Search This Blog

Monday, May 2, 2016

Pegawai imigresen baru lepas pantang maut kemalangan


ALOR SETAR - Seorang pegawai Imigresen yang baru habis pantang selepas bersalin, maut setelah motosikalnya terlanggar seorang pejalan kaki dalam kemalangan berhampiran Masjid Telok Kechai, Jalan Kuala Kedah, di sini tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kejadian berlaku jam 12.50 tengah hari tadi ketika mangsa, Siti Syuhada Ariffin, 32, yang menunggang motosikal ke tempat kerjanya di Pejabat Imigresen UTC di sini, terlanggar seorang pejalan kaki yang secara tiba-tiba melintas jalan.
"Mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kuala Kedah ke tempat kerja. Seorang pejalan kaki telah melintas jalan secara tiba-tiba dari pembahagi jalan menyebabkan mangsa gagal mengelak lalu, merempuh pejalan kaki itu.
"Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke dalam longkang di kiri jalan dan meninggal dunia manakala pejalan kaki pula telah tercampak di atas jalan dan cedera parah di kepala.
"Pejalan kaki itu, Md Noh Jusoh, 55, berasal dari Kuala Kedah, turut patah kaki kiri dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan," katanya.
Sementara itu, rakan kepada suami mangsa, Jeffrey Johari, 50, berkata dia menerima panggilan telefon dari pejabat Imigresen memaklumkan kemalangan berkenaan pada jam 1.01 tengah hari, sebelum memaklumkan kepada suami mangsa, Sulhaimizan Samsuddin, 32.
Jeffery yang bertugas bersama Sulhaimizan di Jabatan Penjara Alor Setar berkata, ketika panggilan itu diterima, suami mangsa baharu sahaja hendak memulakan shif kerjanya pada jam 2 petang.
"Kami kemudian berkejar ke lokasi kemalangan. Apabila sampai kami lihat muka mangsa tersembam di atas jalan raya dengan kecederaan teruk pada mukanya.
"Siti Syuhada sepatutnya mengambil ujian lesen memandu minggu ini," katanya.
Allahyarham meninggalkan tiga anak, berusia lima bulan hingga lima tahun.
Jenazah Siti Syuhada dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tawar, Baling.  - Bernama

Kesan gigit antara kesan mangsa didera sampai mati


Mohd Said bersama pegawai dan anggotanya menunjukkan gambar mangsa ketika masih sihat pada sidang media di IPD Kemaman, hari ini.
KEMAMAN - Kematian seorang gadis berumur 22 tahun yang berat badannya hanya 18 kilogram serta tubuh dipenuhi kesan gigitan manusia membongkar penderitaan ditanggung mangsa yang dipercayai didera hingga menemui ajal.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kematian mangsa selepas laporan dibuat bapa kepada gadis malang itu pada 26 April lalu.
Menurutnya, bapa gadis itu memaklumkan bahawa anaknya itu meninggal dunia di rumah mereka di Batu 5, Binjai disebabkan demam panas.
"Bagaimanapun selepas pihak polis datang menjalankan pemeriksaan terhadap mayat mangsa terdapat beberapa perkara yang mendatangkan syak terhadap si mati.
“Pada peringkat awal kita buka kes di bawah mati mengejut tapi selepas pemeriksaan dilakukan kita dapati adanya unsur-unsur jenayah dan susulan itu mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.
"Selepas dua bedah siasat dijalankan kita dapati mayat tersebut mengalami jangkitan kuman dan ada kesan kebuluran. Sebahagian besar tubuh mangsa juga ada kesan gigitan manusia dan selain itu mangsa turut mengalami beberapa kecederaan lain termasuk lebam di bahagian mata,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kemaman, di sini, hari ini.
Menurut beliau, berikutan itu pihak polis terpaksa mengklasifikasikan semula kes itu dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dari hasil siasatan, polis dapati mangsa tinggal di rumah di Batu 5, Binjai itu bersama bapa kandungnya yang bekerja sebagai mekanik, ibu tiri dan dua adiknya iaitu adik perempuan yang berusia 21 tahun dan adik lelaki berumur 14 tahun.
Susulan itu, Mohd Said berkata, polis menahan  bapa kandung mangsa yang berusia 49 tahun, ibu tiri yang berumur 35 tahun dan kedua-dua adik mangsa di rumah bapa ibu tiri mangsa di Geliga, di sini, pada jam 11.50 pagi semalam.
Menurutnya, keempat-empat ahli keluarga mangsa itu ditahan reman selama tujuh hari bermula haru ini bagi membantu siasatan lanjut kes itu.
"Mangsa yang merupakan anak kedua daripada empat beradik bersama dua adiknya berada di bawah penjagaan bapanya selepas kedua ibu bapanya bercerai.
"Adik lelakinya yang berumur 14 tahun itu juga sudah tidak bersekolah," katanya.
Difahamkan ibu kandung mangsa merupakan wanita Cina mualaf dan menetap di Pulau Pinang.
Mohd Said memberitahu, disebabkan kematian mencurigakan itu ibu kandung mangsa turut membuat laporan polis agar siasatan lanjut dilakukan berhubung kematian anaknya itu.
“Dalam siasatan lanjut kes ini, pihak polis juga akan dapatkan ujian perubatan gigi terhadap suspek yang ditahan, kita akan minta khidmat pihak doktor gigi,” katanya.
Sehubungan itu juga, Mohd Said turut meminta saksi sekeliling terutama jiran tetangga mangsa yang tahu kemungkinan mangsa didera agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat  kes itu menerusi talian 017-2344542 atau boleh datang ke balai polis berdekatan.
Mayat mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman pada jam 6 petang, 30 April lalu

Dua pelajar maut, salah seorang putus kepala


Keadaan mayat salah seorang daripada mangsa yang putus kepala dalam kejadian di Kampung Gong Kubur, bandar Permaisuri Setiu, petang semalam.
SETIU - Dua pelajar lelaki maut termasuk seorang daripadanya putus kepala selepas digilis kereta dalam kemalangan dekat Kampung Gong Kubur, Permaisuri, di sini, petang semalam.
Menurut sumber, kemalangan ngeri jam 5.20 petang itu berlaku ketika kedua-dua mangsa berusia 17 tahun dikatanya bergesel sesama sendiri sebelum terjatuh di atas jalan raya dan pada masa yang sama datang sebuah kereta jenis Hyundai dari arah Penarik ke bandar Permaisuri gagal mengelak lalu menggilis mangsa.
Kedua-dua mangsa yang belum diketahui identiti dikatakan  berkonvoi bersama  28 lagi motosikal dipercayai dalam perjalanan pulang dari berkelah.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
"Kemalangan itu menyebabkan mangsa dari Kampung Maras dan Tepoh maut di tempat kejadian dengan seorang mangsa putus kepala,” katanya.

Sindiket warga Indonesia rompak pelanggan bank tumpas


KOTA BHARU - Polis Kelantan menumpaskan satu sindiket‎ warga Indonesia yang menyasarkan pelanggan yang baharu mengeluarkan wang di bank, selepas menangkap lima suspek di Kampung Repek, Pasir Mas minggu lalu.
Ketuanya, Datuk Mazlan Lazim berkata, dengan kejayaan itu, pihaknya‎ percaya dapat menyelesaikan 11 kes rompakan membabitkan lapan kes di Kelantan dan masing-masing satu di Johor, Kedah dan Pulau Pinang sejak Disember tahun lalu.
Menurutnya, kegiatan kesemua suspek itu, yang berumur di antara 20 hingga 36 tahun dan berasal dari Batam, terbongkar apabila seorang anggota mereka ditahan selepas merompak seorang tauke lembu yang baharu sahaja mengeluarkan RM150,000 dari sebuah bank di Pasir Mas pada Isnin lalu.
"Berdasarkan modus operandi kumpulan ini, anggota wanita berkenaan akan menyamar sebagai pelanggan bank dan memantau pelanggan lain yang mengeluarkan wang dalam jumlah besar.
"Dia kemudian memaklumkan kepada rakannya yang berada di luar bank sebelum merompak mangsa yang dikenal pasti itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kelima-lima suspek itu ditahan selepas kereta dan motosikal yang dinaiki mereka terbabas semasa dikejar mangsa dan penduduk kampung di Kampung Repek, Pasir Mas.
Kesemua suspek direman bermula 25 April hingga 9 Mei ini bagi membantu siasatan.
Terdahulu, Mazlan menyaksikan Majlis Serah Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan daripada SAC Ahmad Taufek Abdullah kepada Asisten Komisioner Mohamad Fakri Che Sulaiman.
Ahmad Taufek dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Komander Pasukan Petugas‎ Khas Jenayah Terancang (STAFOC) di Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Ab Rashid Ab Wahab.
Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata polis menahan lima lelaki berumur di antara 19 hingga 64 tahun dan merampas sepucuk pistol jenis 38, lapan peluru termasuk empat di dalam kelongsong selepas dipercayai terlibat dalam kes tembak di Kampung Padang Demit, Kubang Kerian di sini pada 21 April lalu.
"Siasatan mendapati tembakan dilepaskan suspek akibat dendam. Kesemua mereka direman dari 21 April lalu hingga 3 Mei ini (esok)," katanya.
Sementara itu, beliau berkata kawalan keselamatan diperketatkan lagi bagi membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok berikutan paras sungai berkenaan yang semakin cetek. - Bernama

Ditetak di kepala, dikelar seluruh badan angkara dendam


Mangsa diserang ketika sedang tidur di rumahnya di Taman Desa Temiang. - Foto Sinar Harian oleh SYAMILAH ZULKIFLI
SEREMBAN - Dipercayai kerana dendam, seorang lelaki diserang bertubi-tubi dan ditikam oleh empat penjenayah di rumahnya di Taman Desa Temiang dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata,  kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 46 tahun sedang tidur di rumahnya sebelum dikejutkan dengan kehadiran suspek yang bersenjatakan parang, pisau dan pistol.
“Mangsa yang sedang tidur dikejutkan bunyi hentaman pintu biliknya dan tiga suspek bersenjatakan parang serta pisau terus menyerangnya manakala seorang lagi bersenjatakan pistol mengawasi penghuni bilik lain.
“Mangsa cuba melarikan diri, namun gagal dan terus diserang bertubi-tubi sebelum kesemua suspek melarikan diri selepas melihat mangsa parah,” katanya.
Menurutnya, mangsa cedera parah akibat ditetak di kepala, dikelar pada keseluruhan badan serta ditikam pada bahagian dada dan rusuk sebelah kiri.
Muhamad Zaki berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini oleh orang awam namun disahkan meninggal dunia.
“Isteri mangsa pada awalnya mendapat maklumat mangsa disamun telah membuat laporan polis, namun hasil siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku menjurus kepada dendam.
“Berdasarkan maklumat yang ada gerakan memburu suspek telah dijalankan dan dua daripada suspek berusia 22 tahun telah berjaya ditangkap semalam di sekitar Mantin dan Cheras, Selangor,” katanya.
Selain itu katanya, beberapa telefon bimbit, sebuah kereta jenis Proton Persona dan simkad milik kedua-dua suspek telah dirampas bagi membantu siasatan.
Kata Muhamad Zaki, sebanyak 210 biji pil erimin- 5 dengan berat dianggarkan 57.90 gram turut dirampas dari salah seorang suspek.
“Siasatan masih diteruskan termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian yang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini,” katanya.

Wanita dirogol 18 lelaki selepas diculik


Gurgaon, bandar yang paling dekat dengan kampung mangsa
HARYANA - INDIA. Seorang wanita India didakwa dirogol oleh 18 lelaki di sebuah kawasan terpencil selepas diculik di rumahnya.
Wanita berusia 20 tahun yang identitinya tidak didedahkan memberitahu polis, sekumpulan lelaki memanjat pagar dan memecah masuk ke rumahnya di Kadarpur, dekat Gurgaon di utara India, Haryana.
Ahli keluarganya mangsa tidak berada di rumah ketika kejadian.
Menurut mangsa, suspek menggunakan bahan kimia yang disembur pada sapu tangan sebelum merogolnya di tempat yang terpencil.
Kesemua 18 lelaki yang dituduh dikenali mangsa.
Ketua polis Badshahpur, Krishan Kumar memberitahu India Today kesemua 18 tertuduh adalah penduduk kampung Kadarpur.
"Menurut mangsa semua ahli keluarganya berada di luar apabila tiga lelaki memasuki rumahnya dengan melompat dinding dan salah seorang suspek menekup mukanya dengan sapu tangan yang disembur bahan kimia.
"Wanita itu dibawa ke sebuah tempat terpencil di mana dia didakwa dirogol," katanya.
Kumar berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Editor majalah LGBT ditetak hingga mati


Xulhaz Mannan
DHAKA - BANGLADESH. Seorang editor majalah yang menyokong hubungan sejenis gay, lesbian dan dua hala (LGBT) ditetak hingga mati, semalam.

Menurut laporan CNN, Xulhaz Mannan yang juga seorang pekerja kebajikan dan kawannya, Tanay Mojumdar maut ditetak penyerang yang menyamar sebagai penghantar barang (courier).

Penghantar barang memasuki flat yang didiami Xulhaz dan Tanay dan menetak mangsa sehingga mati..

Ibu Xulhaz dan seorang pembantu rumah berada di kediaman Xulhaz ketika kejadian berlaku.

Sementara itu, cabang Al-Qaeda di Bangladesh, Ansar al-Islam mengaku sebagai dalang kejadian tersebut.

Kenyataan dikeluarkan Ansar al-Islam telah dimuatnaik ke laman sosial, hari ini.

Kejadian pembunuhan Xulhaz telah mendapat kecaman organisasi kebajikan dunia, Amnesty International dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry.

"Kejadian ini gagal digambarkan dengan perkataaan dan langsung tidak boleh dimaafkan," kata John hari ini.

Jabatan Perhutanan Kelantan Rampas Dua Tan Balak Haram


Diterbitkan: Isnin, 2 Mei 2016 4:17 PM
Gambar Hiasan

KOTA BARU: Jabatan Perhutanan Kelantan merampas dua tan metrik kayu jenis keruing dan nilam bernilai RM10,000 yang disyaki hasil pembalakan haram oleh penduduk tempatan di Hutan Simpan Kekal Ulu Sat, Machang.
Pengarahnya Zahari Ibrahim berkata, dalam serbuan 4 petang Ahad, pihaknya menemukan kayu-kayan berkenaan yang telah siap dibelah dalam pelbagai saiz dan dipercayai akan dijual kepada syarikat perumahan tertentu.
"Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan dalam serbuan tersebut kerana suspek dipercayai sudah mengesan lebih awal kedatangan pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan.
Katanya, kegiatan menebang dan membelah balak itu dilakukan oleh penduduk pada waktu cuti Hari Pekerja semalam dan mereka disyaki sengaja melakukan pada hari berkenaan kerana menyangkakan kakitangan Jabatan Perhutanan Kelantan turut bercuti.
"Kegiatan terbabit dikesan hasil maklumat orang ramai yang percaya kumpulan pembalak haram yang menceroboh hutan simpan ini membekalkan kayu kepada syarikat kontrak perumahan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.
Zahari berkata serbuan itu dilakukan sepasukan anggota Unit Operasi dan Penguat kuasa yang diketuai Penolong Pengarah unit berkenaan Bakar Rapaee dan Pegawai Selia Hutan Tengku Rahimi Tengku Mat.
Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun.
"Jabatan Perhutanan Kelantan amat berterima kasih kepada pihak yang menyalurkan maklumat mengenai kegiatan terbabit kerana mereka ini boleh menyebabkan spesies kayu hutan yang bernilai tinggi pupus," katanya.-- Bernama

Pengusaha Teksi Didenda RM10,000 Terima Suapan


Diterbitkan: Isnin, 2 Mei 2016 2:00 PM
Radzali didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Isnin selepas mengaku bersalah menerima rasuah wang tunai RM1,000 daripada seorang pemandu teksi Julai tahun lepas.
-fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Seorang pengusaha syarikat teksi didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah menerima rasuah wang tunai RM1,000 daripada seorang pemandu teksi bagi menyelesaikan satu kes, Julai tahun lepas.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan Radzali Attan, 55, menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Radzali didakwa menerima wang itu daripada Mohd Yunos Wahab sebagai dorongan dengan cara menjalankan pengaruh peribadi ke atas penjawat awam iaitu pegawai daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk menyelesaikan kes yang dihadapinya di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Mohd Yunos melakukan kesalahan itu ketika memandu teksi bernombor HJA 1000 pada 7 Jun 2015.
Radzali yang juga bekas Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu-Pemandu Teksi Muar dituduh menerima suapan terbabit di rumahnya di Lorong Hajah Salamah, Off Jalan Bakar Batu, Muar pada 1.15 tengah hari, 13 Julai 2015.
Dia yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda, dituduh mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsyarina Raizan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal selepas mengambil kira faktor kepentingan awam dan memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatannya.
Radzali yang tidak diwakili peguam dan sudah tidak bekerja dalam rayuannya, memohon mahkamah mengurangkan hukuman dengan alasan tiga daripada 11 anaknya masih bersekolah, seorang daripadanya merupakan orang kurang upaya (OKU) manakala dia sendiri sedang menjalani rawatan hospital akibat sakit tulang belakang.
Radzali kemudian membayar denda berkenaan. - BERNAMA

Stesen Minyak Disamun, Rugi Lebih RM5,000


Diterbitkan: Isnin, 2 Mei 2016 3:47 PM
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Sebuah stesen minyak kerugian lebih RM5,000 selepas stesen itu dipecah masuk tiga lelaki dalam kejadian di Bandar Country Homes, Rawang awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata ketiga-tiga penyamun yang memakai topeng muka, datang ke stesen minyak berkenaan pada 5.15 pagi sebelum memecah pintu utama stesen itu yang berkunci.
Katanya pada ketika itu, ada pekerja di stesen minyak berkenaan.
Bagaimanapun, Ali berkata tiada kecederaan dilaporkan menimpa pekerja stesen minyak berkenaan.
"Penyamun melarikan wang tunai RM5,000 dari mesin peti wang dan 20 kotak rokok," katanya.
Katanya sebaik selepas kejadian itu, pekerja berkenaan menghubungi pengurus stesen tersebut yang kemudian membuat panggilan kecemasan.
Sehubungan itu, beliau berkata usaha memburu tiga suspek terlibat sedang giat dijalankan. - BERNAMA

Pekerja Syarikat Binladin Bakar Bas, Marah Gaji Tertunggak


Diterbitkan: Isnin, 2 Mei 2016 12:07 PM

RIYADH: Kemarahan pekerja syarikat pembinaan terkemuka akibat tunggakan gaji berbulan-bulan dan tindakan membuang pekerja beramai-ramai capai tahap kemuncak apabila bertindak membakar lebih tujuh bas milik Kumpulan Binladin itu.
Kejadian berlaku ketika pekerja berkumpul dalam tunjuk perasaan bagi membantah tindakan syarikat itu.
Jurucakap Pertahanan Awam Makkah, Mejar Nayef al-Sharif memaklumkan anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran itu. Tiada kecederaan dilaporkan.
Setakat ini, Kumpulan Binladin tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai laporan pemberhentian pekerja atau tunjuk perasaan itu.
Sejak berminggu-minggu, beribu-ribu pekerja syarikat itu melaksanakan protes yang jarang berlaku di Makkah dan bandar pesisir Laut Merah, Jeddah. - AP

John Rambo masih diburu




KUALA LUMPUR – Polis masih memburu seorang suspek dikenali sebagai John Rambo selepas disyaki menetak kepala dua anggota polis dengan parang di sebuah rumah setinggan Kampung Air, Jalan Kuari, Cheras di sini, Jumaat lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad (gambar) berkata, usaha memburu penggali kubur itu masih diteruskan oleh sepasukan anggota Bahagian Jenayah Berat Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
“Usaha memburu suspek masih diteruskan. Pada masa sama, Koperal Mustaza masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz47UK5BIqE 
Hakcipta terpelihara 

8 direman kes bunuh anggota polis



MAYAT anggota polis, Koperal Roydin Jamaludin lengkap berpakaian ketika ditemukan orang awam dalam sebatang parit di Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong, Muar, Johor semalam.


MUAR – Lapan suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kematian seorang anggota polis yang ditemui di dalam parit di Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong kelmarin.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kesemua lapan individu itu yang terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita ditahan di Batu Pahat kira-kira 12.45 tengah hari kelmarin.
“Pasukan khas yang ditubuhkan bagi membantu siasatan mendapati bahawa kesemua suspek berusia 20 hingga 32 tahun itu mempunyai kaitan serta mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz47UJtomb2 
Hakcipta terpelihara 

Dua maut kereta masuk parit



ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan Ahmad Faiz yang tersepit di dalam kereta Perodua Viva yang terjunam ke dalam sebatang parit kering di Kilometer 29.5 Jalan Naka-Pokok Sena, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Dua maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam sebatang parit kering di Kilometer 29.5 Jalan Naka-Pokok Sena di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, pemandu kereta Perodua Viva, Ahmad Faiz Ahmad Nizam, 25, yang tersepit di dalam kereta meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Tiga penumpang lain dipercayai rakannya iaitu lelaki berketurunan Siam, Ai Run Ai Sine, 23, dan wanita berketurunan Siam, Devi Som Voon (gambar kecil), 21, serta seorang lagi dikenali sebagai Mohd. Fauzi, 20-an tercampak keluar dari kereta.
Devi meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi iaitu Ai Run dan Mohd. Fauzi cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk mendapatkan rawatan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz47UJnqc3R 
Hakcipta terpelihara 

Wanita ‘bunuh’ janin dipenjara 100 tahun


AP - WILKINS (berbaju putih) memeluk seorang anggota polis selepas pembunuh anaknya dikenakan hukuman penjara selama 100 tahun.


BOULDER, Colorado – Seorang hakim di sini menjatuhkan hukuman penjara selama 100 tahun kelmarin ke atas seorang wanita yang didapati bersalah ‘mengeluarkan’ janin bayi perempuan daripada kan­dungan seorang wanita yang tidak dikenali.
Hakim Pusat Keadilan Daerah Boulder, Maria Berkentotter berkata, hukuman itu dilihat wajar dikenakan ke atas Dynel Catrece Lane, 36, yang melakukan serangan kejam dengan menggunakan sebilah pisau untuk ‘menjalankan pembedahan’ ke atas mangsa, Michelle Wilkins.
Lane melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu pada Mac tahun lalu apabila dia mempelawa mangsa ke rumahnya yang terletak di Longmont untuk melihat iklan pa­kaian bersalin di internet.
AP - LANE (belakang) dilihat menutup mata sebaik keputusan mahkamah dibacakan kelmarin.


Sebaik tiba di rumah, Lane kemudian menikam beberapa kali perut Wilkins dan membelahnya sebelum mengeluarkan bayi malang berkenaan.
Ketika kejadian itu berlaku, Wilkins yang hamil sembilan bulan bagaimanapun selamat selepas dikejarkan ke hospital.
Sementara itu, beberapa juri berkata, Lane yang pernah kehilangan bayi lelaki berusia 19 bulan akibat mati lemas pada 2002 mungkin menyebabkan dia bertindak kejam ke atas mangsa dan bayinya.
“Hakim, Berkentotter mengambil keputusan wajar selepas beliau meneliti bukti dan kesemua akuan kami. Saya berpuas hati akhirnya menerima keadilan untuk anak saya,” kata Wilkins. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz47UJTk4un 
Hakcipta terpelihara 

Tujuh korban bangunan runtuh di Kenya



AFP - ANGGOTA penyelamat Kenya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan daripada runtuhan sebuah bangunan setinggi enam tingkat di Nairobi semalam.


NAIROBI – Angka korban insiden sebuah bangunan enam tingkat yang runtuh di ibu negara Kenya kelmarin telah meningkat kepada tujuh orang, manakala dengan jumlah mereka yang cedera seramai 121 orang, kata polis semalam ketika operasi menyelamat diteruskan untuk menarik mangsa dari bawah runtuhan.
Bangunan tersebut runtuh di kawasan kediaman Huruma di Nairobi pada lewat Jumaat selepas hujan lebat berterusan selama sehari menyebabkan beberapa bahagian bandar tersebut dilanda banjir.
“Tujuh orang disahkan terkorban dengan 121 orang lagi telah diselamatkan dan dikejarkan ke beberapa hospital di Nairobi,” kata Japheth Koome, ketua polis Nairobi kepada Reuters melalui telefon.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan kera­na bimbang masih ada mangsa terperangkap di bawah runtuhan bangunan se­tinggi enam tingkat itu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mengetahui jumlah penduduk yang berada di dalam bangunan berkenaan semasa ia runtuh.
Sementara itu, Palang Merah Kenya berkata, orang ramai daripada 150 isi rumah kini mendapatkan perlindungan di sebuah kampung berdekatan. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz47UJF3gyU 
Hakcipta terpelihara