Search This Blog

Friday, May 20, 2016

10 juta maut akibat Superbug



BAKTERIA yang imun dengan antibiotik dikatakan bakal menjadi ancaman utama kepada penduduk dunia pada masa akan datang. – Gambar hiasan


LONDON – Dianggarkan sepuluh juta orang maut menjelang 2050 ke­cuali dunia bersatu berusaha mengatasi masalah peningkatan kes bakteria kebal antibiotik yang bakal menjadi pembunuh utama dunia, menurut satu laporan berbaur amaran semalam.
Kajian Mengenai Penenta­ngan Antimikrob menyatakan, langkah-langkah untuk melawan kemunculan bakteria dikenali sebagai ‘Superbug’ itu berlaku apabila sesuatu kuman menjadi imun terhadap ubat-ubatan sekali gus menyebabkan kece­deraan ringan dan jangkitan biasa boleh membawa maut.
“Superbug perlu dilihat sebagai satu ancaman kepada ke­selamatan dan ekonomi. Semua ketua-ketua negara perlu sedar ini satu ancaman besar,” tulis Jim O’Neill, seorang ahli ekonomi yang mengetuai kajian tersebut.
Penggunaan antibiotik secara berlebihan perlu dikurangkan termasuk pemberian ubat-ubatan melibatkan haiwan ternakan, menghentikan preskripsi yang tidak perlu dan melaksanakan kempen kesedaran awam global, gesa laporan tersebut.
Pada masa yang sama, penyelidik juga perlu digalakkan untuk membangunkan antibiotik baharu melalui dana global bagi penyelidikan dan memberi ganjaran kepada saintis yang berjaya melakukannya.
Kos bagi melaksanakan langkah-langkah tersebut dianggarkan mencecah AS$40 juta (RM163 juta) dalam tempoh le­bih 10 tahun lalu, jauh lebih rendah berbanding kos jika masalah yang semakin meningkat itu tidak ditangani.
“Tiada alasan untuk kita tidak bertindak berdasarkan apa yang kita tahu tentang kesan kenaikan kekebalan bakteria terhadap ubat. Sama ada sekarang atau kemudian, setiap kerajaan pasti akan berhadapan dengan kos ini,” kata laporan itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran peningkatan antimikrob mungkin menyebabkan manusia kembali ke era praantibiotik apabila berjuta-juta manusia mati dalam pandemik sebelum ubat ditemui boleh merawat mereka. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz499IlnyQI 
Hakcipta terpelihara 

Dua kampung di Sri Lanka lenyap






PENDUDUK kampung meredah lumpur selepas tanah runtuh di daerah Kegalle semalam. - AGENSI

COLOMBO – Lebih 150 orang dikhuatiri mati tertimbus dalam dua kejadian tanah runtuh selepas hujan lebat lebih tiga hari melanda tengah Sri Lanka, kata beberapa pegawai pengurusan bencana semalam.

Angka rasmi terbaharu menunjukkan hujan lebat di Sri Lanka memaksa lebih 196,000 orang berpindah, manakala 19 mayat sudah ditemui di seluruh negara Asia Selatan itu, menjadikan jumlah kematian setakat ini meningkat kepada 35 orang.

Beberapa pegawai berkata, lebih 350 orang diselamatkan dalam operasi menyelamat di kawasan-kawasan terjejas tanah runtuh di seluruh Sri Lanka semalam.

Usaha menyelamat, kata mereka, kini tertumpu di bandar Aranayaka, sekitar 100 kilometer ke timur laut Colombo di mana tiga buah kampung tertimbus di daerah Kegalle, tengah negara itu kelmarin.

Bercakap selepas menghadiri mesyuarat pengurusan bencana di Aranayaka, Ketua Pengarah Persatuan Palang Merah Sri Lanka, Neville Nanayakkara berkata, jumlah korban sebenar dikhuatiri lebih tinggi daripada angka rasmi kerajaan.

“Pada mesyuarat ini, kami diberitahu terdapat antara 300 hingga 400 orang dikhuatiri tertimbus dalam tanah runtuh di Aranayaka,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 150 orang telah diselamatkan di kawasan Aranayaka, manakala nasib 150 mangsa lagi tidak dapat dipastikan.

Polis berkata, sekurang-kurangnya 16 penduduk tertimbus dalam kejadian tanah runtuh lain di Bulathkopitiya, juga di daerah Kegalle.

Jurucakap tentera, Jayanath Jayaweera pula memberitahu, askar-askar telah menemui 13 mayat di lokasi tanah runtuh di Aranayaka dan tiga dari Bulathkopitiya.

“Seramai 150 orang yang diselamatkan di Aranayaka telah dihantar ke enam kem perlindungan sementara yang didirikan untuk mangsa bencana di kawasan ini,” katanya. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz499IAXOJk
Hakcipta terpelihara 

2 maut, dua parah dalam kemalangan di Siburan


DUA kenderaan remuk teruk selepas terlibat dalam kemalangan maut
DUA kenderaan remuk teruk selepas terlibat dalam kemalangan maut di simpang lampu isyarat Taman Sentah, Siburan, Kuching, Sarawak, semalam.
KUCHING 18 Mei – Dua maut dan dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabit sebuah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di simpang lampu isyarat Taman Sentah, Siburan, di sini pukul 4.25 petang ini.
Pegawai Turus Trafik IPK Sara­wak, Deputi Superintenden Alexson Naga berkata, kemalangan membabitkan kereta Viva dan kenderaan pacuan empat roda itu meragut nyawa pemandu kereta, Steward Bujeng Labor, 70, dan penumpang wanita, Julie Stewart, 30.
Katanya, dua penumpang ke­reta itu, Juliana Jauh Anak Siyang, 57, dan Snowline Anak Dunstan, 18, cedera parah ma­nakala pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 35 tahun dari Kuching itu, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Keempat-empat mangsa berasal dari Kampung Tian Mawang, Serian, katanya.
Menurut Alexson, Steward disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Julie yang merupakan penumpang hadapan, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Umum Sa­rawak.
Katanya, semua mangsa di­bawa ke Hospital Umum Sarawak dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Hasil siasatan mendapati kereta Viva itu hendak membelok masuk ke Taman Sentah manakala kenderaan pacuan em­pat roda berkenaan bergerak lurus menuju ke arah Kuching,” katanya. – BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/2-maut-dua-parah-dalam-kemalangan-di-siburan-1.331851#sthash.fJCN2Wju.dpuf

Rugi RM182.3 juta bahana Love Scam


Ikmal Hisham Abdul Aziz
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 1,773 individu yang terlibat dengan kegiatan itu telah berjaya ditahan polis sejak 2013 hingga kini.
Katanya, polis telah mengambil langkah proaktif bagi mencegah aktiviti itu yang terlalu meluas sebarannya di media sosial malah masalah ini turut berlaku di negara lain.
“Selain itu, pi­hak polis juga meningkatkan usaha bagi menangkap dan mendakwa individu atau sindiket yang melakukan peni­puan Love Scam dengan melibatkan mereka yang menjadi keldai akaun di mana mereka memberikan akaun untuk memudahkan penjenayah melakukan kegiatan mereka.
“Di samping itu, kita beri amaran dan ingatkan orang perseorangan agar jangan menjadi keldai akaun walaupun dijanjikan habuan yang lumayan oleh penjenayah dan tindakan dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) akan diambil ke atas pemilik akaun tersebut,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) di sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini dalam laporannya beberapa kali mendedahkan mengenai kegiatan sindiket Love Scam yang banyak melibatkan lelaki warga Afrika.
Antaranya pada 11 Mac lalu, akhbar ini melaporkan bahawa sebanyak 99 peratus mangsa Love Scam ialah wanita tempatan manakala selebihnya warga Singapura, Viet­nam, Hong Kong, Australia dan Amerika Syarikat yang turut terpedaya dengan sindiket yang ber­operasi di negara ini.
Menurut Ahmad Zahid, selain itu kerjasama juga dilakukan dengan Bank Negara Malaysia untuk memantau akaun-akaun yang disyaki terlibat dengan kegiatan Love Scam itu.
“Kempen-kempen kesedaran ju­ga turut dijalankan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat agar sentiasa teliti dan cermat sebelum membuat sebarang keputusan,” jelasnya.
Ahmad Zahid juga turut mendedahkan kes terbaharu Love Scam yang membabitkan seorang wanita warga Indonesia yang kerugian RM1.4 juta setelah ditipu seorang lelaki setelah dia melayari laman web singlemuslim.com.
“Pertemuan antara wanita Indonesia dan lelaki tersebut sepatutnya berlangsung di Kuala Lumpur dan wanita berkenaan diminta memasukkan wang RM1.4 juta terlebih dahulu.
“Bagaimanapun pertemuan ini tidak berlaku dan wanita tersebut telah membuat satu laporan polis, jadi saya ingin nasihatkan agar jangan jatuh cinta dengan cinta palsu,” jelasnya.
Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) sama ada perlu diwujudkan satu unit khas bagi mengatasi sindiket Love Scam itu, Ahmad Zahid memberitahu, unit-unit khas yang ada dalam PDRM seperti Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) mencukupi untuk menangani kegiatan jenayah tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/rugi-rm182-3-juta-bahana-i-love-scam-i-1.331876#sthash.HrSIq1eJ.dpuf

Dua bersaudara diberkas, 
wang tunai RM2.4juta dirampas


KANGAR 19 Mei – Dua ahli perniagaan dipercayai bersaudara diberkas bersama wang tunai berjumlah RM2.4 juta ketika menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 24, Jalan Ulu Pauh-Padang Besar dekat sini semalam.
SEBAHAGIAN wang tunai berjumlah RM2.4 juta yang dirampas daripada dua ahli perniagaan di Kilometer 24, Jalan Ulu Pauh-Padang Besar, kelmarin.
Kesemua wang tunai yang terdiri daripada 48,000 keping not RM50 itu ditemukan disimpan di dalam dua buah kotak di bahagian belakang SUV jenis Audi Q7 itu.
Ketika ditahan sepasukan anggota Agensi Keselamatan Sempadan (Aksem) pada pukul 6.30 petang, kedua-dua lelaki berusia 19 dan 54 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Padang Besar ke Chuping dekat sini.
Turut dirampas kenderaan tersebut bernilai RM400,000 serta dua buah telefon bimbit.
Berdasarkan hasil soal siasat terhadap kedua-dua lelaki yang berasal dari Padang Besar itu, wang berkenaan dikatakan hendak dibawa ke Pulau Pinang.
Mereka bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen berkenaan wang itu.
Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram 2001 dan Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).
Sementara itu, sumber memberitahu, kedua-dua ahli perniagaan terbabit dipercayai terlibat dalam kegiatan mengurup wang tunai secara haram di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Katanya, pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan mereka terlibat dalam perniagaan haram lain di Padang Besar, Thailand.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-bersaudara-diberkas-8232-wang-tunai-rm2-4juta-dirampas-1.332312#sthash.41PmV9ZL.dpuf

Lebih 300 dikhuatiri maut, tanah runtuh di Sri Lanka


Penduduk Sri Lanka berjalan mengharungi lumpur selepas satu kejadian
PENDUDUK Sri Lanka berjalan mengharungi lumpur selepas satu kejadian tanah runtuh besar berlaku di Aranayaka di daerah Kegalle kira-kira 72 kilometer utara Colombo, Sri Lanka, semalam. - AP
COLOMBO 18 Mei – Lebih 300 orang dikhuatiri maut dalam dua kejadian tanah runtuh di tengah Sri Lanka, ekoran hujan lebat selama dua hari di negara ini.
Hujan lebat luar biasa sejak beberapa hari itu turut memaksa lebih 196,000 penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.
Ketua Pengarah Pasukan Palang Merah Sri Lanka, Neville Nanayakkara yang menghadiri mesyuarat khas berkaitan bencana itu berkata, korban akibat kejadian tanah runtuh itu mungkin lebih tinggi.
“Ketika mesyuarat, didedahkan bahawa antara 300 hingga 400 mangsa dikhuatiri meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Aranayaka,” kata Nanayakkara.
Setakat ini, 35 orang disahkan terkorban dengan 19 mayat terbaharu ditemukan.
Menurut pihak berkuasa, operasi menyelamat kini tertumpu di kawasan Aranayaka, sebuah pekan kecil kira-kira 100 kilometer dari timur laut Colombo, selepas tiga buah perkampungan di wilayah Kegalle ditenggelami banjir.
Sementara itu, sekurang-kurangnya 16 orang terperangkap dalam satu lagi kejadian tanah runtuh di Bulathkopitiya.
Jurucakap tentera, Jayanath Jayaweera berkata, pihaknya telah menemukan 13 mayat di Aranayaka dan tiga lagi di Bulathkopitiya, manakala seramai 150 mangsa yang terselamat di Aranayaka kini ditempatkan di enam buah kem khas.
Kata Jayaweera, khidmat bot dan helikopter juga terpaksa digunakan untuk menyelamatkan lebih 200 mangsa lagi yang terperangkap di bahagian barat daya Puttalam.
Fenomena banjir dan kemarau silih berganti di Sri Lanka ekoran angin monsun selatan antara Mei dan September, manakala angin timur laut pula melanda dari Disember hingga Februari setiap tahun. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lebih-300-dikhuatiri-maut-tanah-runtuh-di-sri-lanka-1.331795#sthash.BmVF2Ur3.dpuf

Seorang terbunuh, 85 cedera gempa bumi di Ecuador


Orang ramai berkumpul di kawasan terbuka selepas gempa bumi menyebabkan
Orang ramai berkumpul di kawasan terbuka selepas gempa bumi menyebabkan bangunan bergegar di Quito, Ecuador, kelmarin. AFP
QUITO 19 Mei – Seorang maut, manakala 85 lagi cedera apabila dua gempa bumi masing-masing berukuran 6.8 dan 6.7 pada skala Richter menggegarkan Ecuador, semalam.
Presiden Ecuador, Rafael Co­r­rea berkata, kejadian itu berlaku sebulan selepas gempa bumi besar melanda negara ini, menyebabkan 700 orang awam terbunuh.
Katanya, kedua-dua gegaran itu berlaku di bahagian barat laut Ecua­dor, berhampiran sebuah pusat peranginan di pekan Mompiche, kira-kira 60 kilometer ke utara Pe­dernales, bandar yang teruk terjejas akibat bencana sama sebelum ini.
Menurut beliau, gegaran pertama berlaku pada awal pagi, di­ikuti gegaran berikutnya sebelum tengah hari.
Mangsa yang maut tinggal di pekan Tosagua, manakala 85 yang lain pula hanya cedera ringan.
“Punca kematian lelaki itu masih belum dipastikan setakat ini. Namun, dia dipercayai cuba melarikan diri daripada kawasan bencana tersebut sebelum terjatuh dan mengalami hentakan di bahagian tengkorak.
“Satu lagi dakwaan menyatakan lelaki itu mati selepas ditimpa objek. Jadi, kami sedang cuba untuk menjelaskan perkara ini,” kata Correa. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/seorang-terbunuh-85-cedera-gempa-bumi-di-ecuador-1.332205#sthash.CieiQIWa.dpuf

Tiada kematian insiden pesawat pengebom Amerika


Gambar oleh KUAM News menunjukkan pesawat pengebom AS B-52 terbakar
Gambar oleh KUAM News menunjukkan pesawat pengebom AS B-52 terbakar sejurus terhempas di Pangkalan Tentera Udara Andersen, di Guam, semalam. AFP
GUAM 19 Mei – Sebuah pesawat pengebom B-52 milik Amerika Syarikat (AS) terhempas di Pangkalan Tentera Udara Andersen, di sini hari ini.
Bagaimanapun menurut tentera, semua tujuh anak kapal pesawat berkenaan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kejadian berlaku pada pukul 8.30 pagi waktu tempatan dan rakaman imej yang disiarkan di media tempatan menunjukkan api dan kepulan asap tebal pada badan pesawat tersebut.
“Bantuan kecemasan digerakkan ke lokasi kejadian. Semua mereka selamat, tiada yang cedera,” kata Tentera Udara AS dalam satu ken­yataan di sini.
Pesawat itu berlepas ke Ander­sen dari Minot, Dakota Utara, untuk misi rutin latihan.
Kenyataan itu menambah, insiden berkenaan masih dalam siasatan.
Sementara itu, agensi berita The Pacific Daily News yang memetik Ketua Jabatan Bomba Guam, Joey San Nicolas berkata, kejadian diklasifikasikan sebagai kemalangan.
“Tidak wujud sebarang unsur serangan. Sepatutnya tiada pihak yang menyebarkan spekulasi atau maklumat palsu selain kenya­taan rasmi yang dikeluarkan oleh tentera atau pihak berwajib,” katanya.
Guam merupakan sebuah wilayah yang dikuasai AS selain dianggap sebagai hab utama tentera oleh Washington. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tiada-kematian-insiden-pesawat-pengebom-amerika-1.332241#sthash.SVCSUUab.dpuf

Tujuh maut nahas jet kargo


Gambar fail merakamkan sebuah kapal kargo milik Silk Way Airlines.
Gambar fail merakamkan sebuah kapal kargo milik Silk Way Airlines. AGENSI
KABUL 19 Mei – Sebuah pesawat kargo Azerbaijan terhempas di wilayah Helmand, selatan Afgha­nistan semalam, mengorbankan tujuh daripada sembilan penumpang.
Jabatan penerbangan Azerbaijan (DMAA) memaklumkan, jet milik Silk Way Airlines itu terhempas pada pukul 6.30 petang waktu tempatan sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Dwyer di Helmand.
Helmand menempatkan sebuah pangkalan tentera Afghanistan dan Amerika Syarikat (AS).
Menurut agensi berita Azerbaijan, Azar Tac, pesawat kargo jenis AntonovAn-12 itu dinaiki sembilan penumpang terdiri daripada lima warga Azerbaijan, tiga Ukraine dan seorang rakyat Uzbekistan.
Bagaimanapun dua rakyat Ukraine terselamat dalam kejadian itu.
DMAA menjelaskan, sebuah suruhanjaya yang menyiasat nahas itu akan terbang ke Afghanistan pada hari ini.
Tambahnya, insiden itu merupakan nahas kedua melibatkan pesawat milik Silk Way Airlines di Afghanistan. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tujuh-maut-nahas-jet-kargo-1.332244#sthash.cH6GoiQ5.dpuf