Search This Blog

Monday, April 25, 2016

Rusuh marah rakan mati tergantung

Bandung: Rusuhan di penjara Banceuy, Bandung, pagi semalam turut menyebabkan bangunan itu dibakar.
Ketua Polis Jawa Timur, Jodie Rooseto berkata, kejadian berlaku jam 8 pagi semalam (waktu tempatan) yang berjaya dikawal hasil usaha sama polis Jawa Timur dan Bandung.
“Tahanan disoal selepas ada antara mereka menyebabkan kebakaran di penjara itu. Setakat ini enam tahanan ditahan,” katanya.
Katanya, 20 peratus bangunan itu merangkumi pejabat dan beberapa kemudahan rosak akibat kebakaran.
“Kebakaran dicetuskan serentak dengan pelakunya menggunakan mancis,” katanya.
Ketua Polis Bandung Komisioner Yoyol berkata, 600 anggota dikerahkan mengawal keadaan dan sekurang-kurangnya lima cedera.
Kejadian dipercayai tercetus apabila seorang tahanan ditemui mati tergantung sekali gus menimbulkan kemarahan banduan lain. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 8:00 AM


POLIS memeriksa tempat kejadian.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/132952#sthash.9abEzTXI.dpuf

Hampir 72,000 kes Zika dilaporkan di Colombia



DUA pekerja kesihatan menyembur racun serangga untuk membunuh nyamuk Aedes yang membawa virus Zika di Rio de Janeiro, Brazil pada 26 Januari lalu. - Agesi


BOGOTA – Hampir 72,000 kes Zika dilaporkan di Colombia sejak Oktober tahun lalu, sementara virus itu menjangkiti hampir 13,000 wanita mengandung sebelum wabak Zika di negara itu beransur reda, kata pihak berkuasa kesihatan kelmarin.
Institut Kesihatan Nasional (INS) melaporkan, empat kes mikrosefali dikaitkan dengan penularan virus Zika di Colombia. Sindrom itu menyebabkan bayi dilahirkan dengan kepala lebih kecil dan mengalami kecacatan otak.
“Sebanyak 22 lagi kes potensi mikrosefali di Colombia masih dalam siasatan,” demikian menurut INS.
Pada awal bulan ini, pihak berkuasa Amerika Syarikat mengesahkan bahawa virus Zika menyebabkan mikrosefali dan kecacatan otak lain yang serius pada janin.
Sejak wabak Zika bermula pada Oktober 2015, sejumlah 3,292 jangkitan virus itu disahkan oleh beberapa makmal, manakala 68,660 kes dipercayai Zika turut direkodkan.
Dalam kalangan wanita hamil pula, sejumlah 1,703 jangkitan Zika telah disahkan, sementara 11,099 kes lain dica­tatkan oleh sebilangan pegawai kesihatan tempatan.
Walaupun Colombia pada asalnya menganggarkan bilangan kes Zika akan meningkat tiga kali ganda menje­lang hujung Jun ini, kerajaan menegaskan bahawa wabak itu kini berkura­ngan dengan cepat, lebih cepat daripada yang dijangkakan.
Virus Zika bawaan nyamuk Aedes Aegypti hadir di 130 buah negara, manakala beberapa kajian baharu menunjukkan virus itu boleh disebarkan melalui hubungan seks antara manusia.
Sejak wabak Zika menular di Colombia pada Oktober 2015, sejumlah 462 kes kecacatan saraf yang dikaitkan dengan virus itu telah direkodkan. Dari­pada jumlah itu, 304 kes merupakan penyakit Guillain-Barre. Sindrom yang jarang berlaku itu boleh menyebabkan penghidapnya mengalami lumpuh. Setakat ini, tiada vaksin yang boleh me­rawat jangkitan Zika. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz46mx595aF 
Hakcipta terpelihara 

Syarikat perancang perkahwinan didakwa tipu 60 pasangan pengantin


KUALA LUMPUR, 22 April - Sebuah syarikat perancang perkahwinan didakwa telah menipu pelanggannya dengan menawarkan pakej perkahwinan murah sebelum bertindak menghilangkan diri.
Nadzim Johan
NADZIM JOHAN
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan turut mendakwa terdapat hampir 60 pasangan telah ditipu syarikat berkenaan sejak tahun lepas.
"Setakat ini, kami menerima 10 aduan dari mangsa syarikat itu dan kami yakin lebih ramai akan tampil membuat aduan.
"Pakej yang ditawarkan syarikat itu termasuklah dua set pakaian pengantin, pelamin, jurugambar, pintu gerbang, solekan dan 'photo booth'... kesemuanya ini hanya dikenakan dengan serendah RM1,000 hingga RM3,000," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Nadzim berkata modus operandi yang digunakan syarikat itu adalah dengan menyertai ekspo perkahwinan yang besar untuk mencari mangsa yang ingin berkahwin.
"Melalui ekspo itu, mangsa dikehendaki membayar sebanyak RM200 sebagai wang pendahuluan dan diminta menyelesai kesemua baki bayaran dalam tempoh sebulan," katanya sambil menambah syarikat itu turut menggunakan nama yang berbeza di setiap ekspo yang disertai bagi mengelak daripada dikesan mangsa sebelum ini.
Salah seorang mangsa, Siti Zulekha Ibrahim, 31, yang hadir pada sidang media itu mendakwa beliau beberapa kali telah cuba menghubungi wakil syarikat berkenaan, namun tidak berhasil.
"Perkara ini telah dirujuk kepada Pihak Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, namun tribunal memaklumkan tiada sebarang tindakan dapat diambil kerana syarikat berkenaan yang beralamat di Temerloh, Pahang dan Bangi, Selangor telah berpindah dan tidak dapat dikesan. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/syarikat-perancang-perkahwinan-didakwa-tipu-60-pasangan-pengantin-1.283726#sthash.SP5D8f4B.dpuf

Tipu jual telefon masih berleluasa


MUHAMMAD YUSUF AZMI (kanan) meminta penjelasan daripada peniaga
MUHAMMAD YUSUF AZMI (kanan) meminta penjelasan daripada peniaga yang didakwa menjual telefon bimbit bukan tulen di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 22 April – Masalah penipuan dalam penjualan telefon bimbit termasuk telefon pintar masih lagi berleluasa apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakan pelbagai strategi untuk memperdaya pengguna.
Belum reda lagi kes seorang pembeli ditipu oleh peniaga di Kompleks Kota Raya pada 14 Di­sember lalu apabila dikurung selama empat jam dan satu lagi kes pada 11 Julai lalu sehingga berlaku kekecohan akibat membantah penipuan penjualan telefon bimbit di Plaza Low Yat, kini berlaku lagi kes membabitkan telefon tiruan.
Mangsa, Muhammad Thaufiq Zulkifli, 23, memberitahu, dia mula tertarik dengan telefon pintar Apple jenis iPhone 6S apabila mendapati label yang tertera pada produk tersebut memaparkan harga RM350 di Kompleks Pertama kira-kira pukul 6 petang semalam.
“Saya hanya mahu mencari te­lefon pintar dengan bajet yang ada iaitu kira-kira RM350 di sini dan secara kebetulan ternampak produk itu di sebuah kedai. Saya pula difahamkan oleh peniaga itu bahawa telefon itu adalah barang terpakai dan sebab itulah harganya murah.
“Bagaimanapun, apabila saya pulang ke rumah dan tunjukkan kepada rakan, ternyata terdapat beberapa perkara yang meragukan terhadap telefon itu apabila ada fungsi-fungsi produk tersebut tidak sama dengan produk asal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, dia telah pun membuat laporan polis dan aduan kepada Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Ke­penggunaan serta pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas berasa tertipu dengan helah peniaga terbabit.
Hari ini, pihak PPIM yang dike­tuai oleh Pengarah Unit Tindakan Khasnya, Muhammad Yusuf Azmi menerjah ke kedai terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut oleh peniaga berkenaan.
Sepanjang menjalankan rundingan, peniaga terbabit ibarat cuba menegakkan benang yang basah apabila mendakwa dia tidak menipu Muhammad Thaufiq kerana mengatakan bahawa pengguna sendiri perlu tahu bahawa itu adalah telefon tiruan kerana harganya terlalu murah.
Muhammad Yusuf bagaimanapun tidak boleh menerima alasan peniaga itu kerana tiada sebarang label telefon tiruan diletakkan pada produk tersebut dan perkara itu menyebabkan pengguna terkeliru, malah tidak dijelaskan kepada pembeli.
“Resit yang diberikan kepada pengguna pun amat meragukan kerana nama syarikat serta cap rasmi tidak disertakan, apatah lagi jumlah harga dikenakan. Jika pengguna mahu membawa kes ini kepada pihak berkuasa pun bakal menimbulkan masalah kerana tidak cukup bukti.
“Kita harap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan berterusan terhadap kes seumpama ini kerana sudah kerap kali berlaku dan kita pun tidak mahu kes seperti yang berlaku di Plaza Low Yat, Bukit Bintang terjadi lagi apabila pengguna mula mengambil tindakan sendiri,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tipu-jual-telefon-masih-berleluasa-1.283992#sthash.8VakOmox.dpuf

Wang seludup dipercayai sumber haram


KUALA LUMPUR 23 April – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani percaya wang yang diseludup ke negara lain sehingga menyebabkan kerajaan menanggung kerugian kira-kira RM2.4 bili­on setahun dipercayai datang daripada aktiviti haram.
Menurutnya, tidak mungkin wang penyeludupan berkenaan boleh terlepas daripada sistem pengurusan Bank Negara Malaysia (BNM) jika duit dengan jumlah yang banyak itu melalui saluran rasmi.
Katanya, beliau tidak tahu ber­apa banyak wang yang diseludup keluar daripada negara ini.
“BNM mempunyai satu sistem efisien apabila mereka yang mahu mengambil duit menerusi pengurup wang sekali pun, aktiviti itu akan direkodkan dan terdapat kira-kira 2,000 saluran yang dilesenkan BNM untuk berbuat demikian.
“Ini bermakna, mereka yang terlibat dalam kes tersebut membawa keluar wang secara haram setelah mendapat duit dengan cara tidak halal,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Jalan Dato’ Abdul Malik, Kampung Baru di sini, hari ini.
Setakat tahun 2015 katanya, sebanyak RM34 bilion telah dikeluarkan daripada negara oleh pekerja asing dengan menggunakan saluran yang betul.
Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia hari ini berhubung ‘Seludup Wang RM2.4 bilion’ yang membabitkan khidmat ‘keldai duit’ bagi melakukan penyeludupan wang ke sebuah negara jiran.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Sani Mistam; Pengerusi Perbadanan Kampung Baru (PKB), Datuk Affendi Zahari; Ketua Wilayah Tengah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Zahari Ismail; Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Syed Afendy Ali Syed Abid Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Datuk Mahadi Che Ngah.
Sementara itu, Johari memberi­tahu, urus niaga menerusi internet pada tahun lalu mencecah nilai kira-kira RM4.8 trilion dengan melibatkan hampir 450 juta transaksi dalam negara berdasarkan statistik yang diperoleh daripada BNM.
“Sudah tentu dengan fasiliti internet yang ada ini dapat membantu masyarakat secara keseluruhan. Tahun lalu, kerajaan sudah memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion bagi pelaburan dalam infrastruktur internet kerana ia dapat membantu memajukan ekonomi serta meningkatkan produktiviti negara,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/wang-seludup-dipercayai-sumber-haram-1.285729#sthash.218T7zkD.dpuf

Bayi ditemukan di tangga


KUALA LUMPUR 23 April – Seorang operator kilang yang baru pulang dari tempat kerja terkejut apabila menemukan seorang bayi pe­rempuan ditinggalkan di kawasan tangga Apartmen Sri Dahlia, Laman Puteri 3, Bandar Puteri, Puchong, dekat sini malam tadi.
BAYI perempuan yang ditinggalkan di kawasan tangga Apartmen Sri Dahlia, Laman Puteri 3, Bandar Puteri di Puchong, semalam. GAMBAR DARIPADA LAMAN SOSIAL FACEBOOK
Bayi itu yang diletakkan di dalam sebuah beg plastik berwarna putih ditemukan Muhammad Rizuan Saad, 32, kira-kira pukul 11.30 malam ketika dia melalui kawasan tangga tersebut untuk naik ke rumahnya di tingkat 2.
“Saya terdengar tangisan bayi dan terus pergi ke arah beg plastik putih bertulis Tesco yang kelihatan bergoyang.
“Bayi ini berpakaian lengkap dan berusia lingkungan dua bulan serta tidak mengalami kecederaan ketika saya mengangkatnya,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Muhammad Rizuan, dia kemudian menghubungi polis untuk melaporkan penemuan itu.
“Saya berhasrat untuk menjadikan bayi itu sebagai anak angkat namun perlu menunggu siasatan polis selesai dan mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bayi itu mungkin warganegara Malaysia kerana terdapat kesan suntikan vaksin Bacille Calmette Guerin (BCG),” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Adnan Abdullah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan bayi terbabit akan diserahkan kepada JKM hari ini selepas dirawat di Hospital Serdang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/bayi-ditemukan-di-tangga-1.285684#sthash.q4q6oXY4.dpuf