Search This Blog

Friday, May 6, 2016

Polis tahan 10 lelaki terlibat kes samun


Kes jenayah
SERDANG - Polis menahan 10 lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar daerah ini sejak Ahad hingga Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, kesemua suspek yang ditahan berumur lingkungan 18 hingga 26 tahun.
"Pada Ahad lepas, polis menahan dua lelaki berumur 23 dan 25 tahun di Taman Equine, Seri Kembangan selepas 10 jam menyamun beg dan jam tangan berjenama daripada seorang lelaki di sebuah kafe, di Putra Walk, di sini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Polis turut merampas sebuah motosikal dan sebilah pisau pemotong sayur yang digunakan dalam aktiviti menyamun, katanya.
Megat Mohd Aminuddin berkata dalam satu lagi kejadian Isnin lepas, polis menahan dua lelaki masing-masing berumur 18 tahun selepas mereka menyamun sebuah kedai serbaneka di Taman Kinrara 1, Puchong pada 21 April lalu.
Katanya modus operandi mereka ialah memasuki premis semasa ketiadaan pelanggan di awal pagi.
Pada hari yang sama, polis menahan tiga lelaki berumur 21 hingga 26 tahun di Sungai Besi, tujuh jam selepas mereka menyamun seorang wanita di Taman Sungai Besi Indah, di sini Isnin lalu.
Hasil pemeriksaan di rumah suspek, polis merampas sebilah parang, sebilah pisau dan tiga telefon bimbit selain dua helai baju yang digunakan semasa melakukan samun, katanya.
Megat Mohd Aminuddin berkata, Rabu lepas, polis menahan tiga lelaki di Cheras selepas mereka menyamun RM7,000 daripada seorang lelaki sebelum melarikan sebuah kereta jenis Mazda CX5 di Wisma Alaf Sanjung, Sungai Besi Indah pada 28 April lepas.
Hasil soal siasat, polis menemukan semula kenderaan itu yang diletakkan di kawasan meletak kenderaan di Jalan Kasturi, Cheras. - Bernama

Lelaki gagal bayar hutang diculik ah long


JOHOR BAHRU 6 Mei - Seorang lelaki diculik oleh tiga ceti haram atau ah long kerana gagal membayar hutangnya tetapi berjaya diselamatkan kurang empat jam selepas kejadian di sebuah stesen minyak di Larkin, di sini kelmarin.
Sulaiman Salleh
Sulaiman Salleh
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang ketika mangsa yang berusia 32 tahun dan adiknya sedang berurusan dengan ketiga-tiga suspek di stesen minyak berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa berhutang sebanyak RM3,000, namun perlu membayar RM7,000 tetapi gagal menyerahkan wang berkenaan menyebabkan dia dilarikan ketiga-tiga suspek yang berusia antara 22 hingga 57 tahun dengan sebuah kereta Honda Accord.

“Adik mangsa kemudian membuat laporan polis dan bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis kemudian melancarkan Operasi Tutup dan Operasi Kesan sebelum berjaya menahan dua suspek dan menyelamatkan mangsa di Skudai pukul 5.30 petang hari yang sama,” kata dalam satu kenyataan, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lelaki-gagal-bayar-hutang-diculik-ah-long-1.319069#sthash.Jl1LMFGA.dpuf

Helikopter terhempas: Setiausaha Sulit sahkan mayat Noriah


Helikopter terhempas: Setiausaha Sulit sahkan mayat Noriah

KUCHING 6 MEI 2016 - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mendengar penerangan daripada Setiausaha Sulit Datuk Noriah Kasnon, Abidin Supardi ketika di Hangar Hornbill Skyways, di sini, malam tadi. - GAMBAR MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
KUCHING 6 Mei - Mayat mangsa tragedi helikopter yang ditemui di tebing Sungai Batang Lupar, Sebuyau, disahkan jenazah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon, kata setiausaha sulitnya, Abidin Supardi.
Abidin berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah jenazah tersebut di Hospital Umum Sarawak di sini.
Selain Noriah, suaminya Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia turut menaiki helikopter itu.
Turut berada di dalam pesawat itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Sundaran Annamalai; pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas.
Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong pada 4.12 petang menghala ke Kuching sebelum nahas itu berlaku.
Noriah berada di Betong untuk menjalankan tugas-tugas berkaitan kementeriannya semasa pilihan raya negeri ini. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/helikopter-terhempas-setiausaha-sulit-sahkan-mayat-noriah-1.319102#sthash.2yyUP80v.dpuf

Ops banteras tonto, kereta klon, pemalsuan lesen ke Sabah, Sarawak


Ops banteras tonto, kereta klon, pemalsuan lesen diperluas ke Sabah, Sarawak

Pasukan Tindakan Khas (PTK) JPJ bagi membanteras kegiatan sindiket pemalsuan lesen dan tonto akan dikerahkan ke Sabah dan Sarawak. - GAMBAR SAIFUL BAHARI ASHARI
KOTA KINABALU 6 Mei - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperluaskan operasi membanteras aktiviti tonto, kereta klon dan pemalsuan lesen ke Sabah dan Sarawak.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, walaupun hanya pemalsuan lesen agak serius di Sabah, namun pihaknya akan memperluaskan pencarian dalang di sebalik aktiviti tonto dan kereta klon agar isu itu tidak berleluasa.
"Hasil dari Ops Cantas Khas Tonto itu (di Semenanjung sebelum ini), ada lagi tangkapan yang kita akan buat. Jadi operasi khas tonto ini kita adakan dengan kerjasama polis di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari JPJ ke-70 peringkat negeri Sabah di Ibu Pejabat JPJ Sabah di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak JPJ telah menubuhkan Pasukan Tindakan Khas (PTK) khusus bagi membanteras kegiatan sindiket itu termasuk pemalsuan lesen yang dianggap berleluasa di negeri ini.
Ismail berkata, beliau optimis sindiket pemalsuan lesen dan kes kereta klon dapat dibanteras di negeri ini berikutan beberapa inisiatif yang diambil JPJ selepas tertubuhnya pasukan itu.
Terdahulu dalam ucapannya, Ismail berbangga di atas kejayaan semua anggota JPJ sehingga agensi itu menerima pengiktirafan lima bintang daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sempena sambutan Hari JPJ ke-70 agensi itu. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/ops-banteras-tonto-kereta-klon-pemalsuan-lesen-ke-sabah-sarawak-1.319068#sthash.yjc7BiRB.dpuf

Didenda RM4,000 gagal selenggara resit nasi lemak


Nasi lemak
Gambar hiasan
SHAH ALAM - Gara-gara gagal menyimpan dan menyelenggara  resit harga bagi sepinggan nasi lemak, seorang pemilik restoran di Subang Jaya didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Pemilik Restoran Silva's Curry House, T. Gopinath, mengaku bersalah atas  pertuduhan gagal menyimpan dan menyelenggara rekod perniagaan melibatkan resit penjualan sepinggan nasi lemak ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.
Hakim Ahmad Azhari turut memerintahkan Gopinath,36, menjalani hukuman penjara 14 hari sekiranya gagal bayar denda berkenaan. Dia membayar denda itu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di restoran berkenaan yang terletak di No 121, Jalan SS15/5A, Subang Jaya pada pada 29 Jun 2015.
Dia dituduh mengikut Seksyen 53A Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 57(b) akta sama, yang memperuntuk denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dari Shah Alam membuat pemeriksaan di restoran itu susulan aduan berhubung harga nasi lemak yang dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 pada Februari 2015.
Hasil siasatan mendapati pihak restoran gagal mengemukakan resit penjualan sepinggan nasi lemak biasa pada Januari 2015 apabila diminta oleh pegawai terlibat bagi membuat semakan perbandingan harga.
Dalam rayuannya bagi mengurangkan hukuman, Gopinath yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan pendapatan perniagaannya adalah hanya sekitar RM5,000 sebulan.
Selain itu, ia adalah kesalahan pertamanya sejak menjalankan perniagaan restoran itu 13 tahun lepas.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A. Kathiyayini. - Bernama

Kisah Yuyun dirogol 14 lelaki dapat perhatian


Potret Yuyun.
JAKARTA - INDONESIA. Kisah Yuyun gadis berusia 14 tahun dirogol dan dibunuh oleh 14 lelaki ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya telah mencetuskan pedebatan dan kemarahan di kalangan masyarakat negara itu.
Kes ini pada mulanya tidak mendapat liputan meluas media tempatan sehinggalah seorang aktivis lantang bersuara dan mula mendapat perhatian di media sosial.
Malah semalam, satu protes turut diadakan di luar istana presiden di Jakarta.
Yuyun hilang pada 2 April ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kampung Kasiah Kasubun di wilayah Bengkulu, barat Indonesia.
Mayatnya ditemui dua hari kemudian oleh penduduk kampung dalam keadaan lebam dipukul dan tanggannya terikat. Susulan kejadian 12 dari 14 suspek ditahan dan tujuh daripadanya masih dibawah umur 18 tahun.
Menurut polis, Yuyun diseret oleh pelaku yang dikenalinya secara peribadi ke dalam hutan sebelum dirogol dan kemudiannya dibunuh.
Dua minggu selepas tangkapan, aktivis dan ahli muzik bebas Kartika Jahja di Jakarta lantang bersuara di laman sosial mengenai kes tersebut.
Kartika berkata, dia bukan hanya marah dengan kisah tragis menimpa kanak-kanak itu tetapi kerana cerita itu diabaikan.
Kartika Jahja kemudia menubuhkan komuniti dikenali Kolektif Betina yang  memulakan kempen di Twitter dengan hashtag #Nyala Untuk Yuyun malah Kempen tersebut viral dengan lebih daripada 23,000 retweet - bersama-sama dengan hashtag lain selepas itu seperti #YYadalahKita.
"Saya berharap gerakan ini tidak akan berhenti dalam media sosial. Kita perlu untuk melawan keganasan seksual di luar sana dan melakukan semua yang kita boleh, dengan menggunakan kemahiran yang kita ada.
"Keganasan seksual adalah satu isu kecemasan di Indonesia, tetapi kebanyakan manusia tidak mengambil berat tentangnya. Kita perlu bersama-sama. Jika tidak, kita tidak akan mencari jalan keluar," kata Kartika Jahja.
Dalam pada itu, ibu bapa Yuyun berharap agar 14 suspek yang memperkosa anaknya beramai-ramai dihukum setimpalnya jika mereka terbukti bersalah.
"(Keluarga) minta hukuman seberat-beratnya kepada pelaku, kalau 10 tahun saya tak merasa tenang. Aku minta seumur hidup.
"Kami tidak mempunyai ramai anak dan mereka adalah harta yang paling berharga," kata Yana, ibu Yuyun memberitahu BBC Indonesia.
Menurut Yana, Yuyun merupakan pelajar terbaik dan bercita-cita untuk menjadi seorang guru dan dia merupakan harapan keluarga.

Budak Navajo diculik, bunuh

Santa Fe (New Mexico): Seorang lelaki ditahan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) kerana disyaki menculik dan membunuh kejam seorang kanak-kanak perempuan orang asli dari puak Navajo yang berusia 11 tahun.
Tom Begaye, 27, ditahan di Farmington kelmarin, kurang 24 jam selepas Ashlynne Mike dilaporkan hilang apabila diculik bersama adiknya, Isnin lalu, di Shiprock, kata pengarah bahagian keselamatan awam puak itu, Jesse Delmar.
Menurut jurucakap FBI Frank Risher, Ashlynne diculik orang tidak dikenali bersama adik lelakinya, Ian, sembilan, selepas turun dari bas ketika pulang dari sekolah.
Lelaki itu dikatakan mahu membawa mereka menonton wayang, tetapi meninggalkan adik lelakinya berjalan berhampiran sempadan negeri Arizona.
Ian dilaporkan berlari sejauh 3.2 kilometer sehingga ditemui orang awam yang membawanya kepada polis. Malah dia terlalu takut sehingga tidak dapat bercakap dan cuma menangis ketika diminta menceritakan apa berlaku.
“Kami berharap dapat menemuinya dalam keadaan sempurna. Malangnya apabila ditemui, bukan seperti yang kami bayangkan,” kata Delmar.
Sementara itu, ibu kanak-kanak terbabit Pamela Foster menulis dalam media sosialnya mengatakan, ‘Air mata mengalir. Ibu sayang dan rindukan kamu wahai anakku.’
Menurut laporan, kanak-kanak itu hilang kali terakhir dilihat di Navajo Route 36 dan penculiknya menaiki van merah gelap.
Sepupu Ashlynne, Shawn Mike, 43, berkata, anaknya yang berusia sembilan tahun berada bersama dua beradik terbabit ketika mereka dihampiri seorang pemandu van, Isnin lalu.
“Pemandu van itu mengajak mereka menonton wayang. Anak saya dan Ian menolak, tetapi Ahslynne bersetuju.
“Kerana tidak mahu kakaknya berseorangan, Ian juga memasuki van berkenaan. Itu kali terakhir dia melihat mereka,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 10:36 AM


IBU bapa mangsa tidak dapat menahan kesedihan.

Remaja perempuan mati dibakar hidup-hidup

Peshawar, Pakistan: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dibunuh dengan kejam selepas diberi dadah sebelum dibakar hidup-hidup dalam van jenis Suzuki oleh penduduk kampung kerana disyaki membantu rakannya melarikan diri dengan teman lelaki minggu lalu.
Mayatnya yang rentung ditemui Jumaat lalu, terikat di tempat duduk belakang van berkenaan di Kampung Galyat Makool di daerah Abbottabad.
Penduduk mendakwa kononnya remaja itu mengalami masalah mental dan cuba membunuh diri.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati pelajar itu diculik dari rumahnya selepas diberi makan sesuatu menyebabkan dia pengsan sebelum dibakar atas arahan ketua jawatankuasa kampung atau jirga sebagai hukuman membantu rakan sekolahnya itu, melarikan diri, pada malam yang sama dia diculik dari rumah.
Berikutan itu, polis menahan 14 orang, termasuk ketua jawatankuasa kampung, Muhammad Pervez, serta ibu remaja malang itu kerana menyokong keputusan jirga.
Timbalan Ketua Polis Abbottabad, Khurram Rasheed, berkata Muhammad yang mengaku melakukan jenayah itu, berkata dia ke rumah mangsa dan memanggil remaja berkenaan keluar pada malam 28 April lalu, memberinya makan sesuatu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudian diikat dan dimasukkan ke dalam van sebelum dibakar kira-kira jam 3 pagi. Jirga bukan saja menyalahi undang -undang malah tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 7:27 PM


Van Suzuki tempat remaja perempuan 16 tahun dibakar penduduk kampung di Pakistan. - Foto Dawn News

Pelajar Malaysia berjoli selepas duit AS$4.6 juta tersalah masuk akaun ditangkap


JIAXIN LEE


SYDNEY – Seorang pelajar Malaysia yang berjoli dengan sebahagian wang AS$4.6 juta yang tersalah masuk ke akaunnya sejak empat tahun lalu ditangkap ketika cuba berlepas di Lapangan Terbang Sydney kelmarin.
MailOnline melaporkan, wang tersebut dikatakan dimasukkan ke akaun Bank Westpac milik Christine Jiaxin Lee, 21, ketika dia berumur 17 tahun.
Pelajar jurusan kejuruteraan kimia itu dilapor cuba melarikan diri ke Malaysia ketika ditahan oleh Polis Kebangsaan Australia di lapangan terbang.
Sejak empat tahun lalu, wanita berkenaan didakwa membelanjakan sebahagian wang tersebut dengan membeli beg tangan mahal dan barangan mewah.
Jiaxin Lee dihadapkan ke mahkamah daerah Waverley semalam selepas didakwa tidak jujur menggunakan wang berkenaan selain gagal memberitahu bank bahawa dia tidak mempunyai hak terhadap wang tersebut.
Mahkamah diberitahu bahawa Jiaxin Lee cuba meninggalkan Australia menuju ke Malaysia dengan menggunakan pasport kecemasan selepas mendakwa pasport asal miliknya hilang.
Jiaxin Lee dibenarkan ikat jamin sebanyak AS$1,000 (RM4,000) dan dikenakan syarat ikat jamin yang ketat oleh Majistret Lisa Stapleton. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz47pJkB88S 
Hakcipta terpelihara 

Alberta isytihar darurat bencana



SEJUMLAH kediaman musnah dijilat api di Fort McMurray kelmarin. - AGENSI


ALBERTA, Kanada – Darurat diisytiharkan di wilayah Alberta, Kanada selepas satu kebakaran hutan yang besar memaksa kesemua 88,000 penduduk di Fort McMurray berpindah untuk menyelamatkan diri.
Para pegawai memberi amaran situasi kini genting ekoran api marak dengan pantas dan boleh memusnahkan sebahagian besar bandar itu, manakala tempoh 24 jam akan datang adalah getir.
Kebakaran hutan itu yang bermula Ahad lalu, sehingga kini memusnahkan 1,600 binaan termasuk sebuah sekolah baharu di Fort McMurray.
Proses pemindahan penduduk bandar itu merupakan yang terbesar dalam sejarah Alberta. Malah, syarikat-syarikat minyak berdekatan terpaksa membuat keputusan mengurangkan pengeluaran komoditi itu.
Beberapa buah firma minyak di Alberta menutup sebahagian saluran paip minyak bagi memindahkan sebahagian pekerjanya. Setakat ini, tiada sebarang kecede­raan dilaporkan akibat bencana itu.
“Api marak sangat cepat. Rumah-rumah hangus dijilat api dalam tempoh yang singkat. Kebakaran ini memusnahkan seluruh komuniti di sini,” kata seorang penduduk tempatan yang juga bekas pemain hoki ais profesional, Doug Sulliman.
Sementara itu, Pegawai Kementerian Pertanian dan Perhutanan Alberta, Bernie Schmitte berkata kelmarin bahawa kebakaran besar itu tidak lagi mampu untuk dihalang.
Perkara itu diakui sendiri oleh Pengarah Eksekutif Agensi Pengurusan Bencana Alberta, Scott Long.
“Berita buruk ini akan bertambah buruk. Kita mungkin kehilangan sebahagian besar bandar ini,” katanya.
Imej satelit yang disiar­kan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan pula menunjukkan lebih 10,000 hektar kawasan hutan terbakar dalam bencana tersebut.
Sehingga kini, lebih 100 anggota bomba bertungkus-lumus untuk memadamkan api yang merebak dengan pantas disebabkan angin kuat dan cuaca panas. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz47pJesgyS 
Hakcipta terpelihara 

Nenek patah rusuk dipukul, disamun rugi RM31,000


Slug Pukul Samun Pasir Mas 5 Mei 2016  Ketua Bahagian Siasatan

Slug Pukul Samun Pasir Mas 5 Mei 2016 Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pasir Mas, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaimam (berdiri kanan) melawat Halimah Isa, 79, mangsa pukul dan samun yang dirawat di wad Hospital Pasir Mas di sini hari ini Gambar Firdaus Hassan Pemberita Firdaus Hassan / Azran Fitri Rahim
PASIR MAS 5 Mei – Seorang nenek berusia 79 tahun patah dua tulang rusuk dipukul oleh seorang lelaki sebelum menyamunnya di Kampung Tok Derpah di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu turut menyebabkan mangsa, Halimah Isa mengalami kerugian sebanyak RM31,000 apabila barang kemasnya dilarikan suspek yang berusia 30-an.
Semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang membawa lembu dan kerbau peliharaannya untuk minum air di sungai di kampung tersebut.
Suspek yang dikatakan mengenali mangsa telah datang menghampirinya untuk meminta rokok daripada wanita itu sebelum memukulnya dengan menggunakan sebatang kayu besar sehingga menyebabkan objek itu patah dua.
Mangsa yang mengalami kecede_raan di kepala dan rusuk kemudian ditinggalkan di tempat kejadian dalam kesakitan selama 11 jam sebelum ditemui oleh penduduk kampung pada pukul 6 petang.
Menurut Halimah, dia turut memberitahu kepada suspek yang dikenali sebagai Budin bahawa tidak ada rokok.
“Tiba-tiba dia pukul saya dengan sebatang kayu besar. Saya tanya kepada Budin kenapa pukul saya tetapi dia terus memukul kepala dan badan selain menyepak di bahagian badan sehingga saya terbaring.
“Saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa, dia telah mengambil duit RM1,000, dua utas rantai emas, cincin, subang dan lima urat gelang emas yang saya sorok dalam poket baju dalam.
“Saya bernasib baik kerana ditemukan oleh penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Pasir Mas di sini hari ini.
Sementara itu, anak mangsa, Maznah Che Omar, 49, berkata, ibunya yang tinggal bersendirian di rumah memang memelihara empat ekor kerbau dan lima ekor lembu.
“Kebiasaannya, dia bawa lembu dan kerbau untuk minum air di sungai kira-kira satu kilometer dari rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Saad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, polis sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/nenek-patah-rusuk-dipukul-disamun-rugi-rm31-000-1.317941#sthash.LiQMqeFA.dpuf

Ular sawa batik 6 meter dijumpai mati terbakar


Ular sawa batik 6 meter dijumpai mati terbakar
PASIR PUTEH 5 Mei 2016 - Seorang anggota keselamatan melihat seekor ular sawa batik sepanjang enam meter dengan ukur lilit 0.3 meter ditemui mati selepas terperangkap dalam kebakaran hutan berhampiran kawasan Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Gong Kedak, Besut, dekat sini kelmarin. Gambar ihsan FB Kemalangan dan Bencana Alam..999
PASIR PUTEH 5 Mei - Bangkai seekor ular sawa batik sepanjang enam meter dijumpai dan dipercayai mati dalam kebakaran hutan berhampiran kawasan Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, ular berukuran lilit 0.3 meter itu dipercayai terperangkap dan gagal menyelamatkan diri ketika kebakaran itu pada 12 tengah hari sebelum api berjaya dipadamkan pada 7 malam, hari sama.
"Penemuan ular sawa itu mengejutkan orang ramai termasuk anggota bomba yang berusaha memadamkan api daripada merebak di sekitar kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, bangkai ular berkenaan ditanam oleh anggota bomba, di lokasi ia dijumpai.
Katanya, kebakaran yang membabitkan kawasan hutan seluas 20 hektar itu dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/ular-sawa-batik-6-meter-dijumpai-mati-terbakar-1.317650#sthash.Mi3CTc3f.dpuf

Taktik guna kuil proses dadah terbongkar, lima ditahan


06 Mei 2016 1:17 AM
 




IPOH 5 Mei – Taktik lima lelaki menjadikan sebuah kuil yang jarang dikunjungi di tepi Lebuh Raya Ipoh­-Lumut, Jelapang di sini sebagai makmal pemprosesan dadah terbongkar apabila mereka diberkas polis Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hasnan Hassan berkata, kuil yang terletak jauh dari jalan utama dan sukar dimasuki itu dijadikan lokasi kegiatan tersebut oleh kumpulan berkenaan sejak sebulan lalu.
Menurutnya, siasatan mendapati kuil tersebut hanya digunakan untuk kerja pemprosesan dadah ketika tiada orang mengunjungi lokasi berkenaan.

“Kesemua suspek berusia antara 19 hingga 46 tahun diberkas di ruang legar utama tempat sembahyang di kuil berkenaan. Ketika tangkapan, kerja memproses dadah sedang dijalankan oleh kumpulan tersebut.
“Ketika serbuan, tiada orang lain berada di dalam kuil tersebut melainkan kelima-lima suspek ini. Kedudukan kuil ini yang jarang digunakan menyebabkan ia dijadikan lokasi untuk kegiatan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Hasnan memberitahu, dalam serbuan itu, pihaknya merampas dadah jenis methamphetamine seberat empat kilogram, tujuh liter cecair methamphetamine dan pelbagai peralatan untuk memproses dadah.
Ujar beliau, pihaknya turut me­rampas cecair kimia seperti caustic soda, phosphorus red dan aseton serta lima buah motosikal. Kese­mua rampasan tersebut bernilai RM1.14 juta.
“Siasatan mendapati, kesemua suspek yang merupakan penganggur dan bekerja sebagai buruh itu mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah dan mereka direman sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Tambah Hasnan, siasatan mendapati, dadah yang diproses kumpulan itu boleh dibekalkan kepada 40,000 penagih dan diedarkan di sekitar negeri ini.
Katanya, siasatan juga sedang dijalankan bagi mengesan suspek lain dalam kumpulan tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/taktik-guna-kuil-proses-dadah-terbongkar-lima-ditahan-1.317992#sthash.CDPEjAmM.dpuf