Search This Blog

Wednesday, May 11, 2016

Pengawal keselamatan didakwa cabul anak tiri


11 MEI 2016


KUALA LUMPUR - Seorang bapa tiri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencabul anak tirinya, Januari lalu.

Warga emas berumur 60 tahun itu didakwa telah memeluk dan mencium anak perempuan tirinya berusia 12 tahun dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di dalam kereta di hadapan sebuah sekolah di Wangsa Maju antara 6 dan 8 pagi, 28 Januari lepas.

Bagi pertuduhan kedua tertuduh yang merupakan pengawal keselamatan itu didakwa memeluk pinggang dan meraba mangsa dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di atas kerusi kayu sebuah rumah di Wangsa Maju pada 1 pagi, 31 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar menawarkan wang jaminan RM8,000 bagi pertuduhan pertama dan RM10,000 bagi pertuduhan kedua dengan seorang penjamin serta memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam Ahmad Zahid Abu Hasim memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan tertuduh perlu menyara empat orang anak.

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 14 Jun untuk sebutan semula kes. – Bernama

Tiga lelaki aktif samun hotel bajet ditahan


10 MEI 2016



Kes jenayah
SHAH ALAM - Tiga lelaki dipercayai suspek samun hotel bajet yang aktif di sekitar Shah Alam sejak awal tahun ini, ditahan dalam dua serbuan berasingan, April lepas.

Ketua Polis Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata suspek yang berumur lingkungan 24 hingga 26 tahun itu diberkas di sekitar daerah itu pada 20 dan 21 April.

"Tangkapan pertama dibuat pada 20 April pada 7 malam, seorang lelaki berumur 26 tahun ditahan...hasil soal siasat, pihak kami kemudian membuat tangkapan susulan terhadap dua lagi rakan suspek berumur 24 dan 25 tahun pada keesokan harinya (21 April)," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebilah parang, sejumlah wang tunai, jaket polis, gari dan pelbagai jenis kunci kereta.

"Modus operandi yang digunakan kumpulan ini ialah masuk ke hotel bajet sebagai pelanggan dan kemudian mengugut pekerja di kaunter (hotel) menggunakan parang supaya mereka menyerahkan wang tunai sebelum suspek bertindak melarikan diri.  

"Selain dipercayai terlibat dalam tiga kes samun di Shah Alam, siasatan  menunjukkan mereka turut terlibat dalam dua kes samun di Kuala Langat dan Klang Selatan," katanya.

Berikutan itu, ketiga-tiga suspek direman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis turut menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes curi.

"Suspek ditahan Ahad lepas pada 11.40 malam selepas merempuh sekatan polis sebelum kereta Proton Iswara yang dipandunya terbabas berhampiran stesen minyak di Seksyen 16 di sini.

"Pemeriksaan polis ke atas kenderaannya menemukan beberapa kad pengenalan milik orang lain yang kami percayai daripada kegiatan jenayah suspek," katanya.

Susulan itu, polis kemudian membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Maju Jaya, Cheras, pada 9 malam tadi dan turut menemukan barangan lain termasuk wang tunai berjumlah RM15,000 dan beberapa telefon bimbit.

"Siasatan awal menunjukkan suspek terlibat dalam empat kes curi di beberapa hospital termasuk di Nilai, Negeri Sembilan dan dia disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. - Bernama

Penjaga kedai komputer didakwa samun wartawan


10 MEI 2016


KUALA LUMPUR - Seorang penjaga kedai komputer mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan terhadap seorang wartawan portal, bulan lepas.

K. Rajandran, 40, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan pisau dan merampas seutas rantai emas serta wang tunai RM30 milik wartawan lelaki portal Mobilogic, V. Moganraj, 25, di Jalan Tun Sambathan, Brickfields, di sini, pada 8 pagi, 1 April lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun, Rajandran yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan jaminan yang minimum kepadanya.

Hakim Azman Mustapha tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana penjamin tidak hadir ke mahkamah dan menetapkan 23 Mei depan untuk sebutan semula kes.  

Di mahkamah sama, seorang penjaga parkir, Muhammad Ariffin Abdullah, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merompak sekeping kad pengenalan, sebuah telefon bimbit jenama Samsung, dua keping kad ATM, seutas jam tangan dan sebentuk cincin emas milik seorang pelayan restoran, Nurmashuda Yahaya, 26, dengan bersenjatakan pisau.

Muhammad Ariffin didakwa melakukan kesalahan itu di lorong pejalan kaki tepi Sungai Kelang arah ke tren Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Jelatek, di sini, pada 6.30 pagi, 21 Oktober tahun lepas. Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak menetapkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana penjamin tidak hadir dan menetapkan 20 Mei ini untuk sebutan semula kes. –Bernama

Rempuh bas: Suami isteri cedera


HAMIZAH BASIR
10 MEI 2016
Rempuh bas: Suami isteri cedera

 Rempuh bas: Suami isteri cedera Proton Waja yang dinaiki suami isteri remuk selepas berlanggar dengan bas sekolah di Jalan Serting- Bahau, di sini, petang tadi.
JEMPOL - Sepasang suami isteri cedera selepas kereta yang dinaikinya merempuh bas sekolah di Jalan Serting-Bahau, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2.50 petang itu, suami isteri yang menaiki kereta jenis Proton Waja itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Serting ke Bahau.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, Pegawai Bomba Kanan II, Kamaruzzaman Md Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.54 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebuah jentera bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan sebaik tiba kelihatan semua murid sekolah berada di luar bas.

"Pasangan suami isteri berusia 50an itu telah dikeluarkan oleh bantuan orang awam dan dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan,"katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pemandu bas dan 30  penumpang murid sekolah itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Bas dipercayai dalam perjalanan pulang menghantar murid-murid ke rumah masing-masing dari arah Jalan Bahau ke Serting.

"Kemalangan dipercayai berlaku secara berhadapan apabila kedua-dua kenderaan mengalami remuk di bahagian depan sebelah kanan," katanya.

Katanya, kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Lelaki ditahan, sorok kereta curi di belakang rumah


MASTURAH SURADI
11 MEI 2016

Lelaki ditahan, sorok kereta curi di belakang rumah

 Lelaki ditahan, sorok kereta curi di belakang rumah Kereta yang dijumpai di belakang rumah suspek di Kampung Gembut, Tanjung Sedili
KOTA TINGGI - Tindakan seorang lelaki menyorokkan sebuah kenderaan curi di belakang rumahnya tidak berhasil apabila ditahan polis Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, tangkapan dilakukan dalam Ops Bersepadu Khas oleh sepasukan empat anggota diketuai Ketua Polis Balai Kuala Sedili, Sarjan Mejar Md Tawal Abd Manap.

Menurutnya, bertindak atas maklumat pasukan itu melakukan serbuan kira-kira jam 5.15 petang di sebuah rumah dekat Kampung Gembut, Tanjung Sedili.

"Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 28 tahun yang juga tuan rumah telah ditahan. Pemeriksaan di bahagian belakang rumah itu turut menjumpai sebuah kereta jenis Isuzu berwarna hitam.

"Semakan mendapati kenderaan tersebut masih dilaporkan hilang pada 25 April lalu di Pasir Gudang dan kes tersebut disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya semalam.

Rahmat berkata, suspek adalah penduduk tempatan dan pernah ditahan bersabit kes penagihan dadah.

"Suspek juga dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal di kawasan Kampung Gembut, Kuala Sedili. Pihak polis kini masih menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek," katanya lagi.

Lumba kereta berakhir tragedi, pemandu maut


8 MEI 2016



MIRI - Perlumbaan kereta pecut yang berlangsung di tapak lapangan terbang lama Miri di Lutong, dekat sini berakhir tragedi apabila seorang daripada peserta maut dalam perlumbaan itu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Junaidi Bujang berkata, Wong Teck King, 37, maut serta-merta akibat tercampak keluar dari kereta yang dipandunya semasa perlumbaan yang berlangsung pada 1.40 tengah hari itu.

"Kereta dipandu mangsa hilang kawalan selepas melalui garisan penamat sebelum terbabas di kawasan kebun berdekatan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Junaidi berkata, mangsa dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Miri dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius pada organ dalaman.  

"Semasa kejadian, cuaca baik dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987." 

Polis tumpas sindiket palsu penyata KWSP

RABU, 11 MEI 2016 @ 1:10 PM

  Oleh Mohd Iskandar Ibrahim mohd_iskandar@bh.com.my

POLIS menumpaskan sindiket pemalsuan penyata KWSP yang digunakan untuk membuat pinjaman bank. - Foto Surianie Mohd Hanif SUBANG JAYA: Polis menumpaskan sindiket pemalsuan penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang digunakan untuk membuat pinjaman bank selepas menahan empat lelaki kelmarin. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari, berkata suspek berusia antara 21 hingga 45 tahun itu ditahan di sebuah pusat beli-belah di sini, hasil risikan. "Susulan aduan dua bank pada 4 dan 5 Mei lalu, polis menubuhkan satu pasukan khas dan hasilnya berjaya menahan dua ejen dan dua lagi peminjam yang cuba berurusan menggunakan penyata palsu terbabit. "Dengan penahanan ini, polis percaya dapat menyelesaikan dua kes sebelum ini membabitkan kerugian berjumlah RM27,800," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, sebentar tadi.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/152528

Gempa bumi 5.5 magnitud gegar Tibet

RABU, 11 MEI 2016 @ 2:25 PM

BEIJING: Satu gempa bumi cetek dengan kekuatan 5.5 magnitud melanda kawasan pergunungan Tibet dan negeri China hari ini dan menjangkakan ada yang terkorban, kata pentadbiran.

Gempa bumi melanda pada jam 9.15 pagi (waktu tempatan), 70 kilometer ke barat laut kampung Gyamotang pada kedalaman hanya 10 kilometer, menurut Pusat Kajian Geologi AS (USGS).

Gempa bumi itu berlaku berhampiran sempadan Tibet dengan wilayah Qinghai di utara. Agensi berita rasmi China Xinhua memetik biro seismologi serantau sebagai berkata, gempa itu berpusat di Kata Town, kira-kira 2,200 kilometer dari ibu negara Beijing dan tapak dua kuil Buddha utama.

 Ketua pentadbir bandar ini, dikenali sebagai Samba, memberitahu Xinhua beliau menemui dua orang yang cedera dalam perjalanan untuk membantu usaha menyelamat di sebuah kampung 10 kilometer dari situ.

Jalan-jalan menuju ke kampung Guodong yang runtuh turut menghalang penyelamat, kata Xinhua. Rantau barat China di kaki bukit Himalaya adalah zon gempa bumi yang aktif, dan gempa bumi pada 2010 berdekatan Yushu mengorbankan hampir 3,000 orang.


 Gempa bumi 7.9 magnitud yang melanda wilayah Sichuan pada Mei 2008 pula mengorbankan hampir 90,000 orang dalam kejadian terburuk di China sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - AP


 GEMPA bumi cetek dengan kekuatan 5.5 magnitud melanda kawasan pergunungan Tibet dan negeri China hari ini. - Foto Google   DISYORKAN

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/152551

Pegawai kanan Imigresen, isteri hadapi 4 tuduhan rasuah

RABU, 11 MEI 2016 @ 12:12 PM

 Oleh Fairuz Zaidan fairuzaidan@bh.com.my

MARZUAN (kiri) bersama isteri Norizan (belakang, baju merah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM5,400 bagi membantu mendapatkan permit kerja yang sah tanpa perlu ke Jabatan Imigresen Melaka. - Foto Rasul Azli Samad


AYER KEROH: Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Melaka dan isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, pagi ini atas empat pertuduhan rasuah bersama untuk mendapatkan permit kerja pada tahun 2014. Tertuduh, Marzuan Sungep, 57, dan Norizan Hashim, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka. Mereka didakwa bersama-sama menerima rasuah berjumlah RM5,400 daripada Helmida Mukhlis sebagai upah mendapatkan permit kerja yang sah dari Jabatan Imigresen Melaka. Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Malim Jaya pada 13 November serta Bachang pada 14 November dan 17 November 2014. Marzuan dan Norizan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut nilai yang lebih tinggi. Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ong Cheng Hian memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi bagi setiap tertuduh kerana kegagalan melapor diri ke pejabat SPRM bagi membantu siasatan sejak awal tahun ini. Norma menetapkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh dan 13 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/152510

Pelajar tingkatan 5 ditahan, disyaki menyamun

RABU, 11 MEI 2016 @ 3:18 PM

SUNGAI PETANI: Seorang pelajar lelaki tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini, ditahan polis selepas disyaki menyamun seorang wanita berusia 49 tahun di Taman Patani Jaya di sini, pagi ini. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, berkata ketika kejadian mangsa berada di dalam kereta menunggu rakannya membuka pintu rumah sebelum didatangi tiga lelaki menaiki dua motosikal, kira-kira jam 5 pagi.

Katanya, mangsa mendakwa diacukan sebilah pisau, manakala seorang suspek menuju tempat duduk penumpang lalu mengambil beg bimbit berisi dokumen dan buku resit serta satu telefon bimbit sebelum melarikan diri. "Rakan mangsa yang tiba kemudiannya menghubungi pasukan sukarela Skuad Bantuan Krisis MCA memaklumkan mengenai kejadian dan tidak lama kemudian mangsa dimaklumkan bahawa seorang suspek berjaya ditahan tidak jauh dari situ," katanya.

Md Zukir berkata, mangsa kemudiannya ke lokasi suspek ditahan dan mendapati barang miliknya ada bersama suspek. Pelajar berusia 17 tahun itu kemudian diserahkan diserahkan kepada polis. "Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau serta tiada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap. "Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menjejaki dua lagi suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/152565

Dua Individu Ditahan Terlibat 'Romance Scam'


Diterbitkan: Rabu, 11 Mei 2016 12:45 PM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua individu termasuk seorang warga Nigeria dari kumpulan 'Romance Scam' di Damansara Damai, pada Selasa.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi catatan dalam laman rasmi Twitter beliau pada Rabu.

Beliau berkata dengan tangkapan itu, PDRM berjaya menyelesaikan 14 kes berkenaan.

Katanya, tangkapan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Khalid turut mengucapkan syabas kepada pasukan JSJK berkenaan.

"Syabas JSJK @PDRMsia gempur Kumpulan Romance Scam di Damansara Damai semalam dan tangkap dua orang (satu warga Nigeria), selesaikan 14 ke #GoPDRMGo," katanya.

Wanita Singapura Maut Jatuh Tebing Di Australia


Diterbitkan: Rabu, 11 Mei 2016 12:10 PM
SINGAPURA: Seorang pelajar yang berasal dari Singapura meninggal dunia pada Selasa selepas jatuh pada ketinggian 30 meter dari tebing Blue Mountains, Australia.

Cheng Shi Min, 29, hilang keseimbangan selepas tergelincir ketika cuba untuk melihat dari tepi air terjun berkenaan, demikian menurut teman lelakinya, Henry Yendle yang memberitahu media Australia.

Pasangan itu melakukan pendakian bersama bapa Cheng ketika kemalangan itu berlaku pada kira-kira pukul 1.30 petang.

"Pertama sekali saya terdengar jeritan dan diikuti bunyi hentaman kuat," kata Yendle.

Kedua-duanya bergegas ke kaki air terjun di mana mereka menemui Cheng dalam keadaan tertiarap di Empress Falls.

Yendle kemudian terjun ke dalam air namun dia mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menarik Cheng keluar.

"Kami bernasib baik kerana ada orang lain di lokasi berhampiran. Saya menjerit ambulans," katanya.

Apabila pasukan penyelamat tiba, mereka stabilkan keadaan Cheng dan meletakkan dia dalam keadaan koma.

Paramedik menghabiskan beberapa jam merawat kepala dan dada Cheng yang mengalami kecederaan parah, demikian lapor The Sydney Morning Herald.

Seorang anggota menyelamat tempatan berkata cuaca buruk menyukarkan usaha menyelamat termasuk angin kencang yang menghalang helikopter mendarat berhampiran Cheng.

Polis, paramedik dan pasukan penyelamat terpaksa membawa dia menggunakan pengusung selama dua jam untuk sampai ke puncak gunung dengan berjalan kaki.

Pada kira-kira pukul 8 malam Cheng tiba di Hospital Westmead, tetapi dia meninggal dunia pada keesokan harinya akibat kecederaan teruk.

Doktor Rawat Prince Terima Waran Geledah


Diterbitkan: Rabu, 11 Mei 2016 10:38 AM

SEORANG doktor yang merawat Ikon Pop, Prince beberapa minggu sebelum penyanyi itu meninggal dunia menerima waran geledah.
Polis dilapor menerima waran untuk menggeledah sebuah pusat perubatan di Minneapolis yang menjadi tempat Dr. Michael Todd Schulenberg bertugas.
Dr. Michael dilapor pegawai perubatan terakhir yang merawat Prince sebelum bintang itu ditemui mati akibat mengambil ubat penahan sakit dalam keadaan berlebihan.
Waran itu mengarahkan untuk mencari semua laporan perubatan, catatan ubat dan nota doktor.
Polis dilapor telah mengambil keterangan doktor tersebut yang merawat Prince sebanyak dua kali iaitu pada 7 dan 20 April.
Prince ditemu mati pada 22 April, iaitu selepas dua hari dirawat.

Dua penunggang rempuh kereta rosak

Cyberjaya: Dua lelaki cedera selepas motosikal ditunggangi mereka secara berasingan merempuh kereta yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer P7.8 Selatan dari arah plaza tol Putrajaya sebelum susur keluar Cyberjaya di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, kedua-dua penunggang yang menaiki dua motosikal merempuh kereta Proton Waja dipandu seorang wanita yang berhenti di lorong kecemasan akibat rosak.
Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 30, berkata, pemandu kereta berkenaan memberi isyarat untuk berhenti di lorong kecemasan selepas menyedari kereta yang dipandu tiba-tiba rosak.
“Kebetulan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki gagal mengelak lalu merempuh belakang kereta mangsa. Sebuah lagi motosikal juga gagal mengelak kemudian merempuh pula motosikal berkenaan.
“Akibat kejadian itu, kedua-dua penunggangnya terjatuh ke atas jalan raya dan terbaring kesakitan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Nur berkata, dia terus menghubungi talian kecemasan meminta bantuan, sebelum polis trafik tiba membantu mengalihkan mangsa dan kenderaan berkenaan.
Kejadian itu juga juga menyebabkan kesesakan lebih satu kilometer dari Plaza Tol Putrajaya hingga susur keluar Cyberjaya.
Difahamkan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya (HPj) untuk rawatan lanjut, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 7:09 AM


DUA lelaki cedera motosikal ditunggang mereka secara berasingan merempuh kereta berhenti di lorong kecemasan.

Asrama madrasah tahfiz al-Quran terbakar

Tasek Gelugor: Lima pelajar Madrasah Tahfiz Al-Quran Raudhatul Ulum, Bagan Belat, di sini, sempat menyelamatkan diri selepas asrama mereka terbakar awal pagi tadi.
Dalam kejadian 1 pagi itu hanya lima pelajar berada di asrama bersama seorang ustaz manakala lima lagi pelajar pulang ke rumah masing-masing.
Pemilik pusat tahfiz berkenaan Abdullah Ahmad, 71, yang tidur di tingkat bawah juga sempat menyelamatkan diri.
Abdullah berkata, dia terdengar bunyi pelik di tingkat atas dan menyangka pelajar bergaduh sebelum diberitahu anaknya, berlaku kebakaran.
Penolong Kanan Penguasa Bomba II Mohd Faizwan Che Ahmad berkata, tiada kecederaan dilaporkan manakala punca kejadian masih disiasat.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 8:50 AM


Madrasah Tahfiz Al-Quran Raudhatul Ulum, Bagan Belat, Tasek Gelugor yang terbakar awal pagi tadi. FOTO ihsan bomba

Rugi RM1 juta kilang 'disapa' api misteri

Selayang: Pemilik kilang tayar dan kilang komponen elektrik kerugian lebih RM1 juta selepas premis itu terbakar misteri awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.33 pagi itu, hampir 80 peratus kilang terletak di Lorong Perusahaan Ringan 1, Taman Perindustrian Ringan, di sini, musnah terbakar.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Selayang Abd Razak Mokhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran menyebabkan keseluruhan bangunan kilang tayar berkenaan musnah 100 peratus manakala kilang komponen elektrik terbakar sebanyak 80 peratus.
“Kebakaran kilang tayar itu sukar dikawal memandangkan struktur bangunan yang runtuh menghempap tayar.
“Bagaimanapun, pihak kami berjaya mengawal kebakaran itu sejam kemudian,” katanya.
Abd Razak berkata, kebakaran itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 7:10 AM


KEBAKARAN memusnahkan kilang tayar dan komponen elektrik di Selayang pagi semalam.

Parah kemalangan tiga kenderaan

Seremban: Penunggang motosikal parah, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 17.2 Lebuhraya Seremban-Port Dickson, berhampiran susur Bandar Springhill, tengah malam tadi.
Kemalangan jam 12.20 tengah malam itu membabitkan lori tangki, kereta Proton Wira dan motosikal dari arah Seremban ke Port Dickson.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Badroltamam Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.31 tengah malam dan dua jentera bersama 12 anggota ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi, seorang lelaki yang juga penunggang motosikal berada di tepi lori tangki dan mengalami kecederaan parah.
"Manakala sebuah kereta yang dinaiki tiga individu termasuk seorang wanita tersangkut pada pembahagi jalan sudah. Semua mangsa sudah keluar dan dua daripadanya mengalami cedera ringan. Pemandu lori tangki pula tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi.
Badroltamam berkata, penunggang motosikal yang cedera parah di muka dan badan dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD).
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 11:26 AM


FOTO ihsan pembaca

Warden digantung perkhidmatan

Rizanizam Abdul Hamid 
mrizanizam@hmetro.com


Rawang: Kementerian Pendidikan menggantung perkhidmatan warden yang memukul pelajar sebuah kolej vokasional di Sungai Buloh, Ahad lalu selama dua minggu sehingga siasatan selesai.
Timbalan Menterinya, Datuk P Kamalanathan berkata, beliau amat kecewa dengan apa yang berlaku dan mengganggapnya sesuatu yang tidak dapat diterima dalam dunia pendidikan.
"Kita sedang menunggu laporan penuh berhubung insiden berkenaan dan selebihnya menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan kerana saya difahamkan laporan polis sudah pun dibuat.
“Saya amat kecewa kerana sudah banyak kali saya berpesan mendisiplinkan anak dan mencederakan anak adalah dua perkara yang berbeza,” katanya selepas merasmikan Program Klinik Saringan Pekak di Sekolah Kebangsaan Sungai Choh di sini, hari ini.
Ahad lalu, satu rakaman sebuah video pelajar sekolah yang dipukul oleh seorang warden di Sungai Buloh tersebar dan menjadi viral di media sosial.
Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 5.30 petang Khamis lalu di asrama kolej berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 11:53 AM


VIRAL warden belasah pelajar.

Sindiket seludup Pati semakin agresif


Sebahagian pendatang tanpa izin yang berjaya ditahan Jabatan Imigresen - Foto Bernama
KOTA BHARU - Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) kini bertindak lebih agresif termasuk membaling objek berbahaya kepada kenderaan penguat kuasa bagi menggelakkan daripada ditahan.
Dalam kejadian semalam, seorang anggota sindiket dalam sebuah kenderaan jenis Honda Stream yang membawa lapan PATI warga Myanmar bertindak membaling peralatan membaiki kenderaan termasuk spanar ke arah kenderaan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan yang mengejar mereka.
Komander AKSEM Kelantan Mohd Asri Yahya berkata dalam kejadian itu, kenderaan dinaiki empat anggota AKSEM Cawangan Bukit Bunga, Tanah Merah nyaris terbabas akibat dibaling objek berbahaya ketika mengejar kenderaan sindiket yang dilaporkan membawa PATI.
"Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, anggota sindiket terbabit akhirnya memberhentikan kenderaan di tepi jalan berdekatan Kampung Kubang Kuar, Pasir Mas sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Asri berkata pemeriksaan yang dilakukan mendapati lapan Pati warga Myanmar berada dalam kenderaan itu yang dipercayai cuba dibawa ke pangkalan haram di tebing Sungai Golok, iaitu sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
Beliau berkata kesemua lima lelaki dan tiga wanita warga Myanmar yang berusia antara 23 dan 55 tahun itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Kelantan untuk tindakan lanjut.
"Hasil maklumat yang diperoleh, kumpulan Pati itu kemungkinan dari negeri Pantai Barat Semenanjung dan mahu kembali negara mereka.
"Kemungkinan mereka sudah berpakat dengan sindiket untuk membawa mereka ke pangkalan haram di sempadan sebelum menyeberang ke negara jiran," katanya.
Beliau berkata kumpulan Pati itu kemungkinan juga mengambil kesempatan menyeberangi Sungai Golok di kawasan yang paras airnya cetek berikutan fenomena El-Nino ketika ini.
"Sebelum menyeberang sempadan, mereka ini kemungkinan ditempatkan di rumah yang dijadikan transit sementara menunggu waktu yang sesuai menyeberangi sempadan," katanya. - Bernama

Dipukau lelaki baharu dikenali


Pak Din menunjukkan batu delima yang didakwa berharga RM80,000 oleh seorang lelaki tidak dikenalinya.
BOTA - Seorang warga emas kerugian RM20,000 apabila mendakwa dipukau seorang lelaki dalam kejadian pagi kelmarin.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Pak Din, 76, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja selesai mengutip duit khairat kematian di pekan Bota Kanan.
“Saya baru keluar dari sebuah kedai milik seorang ahli khairat kematian dan ketika itu saya ditegur seorang lelaki berumur lingkungan umur 60-an yang mahu bertanyakan lokasi kedai milik Haji Husain.
“Lalu saya mengatakan di sini hanya ada sebuah kedai perabot yang bernama Husain dan lelaki itu mengatakan bukan kedai berkenaan tetapi dia mencari kedai menjual biji benih.
“Sambil bercakap-cakap kami bersalaman dan selepas itu dia mengatakan wajah saya mirip lelaki yang dia mimpikan malam tadi,” katanya.
Menurutnya, selepas itu lelaki berkenaan menunjukkan sebiji batu delima berwarna merah dan mengatakan harga delima itu RM80,000.
“Lelaki itu juga berkata, saya layak untuk memiliki delima berkenaan berdasarkan kepada mimpi yang dialaminya malam tadi.
“Ketika itu, juga dia bersalaman beberapa kali dengan saya dan saya terus bersetuju untuk membeli delima berkenaan, namun hanya mampu membayar sedikit daripada harga ditetapkan iaitu RM20,000.
“Pada masa sama, datang seorang lagi lelaki berusia lingkungan 30-an menaiki sebuah kereta jenis Honda Accord juga mahu membeli delima itu dengan harga RM100,000,” katanya.
Pak Din berkata, dia segera pulang ke rumah untuk mengambil buku bank bagi mengeluarkan duit yang ada kerana sudah terpikat dengan batu delima yang ditunjukkan.
“Saya sendiri pun tidak tahu mengapa saya rasa begitu mahukan batu delima berkenaan dan sanggup mengeluarkan wang sebanyak RM20,000 iaitu RM10,000 dari simpanan di Tabung Haji dan RM10,000 lagi dari simpanan bank yang lain semata-mata mahukan batu itu.
“Kedua-dua lelaki berkenaan turut mengekori saya ketika mengambil wang di bank termasuklah menghantar saya ke sebuah bank tetapi mereka tidak masuk ke dalam bank berkenaan.
“Ketika mereka membawa saya terdapat seorang lagi lelaki yang menjadi pemandu kereta Honda Accord berkenaan,” katanya.
Selepas itu, Pak Din berkata, dia ditinggalkan setelah wang itu diberikan kepada lelaki berkenaan kerana masing-masing mengatakan mereka ada kerja lain.
“Saya diberikan wang sebanyak RM50 untuk dibuat tambang teksi dan lelaki berusia 30-an berkenaan berjanji akan datang semula berjumpa saya untuk membeli delima itu dengan harga RM140,000.
"Selepas itu, saya pulang ke rumah dan selepas menunaikan solat Asar di masjid berdekatan, saya tersedar bahawa itu satu penipuan.
“Hasil perbincangan dengan anak-anak saya membuat laporan di balai polis Bota untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim berkata, penduduk harus lebih berhati-hati apabila berhadapan dengan orang yang tidak dikenali.
“Jangan terlalu mesra kerana kita tidak tahu niat sebenar individu atau pihak berkenaan memandangkan kita tidak mengenali mereka.
“Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga diingatkan supaya mengenal pasti mereka yang tidak dikenali atau mencurigakan apabila mereka datang ke kawasan kampung.
“Begitu juga dengan pihak bank, jika boleh mereka harus menyiasat terlebih dahulu jika ada warga emas yang mahu mengeluarkan duit dalam jumlah banyak tetapi tidak tahu tujuannya atau kelihatan mencurigakan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Aziz Hasan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.

Jumpa mayat: Polis tahan dua lelaki Bangladesh


SHAH ALAM - Polis menahan dua lelaki warga Bangladesh yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes seorang lelaki yang ditemukan mati dalam but kereta BMW di sebuah bekas lombong di Tasik Puchong, Taman Maju Jaya, Ahad lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata suspek yang berusia 23 dan 27 tahun itu ditahan berhampiran lokasi kejadian, pada hari yang sama (hari kejadian).
"Suspek, masing-masing bekerja di kebun sayur dan kolam ternakan ikan berhampiran kawasan tasik berkenaan...siasatan turut menunjukkan mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga sedang menyiasat sekiranya ada individu lain yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
Kedua-dua suspek direman sehingga 22 Mei depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian Ahad lepas, polis menemukan mayat seorang lelaki dalam but kereta BMW yang tenggelam di sebuah bekas lombong di Tasik Puchong.
Polis percaya lelaki itu dibunuh sebelum mayatnya kemudian dimasukkan ke dalam but kereta dan ditenggelamkan di tasik berkenaan. - Bernama

Suami isteri antara ditahan disyaki samun bersenjata


JASIN - Polis menahan lima individu termasuk sepasang suami isteri masing-masing berusia 17 dan 16 tahun dipercayai terlibat dalam jenayah samun bersenjata melibatkan warga emas dan warga asing di sini sejak awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Sampornak Ismail berkata, suami itu ketua kumpulan dikenali 'Gang Couple' dan isterinya ditahan berhampiran asrama pekerja sebuah kilang di Merlimau di sini pada 4 Mei lepas kira-kira 1.30 petang. ‎
Beliau berkata susulan tangkapan tersebut, tiga lagi ahli kumpulan berkenaan kesemuanya lelaki berusia 15, 20 dan 21 tahun ditahan di sekitar kawasan Serkam di sini dan Merlimau beberapa jam kemudian.
"Kumpulan penjenayah ini dipercayai terlibat dalam tiga kes samun bersenjata melibatkan kerugian RM10,000 selain merupakan kumpulan yang dikehendaki dalam tiga kes jenayah termasuk pecah rumah sejak 2014.
"Mangsa kumpulan samun bersenjata ini terdiri daripada dua warga emas wanita berusia 73 dan 78 tahun serta dua lelaki Bangladesh berusia 22 dan 42 tahun," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sampornak berkata modus operandi kumpulan tersebut ialah isteri ketua geng berkenaan akan berhenti di hadapan rumah mangsa dan berpura-pura menangis untuk menagih simpati sebelum suaminya, rakan kumpulan tersebut, menghampiri mangsa dan meragut mereka.
Katanya selain itu, geng berkenaan juga mengikat mangsa dan mengugut dengan senjata agar mangsa menyerahkan barangan berharga mereka bagi mengelak dicederakan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati ketua geng berkenaan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan memiliki barang curi dan pecah rumah manakala ahli kumpulan itu yang berusia 20 dan 21 tahun memikili rekod jenayah lampau berkaitan pecah rumah dan samun.
Katanya, empat daripada ahli kumpulan itu positif metaphetamine dalam ujian saringan air kencing dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - Bernama

Maut tercampak dalam kemalangan


Keadaan kereta dinaiki mangsa.
ALOR SETAR - Seorang gadis sempat meraikan Hari Ibu bersama keluarga sebelum maut tercampak dalam satu kemalangan di Jalan Telok Wanjah, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 12.03 tengah malam itu, mangsa, Lee Yean Thean, 24, dikatakan keluar bersama teman lelakinya sebelum terbabit kemalangan.
Ibu mangsa, Chatherine Mak, 48, berkata, anak sulung daripada empat adik beradik itu keluar bersama mereka untuk makan malam meraikan Hari Ibu yang disambut pada tanggal 8 Mei.
“Selepas habis makan, kami pulang ke rumah di Taman Rajawali Indah, Jalan Langgar, di sini, sebelum kenalan lelaki datang dan menjemput dia keluar semula.
“Lebih kurang jam 10 malam, mereka berdua keluar untuk melihat wayang di sebuah pawagam di Lebuhraya Darulaman, di sini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Bagaimanapun katanya, dia menerima panggilan daripada kenalan lelaki anaknya itu kira-kira jam 11 malam memaklumkan anak perempuan maut dalam kemalangan itu.
Chatherine berkata, anak perempuannya bekerja sementara sebagai kakitangan insurans selepas menamatkan pengajian dalam sarjana muda di sebuah universiti di ibu negara, baru-baru ini.
"Saya terkilan memandangkan hasrat anak untuk menghadiri majlis konvokesyen kira-kira dua bulan lagi tidak kesampaian," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mangsa menaiki kenderaan jenis Honda City dalam perjalanan dari arah Telok Wanjah menuju ke lampu isyarat Tambang Badak sebelum ia hilang kawalan.
Mohd Rozi berkata, mangsa maut selepas kenderaan dinaiki bersama, Hason Lee, 21, terbabas sebelum melanggar besi pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan.
"Mangsa yang berada di bahagian hadapan kereta tercampak keluar dan maut di lokasi kejadian selepas kenderaan dinaiki berlanggar dengan kenderaan lain.
"Dua lelaki yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser turut tercedera kerana tidak dapat mengelak kemalangan itu sebelum dibawa ke Kedah Medical Centre(KMC) untuk rawatan lanjut," katanya.

Mahu punggung besar, perut pula dibedah


Luka pembedahan di perut Crystal Heath.
FLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang wanita menyesal tidak berkesudahan selepas keinginan berpunggung besar berakhir dengan jangkitan pada buah pinggangnya.
Laporan Dailymail mengatakan Crystal Heath terpaksa menghabiskan masa di hospital selepas buang pinggangnya gagal berfungsi selepas pembedahan memindahkan lemak di perut ke bahagian punggung.
"Saya hampir kehilangan nyawa, saya betul-betul menyesal," kata Crystal.
Crystal telah menjalani pembedahan oleh Dr. Osakatukei Omulepu selepas terpikat dengan iklan pembedahan kosmetik di laman sosial.
Selepas tersedar dari pembedahan, Crystal menyedari terdapat lubang sedalam 7 inci dan perutnya mempunyai luka pembedahan.
Rupa-rupanya, Dr. Osakatukei telah mengambil lemak dari perut crystal untuk dimasukkan ke bahagian punggungnya.
Tindakan Dr, Osakatukei yang tidak mendapat kebenaran Crystal tersebut menyebabkan Crystal bersama empat pelanggan lain membuat aduan.
Berdasarkan laporan pelanggan terdahulu, mereka juga telah dibedah dengan cara yang sama tanpa kebenaran.
Baru-baru ini, lesen Dr. Osakatukei telah ditarik balik oleh Jabatan kesihatan Florida selepas membaca aduan Crystal dan pelanggan lain.
"Selepas menyedari kesilapan saya kerana tidak berhati-hati, saya tidak akan membenarkan sesiapa menjalani pembedahan sebegini walaupun diberikan percuma," kata Crystal.