Search This Blog

Saturday, May 7, 2016

Tren ETS, Penumpang Bertembung Di Kuala Kubu Bharu


Diterbitkan: Sabtu, 7 Mei 2016 3:02 PM

PETALING JAYA: Dua buah tren milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilapor bertembung di Kuala Kubu Baru dekat sini pada petang Sabtu.
Menurut laporan awal Pasukan Bomba dan Penyelamat, kemalangan itu melibatkan tren penumpang 13 gerabak dari Butterworth dengan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur menghala ke Ipoh di lokasi.
Jelasnya, terdapat 510 penumpang di dalam kedua-dua tren berkenaan ketika kejadian pada pukul 1.38 petang.
Bagaimanapun hanya tiga penumpang yang mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Penumpang meninggalkan tren yang terlibat dalam kemalangan.

Otai samun ditahan kali ke-11

Kuala Lumpur: Seorang ‘otai’ penjenayah samun berusia 49 tahun masih tidak serik walaupun pernah 10 kali ditahan polis serta memiliki rekod jenayah lampau sebelum ini.
Suspek yang gemar melakukan samun dan ragut dengan menunggang motosikal turut dikesan pernah menyamar sebagai polis untuk memperdaya mangsa.
Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, suspek berjaya diberkas di kawasan Chow Kit di sini, oleh anggota polis trafik kelmarin.
“Suspek sebelum itu ditemui dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan ke atas nombor pendaftaran motosikal Yamaha Nuovo ditunggang suspek mendapati ia dilaporkan hilang dicuri di daerah Brickfields.
“Suspek yang menyedari kehadiran polis melarikan diri masuk ke dalam sebuah kedai permainan video,” katanya.
Menurutnya, suspek ditahan pada jam 3 petang selepas anggota polis menunggu di kawasan berhampiran.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:35 AM


SUSPEK samun ditahan bersama motosikal curi.

Lunyai dibelasah tiga along sebelum diculik

Johor Bahru: Seorang lelaki berusia 32 tahun yang mahu berunding dengan tiga along bagi melangsaikan hutangnya dibelasah sebelum dilarikan ketiga-tiga suspek terbabit di stesen minyak di Larkin, jam 2 petang, Rabu lalu.
Mangsa yang tiba di stesen minyak di lokasi itu dipaksa masuk ke Honda Accord oleh suspek sebelum dibawa pergi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, mangsa sebelum itu ke stesen minyak berkenaan dengan adiknya untuk bertemu dengan suspek bagi urusan pembayaran hutang.
“Mangsa yang cuba berunding dengan along terbabit dibawa pergi selepas gagal menjelaskan hutang dituntut berjumlah RM7,000. Mangsa dilarikan ke arah Skudai sebelum adiknya serta ahli keluarga melaporkan kejadian kepada polis.
“Susulan laporan polis itu, kami melancarkan Ops Tutup dan Ops Kesan. Hasilnya, kami menahan dua suspek jam 5.30 petang hari yang sama selain merampas Honda Accord digunakan suspek terbabit.
“Kami kemudian menemui mangsa di sekitar Skudai. Seorang lagi suspek ditahan jam 8 malam hari yang sama di sekitar bandar raya ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan daripada suspek seperti enam telefon bimbit, salinan kad pengenalan milik 52 individu yang berhutang dengan along, tujuh resit bank selain buku resit pembayaran hutang.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:47 AM


POLIS menahan tiga ceti haram selepas menculik dan memeras mangsa di sebuah stesen minyak di Larkin.

11 individu ditahan kes culik lelaki Bangladesh

Georgetown: Polis menahan 11 lelaki tempatan dalam beberapa serbuan di sekitar Jelutong, di sini, Rabu lalu selepas mereka dipercayai terbabit dalam kes penculikan seorang lelaki warga Bangladesh, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian jam 9.30 malam Isnin lalu, mangsa iaitu pekerja kilang berusia 29 tahun dilaporkan diculik sewaktu keluar dari rumah dengan menaiki kereta sebelum ditahan suspek yang kemudian menyembunyikannya di sebuah rumah di Jelutong.
Beliau berkata, suspek dikatakan meminta mangsa menghubungi keluarganya dan meminta wang tebusan RM5,000 menyebabkan mangsa menghubungi rakannya dan memaklumkan mengenai kejadian yang berlaku.
“Rakan mangsa menghubungi abang mangsa di Bangladesh dan menceritakan kejadian yang berlaku sebelum memasukkan wang RM5,000 seperti diminta sebagai wang tebusan pada Selasa sebelum mereka membuat laporan polis.
“Siasatan mendapati suspek turut menuntut sejumlah wang lagi dan meminta keluarga mangsa memasukkan wang tebusan sebagai umpan untuk melepaskan mangsa menyebabkan keluarga mangsa memasukkan RM9,000 lagi kepada suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di sini semalam.
Mior Faridalathrash berkata, selepas wang tebusan berjumlah RM14,000 dimasukkan, mangsa dibebaskan Rabu lalu dan selepas itu polis melancarkan serbuan sebelum akhirnya berjaya menahan 11 suspek lelaki berusia antara 19 hingga 25 tahun di beberapa lokasi di sekitar Jelutong dan pusat bandar bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, penculik melakukan jenayah berkenaan untuk mendapatkan wang mudah dan polis kini sedang mengesan seorang lelaki V Evasekar, 26, atau lebih dikenali sebagai Salsa yang masih bebas bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk topi keledar, telefon bimbit, slip pengeluaran wang, dompet, wang tunai RM5,000 dan beg silang dimiliki semua suspek yang ditahan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 dan sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sebatan,” katanya.
Sehubungan ittu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mengenali atau mengetahui lelaki bernama Salsa supaya menghubungi IPDTL di talian 04-2181822 atau balai polis berhampiran.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:50 AM


Mior Faridalathrash (tengah) menunjukkan wajah suspek dan barang yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, semalam.

Padah tolong kawan

Peshawar: Seorang wanita Pakistan diberi dadah, dicekik hingga mati sebelum mayatnya dibakar kerana membantu rakannya melarikan diri bersama kekasih.
Mangsa berusia 20-an itu, dibunuh dan dibakar dalam sebuah van atas arahan jirga (jawatankuasa kampung) di Makol, barat laut Pakistan pada 29 April lalu.
Menurut polis, 14 suspek termasuk ibu mangsa ditahan kerana kejadian itu.
“Polis menahan 13 ahli jirga yang mengarahkan gadis itu dibunuh. Ibu mangsa ditahan kerana menyokong keputusan jirga itu,” kata ketua polis daerah, Khurram Rasheed kepada AFP.
Kesemua 14 suspek hadir ke mahkamah antikeganasan tempatan semalam atas dakwaan membunuh dan keganasan.
Pemilik van itu juga ahli jirga.
Vannya dibakar kerana wanita yang melarikan diri bersama kekasih itu - yang dipercayai selamat disembunyikan- menggunakannya ketika dia melarikan diri.
Ratusan wanita dibunuh saudara sendiri di Pakistan setiap tahun atas alasan mempertahankan maruah keluarga, tetapi jarang sekali berlaku pihak yang membantu mereka turut dibunuh.
Pakistan meminda kod jenayahnya pada 2005 bagi mengelak orang yang membunuh saudara perempuan terlepas daripada hukuman hanya disebabkan mereka waris mangsa.
Bagaimanapun, masih terpulang kepada budi bicara hakim untuk memutuskan sama ada mengenakan hukuman penjara apabila saudara lain mangsa memaafkan si pembunuh.
Perdana Menteri Nawaz Sharif juga berjanji membasmi kekejaman pembunuhan demi maruah tetapi setakat ini tiada undang-undang baru dibentangkan.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 10:06 AM


POLIS mengiring suspek yang ditutup mata di mahkamah di Abbottabad.

Duterte didakwa gaji 11,000 pekerja hantu

Manila: Seorang senator semalam memfailkan satu aduan rasuah terhadap calon presiden Filipina, Rodrigo Duterte kerana didakwa menggaji 11,000 pekerja hantu pada 2014.
Senator Antonio Trillanes yang bertanding jawatan naib presiden mendakwa tindakan Datuk Bandar Davao City itu menyebabkan kerajaan terpaksa membayar gaji berjumlah AS$15 juta (RM60 juta).
Trillanes sebelum ini mendedahkan dokumen yang mendakwa wang berjumlah AS$51 juta (RM204.16 juta) disalurkan ke beberapa akaun Duterte dari 2006 hingga 2015.
Dia mendakwa Duterte yang kini mendahului tinjauan populariti menjelang pilihan raya umum Isnin ini gagal mengisytiharkan kekayaannya.
Bagaimanapun, Duterte menafikan memperoleh kekayaan secara haram.
Jurucakap Duterte, Peter Lavinia berkata, Davao City menerima anugerah pentadbiran terbaik daripada kerajaan persekutuan pada 2015.
“Ini adalah penjelasan positif berbanding dakwaan yang direka-reka,” katanya.
Aduan terbaru yang difailkan Trillanes turut mengemukakan satu laporan Suruhanjaya Audit pada 2015 yang mempersoalkan kekurangan dokumen bagi membuktikan pekerjaan pekerja kontrak berkenaan.
Sekiranya aduan berkenaan didapati berasas satu tuduhan akan difailkan di mahkamah antirasuah negara itu. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 10:09 AM


DUTERTE (kiri) mengelap peluh di wajahnya ketika berkempen di Malabon di Metro Manila.

Khalwat: Dicekup dalam keadaan berbogel


Gambar Hiasan
KUALA TERENGGANU - Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu kelmarin, menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 terhadap sepasang kekasih yang dicekup dalam keadaan berbogel di sebuah inap desa, 19 Januari lalu.
Tertuduh , lelaki berusia 27 tahun dan pasangannya berusia 24 tahun turut berdepan hukuman penjara enam bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Keputusan dibuat Hakim Syarie, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof selepas pasangan berkenaan mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai penguat kuasa syariah daerah melakukan serbuan berwaran di sebuah bilik inap desa di Tok Jembal, Kuala Nerus, jam 6.50 petang pada 19 Januari lalu.
Sebaik tiba di depan bilik, pintu tertutup rapat sebelum anggota mengetuk pintu dan memberi salam.
Selepas dua minit, pintu masih belum dibuka. Anggota kemudian membuka tingkap dan melihat seorang lelaki berada di atas katil dalam keadaan berbogel dan menutup badannya dengan bantal.
Pada masa sama, seorang wanita sedang bersembunyi di hujung katil juga dalam keadaan berbogel, sambil menutup tubuhnya dengan pakaian yang dipegang.
Pemeriksaan mendapati mereka berdua tidak mempunyai hubungan suami isteri atau mahram.

Tiga sekawan ditahan selepas disyaki menyamun


Mohamad Roy Suhaimi Sarif
KUALA LUMPUR – Tiga sekawan ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan samun di sekitar ibu negara.
Ketiga-tiga lelaki berusia 23 hingga 28 tahun ditahan sejak kelmarin dalam dua tangkapan berasingan di Taman Sri Rampai dan Desa Rejang, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, tangkapan pertama kira-kira jam 1 pagi, kelmarin, dibuat susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki Pakistan selepas motosikal miliknya dilarikan suspek.
“Dengan dipandu arah mangsa, polis kemudian menahan dua lelaki di sebuah perhentian bas.
“Pemeriksaan mendapati motosikal yang dinaiki suspek adalah motosikal milik mangsa,” katanya.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis kemudian menahan seorang lagi lelaki di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di Setapak kira-kira jam 2 pagi, semalam.
“Pemeriksaan polis mendapati, dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Perompak tebuk dinding tandas


INILAH dinding tandas yang ditebuk sekumpulan perompak sebelum memecahkan dua ATM di pasar raya AEON Big Ampang, Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA – Sekumpulan perompak bertindak menebuk dinding tandas sebelum melarikan wang berjumlah kira-kira RM200,000 daripada dua buah mesin juruwang automatik (ATM) yang terletak di dalam pasar raya AEON Big Ampang di sini semalam.
Dalam kejadian ki­ra-kira pukul 3 pagi itu, perompak terbabit dipercayai menggunakan gas oxy-acetylene untuk memecahkan dua mesin ATM milik bank yang berlainan itu sebelum melarikan wang tunai yang terdapat di dalamnya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias (gambar kecil) berkata, kesemua suspek memasuki pasar raya berkenaan melalui dinding tandas yang terletak di tingkat bawah dan berhampiran mesin ATM terbabit.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz47vN0K8s4 
Hakcipta terpelihara