Search This Blog

Tuesday, May 3, 2016

Polis tahan lima individu, rampas empat kilogram dadah


jenayah
KUALA LUMPUR 3 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima individu disyaki terlibat dalam pengedaran dadah dan merampas syabu seberat empat kilogram di Jelapang, Ipoh, semalam.
Perkara ini disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam catatan di akaun Twitter beliau.
Khalid berkata, serbuan itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM Ipoh di sebuah makmal memproses bahan terlarang itu.
Turut dirampas adalah peralatan memproses dadah dan Khalid turut mengucapkan syabas kepada JSJN Ipoh kerana berjaya membantera kegiatan itu.
"Syabas JSJN @PDRMsia Ipoh, serbu makmal proses syabu di Jelapang, Ipoh. Tangkap lima orang dan rampas empat kilogram syabu dan alatan proses dadah #GoPDRMGo," katanya. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-tahan-lima-individu-rampas-empat-kilogram-dadah-1.310388#sthash.Pr0P8kxP.dpuf

Kontraktor maut diserang empat lelaki


Rumah mangsa serangan empat orang lelaki bersenjatakan parang,
Rumah mangsa serangan empat orang lelaki bersenjatakan parang, pisau dan pistol di Taman Desa Temiang, Seremban, Negeri Sembilan.
SEREMBAN 2 Mei - Kerana dendam lama, seorang kontraktor maut selepas diserang empat lelaki bersenjatakan parang, pisau dan pistol di rumahnya dekat Temiang, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa Lee Kon Fook, 46, sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi hentaman pada pintu biliknya dipercayai ditendang suspek.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa yang gagal mela­rikan diri mengalami cedera parah dipercayai akibat ditetak dan ditikam bertubi-tubi oleh suspek.
“Seorang lagi suspek yang memegang pistol mengawasi penghuni bilik lain sebelum kesemuanya me­la­rikan diri meninggalkan mangsa.
“Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dengan bantuan orang awam dan disahkan maut akibat cedera parah ditetak di bahagian kepala di samping terdapat kesan kelar pada perut, lengan, lutut, bahu dan belakang badan selain tikaman di dada,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Muhamad Zaki, isteri mangsa yang mendapat maklumat Kon Fook disamun kemudian membuat laporan polis pada pukul 12 tengah hari semalam.
Ujarnya, hasil siasatan awal polis mendapati kejadian berkenaan tidak bermotifkan samun namun menjurus kepada dendam.
“Gerakan memburu suspek dijalankan dan hasil tindakan pantas, polis telah menahan dua suspek berumur 22 tahun di Mantin dan Batu 9, Cheras, Kuala Lumpur awal pagi ini.
“Beberapa telefon bimbit, sebuah kereta jenis Proton Persona, kad sim dan 210 pil erimin 5 dengan berat dianggarkan 57.9 gram turut dirampas,” katanya.
Tambah Muhamad Zaki, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 301 Kanun Keseksaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kontraktor-maut-diserang-empat-lelaki-1.307617#sthash.FGM8vEH2.dpuf

15 tonto diberkas dalam Ops Cantas Khas Tonto


tonto
PUTRAJAYA 3 MEI - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (tengah) bersama Ketua Pengarah JPJ,Datuk Seri Ismail Ahmad (dua dari kanan) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Bukit Aman,Datuk Seri Mohmad Salleh (tiga dari kiri) menunjukkan wajah suspek tonto yang dikehendaki selepas sidang akhbar khas Ops Cantas Khas Tonto di sini,hari ini. - UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN


PUTRAJAYA 3 Mei - Kerjasama julung kali antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ops Cantas Khas Tonto sejak 26 April lalu membolehkan sebanyak 15 tonto diberkas.


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, penahanan suspek-suspek berusia lingkungan 21 hingga 46 tahun itu dilakukan dalam siri operasi di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.


Turut dirampas dalam operasi itu adalah 13 buah kereta, tiga lori, 37 walkie talkie dan 13 telefon bimbit.


“Tujuan Ops Cantas Khas Tonto diadakan adalah untuk memerangi dan melumpuhkan jenayah yang dilakukan sindiket tonto yang memberi ancaman kepada keselamatan awam.


“Sindiket tonto ini melindungi dan memberi maklumat kepada pengusaha lori yang melakukan kesalahan membawa lebih muatan dan muatan berbahaya daripada ditahan oleh agensi penguatkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Mohmad Salleh. - UTUSAN ONLINE

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/15-tonto-diberkas-dalam-ops-cantas-khas-tonto-1.310415#sthash.tC3gqNyT.dpuf

5 beranak ditahan lebih sejam lelaki bersenjata pisau


Norazlin Mohamad Julaihi (dua dari kanan) bersama dua anaknya,
Norazlin Mohamad Julaihi (dua dari kanan) bersama dua anaknya, Nur Farah Zahirah Razali dan Mohd. Fahim Zafran, manakala kakak iparnya, Rosnah Mohd Sharif (kiri sekali) bersama anak perempuannya, Nur Khairunnisa Abiddy selepas polis berjaya menyelamatkan mereka setelah ditahan selama 80 minit oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau di Taman Sendayan Indah, Seremban, malam tadi.
RASAH 2 Mei – Seorang lelaki yang bersenjatakan pisau menahan lima beranak kira-kira 80 minit di sebuah rumah di Taman Sendayan Indah, dekat sini hari ini.
Kejadian bermula kira-kira pukul 6.30 petang dan hanya berakhir pukul 7.50 malam selepas anggota polis dan bomba berjaya memasuki rumah berkenaan dan menangkap lelaki berusia 20-an itu.
Lima beranak itu, Norazlin Mohamad Julaihi, 36; bersama dua anaknya, Nur Farah Zahirah Razali, 9; dan Mohd Fahim Zafran, 8, serta kakak iparnya, Rosnah Mohd Sharif, 47, dan anak perempuannya, Nur Khairunnisa Abiddy, 14, terselamat tanpa dicederakan oleh lelaki berkenaan.
Lelaki tersebut yang tinggal di depan rumah mangsa dilaporkan menyerbu masuk ke rumah mangsa sebelum mengunci pintu dan menahan kesemua mangsa.
Norazlin memberitahu, lelaki itu telah menarik beliau bersama kakak iparnya ke dalam bilik manakala anak mereka bersembunyi di sebalik langsir di ruang tamu.
Jelasnya, lelaki itu turut bertindak kasar dengan menarik rambut dan tangannya dengan kuat.
Beberapa jiran kemudian meng­hubungi polis dan bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.
Tambahnya, polis yang tiba kemudian cuba berunding dengan suspek dengan bantuan bapa lelaki tersebut tetapi percakapannya tidak dapat difahami.
Pada kira-kira pukul 7.50 malam, anggota polis dan bomba berjaya membuka pintu belakang rumah dan bertindak menangkap lelaki terbabit yang memakai baju lengan panjang dan seluar pendek.
Lelaki itu dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk pemeriksaan kesihatan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/5-beranak-ditahan-lebih-sejam-lelaki-bersenjata-pisau-1.307612#sthash.yZsHM8Mp.dpuf

Saudi Binladin pecat 77,000 pekerja asing


RIYADH 2 Mei - Kumpulan Saudi Binladin iaitu antara syarikat pembinaan paling berkuasa di Arab Saudi telah memecat 77,000 pekerja asingnya, lapor akhbar harian Al-Watan yang memetik kenyataan seorang pegawai yang enggan dikenali.
Laporan itu kemudian disahkan oleh wakil syarikat berkenaan, namun, mereka enggan mendedahkan bilangan sebenar kakitangan yang dipecat.
Laporan tersebut merupakan dakwaan terbaharu yang menyatakan bahawa berpuluh ribu kakitangan telah dipecat dan tidak dibayar gaji oleh syarikat yang telah membina beberapa mercu tanda untuk negara-negara Teluk itu.
Selain mercu tanda, Saudi Binladin juga merupakan syarikat yang bertanggungjawab dalam tragedi kren runtuh di Mekah pada bulan September tahun lepas sehingga menyebabkan banyak nyawa terkorban.-AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/saudi-binladin-pecat-77-000-pekerja-asing-1.307407#sthash.a8B78hhc.dpuf