Search This Blog

Tuesday, June 7, 2016

Dua maut motosikal dirempuh kereta

Nilai: Dua maut apabila motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta di Jalan Persiaran Korporat, berhampiran Taman Desa Jasmin di sini, tengah malam tadi.
Mangsa, S B Elaimaran dan S Hamsanath masing-masing berusia 20 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, dalam kejadian 12.15 tengah malam itu, kereta dari arah Bandar Baru Nilai menuju Taman Cempaka dipercayai hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan.
"Kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal dari arah Cempaka tidak sempat mengelak lalu dirempuh kereta berkenaan menyebabkan kedua-duanya tercampak ke kiri jalan.
"Penunggang dan pembonceng motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mereka dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, untuk bedah siasat," katanya siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 8:56 PM


KERETA yang terbabas. FOTO ihsan polis

Menyamar nenek untuk elak ditangkap

Beijing: Kerajaan China melakukan pelbagai cara menangani masalah menculik kanak-kanak di negara itu.
Bagaimanapun, jenayah itu tetap berlaku, khususnya di kawasan luar bandar negara itu.
Ketika polis meningkatkan cara untuk mengekang kegiatan berkenaan dengan tindakan lebih canggih, penjenayah juga mencari teknologi baru untuk mengelak daripada ditangkap - seperti pewarna rambut.
Seorang wanita dikenali dengan nama keluarganya, Liu, menculik seorang kanak-kanak lelaki ketika mangsa bermain seorang diri di daerah Hui di wilayah Henan, Isnin lalu, lapor portal berita Sena.
Untuk melarikan diri bersama mangsa, Liu menaiki sebuah teksi.
Dalam kenderaan itu, kanak-kanak berkenaan tidak berhenti menangis, meskipun pelbagai cara dilakukan untuk memujuknya.
Ia menimbulkan tanda tanya kepada pemandu teksi itu yang bertindak merakam gambar wanita berkenaan dan kanak-kanak itu menggunakan telefon bimbitnya.
Dengan gambar itu, polis melancarkan gerakan mencari mereka.
Tetapi, Liu lagi pintar. Dia memotong pendek rambutnya dan mewarnakannya putih supaya dia kelihatan berusia 60-an, bukan 40-an. Dia juga memakaikan kanak-kanak itu baju perempuan.
Dia berjaya memperdaya polis dengan tindakan itu seketika sebelum rahsianya akhirnya terbongkar selepas polis membandingkan gambar dalam gambar itu dengan wajah Liu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:05 AM

LIU (kanan) yang sudah mewarnakan rambutnya untuk kelihatan lebih tua, berbanding gambar yang dirakam pemandu teksi.

Bas rempuh dua kereta di India, 17 mati



PASUKAN penyelamat memeriksa sebuah bas yang terjatuh ke dalam gaung di lebuh raya Mumbai-Pune, Mumbai semalam.- AFP


NEW DELHI – Seramai 17 orang mati dan lebih 35 cedera apabila sebuah bas merempuh dua buah kereta sebelum terbalik dan jatuh ke dalam gaung di sebuah lebuh raya dekat Mumbai semalam, kata polis.
Seorang pegawai di Pusat Kawalan Navigasi Polis Mumbai berkata, kedua-dua kereta itu berhenti di tepi lebuh raya Mumbai-Pune Expressway apabila dirempuh bas tersebut yang membawa 50 penumpang.
Semua tiga kenderaan itu terjatuh ke dalam gaung sedalam 6 meter, kata polis.
Seramai 17 orang termasuk enam wanita dan seorang bayi berusia enam bulan mati di tempat kejadian. Kebanyakan mangsa yang maut merupakan penum­pang bas.
“Sebahagian mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal,” kata pegawai berkenaan.
Menurut siasatan awal, pemandu bas gagal melihat lampu belakang kereta itu ekoran kabus pada waktu pagi, demikian lapor akhbar Hindu yang memetik sumber polis. – dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz4Aq7Xw4iE 
Hakcipta terpelihara 

Konsert rock dibatal selepas 80 penonton dipanah petir



IMEJ menunjukkan khemah yang rosak selepas tapak Festival Rock Am Ring dipanah kilat pada Jumaat- AP


BERLIN – Pihak berkuasa Jerman semalam membatalkan hari ketiga dan terakhir sebuah festival rock yang dihadiri lebih 90,000 peminat selepas petir menyambar dan mencederakan 80 orang dengan sebahagian daripada mereka parah.
Festival Rock Am Ring yang memasuki tahun ke-31 penganjuran dan menampilkan beberapa kumpulan ternama seperti Red Hot Chilli Peppers serta Black Sabbath itu berlangsung di sebuah lapangan terbang di Mendig, berdekatan litar lumba Nuerburgring.
Penganjur konsert itu menangguhkan persembahan selama beberapa jam kelmarin semasa satu lagi ribut menyebabkan sebahagian daripada 92,500 peminat bergegas memasuki kenderaan masing-masing untuk berlindung.
Pihak penganjur bercadang untuk meneruskan acara di tempat terbuka itu.
Pihak berkuasa bagaimanapun membatalkan permit acara itu pagi semalam selepas lebih banyak ribut petir diramal melanda.
Laman web penganjur pada awalnya melaporkan seramai 42 orang cedera semasa petir menyambar pada Jumaat lalu tetapi bilangan mangsa kemudian meningkat kepada lebih 80 orang.
Pertubuhan Palang Merah Jerman melaporkan bahawa sekurang-kurangnya lapan orang terpaksa dirawat di hospital.
Seramai 33 orang cedera dipanah petir pada festival sama tahun lalu, demikian menurut media Jerman. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4Aq7Njz25 
Hakcipta terpelihara 

Dadah: 4 sekeluarga, pembantu rumah ditahan


ANGGOTA polis menahan tiga individu serta dua kanak-kanak selepas
ANGGOTA polis menahan tiga individu serta dua kanak-kanak selepas menyerbu sebuah kediaman di tingkat 12 sebuah pangsapuri dan merampas pelbagai barang memproses dadah di Sungai Ara, Pulau Pinang, semalam. UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM
PULAU PINANG 6 Jun - Tindakan sepasang suami isteri yang dipercayai menjadikan pangsapuri mereka sebagai makmal memproses dadah bukan sahaja menjerat diri sebaliknya turut mengheret dua anak perempuan mereka kepada tahanan pihak berkuasa.
Kesemua mereka ditahan dalam serbuan sepasukan anggota dan pegawai polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ne­geri kira-kira pukul 8 pagi ini di pangsapuri yang terletak di Bayan Lepas, di sini.
Selain pasangan itu serta dua anak mereka masing-masing berusia satu dan tujuh tahun, turut ditahan dalam serbuan tersebut ialah pembantu rumah mereka.
Menurut sumber polis, pasa­ngan terbabit bersama anak dan pembantu rumah mereka ditahan setelah pemeriksaan di dalam rumah mereka menemukan sejumlah dadah dipercayai jenis ketamin.
“Hasil pemeriksaan juga mene­mukan pelbagai peralatan yang disyaki digunakan pasangan ter­babit untuk memproses dadah dan semua peralatan itu telah dirampas,” katanya hari ini.
Bagaimanapun, tambah sumber terbabit, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menentukan sama ada pasangan berkenaan terlibat dengan sindiket pengedaran dadah lain termasuk dari luar negara.
Menurutnya, polis juga sedang menyiasat berhubung tempoh pasangan itu mula menjadikan pangsapuri mereka sebagai makmal dadah.
“Selain itu, perintah reman terhadap pasangan berkenaan dan pembantu rumahnya juga sedang diusahakan bagi memudahkan siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelas sumber itu lagi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dadah-4-sekeluarga-pembantu-rumah-ditahan-1.339572#sthash.j7lFuoFX.dpuf

Ketua ajaran sesat Millah Abraham Malaysia ditahan


KUANTAN 6 Jun – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menahan pemimpin nombor satu ajaran sesat Millah Ibrahim @ Abraham (Millah Abraham) di negara ini pada 21 Mei lalu.
Mohamad Noor Abdul Rani
Pengarahnya, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata, de­ngan kekuatan 10 anggota penguat kuasa syariah JAIP dan tiga anggota polis, Mahasan Mat Sa’amah, 37, ditahan di kediaman ibunya di Felda Jengka Tujuh, di sini.
“Mahasan ditahan untuk siasatan terhadap kesalahan penyebaran doktrin palsu di bawah Seksyen 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.
“Susulan daripada penahanan itu, satu perjumpaan diadakan antara Mahasan dengan panel akidah dan syariah JAIP antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, Jumaat lalu di Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan.
“Beliau (Mahasan) mengaku merupakan pemim­pin Millah Abraham di Malaysia dan meyakini ajaran yang dipegangnya adalah benar, beliau telah pun dibebaskan de­ngan jaminan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Millah Abraham mempunyai persamaan dengan Kumpulan Pemuda Kahfi atau Ajaran Bina Negara Islam (Ma’had al-Zaytun) yang difatwakan pengharamannya di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang pada 27 Februari 2009 kerana bertentangan dan menyeleweng daripada akidah serta syariat Islam.
Berdasarkan maklumat, ajaran tersebut berasal dari Bogor, Indonesia dan diketuai oleh Ahmad Musadeq yang pernah membawa ajaran sesat Al-Qiyadah pada 2007.
Mohamad Noor berkata, kesimpulan daripada perjum­paan itu, pemimpin Millah Abraham itu banyak menggunakan fahaman sendiri tanpa mempelajari disiplin ilmu untuk membuat tafsiran pada al-Quran.
Katanya, pemim­pin ajaran sesat ber­kenaan juga telah terpengaruh dengan ajaran yang songsang dari Indonesia tempat beliau menuntut ilmu dahulu.
“Justeru diingatkan kepada orang ramai supaya jangan mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran meragukan seumpama itu,” katanya.
Beliau berkata, ajaran sesat itu tidak mempunyai premis tetap di negeri ini dan lokasi yang digunakan adalah di rumah pengikutnya, warung dan restoran.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/ketua-ajaran-sesat-millah-abraham-malaysia-ditahan-1.339550#sthash.vafC7CVd.dpuf

56 syarikat pelaburan dipercayai tipu RM500j


47 CEO telah dikenal pasti, disiasat

Keratan Utusan Malaysia 20 Mei 2016.
Keratan Utusan Malaysia 20 Mei 2016.
KUALA LUMPUR 6 Jun - Dengan menjanjikan pulangan lumayan, sebanyak 56 syarikat pelaburan yang tidak diiktiraf aktiviti perniagaannya dipercayai telah mengaut keuntungan lebih RM500 juta de­ngan menipu wang orang ramai.
Kesemua syarikat tersebut termasuk beberapa yang dikenali ramai dipercayai mengaut keuntu­ngan tersebut dalam tempoh enam bulan sahaja.
Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, kesemua syarikat terbabit telah menjalankan pelbagai bentuk pelaburan tanpa kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurutnya, antara jenis pelaburan yang dikesan dijalankan syarikat-syarikat terbabit ialah pelaburan komoditi, pelaburan emas dan tukaran matawang.
“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti individu-individu di sebalik syarikat-syarikat berkenaan yang sebahagian besarnya menawarkan pelaburan emas,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Roslan memberitahu, siasatan polis telah mengenal pasti sebanyak 47 ketua pegawai eksekutif (CEO) yang terlibat dalam pelaburan emas dan sedang melakukan siasatan sejauh mana penglibatan mereka.
“Tahun lalu sahaja, kita te­lah menerima 809 laporan berkaitan penipuan membabitkan pelaburan emas ini.
“Daripada jumlah itu, 739 kes telah diambil tindakan dan 70 kes lagi masih dalam siasatan lanjut pihak kami. Bayangkan begitu mudah orang ramai diperdaya oleh mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Roslan turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan apa sahaja bentuk pelaburan dan berhubung dengan pihak polis atau BNM untuk mendapatkan pengesahan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/56-syarikat-pelaburan-dipercayai-tipu-rm500j-1.339578#sthash.x2J9Yf6V.dpuf