Search This Blog

Tuesday, May 10, 2016

Empat Termasuk Tiga Warga Indonesia Maut Nahas Di Jalan Gua Musang-Kuala Krai


Diterbitkan: Selasa, 10 Mei 2016 3:44 PM

GUA MUSANG: Empat lelaki terbunuh selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh sebuah kereta lain yang terbabas akibat melanggar seekor lembu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superitendan Saiful Bahri Abdullah berkata, dalam kejadian di Km10 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, 7.30 malam Isnin, empat mangsa yang menaiki kereta Proton Iswara, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
"Mereka yang terbunuh, pemandu kereta, Ibrahim Mohd Beridin, 52, berasal dari Kuala Tembeling, Jerantut, Pahang dan tiga penumpang warga Indonesia yang berasal dari Lombok, Indonesia," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Tiga penumpang kereta terbabit dikenali sebagai Supandi, 21, Ahmad Haikal, 31, dan Safriyadi, 28 tahun.
Manakala seorang lagi penumpang kereta Proton Iswara itu, Saaban Mustakin, 54, berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Gua Musang.
Sementara itu pemandu kereta Toyota Camry, Jayapalan Balaraman, 58, dan isterinya, Nageswary Nagamuthu, 52, hanya cedera ringan.
"Kereta yang dipandu Jayapalan dari Gua Musang menghala ke Kota Baru, telah melanggar seekor lembu sebelum terbabas ke laluan bertentangan sebelum dirempuh kereta Proton Iswara yang datang dari arah bertentangan," katanya.
Beliau berkata jenazah Ibrahim telah dituntut keluarganya pukul 8 pagi tadi untuk dikebumikan di Tanah Perkuran Islam Kampung Kuala Tembeling, Jerantut.
"Manakala tiga mayat warga Indonesia yang ditempatkan di bilik Mayat Hospital Gua Musang itu akan dirujuk kepada Kedutaan Indonesia untuk tindakan lanjut," katanya.--Bernama

Lima Korban Bot Karam Pulau Seribu, Seorang Lagi Masih Hilang


Diterbitkan: Isnin, 9 Mei 2016 12:55 PM
Gambar Hiasan

JAKARTA: Lima pelancong terkorban, manakala seorang lagi masih hilang selepas bot yang karam di perairan Pulau Seribu pada Sabtu lalu.
"Mayat mangsa sudah dihantar ke hospital awam untuk tujuan pengecaman," kata pegawai bomba pulau berkenaan, Edi Rudianto.
Kompas.com melaporkan, sepasukan 16 anggota pasukan penyelamat itu turut dibantu pihak polis dan pengangkutan masih di lokasi kejadian bagi mengesan seorang lagi mangsa yang hilang.
Menurut Edi, maklumat daripada pemilik bot, Abdul Wahab menyatakan ia hilang pada pukul 4 pagi, Sabtu lalu.
"Sebaik mendapat maklumat mengenainya, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan. Hanya seorang ditemui selamat," kata Edi sambil menambah nama mangsa yang selamat adalah Kristian dari Taman Sari, Jakarta Barat.
Sementara itu, kata Kristian, dia dan enam penduduk taman berkenaan menyewa bot Abdul pada pukul 5 petang, Jumaat.
Enam yang lain adalah Doni Marcel, Giok Sun, Giok Liong, Fahrul Majid, Sonson dan OK.
"Mangsa yang terselamat mendapat rawatan di pusat kesihatan Pulau Panggang, dia masih dalam keadaan trauma dan pihak polis masih menyoal siasatnya," katanya.
Berdasarkan penjelasan Kristian, dia terselamat kerana berenang ke Pulau Panggang sebaik kejadian pada pukul 2 pagi itu.

Bas Rempuh Lori Tangki, 73 Terbunuh


Diterbitkan: Isnin, 9 Mei 2016 3:16 PM
Mangsa yang mengalami kecederaan.

KABUL: Seramai 73 orang dilaporkan terbunuh manakala 52 lagi cedera selepas dua buah bas bertembung dengan lori tangki yang dipenuhi minyak pada Ahad.
Kejadian itu berlaku pada pagi Ahad di wilayah Ghazi, kata jurucakap kerajaan, Aghagul Jawid Salangi.
Pihak berkuasa wilayah berkenaan sebelum ini telah mengesahkan seramai 52 penumpang terbunuh dalam kejadian itu.
Salangi berkata, kejadian berlaku apabila sebuah bas penumpang tersebut dipandu laju dan merempuh lori tangki minyak.
Kebakaran minyak yang berlaku akibat rempuhan merebak ke sebuah bas yang berada berdekatan.
Lokasi kejadian di lebuh raya yang menghubungkan Kabul dan Kandahar.

JPAM tangkap ular sawa 20kg


Oleh Nurul Fhatihah Zakinan


ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) memegang ular sawa seberat 20 kilogram (kg) sepanjang tiga meter yang ditemui berhampiran pos kawalan keselamatan di sebuah syarikat telekomunikasi swasta di Bemban, Jasin, pagi ini.
JASIN: Sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Melaka terpaksa berhempas-pulas lebih sejam untuk menjinakkan seekor ular sawa yang menceroboh kawasan sebuah syarikat telekomunikasi di Bemban di sini, pagi tadi.
Ular sawa seberat kira-kira 20 kilogram (kg) dan tiga meter panjang itu ditemui berlingkar di akar pokok berhampiran pos kawalan keselamatan syarikat terbabit, kira-kira jam 9 pagi.
Pengarah JPAM negeri, Lt Kol (PA) Effendy Ali, berkata sepasukan anggotanya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 10 pagi.
"Anggota terpaksa menggali tanah sedalam 0.6 meter bagi mengeluarkan ular yang memasuki lubang di akar pokok berkenaan.
"Kita mengambil lebih sejam untuk menenangkan ular sawa itu dana akan menyerahkan reptilia berkenaan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, pengawal keselamatan syarikat berkenaan, Bellsobri Mohamed, 40, berkata ular itu dipercayai baru menelan seekor anak kucing peliharaannya.
"Saya pelik kerana anak kucing yang dipelihara sejak enam bulan lalu tiba-tiba hilang. Saya cuba mencarinya di sekitar kawasan pos keselamatan, sebaliknya menemui ular sawa.
"Saya terus menghubungi JPAM untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Pelajar Muslim Kesal Disangka Isis Philips


Diterbitkan: Selasa, 10 Mei 2016 11:01 AM
Bayan Zehlif pada sidang media bersama peguam Muslim di kawasan penempatannya di California.

BAYAN Zehlif, pelajar wanita beragama Islam kesal apabila dikenali sebagai "Isis Philips" dalam buku tahunan sekolahnya di Selatan California.
Berusia 17 tahun, pelajar senior itu berkata, identitinya dikaitkan dengan individu yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas.
"Saya kesal dengan kesilapan yang dilakukan terutama apabila dikecam rakan sekelasnya di Sekolah Tinggi Los Osos.
"Setiap kali melihat buku tahunan itu, ia melukakan hati dan ia lebih menyakitkan apabila rakan sekelas menjauhkan diri," katanya kepada wartawan pada sidang media bersama peguam komuniti Muslim di Anaheim, California.
Menurut pelajar yang keluarganya berasal dari Jordon itu, dia tidak mengenali Isis Philips, tetapi tahu gadis berkenaan bersekolah di Rancho Cucamonga.
Menerusi Facebooknya, dia memuatnaik gambar dirinya berhijab dengan keterangan salah sepertimana dicetak dalam buku tahunan sekolahnya.
Sehingga ini, Zehlif masih tidak ke sekolah kerana bimbang terus dikecam rakan sekelasnya tetapi berhasrat untuk menghadiri majlis graduasi minggu depan.
Sementara itu, Mat Holton yang mewakili pihak pengurusan sekolah tinggi daerah berkata, Zehlif disangka pelajar lain yang bernama Isis.
Pelajar yang dikenali sebagai Isis itu bagaimanapun tidak lagi bersekolah di situ dan berlaku kesilapan pada keterangan gambarnya dalam buku sama.
Holton berkata, siasatan sedang dijalankan untuk meleraikan persoalan ini.
"Keluarga kedua-dua pelajar terlibat juga telah dihubungi dan permohonan maaf juga telah disampaikan," katanya.
Setakat ini, pengagihan buku tahunan sekolah itu dihentikan sehingga kesilapan diperbetulkan dan bagi yang telah menerimanya diminta memulangkannya kepada pihak sekolah.
"Baki buku tahunan yang ada akan dibetulkan kesilapannya sebelum akhir minggu ini sebelum ia diedarkan semula," katanya.

Tiga Polis, Dua Orang Awam Maut Serangan Mogadishu


Diterbitkan: Isnin, 9 Mei 2016 4:40 PM
Gambar fail pada 19 April lalu menunjukkan sebuah kereta yang dibom angkara kumpulan militan Shebab di daerah Yaqshid di Mogadishu. Foto AFP

MOGADISHU: Tiga anggota polis terbunuh dalam serangan bersenjata dan bom di sebuah balai polis di ibu negara Somalia pada Isnin, kata pihak berkuasa.
Seorang pengebom berani mati dan seorang lelaki bersenjata, serta dua orang awam turut maut dalam insiden itu.
Dua orang awam yang terbunuh dikatakan terkena tembakan semasa pihak polis berbalas tembakan dengan kumpulan militan Somalia, Shebab yang bersekutu dengan Al-Qaeda.
"Serangan itu melibatkan dua anggota Shebab, salah seorang daripada mereka memandu kereta yang dipenuhi bahan letupan, dan seorang lagi cuba menyerang ibu pejabat polis tetapi ditembak mati.
"Kita kehilangan tiga anggota polis," kata jurucakap pentadbiran bandar Mogadishu, Abdifatah Omar Halane.
Beliau menambah, dua orang awam turut ditembak mati. - AFP

Ibu, Anak Perempuan Maut, Van Langgar Lori Rosak


Diterbitkan: Isnin, 9 Mei 2016 3:35 PM

BINTANGOR: Seorang ibu dan anak perempuannya maut apabila van yang dinaiki bersama tiga lagi anggota keluarga melanggar belakang sebuah lori rosak di Kilometer 17 Jalan Bintagor-Sibu, berhampiran Jalan Tulai dekat sini, Ahad malam.
Ketua Polis Daerah Bintangor Deputi Superitendan Mohamad Hafipi Mohd Salim berkata, dalam kejadian pada 10.05 malam itu, keluarga berkenaan sedang dalam perjalanan dari bandar Sibu ke pekan Bintangor.
Menurut Mohamad Hafipi, Ngu Heng Lang, 59, yang duduk di tempat duduk penumpang belakang dan anak perempunnya Ting Li Cheng, 17, maut di tempat kejadian.
Seorang anggota keluarga mereka iaitu Ting Yang Yang, 14, hanya cedera ringan manakala pemandu Ting Li Seng, 22, dan penumpang belakang van berkenaan, Ting Sung Thing, 49, tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Pemandu van dipercayai hilang kawalan dan terlanggar bahagian belakang lori di bahu jalan," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.
Menurut Mohamad Hafipi, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat dan waris mangsa juga dimaklumkan mengenai kemalangan itu.
Katanya, jalan di lokasi kejadian adalah lurus tetapi gelap.
Polis akan mengesan pemilik lori itu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.-- Bernama

Video Pelajar Dipukul Warden Di Sungai Buloh Disahkan Benar


Diterbitkan: Isnin, 9 Mei 2016 8:27 PM
Paparan skrin video pelajar dipukul seorang warden.

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan rakaman sebuah video pelajar sekolah yang dipukul oleh seorang warden di sebuah Sekolah Vokasional di Sungai Buloh yang tersebar menjadi viral di media sosial pada Ahad adalah benar.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, pihaknya sedang menyiasat kes berkenaan dan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.
"Polis menerima laporan berkaitan kes itu daripada seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sekolah terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada 10.25 pagi semalam," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.
Abd Rahim berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 5.30 petang Khamis lepas di asrama Kolej Vokasional Sungai Buloh dan video kejadian yang dirakam mula tersebar di laman media sosial petang Ahad.
Beliau berkata, polis menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.
Pada Ahad, video berdurasi seminit 10 saat yang merakamkan seorang pelajar sekolah dipukul oleh seorang warden tersebar di laman media sosial. - Bernama

Bunuh abang kerana burger keju


Gambar hiasan
FLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki menembak mati abangnya selepas bertengkar kerana berebut burger keju, minggu lepas.
Menurut laporan CNN, Benjamin A. Middendorf, 25 dan abangnya Nicholas Middendorf bersama ibu mereka dan seorang lagi lelaki baru pulang dari kelab dan mabuk ketika kejadian.
Benjamin mendakwa beliau dibuli oleh abangnya ketika makan burger dan 'tidak sengaja' mengeluarkan pistol dan menembak mangsa.
Siasatan awal polis mendapati Benjamin sendiri menelefon polis dan beliau ditahan ketika masih memeluk mayat abangnya.
Sementara itu, ibu Benjamin bersedih kerana 'kehilangan dua anaknya'.
"Minggu ini adalah Hari Ibu, dan seorang anaknya mati dibunuh dan seorang lagi bakal didakwa," kata jurucakap polis, Denise Roberts.

35 pekerja tertimbus akibat tanah runtuh


Kejadian tanah runtuh di tenggara China.
FUJIAN - CHINA. Sekurang-kurang 35 pekerja tapak pembinaan projek kuasa hidro tertimbus dalam satu kejadian tanah runtuh di tenggara China manakala lima yang lain berjaya diselamatkan, lapor pegawai dan media kerajaan.
Batu dan lumpur menimbus sebuah bangunan pejabat dan rumah pekerja di tapak pergunungan Taining daerah di wilayah Fujian sekitar jam 5.00 pagi Ahad.
Dilaporkan 35 yang lain masih hilang.
Seorang pegawai jabatan itu berkata melalui telefon, punca kejadian tanah runtuh masih tidak jelas tetapi kawasan itu mengalami  hujan beberapa hari lalu.
Stesen televisyen tempatan CCTV kemudian melaporkan lima pekerja diselamatkan namun keadaan mereka masih tidak diketahui.
Hujan lebat yang melanda memberi kesan di selatan China sejak Rabu lalu yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh.
Agensi berita Xinhua melaporkan, hujan lebat turut menyebabkan lebih daripada 1,000 penduduk di wilayah Guangxi dipindahkan manakala seorang maut manakala seorang lagi hilang selepas dalam insiden jalan runtuh.
Dalam pada itu, jurucakap pegawai daerah Taining, Wei berkata anggota bomba dan polis sedang cuba sampai ke lokasi runtuhan.

Pegawai kanan KPT cedera kereta terbabas


Sebuah kereta Proton Perdana milik kerajaan yang dipandu seorang pegawai kanan Kementerian Pengajian Tinggi, remuk setelah terbabas dan merempuh pokok serta tiang lampu di Pesiaran Timur berhampiran susur Desa Pinggiran Putra hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA - Seorang pegawai kanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) cedera selepas kenderaan kerajaan yang dipandunya terbabas di Persiaran Perdana berhampiran susur keluar Desa Pinggiran Putra di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Dr Ab Wahab Che Mat yang memandu Proton Perdana itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok kecil di tepi jalan itu.
Ab Wahab, yang merupakan Setiausaha Bahagian Tugas Khas Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), sedang dalam perjalanan ke pejabatnya di Presint 5 ketika kejadian itu.
Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata mangsa mengalami kecederaan ringan namun masih ditahan di Hospital Putrajaya di sini untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu. - Bernam

Empat maut terlanggar lembu


Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.
GUA MUSANG - Empat maut termasuk pemandu dan penumpang dalam kemalangan yang membabitkan empat kenderaan di Renok, di sini.
Menurut saksi kejadian, kesemua penumpang dan pemandu kereta jenis Proton Iswara meninggal dunia di tempat kejadian.
Kemalangan itu dikatakan berpunca daripada Proton Iswara yang tidak dapat mengelak daripada melanggar lembu sehingga membabitkan tiga kenderaan lain iaitu Perodua Alza, Proton Wira dan Toyota Camry turut terbabas.

Adik hampir dirogol di tandas stesen minyak


Sedutan perkongsian yang viral di Facebook
SEORANG wanita mendakwa adiknya hampir dirogol seorang lelaki ketika menggunakan tandas di sebuah stesen minyak di Rawang, malam semalam.
Berdasarkan sebuah perkongsian yang viral di Facebook, mangsa didakwa ditolak masuk kembali ke tandas oleh seorang lelaki ketika mahu keluar.
Lelaki berkenaan yang didakwa tidak berbaju bagaimanapun gagal meneruskan niat jahatnya kerana mangsa melawan dan berjaya melepaskan diri.
Kakak mangsa juga memuatnaik sedutan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan mangsa melarikan diri dari tandas.
"Orang ramai pun sekadar tengok saja bila adik saya jerit minta tolong," kata kakak mangsa.
Beliau bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada anggota-anggota Rela yang bertugas di JPN rawang dan pengawal sebuah surau yang membantu adiknya.
Difahamkan, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Rawang.

Sempat hantar rakan sebelum maut dalam nahas


Kemalangan membabitkan kenderaan mangsa dengan lori SWM. Gambar kecil: Ezrie
TANJUNG KLING - Seorang pemandu van maut selepas kenderaan dipandunya terbabas masuk ke laluan bertentangan, lalu melanggar sebuah lori di Batu 10, Jalan Tangga Batu, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira- kira 9 pagi itu, Ezrie Abu Samah, 36, meninggal dunia akibat tersepit di tempat duduk pemandu dari bahagian perut ke kaki selepas kenderaan dipandunya melanggar bahagian kanan lori SWM Environment.
Mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu dalam tempoh 10 minit selepas memotong pintu bahagian pemandu.
Difahamkan, mangsa yang merupakan pemandu van sebuah syarikat katering baru sahaja balik dari menghantar rakan sekerja di Sungai Udang sebelum bertembung lori seberat tiga tan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan memandu dari arah lampu isyarat Sungai Udang menghala lampu isyarat Bukit Rambai.
“Sebaik sahaja sampai di lokasi, kenderaan mangsa terbabas masuk ke ke laluan bertentangan dan terus melanggar bahagian hadapan lori menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat sementara dua lelaki warga Bangladesh di dalam lori berkenaan yang cedera ringan turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, semalam.
Menurut Mohd Kamal, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kedua-dua kenderaan turut dihantar untuk menjalani pemeriksaan di Puspakom.
Sementara itu, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Amy, 42,  berkata, kemalangan berlaku ketika dia sedang menyapu sampah di dalam rumahnya.
“Tiba-tiba bunyi dentuman kuat. Saya tak keluar sebab tak berani tengok darah dan tinjau dari rumah saja, itu pun saya dah menggigil.
“Suami sempat pergi tengok kejadian depan rumah dan balik ke rumah untuk keluar bekerja tapi dia ada beritahu saya yang muka mangsa hancur, badan tersepit dan bomba terpaksa potong pintu van,” katanya.
Menurutnya, kejadian membabitkan kemalangan maut itu pertama kali berlaku di hadapan rumahnya sepanjang tempoh lebih 40 tahun tinggal di kawasan tersebut.

Tipu periksa ala 'Mission Impossible'


AFP
Bangkok: Sebuah kolej perubatan terkemuka Thailand menangkap pelajarnya yang menggunakan kamera ala perisik yang dihubungkan dengan jam pintar untuk membolehkan mereka meniru dalam peperiksaan.

Beberapa pengguna media sosial menyifatkannya sama seperti plot filem Mission Impossible.


Rektor Universiti Rangsit, Arthit Ourairat memuat naik gambar peralatan berteknologi tinggi itu di akaun Facebooknya lewat kelmarin, dan mengumumkan peperiksaan kemasukan terpaksa dibatalkan selepas cubaan meniru itu terbongkar.

Tiga pelajar kaya menggunakan cermin mata dengan kamera tanpa wayar yang dipasang pada rangkanya untuk menyalurkan imej kepada sekumpulan orang yang belum dinamakan.

Kumpulan itu kemudian menghantar jawapan menerusi jam pintar yang dipakai pelajar terbabit.

Arthit berkata, pelajar itu membayar 800,000 baht (RM91,500) setiap seorang kepada kumpulan berkenaan untuk peralatan itu dan jawapan.

Rangkaian berita Channel 3 Thailand melaporkan semalam pelajar terbabit disenarai hitamkan.

Ramai pengguna Internet mengutuk perbuatan pelajar terbabit, tetapi tidak kurang juga memuji kebijaksanaan mereka.

“Bayangkan jika mereka lulus dan tamat pengajian, mereka menjadi doktor yang sebenarnya tidak bertauliah dan mungkin merawat kita,” kata seorang pengguna.

Namun, seorang lagi berkata: “Wah. Tidak ubah seperti Hollywood atau Mission Impossible.”

Ijazah perubatan sangat dipandang tinggi di Thailand kerana pemegangnya boleh menjadi kaya apabila menyertai hospital swasta. Thailand ialah antara hab perubatan paling terkenal di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 8:24 AM

JAM dan cermin mata yang digunakan dalam cubaan menipu dalam peperiksaan kemasukan ke universiti.

Hilang nyawa langgar belakang lori


Melaka: Seorang wanita tercampak keluar dari kereta dipandunya selepas kenderaan terbabit melanggar belakang lori di Kilometer 203.8 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara, di sini, pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 6.30 pagi itu, Halimah Ahad, 26, yang tercampak ke jalan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan akibat parah di kepala dan badan.


Ketika kejadian mangsa yang berasal dari Al Muktafi Billah Shah, Terengganu, itu dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri temu duga di sebuah syarikat di Kluang, Johor.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, maklumat mendapati mangsa bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat di Lembah Klang dan ke Kluang untuk menghadiri temu duga sebelum terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang.

“Siasatan mendapati Proton Saga mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar belakang lori membawa muatan bahan kimia di lorong kiri lebih raya.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala pemandu lori berusia 49 tahun tidak cedera,” katanya.

A Asmadi berkata, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah (HAG) untuk proses bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya bagi urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 8:20 AM

KEADAAN kereta dipandu Halimah (gambar kecil) rosak teruk selepas kemalangan, semalam.

Lima suspek kes mayat rentung ditahan


Mohd Hasbi Sidek

mohd.hasbi@hmetro.com.my


Kajang: Lima lelaki ditahan sejak Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes penemuan mayat rentung dalam kereta di Jalan Genting Pras, Hulu Langat.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, suspek berusia antara 27 hingga 43 tahun dipercayai mengenali mangsa.

"Polis juga mengambil sampel darah dua individu yang dipercayai anggota keluarga mangsa untuk perbandingan DNA dan sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia, 2.30 petang semalam.

"Perkembangan terkini siasatan kes akan diberikan mengikut keperluan," katanya dalam satu kenyataan.

Khamis lalu, seorang lelaki dipercayai dibunuh dan disumbat mayatnya di dalam but kereta sebelum dibakar.

Mayat mangsa ditemui di dalam kereta yang ditinggalkan tersadai di kawasan hutan di Jalan Genting Peras, Hulu Langat.

Berita berkaitan:

• Rentung dalam but

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 12:48 AM

MAYAT yang ditemui rentung dalam but kereta. FOTO ihsan Polis

Dua lelaki cedera rempuh kereta rosak


Nursyahirah Marzuki

am@hmetro.com.my


Putrajaya: Dua lelaki cedera selepas motosikal yang ditunggangi mereka secara berasingan merempuh kereta yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer P7.8 Selatan dari arah plaza tol Putrajaya sebelum susur keluar Cyberjaya pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, kedua-dua penunggang yang menaiki dua motosikal merempuh kereta jenis Proton Waja dipandu seorang wanita yang berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan enjin.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 30, berkata, kereta berkenaan sudah memberi isyarat untuk berhenti di lorong kecemasan kerana kereta yang dipandu rosak.

"Secara tiba-tiba sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki gagal mengelak lalu merempuh belakang kereta mangsa, sebelum satu lagi motosikal juga gagal mengelak dan merempuh motosikal berkenaan.

"Akibat kejadian itu, kedua-duanya terjatuh ke atas jalan raya dan terbaring kesakitan," katanya ketika ditemui

di tempat kejadian.

Nur berkata, dia terus menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan, sebelum polis trafik datang untu membantu mengalihkan mangsa dan kenderaan terbabit.

Kejadian itu juga juga menyebabkan kesesakan lebih satu kilometer dari Plaza Tol Putrajaya hingga susur keluar Cyberjaya.

Difahamkan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya (HPj) untuk rawatan lanjut, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 12:33 PM

FOTO Nursyahirah Marzuki
  

Bayi 16 bulan lemas dalam baldi

Kuala Pilah: Seorang bayi lelaki berusia 16 bulan ditemui mati lemas dalam baldi di dapur rumahnya di Kampung Bukit Gombang, Batu Kikir, dekat sini, malam tadi.
Mangsa, Muhammad Fahil Finaz Nor Azuan ditemui ibunya jam 10.40 malam selepas mendapati mangsa tiada di dalam bilik bersama bapa dan kakaknya berusia tiga tahun.
Bapa mangsa, Nor Azuan Azali, 33, berkata, isteri menyangka anaknya itu berada bersamanya di bilik tetapi hairan kerana tidak mendengar suara anak lelakinya itu sebelum menemui mangsa dalam keadaan kepala dan separuh badannya dalam baldi berisi air di bawah sinki.
"Saya dan isteri cuba memberikan bantuan pernafasan namun gagal, lalu membawa mangsa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini, untuk rawatan lanjut.
"Bagaimanapun, doktor mengesahkan anak bongsu saya itu meninggal dunia dan mayatnya diserahkan ke Unit Forensik untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di HTAN di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 12:14 PM

FOTO Amran Yahya

Suspek dikejar polis langgar Vios



ANTARA barangan dirampas daripada suspek yang ditahan polis selepas melarikan diri di Taman Perling, Iskandar Puteri pada Jumaat lalu.


ISKANDAR PUTERI – Cubaan salah seorang daripada dua lelaki dipercayai penjenayah untuk me­larikan diri daripada ditangkap polis gagal apabila motosikal yang dinaiki mereka me­langgar sebuah kereta To­yota Vios di Jalan Camar 3, Taman Perling di sini pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian berdekatan Sekolah Kebangsaan Perling 2 di sini pukul 11.20 pagi itu, suspek ber­usia 30-an diberkas di kawasan semak manakala rakannya sempat melarikan diri.
Bersama suspek yang ditahan, polis merampas pelbagai peralatan termasuk pemutar skru dan pemotong yang disyaki untuk melakukan kegiatan pecah masuk rumah.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, sebelum kejadian, dua anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) terserempak dengan dua suspek yang menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan di sekitar Taman Bukit Indah di sini.
“Ketika cuba menghampiri suspek, mereka kemudian me­larikan diri sehingga memaksa polis mengejar mereka yang melalui Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala ke Taman Perling secara melawan arus sejauh kira-kira 2 kilometer.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz48CM1jLq3 
Hakcipta terpelihara 

Misteri kapal tanpa manusia mendarat di pantai


AGENSI - BEBERAPA penduduk melihat sebuah kapal tangki yang berlabuh di pantai Liberia.


MONROVIA, Liberia – Kehadiran sebuah kapal tangki minyak tanpa manusia yang mendarat di sebuah pantai di sini mencetuskan misteri kepada pihak berkuasa.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat kapal bernama Tamaya 1 yang didaftarkan di Panama itu termasuk bagaimana ia boleh belayar dan berlabuh tanpa seorang pun anak kapal.
Kapal berkenaan dikatakan hilang sejak tiga minggu lalu ketika dalam perjalanan ke pelabuhan Senegal, Dakar dan kali terakhir dilihat pada 21 April lalu.
“Kami berasa pemilik kapal itu telah muflis menyebabkan pihak syarikat tidak mempunyai wang untuk membayar gaji pekerja dan kesemua mereka meninggalkannya di tepi laut,” kata pihak berkuasa pelabuhan.
Pihak berkuasa turut tidak menolak kemungkinan kapal berkenaan telah dirompak oleh lanun.
Bagaimanapun siasatan mendapati, kapal itu telah menjadi mangsa vandalisme selain beberapa barangan berharga telah hilang berkemungkinan disebabkan pihak polis terlalu lambat bertindak selepas menerima laporan daripada penduduk.
– Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz48CLsIQbf 
Hakcipta terpelihara 

Tanah runtuh akibat hujan lebat bunuh 49 orang di Rwanda



GAMBAR dari atas sebuah bukit menunjukkan pemandangan ibu kota Rwanda, Kigali pada 18 September, 2013.


KIGALI, Rwanda – Tanah runtuh akibat hujan lebat membunuh sekurang-kurangnya 49 orang dan memusnahkan beratus-ratus bangunan di Rwanda pada hujung minggu lalu, kata kerajaan negara itu.
Beberapa pegawai berkata, hujan lebat itu yang turun sejak malam Sabtu lepas hingga kelmarin menyebabkan 500 kediaman ranap, banyak infrastruktur musnah dan turut mencederakan 26 penduduk.
Beberapa negara di rantau Afrika Timur dilaporkan mengalami hujan lebat semasa musim hujan tahun ini, manakala kebanyakan negara itu menyalahkan fenomena cuaca, El Nino sebagai punca bencana banjir.
Pada 29 April lalu, hujan lebat beberapa hari menyebabkan sebuah bangunan kediaman di ibu kota Rwanda, Kigali runtuh dan membunuh 49 orang. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz48CLjUnMI 
Hakcipta terpelihara 

Kaki buli mati ditikam rakan




Beberapa anggota polis membawa suspek mencari pisau lipat yang digunakan oleh suspek (dua dari kiri) di Kawasan Perindustrian Arab Malaysian, Nilai semalam.


SEREMBAN – Gara-gara tidak tahan dibuli, seorang lelaki warga Vietnam berusia 28 tahun bertindak menikam rakan senegaranya dengan menggunakan sebilah pisau lipat dalam satu kejadian di sebuah kilang besi dekat Kawasan Perindustrian Arab Malaysian di Nilai dekat sini tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd. Yusof berkata, suspek berjaya ditangkap selepas empat jam menyerang Tran Try Ong Thien Lan, 42, hingga mati.
“Suspek ditahan polis kira-kira empat jam selepas kejadian di kawasan berdekatan kilang berkenaan. Dia (suspek) mendakwa beberapa kali dibuli oleh mangsa di hostel mereka.
“Oleh sebab tidak tahan, suspek bertindak menyerang mangsa sewaktu di kilang dengan menggunakan sebilah pisau lipat serbaguna,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.
Jaafar berkata, mangsa, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Nilai Medical Centre pada pukul 2.35 petang semalam.
Menurut beliau, ujian bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati tikaman pisau lipat itu tepat kena pada jantung mangsa.
Kata beliau, polis masih mencari senjata digunakan oleh suspek dalam kejadian tersebut yang dipercayai dibuang di kawasan semak berhampiran kilang berkenaan.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Siasatan lanjut berhubung dakwaan suspek menjadi mangsa buli sedang dilakukan memandangkan suspek tidak mahir berbahasa Melayu mahupun Inggeris.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz48CLaRiZe 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki maut langgar lori sampah





MELAKA – Seorang lelaki menemui ajal dalam keadaan cukup pilu apabila van yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori sampah di Batu 10 Jalan Tangga Batu di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 9.32 pagi itu, Ezrie Abu Samah (gambar kecil), 36, yang berasal dari Tanjong Kling meninggal dunia di tempat kejadian akibat kece­deraan parah pada muka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Mohd. Kamal Zainal berkata, mangsa yang bekerja dengan sebuah syarikat kate­ring dipercayai baru pulang menghantar rakan sekerja di Kem Terendak dan sedang menghala ke Bukit Rambai.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kende­raan mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian hadapan lori sampah.
“Akibat rempuhan itu, mang­sa tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan telah meninggal dunia sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dua lelaki yang berada di dalam lori sampah hanya mengalami cedera ringan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Penolong Penguasa Bomba Roslan Jalil berkata, pihaknya sampai di lokasi kira-kira 11 minit kemudian.
“Kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan mengopak bahagian pintu menggunakan alat pemotong dan pemegang,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0510&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz48CLTugaR 
Hakcipta terpelihara