh 2km kemudian mengalah dan berhenti di tepi jalan sebelum ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau di sini hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan, PDRM menjumpai daun ketum seberat 300kg yang dibungkus di dalam plastik lutsinar dan diletakkan di dalam but dan tempat duduk belakang kereta.
Menurut beliau, suspek berumur 25 dan 32 tahun itu ditahan reman empat hari mulai semalam untuk siasatan.
Sementara itu, katanya, PDRM sedang mengesan pemilik kereta berkenaan. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-lelaki-ditahan-300kg-daun-ketum-dirampas-1.340410#sthash.uon7ypl8.dpuf

Sindiket curi kereta, motor tumpas


KETUA Polis Daerah Barat Daya, Supritenden Lai Fah Hin (kanan) bersama beberapa pengawai penyiasat m

KETUA Polis Daerah Barat Daya, Supritenden Lai Fah Hin (kanan) bersama beberapa pengawai penyiasat melihat sebahagian daripada motorsikal yang telah dileraikan untuk dijual dipasaran gelap setelah menangkap empat suspek Geng Azroy Pesona semasa sidang akhbar di Balik Pulau, Pulau Pinang di sini hari ini. - UTUSAN/Sazali Che Din
PULAU PINANG 9 Jun - Polis berjaya melumpuhkan sindiket curi kereta dan motosikal di sekitar negeri selepas menahan empat lelaki termasuk ketuanya yang berusia 23 tahun di Bukit Mertajam di sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, kumpulan berkenaan yang bergiat aktif sejak dua bulan lalu dipercayai terlibat mencuri sebuah kereta Perodua Kancil serta 12 buah motosikal yang dianggarkan mencecah nilai RM60,000.
"Siasatan mendapati suspek utama baru dua bulan dibebaskan daripada penjara dan kini ke semua direman selama empat hari untuk membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sindiket-curi-kereta-motor-tumpas-1.340381#sthash.h6m06pIE.dpuf

Gadai tanah pusaka RM1.7j demi cinta Love Scam


KUALA LUMPUR 9 Jun – Sanggup gadai tanah pusaka bernilai RM1.7 juta kerana percayakan cinta kekasih ‘bermata biru’.
Abd. Wahid
Abd. Wahid
Itu padah diterima seorang wanita yang tanpa usul periksa menyerahkan ke­semua hasil gadaian tanah ter­sebut untuk mendapatkan hadiah dikirim lelaki ‘Inggeris’ kononnya dari Amerika Syarikat yang dikenalinya melalui Facebook.
Tanpa mengetahui lelaki itu merupakan anggota Sindiket Love Scam yang menyamar, wani­ta berusia 55 tahun dan masih bujang melakukan 19 transaksi pembayaran demi mendapatkan hadiah berupa beruang dan wang tunai AS$1.05 juta (RM4.24 juta).
Wanita itu hanya menyedari di­tipu apabila mendapati ha­diah yang dijanjikan tidak wujud manakala wangnya lebur. Dia kemudian membuat laporan polis di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang kelmarin.
Timbalan Pe­nga­rah Risikan Ope­rasi JSJK Bu­kit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid (gambar) ber­kata, wanita itu berkenalan dengan suspek sejak Oktober tahun lalu di laman sosial Facebook dan mula menjalin cinta selepas beberapa bulan tanpa sekalipun bertemu muka.
Menurutnya, pada Disember lalu, suspek yang yakin telah menjerat mangsa memberitahu telah mengirimkan hadiah dan wang AS$1.05 juta kepada mang­sa melalui sebuah syarikat kurier di Kuala Lumpur.
Ujarnya, mangsa yang tidak bekerja dan menampung hidup dengan kekayaan keluarga ba­gai­manapun terpaksa membayar se­jumlah wang yang didakwa sebagai cukai penghantaran kepada syarikat kurier.
“Bagi meyakinkan mangsa, se­orang ahli sindiket yang menya­mar sebagai wakil syarikat kurier telah menghubunginya dan memintanya membuat pembayaran ke dalam satu akaun.
“Tanpa syak dicampur rasa tamak untuk mendapatkan ha­diah wang itu, mangsa sanggup melakukan sebanyak 19 transaksi pembayaran melalui atas talian berjumlah RM1.7 juta bermula Disember lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysiadi sini semalam.
Roslan memberitahu, mangsa mula rasa ditipu selepas hadiah yang dijanjikan belum diperoleh dan kekasih Facebooknya pula tiba-tiba menyepi di laman sosial.
Ujarnya, kerana tidak berpuas hati, mangsa pergi ke syarikat kurier tersebut yang terletak di Kuala Lumpur dan terkejut selepas mendapati tiada penghantaran dan bayaran diterima di bawah namanya.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis dan gerakan memburu suspek-suspek yang dipercayai berada di negara ini sedang dijalankan.
“Kami berharap dapat menum­pas­kan sindiket berkenaan dalam masa terdekat,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/gadai-tanah-pusaka-rm1-7j-demi-cinta-i-love-scam-i-1.340615#sthash.nJEAM1qO.dpuf

JPJ rampas 1,900 kenderaan klon


PENGERUSI Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

PENGERUSI Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor, Datuk Ir. Hasni Mohmmad (kanan) menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada Yusoff Ayob dalam majlis pelancaran Program Jelajah Amal Ramadan Skuad Muda 1 JPJ Negeri Johor 2016 di Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 9 Jun - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya merampas dan menyita sebanyak 1,900 buah kereta klon sepanjang tahun lalu hingga kini.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Yusoff Ayub berkata, daripada jumlah itu, 363 buah kereta dirampas dan disita di negeri ini.
“Pelbagai kaedah digunakan sindiket kereta klon dan kebanyakannya menggunakan pendaftaran kenderaan sedia ada, namun tidak aktif.
“Saya tidak pasti jika ia turut melibatkan orang dalam atau tidak. Bagaimanapun, JPJ sentiasa menambah baik sistem untuk mengurangkan kelemahan sehingga membenarkan pendaftaran kereta klon ini,” katanya selepas me­lancarkan Program Jelajah Amal Ramadan Skuad Muda 1JPJ Negeri Johor 2016, di sini semalam.
Yusoff berkata, orang ramai seharusnya sedar bahawa penjualan kereta klon yang dibeli dengan harga yang murah boleh menimbulkan pelbagai keraguan.
“Kereta klon dijual dengan harga yang begitu murah, contohnya dua kereta Honda yang mempunyai nilai pasaran antara RM70,000 hingga RM80,000 dijual hanya pada harga RM10,000.
“Seharusnya sebagai pengguna yang rasional, mana mungkin kenderaan seperti ini dijual pada harga yang murah meskipun jangka hayat baru berusia lima hingga enam tahun,” katanya.
Yusoff berkata, setiap kenderaan itu perlu didaftarkan selain mengikuti beberapa peraturan pembelian yang ditetapkan.
Justeru, orang awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati selain merujuk kepada pihaknya bagi menyemak status kenderaan dan mengelak daripada ditipu sindiket kenderaan klon.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/jpj-rampas-1-900-kenderaan-klon-1.340495#sthash.ktlObIoZ.dpuf