Search This Blog

Sunday, May 15, 2016

Sindiket 'love scam' tipu doktor wanita tumpas

SABTU, 14 MEI 2016 @ 10:59 PM


Oleh Nor Azizah Mokhtar bhnews@bh.com.my

SUSPEK sindiket 'love scam'

KUALA LUMPUR: Seorang doktor wanita warga China yang bermastautin di Britain kerugian RM300,000 selepas ditipu satu sindiket penipuan internet atau 'love scam' didalangi warga Afrika di negara ini.

Penipuan itu terbongkar selepas wanita itu datang ke Malaysia dua bulan lalu untuk bertemu dengan 'kekasih' yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook, namun lelaki berkenaan tidak muncul selepas beberapa jam menunggunya di lapangan terbang.

Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid, berkata mangsa yang berusia 45 tahun menyedari ditipu selepas suspek tidak menjawab panggilan telefon dan mesej sejurus wanita itu sampai ke negara ini.

"Susulan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan JSJK Bukit Aman melancarkan Ops Tiong 8/16 bagi mengesan sindiket berkenaan. "Selepas hampir dua bulan menjalankan siasatan dan risikan, kita akhirnya berjaya mengesan kediaman suspek dan melakukan serbuan pada jam 5 pagi semalam," katanya.


Katanya, tiga lelaki termasuk dalang utama berjaya ditahan dalam serbuan itu selain merampas tujuh telefon bimbit dan tiga komputer riba. "Tiga yang ditahan terdiri daripada dua warga Nigeria dan seorang warga Cameroon, masing-masing berusia 26, 27, dan 29 tahun. "Bagaimanapun, wang mangsa tidak dapat dikesan dan dipercayai ia sudah dihantar ke negara asal suspek di Nigeria," katanya lagi. Roslan berkata, hasil soal siasat mendapati suspek memperdaya mangsa dengan menggunakan identiti dan gambar seorang lelaki Inggeris untuk memikat mangsa. Kata beliau, dalam kes ini, mangsa diminta oleh suspek membuat tiga transaksi pemindahan wang berjumlah RM300,000 ke satu akaun bank milik seorang wanita Malaysia dengan alasan mengalami masalah kewangan. Kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga Khamis depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/153620

Mayat bayi ditemui di gerai pisang goreng

SABTU, 14 MEI 2016 @ 5:08 PM


 Oleh Mohamed Sahidi Yusof bhkb@bh.com.my


PENDUDUK melihat mayat bayi perempuan malang (gambar kecil) yang ditinggalkan di atas meja di sebuah gerai di Kampung Belimbing, Tanah Merah, pagi tadi. - Foto ihsan pembaca


 TANAH MERAH: Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui di gerai menjual pisang goreng di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belimbing di sini, pagi tadi.

Bayi dipercayai baru dilahirkan itu ditemui berbalut dalam tuala berwarna putih. Anisah Awang Senik, 46, menemui mayat itu ketika bersiap untuk memulakan perniagaan di gerai pisang gorengnya pada kira-kira jam 10 pagi.

Ketika berkemas sebelum memulakan perniagaan, beliau terlihat bungkusan tuala di atas meja makan gerainya. "Saya mendekati untuk melihatnya dan tergamam apabila melihat bayi berwajah kebiruan dipercayai sudah tidak bernyawa dibalut dalam tuala berkenaan.

 "Mulanya saya ingin membuka tuala itu tetapi tidak berani menyentuhnya, lalu meminta orang ramai berhampiran supaya menghubungi polis," katanya.

Anisah berkata, mayat bayi itu dipenuhi semut di kaki dan badan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad, mengesahkan kejadian berkenaan. "Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/153564

Doktor sakit puan dituduh 'pencuri' telur

AHAD, 15 MEI 2016 @ 12:39 AM



 SEVERINO Antinori. - Foto AFP

 ROME: Pakar sakit puan yang terkenal dengan kontroversi membantu wanita berusia 60-an untuk mendapatkan zuriat ditahan di rumahnya dekat sini kerana disyaki mengeluarkan telur daripada ovari pesakit tanpa kebenaran.

Peguam yang mewakili Severino Antinori yang juga terkenal dengan jolokan 'pakar sakit nenek' menyangkal tuduhan itu dan mendakwa anak guamnya adalah mangsa cubaan peras ugut.

 Polis berkata, Antinori, 70, ditahan di Lapangan Terbang Fiumicino, Rome pada pagi Jumaat lalu susulan aduan yang difailkan seorang wanita berusia 24 tahun yang mendakwa mendapatkan rawatan masalah ketumbuhan pada ovari.

Mangsa warga Sepanyol seorang jururawat berkelayakan yang baru bertugas di klinik terbabit. Dia dikatakan cuba mendapatkan rawatan selepas dipastikan mempunyai ketumbuhan pada ovari.

Wanita itu berkata, ketika mendapatkan rawatan pada 5 April lalu, pakar terbabit dikatakan mengambil telefon bimbit lalu membius dan melakukan pembedahan tanpa kebenaran.

Susulan kejadian itu, lesen Antinori digantung selama setahun dan diarahkan tinggal di rumah sementara siasatan lanjut dijalankan atas tuduhan mencuri dan menyebabkan kecederaan. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/153685

Love Scam: Tiga lagi ahli sindiket diberkas


MASZUREEN HADZMAN  |  15 Mei 2016 12:15 AM



KUALA LUMPUR 14 Mei – Walaupun sering diingatkan dengan penipuan sindiket Love Scam, kes-kes sedemikian terus dilaporkan.
Terbaharu, seorang wanita warga China kerugian RM300,000 selepas terpedaya dengan ‘janji manis’ teman lelaki warga British yang dikenali di laman sosial Facebook sejak tahun lalu.
Lebih malang, wanita yang menetap di United Kingdom itu sanggup datang ke Malaysia hanya untuk menemui kekasihnya itu.
Wanita yang tiba di Malaysia pada dua bulan lalu itu, bagaimanapun menyedari dirinya ditipu selepas lelaki tersebut tidak muncul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menjemputnya.
Sakit hati dan kecewa dengan penipuan itu, mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa negara ini.
Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Se­nior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, bertindak atas maklumat, satu serbuan telah dijalankan di sebuah Kondominium di Bukit Jalil dan menahan tiga lelaki terlibat dengan penipuan itu kelmarin.
Menurut beliau, suspek yang terdiri daripada dua lelaki warga Nigeria dan seorang lelaki warga Cameron diberkas dalam serbuan kira-kira pukul 5 pagi oleh sepasukan polis daripada JSJK.
“Hasil tangkapan tersebut, kita turut merampas tiga komputer riba, beberapa buah telefon bimbit, kad bank serta iPad yang digunakan sindiket untuk menipu mangsa.
“Siasatan lanjut ke atas suspek, kesemua individu terbabit mengaku melakukan kegiatan itu. Bagaimanapun wang mangsa yang mereka tipu telah dihantar ke negara mereka,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Roslan memberitahu, pihaknya kini masih memburu beberapa lagi anggota sindiket yang dipercayai masih bergiat aktif dalam kegiatan tersebut.
“Kesemua yang ditahan berusia antara 26 sehingga 29 tahun itu kini ditahan direman selama seminggu dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan ke­rana menipu,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/i-love-scam-i-tiga-lagi-ahli-sindiket-diberkas-1.326105#sthash.UT5BycSt.dpuf

Jumlah pelajar sekolah menengah terlibat dadah semakin meningkat - AADK


grafik dadah

BUTTERWORTH 14 Mei - Jumlah pelajar sekolah menengah di seluruh negara yang dikesan terlibat dalam gejala dadah semakin meningkat walaupun pelbagai strategi dilaksanakan bagi membanterasnya, demikian menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Timbalan Ketua Pengarah Operasi AADK, Izhar Abu Talib berkata, statistik menunjukkan 717 pelajar berusia lingkungan 13 hingga 18 tahun dikesan terjebak dengan gejala penyalahgunaan dadah tahun lepas berbanding 622 pelajar tahun 2014.
"Hasil operasi dan pemeriksaan ujian air kencing, sejak Januari hingga April tahun ini, kami mengesan 50 pelajar terlibat dengan dadah. Jumlah itu daripada sebahagian operasi dan pemeriksaan yang dijalankan dan saya percaya sekiranya digiatkan berkemungkinan pelajar yang dikesan terbabit dengan dadah meningkat kepada empat ke lima kali ganda.
"AADK bimbang dan khuatir kegiatan itu menjadi ancaman kepada golongan belia akan datang, jadi kita perlu tingkatkan lagi strategi bagi memerangi dadah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah dan Kerjaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Murni, di sini hari ini.
Program sehari dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan itu diadakan bagi membentuk pembangunan sahsiah pelajar dalam membasmi najis dadah dengan melakukan aktiviti bermanfaat dan menyihatkan tubuh badan.
Izhar berkata, faktor utama kebanyakan pelajar terlibat dengan aktiviti dadah adalah kerana sifat ingin tahu dan terpengaruh dengan rakan sebaya yang telah mengambil bahan terlarang berkenaan. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/jumlah-pelajar-sekolah-menengah-terlibat-dadah-semakin-meningkat-aadk-1.325997#sthash.4LbMoT6F.dpuf

Mayat bayi perempuan ditinggalkan di gerai pisang goreng


Mayat bayi yang dipenuhi semut di bahagian kaki dan badan kemudian diserahkan kepada polis.

TANAH MERAH 14 Mei- Mayat seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemukan di sebuah gerai pisang goreng di Kampung Belimbing di sini, hari ini.
Pemilik gerai tersebut, Anisah Awang Senik, 46, menemui mayat bayi yang masih bertali pusat itu yang dibalut dengan sehelai tuala diletakkan di atas meja di gerai berkenaan.
Ketika itu beliau baru tiba untuk memulakan perniagaan pada 10.00 pagi.
Anisah berkata, mayat berkenaan yang dipenuhi semut di bahagian kaki dan badan kemudian diserahkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Suzaimi Mohamad ketika dihubungi berkata mayat tersebut dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat.- BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mayat-bayi-perempuan-ditinggalkan-di-gerai-pisang-goreng-1.325979#sthash.W1SVLRbR.dpuf

Taktik menyamar gagal


PPM rampas rokok, minuman keras seludup RM1.48 juta

PAUL KHIU KHON CHIANG (dua dari kiri) bersama pegawainya  menunjukkan

PAUL KHIU KHON CHIANG (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan antara barang rampasan yang disimpan dalam sebuah lori di jeti Pantai Lorong Aman, Api-Api, Pontian, Johor, semalam. MINGGUAN/NUR AISYAH MAZALAN
JOHOR BAHRU 14 Mei - Taktik sindiket penyeludupan mewarnakan bot berisi rokok dan minuman keras serupa dengan yang digunakan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi mengaburi pihak berkuasa itu terbongkar apabila mereka diserbu di sebuah jeti persendirian di Pantai Lorong Aman, Api-Api, Pontian, kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu, sebanyak 104,000 peket rokok dan 2,880 minuman keras yang dipercayai diseludup dari negara jiran bernilai RM1.48 juta dirampas.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, semasa serbuan, terdapat sebuah bot pancung di pesisir pantai dan kelihatan sekumpulan orang sedang memunggah kotak dipercayai berisi rokok serta minuman keras ke dalam tiga buah lori.
Menurutnya, menyedari kehadiran polis, kesemua suspek bertindak melarikan diri ke hutan berhampiran dan meninggalkan 10,400 karton rokok dan 2,880 minuman keras pelbagai jenama.
“Kita turut menyita tiga buah lori, sebuah bot empat enjin de­ngan 300 kuasa kuda setiap satu dan sebuah bot mewah Bayliner dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan RM2.6 juta.
“Bot mewah berukuran 12 meter panjang yang dirampas dipercayai digunakan sebagai pengiring bot berisi barangan seludup,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ujar Khon Chiang, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(b) Akta Kastam, 1967.
“Sepanjang Januari hingga hari ini, sebanyak 14 kes dilaporkan melibatkan rampasan 676,275 bungkus rokok bernilai RM8.32 juta termasuk cukai, 11 buah kenderaan dan lima enjin sangkut. Seramai 14 orang disyaki ahli sindiket berjaya ditahan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/taktik-menyamar-gagal-1.326069#sthash.JVeAEkKw.dpuf