Search This Blog

Thursday, May 5, 2016

Makmal Mini Di Kuil Dibongkar, Rampas Dadah Bernilai Lebih RM1 Juta


Diterbitkan: Khamis, 5 Mei 2016 2:42 PM
Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hasssan (dua, kiri) menunjukkan cecair Methamphetamine jenis minyak anggaran isipadu tujuh liter seberat 11.9 kg bersama peralatan memproses dadah dirampas dalam serbuan polis ke sebuah kuil terletak di tepi Lebuhraya Ipoh-Lumut dekat Jelapang pada 2 Mei pada sidang media Polis Kontijen Perak di Ipoh, Khamis. -fotoBERNAMA

IPOH: Polis merampas dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM1.14 juta dalam satu serbuan di sebuah kuil yang dijadikan sebagai makmal mini memproses dadah di Lebuhraya Ipoh-Lumut di Jelapang, di sini, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata dalam serbuan hasil maklumat orang awam itu, lima lelaki tempatan berusia lingkungan 19 hingga 46 tahun turut ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak pada 6.30 petang.

"Polis menemukan dadah jenis methamphetamine seberat empat kilogram (kg) dan cecair methamphetamine seberat 11.9 kg serta peralatan dipercayai untuk kegunaan memproses dadah antaranya dapur elektronik, bekas silinder kaca, penimbang digital, kabel elektrik bersama suis dan plug serta sarung tangan.

"Polis turut menyita lima motosikal jenis Honda Wave dan Honda EX5 yang dianggar bernilai RM15,500," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, Khamis.

Beliau berkata dadah yang dirampas itu disyaki untuk diedar di sekitar negeri ini dan boleh dibekalkan kepada kira-kira 40,000 penagih.

Hasnan berkata kesemua suspek yang berasal dari Perak itu bekerja sebagai buruh serta penganggur dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Katanya, hasil ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah dan mereka kini direman tujuh hari bermula Selasa lepas bagi membantu siasatan.

"Polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan berharap mendapat sokongan berterusan dalam pembanterasan pengedaran dadah di Perak," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori.

Pada Selasa lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam catatan di akaun Twitternya mengesahkan rampasan serta tangkapan itu dan mengucapkan tahniah kepada polis Perak atas kejayaan tersebut.

Gadis Mangsa Dera Dipercayai Kebuluran Lebih Tiga Minggu


Diterbitkan: Rabu, 4 Mei 2016 6:18 PM
Mohd Said Ibrahim.

KEMAMAN: Laporan bedah siasat menunjukkan gadis berusia 22 tahun yang disyaki didera keluarganya hingga meninggal dunia 26 April lepas, mengalami kebuluran selain terdapat kesan gigitan manusia pada tubuhnya.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim berkata bedah siasat yang dilakukan Hospital Kemaman itu mendapati mayat tersebut mengalami jangkitan kuman.
"Kita percaya mangsa tidak diberikan makan sehingga kebuluran dalam tempoh tiga minggu. Selain itu, ada kesan kemasukan pada kemaluan depan dan belakang mangsa.
"Selain itu, sebahagian besar tubuh mangsa terdapat kesan gigitan manusia, serta kecederaan lain termasuk lebam di mata," katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Sehubungan itu, beliau berkata polis percaya ada unsur jenayah dalam kematian gadis malang itu yang hanya seberat 18 kilogram.
Mohd Said berkata pada peringkat awal polis mengklasifikasikan kematian gadis itu sebagai kes mati mengejut tapi selepas pemeriksaan awal dilakukan, terdapat beberapa perkara yang mendatangkan syak.
"Susulan itu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat," katanya.
Katanya bapa gadis itu membuat laporan kepada polis tentang kematian mangsa pada 26 April dengan memaklumkan anaknya meninggal dunia di rumah mereka disebabkan demam panas.
Susulan itu, Mohd Said berkata polis menahan bapa mangsa yang berusia 49 tahun, ibu tirinya yang berumur 35 tahun dan kedua-dua adik mangsa berumur 21 dan 14 tahun pada kira-kira 11.50 pagi, Ahad lalu.
Keempat-empat anggota keluarga mangsa ditahan reman tujuh hari bermula Isnin lalu untuk siasatan, katanya.
Mohd Said berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mayat mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman, 30 April lalu.
Mohd Said berkata pada Selasa pihak polis turut melakukan ujian gigi ke atas anggota keluarga mangsa bagi mengenal pasti kesan gigitan pada tubuh mangsa. - BERNAMA

Polis Terengganu Tumpas Sindiket Curi Pacuan Empat Roda


Diterbitkan: Khamis, 5 Mei 2016 3:14 PM
ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah

KUALA TERENGGANU: Empat lelaki termasuk seorang remaja yang dipercayai anggota sindiket curi kenderaan pacuan empat roda, ditahan Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 2.40 petang di Kampung Kolam Telaga Papan, Setiu.

Katanya penahahan itu dibuat susulan kehilangan kereta Ford Ranger milik sebuah syarikat yang disedari penyelia syarikat berkenaan kira-kira pukul 6.50 pagi hari yang sama.

"Penyelia berusia 40 tahun itu meletakkan kenderaan berkenaan di kawasan rumahnya di Kampung Jeram, Manir. Menyedari kenderaan tersebut hilang, mangsa segera melakukan laporan di Balai Polis Gong Badak.

"Polis kemudian terus melakukan hebahan ke seluruh daerah sebelum unit kereta peronda berjaya mengesan kenderaan itu di daerah Setiu selepas lebih lapan jam dilarikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Wan Abd Aziz berkata ketika dikesan kenderaan pacuan empat roda berkenaan ditunda bersama sebuah lagi kenderaan jenis yang sama.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut polis menemui anak kunci bertulis Ford, spanar, kunci allen yang diubah suai, kikir besi serta pemutar skru yang disembunyikan dalam beg pinggang.

Beliau berkata tiga suspek yang ditahan berasal dari Terengganu manakala seorang lagi dari Kelantan.

Katanya hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek yang berusia 17 hingga 35 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine.

Wan Abd Aziz berkata hasil semakan juga mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah manakala seorang lagi yang bekerja sebagai mekanik mempunyai empat rekod termasuk kes curi kenderaan dan mendatangkan kecederaan parah.

"Ini merupakan kejayaan kedua kita menumpaskan kegiatan seperti ini dalam tempoh dua hari dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sindiket terbabit," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Gadis mangsa dera kebuluran, hanya 18 kg

Kemaman: Laporan bedah siasat menunjukkan gadis berusia 22 tahun yang disyaki didera keluarganya hingga meninggal dunia 26 April lalu, kebuluran, ada kesan gigitan manusia pada tubuh serta kesan kemasukan pada kemaluan depan dan belakang.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, bedah siasat di Hospital Kemaman mendapati dia mengalami jangkitan kuman.
"Kita percaya mangsa tidak diberi makan sehingga kebuluran dalam tempoh tiga minggu hinggakan gadis malang itu hanya seberat 18 kilogram.
“Sebahagian besar tubuh mangsa ada kesan gigitan manusia, serta kecederaan lain termasuk lebam di mata," katanya di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata polis percaya ada unsur jenayah dalam kematian gadis malang itu.
Mohd Said berkata, pada peringkat awal polis mengklasifikasikan kematian gadis itu sebagai kes mati mengejut tapi selepas pemeriksaan awal, ada beberapa perkara mendatangkan syak.
"Susulan itu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat," katanya.
Menurutnya, bapa gadis itu membuat laporan kepada polis mengenai kematian mangsa pada 26 April dengan memaklumkan anaknya meninggal dunia di rumah kerana demam panas.
Susulan itu, Mohd Said berkata polis menahan bapa mangsa yang berusia 49 tahun, ibu tirinya berumur 35 tahun dan kedua-dua adik mangsa berumur 21 dan 14 tahun, kira-kira 11.50 pagi Ahad lalu.
mereka ditahan reman tujuh hari bermula Isnin lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mayat mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman, 30 April lalu.
Mohd Said berkata semalam pihak polis turut melakukan ujian gigi ke atas anggota keluarga mangsa bagi mengenal pasti kesan gigitan pada tubuh mangsa.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 7:31 PM


Gadis 22 tahun yang didera dipercayai oleh keluarga sendiri sebelum meninggal dunia pada 26 April lalu. - Foto Fail/Ihsan PDRM

Nekad langgar motosikal penyamun

Pasir Mas: Seorang lelaki patah pergelangan tangan kiri apabila motosikal ditunggangnya bertembung kereta ketika melarikan diri selepas mencuri telefon bimbit milik seorang remaja perempuan di Kampung Dangar, petang tadi.
Dalam kejadian 3 petang, suspek berusia 33 tahun masuk ke dalam kedai dan mengambil telefon tetapi disedari mangsa berusia 18 tahun yang sedang tidur.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, mangsa mengejar suspek yang sedang menghidupkan enjin motosikal Honda C70 dan sempat berpaut pada lengan kiri suspek menyebabkan dia diseret sejauh 80 meter.
Katanya, mangsa terjatuh di tepi jalan dan cedera di kaki manakala suspek memecut motosikalnya tetapi motosikal suspek bertembung dengan kereta jenis Volkswagen.
“Lelaki itu terjatuh namun dia bangun dan cuba melarikan diri sekali lagi dengan motosikalnya. Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit nekad mengejarnya dan melanggar motosikal suspek.
“Lelaki itu kemudian ditahan dengan bantuan orang ramai dan diserahkan kepada polis. Dia dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 10:28 PM


Lelaki yang cedera akibat kemalangan selepas mencuri telefon bimbit seorang remaja perempuan berjaya ditahan orang ramai di Kampung Dangar, Pasir Mas, petang tadi. - Foto Ihsan Pembaca

Tahanan mati tergantung dalam lokap

Ipoh: Seorang tahanan ditemui mati dipercayai menggantung diri dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, dekat sini, tengah hari tadi.
Kejadian 12.10 tengah hari itu disedari anggota polis yang membuat rondaan rutin di lokap berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, tahanan lelaki berusia 39 tahun itu ditemui tergantung menggunakan baju T yang dibekalkan kepadanya.
"Orang yang ditahan itu didapati sudah tidak bernyawa dan pegawai perubatan Hospital Sungai Siput yang tiba di tempat kejadian mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia.
"Inkuiri juga sudah dibuat oleh koroner Mahkamah Majistret Sungai Siput dan mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Hasnan berkata, tiada kecederaan lain ditemui pada badan tahanan itu dan ketika kejadian, lelaki dari Sungai Siput dan berstatus duda itu berada berseorangan dalam lokap.
"Dia ditahan polis Salak Baru, Sungai Siput, Isnin lalu mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah. Kes disiasat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Kangsar dan direman mulai semalam hingga 16 Mei ini," katanya.
Menurutnya, tahanan itu juga mempunyai empat rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah dan setakat ini, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 12:50 AM

Hidupan laut mati menimbun di Chile


SANTIAGO – Timbunan paus mati, ikan salmon dan sardin terdampar di pantai-pantai yang menghadap Lautan Pasifik di Chile sejak beberapa bulan lalu kesan daripada fenomena cuaca, El Nino.
Pada tahun lalu, saintis-saintis terkejut apabila lebih 300 ekor paus mati terdampar di beberapa teluk di pantai selatan Chile. Pada awal tahun ini, peningkatan alga di lautan membawa kepada kematian 40,000 tan ikan salmon di rantau Los Lagos yang menempatkan pergunungan Andes, tasik-tasik dan kawasan pertanian subur di negara itu.
Bilangan itu menyamai sekitar 12 peratus pengeluaran ikan salmon di Chile. Negara itu merupakan pengeluar ikan itu yang kedua terbesar di dunia selepas Norway.
Pada bulan ini, sekitar 8,000 tan ikan sardi terdampar di kuala sungai Queule, manakala beribu-ribu kepah menimbun di pantai Pulau Chiloe di Chile.
Di pantai Pulau Santa Maria, tengah Chile pula, beribu-ribu ekor sotong mati dan terdampar.
Saintis-saintis menyalahkan keganjilan itu kepada fenomena cuaca, El Nino yang menyebabkan suhu di permukaan Lautan Pasifik menjadi semakin hangat.
“Kami berpendapat faktor kematian haiwan di Chile termasuk ladang penternakan salmon dan ikan di laut adalah disebabkan El Nino. Fenomena ini adalah yang paling kuat dalam tempoh 65 tahun,” kata beberapa pakar di institut perikanan Chile, IFOP.
Air laut yang lebih panas akan membiakkan alga. Hidupan ini membunuh spesies-spesies lain dengan mengambil oksigen atau membebaskan toksin.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz47jjzgjV3 
Hakcipta terpelihara 

Tiga sahabat maut kemalangan



KEADAAN Proton Waja yang dipandu Mohamad Safiq terperosok di bawah lori menyebabkan mangsa dan dua rakannya maut dalam kemalangan di Kilometer 3.2, Jalan Bernam, Kuala Selangor semalam.


KUALA SELANGOR – Hajat seorang lelaki untuk bersarapan bersama abang sulungnya tidak kesampaian selepas mangsa dan dua rakannya maut dalam kemala­ngan di Kilometer 3.2, Jalan Bernam di sini awal pagi semalam.
Mohamad Safiq Hassan, 22, dan dua rakannya, Mohd. Moh­yudin Mohd. Subari, 50, dan Ahmad Mustakim Mohd. Ngail, 37, meninggal dunia di lokasi dalam kejadian pada pukul 8.18 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Roslan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dari arah Kuala Sela­ngor menghala ke arah Tanjong Karang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.
“Kereta jenis Proton Waja dipandu mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan menyebabkan ketiga-tiga mereka me­ninggal dunia di tempat kejadian­ akibat cedera parah di seluruh badan.
“Pemandu lori dari Pulau Pinang yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur itu pula tidak mengalami kecederaan dan sudah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor,” katanya kepada pemberita semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz47jjmVKwN 
Hakcipta terpelihara 

Kebakaran besar di Alberta



AGENSI - KEBAKARAN teruk di sepanjang lebuh raya 63 Fort McMurray di Alberta, Kanada kelmarin.


MONTREAL (AFP) – Kesemua 100,000 penduduk bandar Fort McMurray di Kanada diarah berpindah lewat kelmarin selepas kebakaran hutan besar merebak ke serata rantau itu.
Perpindahan itu adalah yang terbesar pernah berlaku di wilayah Alberta.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini tetapi beberapa stesen minyak meletup, manakala sebuah hotel dan penempatan karavan turut hangus, menurut media tempatan.
Ruang udara di bandar itu pula dipenuhi asap hitam yang tebal.
“Saya tahu bahawa ini adalah detik yang amat menakutkan.
“Fokus kami sekarang adalah untuk memastikan keselamatan penduduk dan memindahkan mereka,” kata Ketua Menteri Alberta, Rachel Notley pada satu sidang akhbar.
Pihak berkuasa meminta penduduk supaya menuju ke pusat-pusat pemindahan di luar bandar. Lapangan terbang di Fort McMurray masih dibuka tetapi hospitalnya terpaksa ditutup.
“Dapatkan rawatan sekiranya anda mengalami kesukaran bernafas,” kata perkhidmatan kecemasan.
Kebakaran itu yang berlaku di selatan Fort McMurray dapat dikawal setakat Isnin lalu, namun api merebak dengan cepat dan membakar sejumlah kediaman di bandar itu akibat tiupan angin kuat selaju 50 kilometer sejam dan kemarau di Alberta.
Wilayah itu mencatatkan suhu paling panas hampir 30 darjah Celsius.
Pembantu Timbalan Menteri Pertanian dan Perhutanan, Bruce Mayer berkata, sebanyak sembilan pesawat, 12 helikopter dan 100 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api, sementara bantuan sedang dihantar.
Pada masa sama, kira-kira 160 anggota polis telah dikerahkan untuk membantu orang ramai berpindah, katanya.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz47jjXZkE0 
Hakcipta terpelihara 

Geng Rantau Muin tumpas, 15 lelaki ditangkap


RAMLI DIN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang
RAMLI DIN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas daripada Geng Rantau Muin dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, Melaka, semalam.
MELAKA 4 Mei – Polis menum­paskan kumpulan samun bersenjata dikenali sebagai ‘Geng Rantau Muin’ dengan tertangkapnya 15 lelaki warga Indonesia termasuk ketua kumpulan berkenaan yang dikenali sebagai Muin dalam Op Rantau yang diadakan pada Isnin lalu.
Difahamkan, semua lelaki berusia antara 22 hingga 42 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan di sekitar daerah Melaka Tengah bermula kira-kira pukul 6 pagi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata, tangkapan pertama melibatkan empat ahli kumpulan itu termasuk Muin yang berusia 24 tahun di tepi jalan di Taman Merdeka di sini kira-kira pukul 6 pagi.
“Sebaik sahaja polis mendekati untuk memeriksa pemandu kereta itu cuba memecut kenderaan namun berjaya ditahan. Hasil pemeriksaan, polis menemukan beberapa barangan berharga dipercayai hasil samun kumpulan tersebut.
“Polis kemudian menjalankan siasatan lanjut sebelum menahan sebuah lagi kereta dinaiki empat lelaki berhampiran kawasan tersebut kira-kira dua jam kemudian,” kata­nya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim dan Ketua Polis Daerah Melaka Te­ngah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah.
Menurut Ramli, tangkapan ketiga melibatkan tujuh ahli kumpulan itu di sebuah pangsapuri di Cheng kira-kira pukul 9 pagi dan hasil soal siasat, pihaknya berjaya menemukan beberapa senjata termasuk parang, pisau, pemotong besi, kuku kam­bing dan sarung tangan di dalam semak di kawasan Batu Berendam.
Ujarnya, polis merampas pelbagai barangan berharga antaranya beberapa unit komputer riba, jam tangan, telefon bimbit, kamera dan wang tunai lebih RM19,000 yang disembunyikan termasuk di sebuah rumah kedai di Taman Merdeka.
Jelasnya, kumpulan penjenayah tersebut dipercayai terlibat jenayah samun bersenjata di rumah seorang pegawai kerajaan berusia 48 tahun di Taman Pengkalan Jaya kira-kira pukul 3.30 pagi hari yang sama.
“Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berada di rumah tersebut bersama isteri dan dua anaknya. Penjenayah telah mengikat lelaki tersebut dan isterinya sebelum melakukan samun bersenjatakan parang dan pisau sebelum melarikan diri bersama pelbagai barangan berharga yang dianggarkan bernilai kira-kira RM41,000,” katanya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, siasatan awal polis mendapati Geng Rantau Muin dipercayai bergiat aktif dalam jenayah samun sejak awal tahun ini, terlibat dengan 13 kes samun bersenjata di sekitar negeri itu.
melibatkan nilai kerugian kira-kira RM80,000.
Beliau berkata, 10 daripada 15 penjenayah tersebut yang bekerja sebagai pekerja kontrak itu tidak memiliki dokumen perjalanan direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata.
Katanya, polis sedang menyiapkan kertas siasatan dan mengesan saki-baki ahli kumpulan itu yang berkemungkinan masih bebas.
“Modus operandi kumpulan ini ialah memecah masuk rumah mangsa dan mengikat mereka serta mengugut dengan senjata tajam seperti pisau dan parang agar mangsa menyerahkan barangan berharga,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/geng-rantau-muin-tumpas-15-lelaki-ditangkap-1.315451#sthash.b2heEMOM.dpuf

Penjenayah gagal larikan wang selepas letupkan ATM


Penjenayah gagal larikan wang selepas letupkan ATM
Keadaan mesin ATM yang musnah namun gagal dipecahkan penjenayah selepas diletupkan dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi di sebuah bank di Bentong, Pahang. - Sumber FACEBOOK
BENTONG 4 Mei - Dua penjenayah bertindak meletupkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dipercayai menggunakan bom buatan sendiri di sebuah bank di sini hari ini.
Mereka bagaimanapun gagal melarikan wang dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu kerana tempat penyimpanan wang di mesin berkenaan gagal dipecahkan.
Kejadian itu dipercayai didalangi dua lelaki yang memakai topeng muka dan bersenjatakan parang. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penjenayah-gagal-larikan-wang-selepas-letupkan-atm-1.311741#sthash.0RCmNnJR.dpuf

Hampir enam tahun dirogol bapa tiri


Mohd. Nashir Ya (tengah) menunjukkan sepucuk pistol jenis Pietro
Mohd. Nashir Ya (tengah) menunjukkan sepucuk pistol jenis Pietro Baretta bersama tiga butir peluru 9mm dipercayai digunakan seorang suspek mengugut anak tirinya dalam kes rogol pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Alor Setar, semalam. BERNAMA
ALOR SETAR 4 Mei – Setelah hampir enam tahun dirogol dan menjadi hamba seks kepada bapa tirinya, seorang gadis berusia 14 tahun akhirnya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kulim, Khamis lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nashir Ya berkata, mangsa nekad membuat laporan polis itu setelah diugut dengan sepucuk pistol oleh bapa tirinya supaya ti­dak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa semasa kali terakhir dia dirogol pada 28 April lepas.
“Polis kemudian memberkas suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an pada 10 malam ke­esokannya di sebuah rumah di Taman Kulim Square, Lunas, tempat dia merogol anak tirinya itu sejak dia berusia 9 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Nashir memberitahu, susulan tangkapan itu, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Taman Tiram, Kulim pada kira-kira 2.10 pagi, 30 April lepas dan memberkas enam lelaki berusia dari 17 hingga 24 tahun.
“Polis merampas sepucuk pistol semi auto Pietro Baretta bersama-sama tiga butir peluru 9mm dan menemukan sarung pistol berwarna hitam dalam sebuah tong, yang dipercayai digunakan untuk mengugut mangsa,” katanya.
Gadis itu dipercayai tinggal berdua dengan bapa tirinya di Lunas selepas ibu kandungnya melarikan diri.
Mohd. Nashir berkata, bapa tiri gadis itu dan enam suspek lain direman dari 30 April hingga 7 Mei ini.
Katanya, bapa tiri gadis itu, yang turut mempunyai dua rekod jenayah bersabit samun dan rusuh, akan disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan bagi perbuatan rogol.
Dia dan suspek lain juga akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api, yang boleh dihukum penjara sehingga maksimum 14 tahun serta tidak kurang enam sebatan.
Mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru, yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000 jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Mohd Nashir berkata, polis sedang memburu dua suspek utama kes pecah rumah dan kes bunuh, dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi balai polis berdekatan.
Suspek kes pecah rumah ialah Mohd. Zakwan Zakaria, 26, atau lebih dikenali dengan Pak Kuan dan beralamat di No 50, Kampung Banggol Pauh, Air Puteh, Pendang.
Suspek kes bunuh ialah V. Kogulan,32, yang beralamat di No 41, Jalan BPJ 2/5, Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah. – BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/hampir-enam-tahun-dirogol-bapa-tiri-1.315501#sthash.rBeVjlNe.dpuf

Dua penjenayah amal 
sihir ditembak mati


Dipercayai pecah masuk lebih 20 kediaman

Abdul Aziz Ali (tengah) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah
Abdul Aziz Ali (tengah) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang, Asisten Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim (kanan) dan pegawai penyiasat, Inspektor Megat Nazaruddin Megat Idris menunjukkan senjata dan peralatan yang digunakan dua lelaki yang mati ditembak polis di Taman Indah berhampiran KLIA), Sepang, semalam. UTUSAN/RASHID MAHFOF
SEPANG 4 Mei - Dua penjenayah warga asing yang mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di Taman Indah berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini dipercayai mengamalkan ilmu sihir untuk menjalankan kegiatan jahat mereka.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, ini berdasarkan tangkal yang ditemukan pada mayat salah seorang suspek.
“Penggunaan ilmu hitam tersebut dipercayai telah menyebabkan penghuni rumah tidak menyedari langsung bahawa kediaman mereka dipecah masuk.
“Kita percaya berkemungkinan mereka menggunakan modus ope­randi sama terhadap lapan kes jenayah pecah rumah di sekitar Sepang dan 14 kejadian di daerah lain sejak tahun lalu sehingga awal Mei ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Abdul Aziz membe­ritahu, dua suspek terbabit ditembak mati setelah pihaknya mengesan mereka dan seorang lagi rakan jenayah cuba menceroboh rumah teres itu pada pukul 4 pagi.
Dalam kejadian itu ujarnya, 10 anggota polis yang terdiri daripada Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang segera menyerbu rumah berkenaan menyebabkan ketiga-tiga suspek melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran.
“Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tiga suspek berkenaan untuk mempertahankan diri selepas salah seorang daripada penjenayah terbabit melepaskan tembakan.
“Dua suspek disahkan mati di lokasi kejadian manakala seorang lagi melarikan diri. Kita masih memburu suspek yang lolos,” katanya.
Sementara itu, penghuni kediaman tersebut, Abdul Jalil Zulkifli, 42, ketika ditemui berkata, beliau hanya menyedari rumahnya di­ceroboh setelah dikejutkan oleh pihak polis yang memaklumkan mengenai kejadian itu.
Menurut guru Sekolah Kebangsaan Sungai Melut, Kota Warisan itu, dia dan keluarganya tidak mendengar sebarang bunyi berbalas tembakan antara polis dan penjenayah kerana tidur lena.
“Alhamdulillah, dengan kecekapan polis mengesan penjenayah tersebut, kami sekeluarga terselamat daripada kejadian rompakan ini,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-penjenayah-amal-8232-sihir-ditembak-mati-1.315455#sthash.jDVkZS4R.dpuf

Syarikat multimedia mangsa sindiket


Pembelian secara dalam talian melalui kad kredit diceroboh

KUALA LUMPUR 4 Mei - Beberapa syarikat terkemuka yang menawarkan pembelian secara dalam talian dipercayai turut menjadi mangsa sindiket penggodam yang menceroboh sistem pembayaran melalui kad kredit.
MOHD. KAMARUDIN MD. DIN
Perkara itu terbongkar hasil soal siasat ke atas 11 suspek yang diberkas di empat negeri kerana terlibat menggodam sistem pembayaran kad kredit dua syarikat multimedia gergasi yang didedahkan polis semalam.
Berdasarkan maklumat itu, dipercayai suspek-suspek berkenaan mengaut keuntungan jutaan ringgit selepas menggodam sistem pembayaran kad kredit beberapa lagi syarikat terkemuka menggunakan perisian daripada laman web khas yang boleh dimuat turun secara percuma.
Bagaimanapun, kegiatan licik mereka dipercayai masih belum disedari syarikat-syarikat berkenaan dan menyebabkan tiada laporan polis dibuat.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya percaya ada lagi anggota sindiket yang masih bebas meneruskan kegiatan menggodam.
Menurutnya, laman web yang digunakan untuk memuat turun perisian penggodam juga telah dikenal pasti dan dipantau secara berterusan.
Sehubungan itu, beliau meminta semua syarikat yang menjalankan perniagaan dalam talian dan menggunakan perkhidmatan kad kredit yang mengesyaki sistem mereka digodam agar tampil membuat laporan.
“Kita telah menyalurkan maklumat mengenai kegiatan penggodam ini kepada pihak bank yang mengeluarkan kad kredit sebagai langkah pencegahan.
“Kita juga akan berusaha menyekat kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, polis mendedahkan kegiatan empat sindiket penipuan kad kredit yang begitu licik menceroboh dan memintas sistem pembayaran atas talian dua buah syarikat multimedia terkemuka sehingga menyebabkan kerugian mencecah RM1 juta.
Lebih memeranjatkan, sindiket-sindiket terbabit turut memalsukan maklumat transaksi dari pihak bank kepada syarikat yang menawarkan produk jualan dalam talian ber­kenaan sebelum menerima barangan yang dibeli dengan menggunakan perisian yang boleh dimuat turun dengan mudah di internet.
Namun, taktik itu terbongkar selepas 11 warga tempatan yang dipercayai anggota empat sindiket terbabit diberkas dalam serbuan di Selangor, Pahang, Kelantan dan ibu negara pada 25 April lalu.
Ini merupakan kes penipuan kad kredit pertama melibatkan syarikat multimedia gergasi dengan menggunakan modus operandi baharu iaitu membeli menggunakan kad kredit palsu dan memintas maklumat pembayaran bank menggunakan perisian di internet.
Sebelum ini modus operandi yang digunakan sindiket adalah memproses kad kredit palsu dan membuat pembelian secara terus di kedai-kedai di dalam negeri dan luar negara.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/syarikat-multimedia-mangsa-sindiket-1.315490#sthash.XfsFitKc.dpuf